Rabu, 20 Oktober 2010

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


Jawapan Jawab Lisan, Isu Felda

Posted: 20 Oct 2010 12:10 AM PDT

6. Dato' Kamarul Baharin Abbas minta Perdana Menteri menyatakan:
(a) tindakan kerajaan terhadap peguam yang gagal menghadirkan diri di mahkamah yang menyebabkan FELDA disabitkan kesalahan oleh mahkamah; dan
(b) apakah FELDA bercadang untuk menaikkan kadar perahan gred (KPG) setelah mahkamah memutuskan memihak terhadap penerokaan FELDA Kemahang, Kelantan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Haji Ahmad bin Haji
Maslan]
: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, FELDA mengambil iktibar yang serius terhadap ketidakhadiran peguam dalam FELDA Kemahang 3, Kelantan. Kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Januari 2008 yang telah menyebabkan FELDA disabitkan kesalahan dan FELDA telah membayar lebih kurang RM11 juta.

Mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada hari Ahad, 13 Januari 2008 dan 14 Januari 2008. Walau bagaimanapun perbicaraan kes diteruskan tanpa kehadiran peguam FELDA pada 13 Januari 2008 itu. Peguam kes meletakkan jawatan atas sebab peribadi pada 28 Disember 2007. Mahkamah telah mensabitkan kesalahan ke atas FELDA dengan tanpa mendengar pembelaan daripada pihak FELDA, kes ini dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos 2010.

Sebagai tindakan kepada peguam berkenaan, FELDA melalui sebuah jawatankuasa khas telah memanggil firma guaman itu dan mengeluarkan satu notis tunjuk sebab bertarikh 4 Oktober 2010 kepada firma guaman tersebut untuk mengemukakan penjelasan bertulis berhubung ketidakhadiran mereka pada perbicaraan berkaitan. FELDA akan mempertimbangkan jawapan pada notis tunjuk sebab itu untuk mengambil sebarang tindakan terhadap firma guaman tersebut termasuklah kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, menamatkan perkhidmatan mereka dan membuat aduan rasmi kepada Majlis Peguam.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat pada soalan bahagian dua, penentuan kadar perahan gred sawit (KPG) bagi hasil buah tandan segar (BTS) yang dihantar oleh peneroka sama ada naik atau turun bergantung kepada kualiti BTS yang diterima oleh kilang. Pemberian gred adalah berpandukan kepada manual penggredan BTS yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). MPOB adalah pihak berkuasa yang berkaitan dengan industri sawit dan sebuah badan bebas yang mengeluarkan garis panduan penggredan BTS. Ini adalah contoh manual sebanyak 40 muka surat.

Bagi memastikan penggredan berjalan lancar di peringkat kilang dan rancangan, pihak FELDA telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) yang dianggotai oleh pengurus rancangan, pengurus kilang dan wakil peneroka setiap rancangan di Malaysia. Di peringkat ibu pejabat pula, jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Khas yang dianggotai oleh FELDA, Syarikat Felda Palm Industries Sdn. Bhd., ketua peneroka yang merupakan Ahli Lembaga FELDA dan seorang Ahli Lembaga pengarah FELDA yang lain.

Jawatankuasa ini akan memantau setiap Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) dan mengadakan mesyuarat pada setiap bulan, kadar perahan sawit setiap kilang adalah di antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dan pemantauan akan sentiasa dilakukan. Bukti-bukti dan rekod yang ada dalam kes FELDA Kemahang 3, kadar perahan adalah yang betul dan tidak wujud penipuan konspirasi sebagaimana di pihak FELDA yang dituduh oleh pelbagai pihak. FELDA tidak menipu peneroka tetapi sentiasa membina peneroka dan generasi barunya di seluruh negara.

Mengenai kadar perahan juga, Pusat Bioteknologi FELDA di Nilai Negeri Sembilan merupakan pusat tissue culture yang terbesar di dunia, antara lain untuk mencari pelbagai benih termasuk sawit yang terbaik. Benih sawit terkini keluaran FELDA bernama Yangambi ML 161 adalah antara yang terbaik di negara ini dan berpotensi mengeluarkan kadar perahan yang sangat tinggi, terima kasih.

Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, sebenarnya perkara tidak seharusnya sampai ke mahkamah, sesudah 15 tahun kalau kita mengamalkan kerjasama di mana FELDA menganggapkan peneroka ini sebagai rakan kongsi dan bukan sebagai pekerja ataupun kuli. Jadi pendapat mahkamah yang berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan adalah tidak munasabah, ini keputusan mahkamah.

Oleh itu, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri itu tidak menjawab apakah FELDA sekarang ini akan meningkatkan kadar gred mengikut apa yang terdapat dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang disokong oleh Makmal Sime Darby Research dan Felda Analytical Laboratory. Ini kerana dalam hal kelapa sawit perbezaannya lebih kurang dalam 5% dan ini juga akan mengakibatkan gred kadar getah kering yang sekarang ini perbezaannya lebih daripada 10%.

Jadi soalan saya ialah, kenapa FELDA tidak mengikut apa yang – kerjasama dengan peneroka untuk menentukan gred yang sesuai dan boleh diterima oleh kedua dua belah pihak, terima kasih.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Saya telah menjawab tadi Yang Berhormat. Kita ada satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Persepakatan Bersama. Siapa dia dalam jawatankuasa itu. Pertama pengurus kilang di tempat ladang kelapa sawit itu. Kedua ketua peneroka, ketiga pengurus rancangan. Selepas itu kita ada juga Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR).

Jawatankuasajawatankuasa ini bermuafakat dan bukan kita buat keputusan semberono. Kita ada manual penggredan buah kelapa sawit yang dikeluarkan oleh MPOB bukan kita buat keputusan sesuka hati tentang gred sawit ini. Dalam kes Kemahang 3, para pegawai memaklumkan kepada saya sebenarnya bukan tidak ada langsung penipuan. Padahal gred yang kita bagi itu adalah yang terbaik dan yang sepatutnya diberikan di Kemahang 3. Itu yang berlaku.

Kemudian mengenai kaedah-kaedah yang disebut oleh Yang Berhormat itu, FELDA sedang memikirkan tentang hal yang terbaik dan sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk peneroka. Itu sebab kita ada pelbagai usaha untuk mencari benih yang terbaik bukan hanya benih kelapa sawit, tetapi juga benih yang terbaik untuk getah dan juga tanaman-tanaman yang lain. Terima kasih.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tuan Haji Salleh Kalbi [Silam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, kita melihat peranan FELDA itu dari segi pembangunan hartanah dan kawasan yang terdapat di kawasan saya merupakan antara yang terbesar di Malaysia dan di dunia. Saya risau akan berterusan kes-kes saman ini dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Saya mohon penjelasan daripada pihak kementerian berhubung dengan kenyataan saman baru yang diutarakan oleh pihak tertentu di akhbar Harakah baru-baru ini tentang kes saman peneroka FELDA di Sungai Koyan 2 dan 3.
Saya berharap penjelasan daripada pihak kementerian, adakah ianya menjurus kepada pengurusan tanah yang akan dilibatkan peneroka itu dan ini boleh menjejaskan kredibiliti FELDA dalam pengurusan tanah di negara kita ini. Terima kasih mohon jawapan.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Silam. Di Silam ada satu kawasan FELDA, nama FELDA Sahabat. Keluasan FELDA Sahabat itu lebih kurang sama besar dengan sebuah Negeri Sembilan. Apa yang berlaku baru-baru ini tentang FELDA Sungai Koyan 2 dan 3 dan dilaporkan dalam muka depan sebuah akhbar pembangkang menyatakan bahawa, "FELDA Kalah Lagi." Sebenarnya laporan itu tidak benar, tidak tepat, tidak betul.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Yang tadi lawyer tidak hadir. [Ketawa] Lawyer letak jawatan 2007, 2008 patut cari lawyer lainlah. Apa.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Yang ini peguam bela FELDA datang. Dalam kes Koyan ini, peguam bela FELDA datang. Kalau FELDA kalah Ahli-ahli Yang Berhormat, FELDA akan merayu kes ini. Akan tetapi FELDA tidak merayu kes ini sebab keputusan mahkamah sebenarnya menyebut bahawa Felda hendaklah membayar kepada mereka yang tanam semula sawit secara sendiri ini RM1,700 seekar jika mereka mengikuti garis panduan FELDA. Kita selama ini telah memberikan mereka yang tanam semula sawit secara sendiri ini wang RM17,000 untuk 10 ekar itu jika mengikut garis panduan FELDA. Bererti keputusan itu mengesahkan apa yang dibuat FELDA sebelum ini.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Lawyer hadir. Lawyer hadir, lawan jugalah. [Dewan riuh]

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Dengarlah sudah cakap tadi.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat...

Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Suara UMNO.

Tuan Yang di-Pertua: Perkara lain itu Yang Berhormat nanti bincang di luar.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Ya.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, cara dia jawab FELDA Kemahang, lawyer letak jawatan 2007.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Saya belum habis lagi Tuan Yang di- Pertua.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Kes 2008 Januari patut hantar ke lawyer lain. Yang ini dia kata, dia tidak bantah keputusan mahkamah, tidak rayu sebab keputusan itu sama dengan pendirian FELDA. Kalau tidak bantah, kalau sudah sama, patut tidak hantarlah lawyer lawan. [Ketawa]

Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Menteri kelam-kabut.

Tuan Yang di-Pertua: Teruskan, teruskan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Ya. [Ketawa] Ini cerita pasal Sungai Koyan Yang Berhormat Pokok Sena. Sungai Koyan.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Memalukan.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Kerenah Ahli Yang Berhormat itu memalukan yang sebenarnya. [Ketawa] Jadi apa yang berlaku di Sungai Koyan ini Tuan Yang di-Pertua, kes itu FELDA tidak kalah dan kita ingin menasihatkan kepada peneroka-peneroka yang dihasut oleh pihak-pihak yang macam Pokok Sena...

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Dua-dua kalah. Yang satu tipu, yang ini kecuaian. Dua-dua kalah. Apa.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Supaya jangan menyaman FELDA kerana kalau saman FELDA Tuan Yang di-Pertua. Kalau saman FELDA, kalau tidak saman pun kita bagi juga. [Dewan riuh]

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Jangan bertengkar Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan bertengkar. Sila teruskan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Pokok Sena sudah Yang Berhormat Pokok Sena.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: [Ketawa]
Seorang Ahli: Tidak samanlah.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Ini, apa? Pusing. Memang ini kuat putar alam. [Ketawa]

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Bukti bahawa FELDA bukan kalah lagi sebab kami tidak akan merayu. FELDA tidak merayu kes ini...

Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Menteri kelam-kabut.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Itu sebab FELDA tidak kalah dalam kes Sungai Koyan ini.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tidak merayu tetapi lawan kes...[Ketawa]

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Tuan Yang di-Pertua...

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jangan hendak jadi herolah.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Kita boleh jumpa di luar selepas ini. Hari itu sudah jumpa di luar tidak selesai lagi nampaknya. Kalau tidak dapat jumpa di sini kita jumpa di Galas, insya-Allah.

Dato' Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Boleh, no problem.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Terima kasih, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Ya, ya. Saranan saya terima. Kamu berjumpa di Galas.[Ketawa]

Tiada ulasan: