Khamis, 28 Oktober 2010

anjung setiawangsa

anjung setiawangsa


Kenyataan Akhbar Persatuan Peguam Muslim Malaysia Berkaitan Hub Hiburan

Posted: 28 Oct 2010 02:18 AM PDT

KENYATAAN AKHBAR: PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia
sebagai hub hiburan malam amat mengecewakan umat Islam arusperdana.
Setelah Festival Fesyen Islam yang mencetus polemik penghinaan kepada
agama Islam dan umat Islam di Malaysia, kedudukan Islam dan umat Islam
dilihat seolah-olah terus diganyang oleh pihak Kerajaan. Program ini
amat bertentangan dengan ikrar Perdana Menteri baru baru ini yang
mengatakan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam di Malaysia
tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia terkunci kemas dan terpateri
di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah menurut Perdana Menteri kunci tersebut disimpan selamat oleh
Raja Raja Melayu yang telah berikrar memelihara Islam pada setiap masa
seperti yang terdapat di dalam Jadual Keempat Perlembagaan
Persekutuan.

Menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam ada suatu cubaan untuk
menanam budaya asing di bumi Malaysia. Malah ianya tidak selari dengan
semangat Perlembagaan Persekutuan yang berteraskan Islam serta prinsip
Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Rakyat Malaysia khususnya orang Islam telah disogok dengan pelbagai
rancangan hiburan di dalam media elektronik dan bukan elektronik.
Sekarang budaya berhibur inimahu ditambahkan lagi dengan konsert-
konsert dan pertunjukan yang langsung tidak mencerminkan budaya
masyarakat timur. Berpeleseran di waktu malam hanya akan mengundang
lebih banyak keburukan dari kebaikan. Dengan kadar jenayah seperti
pembunuhan, rogol dan pembuangan bayi yang semakin meningkat,
kehadiran hub hiburan malam hanya akan menambahkan lagi statistik
jenayah ini sahaja.

Pelaksanaan undang-undang jenayah juga telah gagal menjadi factor
mengurangkan kadar jenayah di dalam negara kerana undang-undang
tersebut tidak menekankan aspek pencegahan dan naluri kerohanian
masyarakat negara.

Dengan membudayakan hub hiburan ini sudah pasti masyarakat Malaysia
akan terus pincang dengan kebejatan akhlak dan moral khususnya di
kalangan muda-mudi.

Kekayaan ekonomi negara sendiri akan punah sekiranya rakyat hanya mahu
berhibur dan tidak berusaha sepenuhnya mencapai kejayaan.

Tindakan kerajaan ini dilihat sebagai cuba mendekati masyarakat bukan
Islam dan masyarakat liberal tetapi mengenepikan kehendak masyarakat
Islam arusperdana yang merupakan majoriti rakyat Malaysia.

PPMM dengan tegas mendesak Perdana Menteri menarik balik Program ETP
tersebut dan menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan
Persekutuan. DYMM Yang Di Pertuan Agong juga mempunyai obligasi
beperlembagaan (constitutional obligation) pada setiap masa bagi
memelihara Islam dan tatabudaya orang Melayu. PPMM juga merafak
sembah kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong agar mempertahankan jatidiri
kebangsaan yang berteraskan kepada Islam di dalam setiap tindakan
kerajaan.

Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Bertarikh pada 27hb Oktober 2010

Asri Bidas Najib: Najib Seolah-olah Pinggirkan Islam

Posted: 27 Oct 2010 11:10 PM PDT

MALAYSIA HUB HIBURAN - DR ASRI BIDAS NAJIB



KUALA LUMPUR 27 OKT: Rancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan malam selaras dengan Program Transformasi Ekonomi atau ETP dilihat sebagai meminggirkan Islam, kata bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin.

"Ini amat bahaya kepada kerajaan sekarang. Ini langkah yang tidak bijak ketika kepimpinan Perdana Menteri sekarang dan Umno dikritik, ini menambah lagi prasangka dan kritikan orang. Sekali sekala nampak macam nak mengangkat Islam, sekali sekala seperti dipinggirkan (Islam) dalam pentadbiran negara kita" kata beliau.

Menurut pelan tindakan ETP yang dilancarkan oleh Najib, jumlah kelab malam terkemuka akan ditambah manakala lebih banyak konsert akan dianjurkan dan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dilonggarkan.

Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin mempersoalkan rasional Umno-Barisan Nasional cuba meningkatkan pendapatan negara dengan menambah jumlah kelab malam.

"ETP ini perlu ditarik balik kerana beri kesan kepada orang Islam dan bukan Islam," Dr Asri memberitahu TV Selangor.

"Kerajaan perlu tarik balik kerana jika tidak, ia akan jadi 'pukulan terhebat' untuk kerajaan. Sudahlah dianggap tidak mesra dengan orang Melayu oleh beberapa pihak, ia juga dianggap tidak mesra dengan Islam," tambah beliau.

Menurut pelan tindakan ETP, kerajaan Umno-BN pimpinan Najib merancang untuk menubuhkan zon-zon hiburan yang merangkumi kelab malam yang diberi kelonggaran dari segi waktu operasi. 

Penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu adalah untuk menggandakan pendapatan hiburan malam di Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. 

Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan, menurut pelan tindakan ETP.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan.

Selain itu syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa akan dilonggarkan bagi membolehkan lebih banyak artis luar negara dari Barat dan negara lain mengadakan pertunjukan di Malaysia.

Dr Asri berkata rancangan untuk menjadikan Malaysia hab hiburan malam akan mempunyai kesan politik selain kesan sosial.

"Saya lihat langkah ini akan memberi kesan besar kepada persepsi masyarakat Islam. Sudahlah kerajaan sekarang kehilangan sokongan daripada orang bukan Islam, ini juga akan menyebabkan (kerajaan) hilangnya sokongan akibat persepsi negatif umat islam," tegas beliau.

"Sudahlah yang sedia ada(kelab malam) kita tidak mampu kendalikan dengan baik dengan gejala sosial meningkat saban hari, kita tambah lagi. Kenapa kerajaan tidak pilih cadangan lain? Mislanya pusat hiburan alternatif yang lebih bersopan seperti nasyid, atau hiburan tradisi yang tidak melanggar nilai-nilai kesopanan?," kata Dr Asri./TVNews

MB S'gor jawab teguran laporan audit

Posted: 27 Oct 2010 06:22 PM PDT

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengeluarkan kenyataan menjawab perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan ketua audit negara "supaya rakyat tidak terkeliru".

"Kami percaya laporan audit yang telah disediakan oleh pejabat Audit Negara bertujuan untuk penambahbaikan. Namun apa yang tergambar di media seolah-olah kerajaan negeri tidak mengurus dengan baik," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikut adalah kenyataan penuh menteri besar Selangor:

Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak media terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai kewangan Kerajaan Selangor yang telah diedarkan kepada orang ramai, Isnin lalu.

Kami percaya laporan audit yang telah disediakan oleh pejabat Audit Negara bertujuan untuk penambahbaikan. Namun apa yang tergambar di media seolah-olah kerajaan negeri tidak mengurus dengan baik.

Agar rakyat tidak terkeliru, saya ingin membuat penjelasan seperti berikut.

Pertama: Urusniaga Penyata Penyesuaian Bank Kerajaan Selangor 

Sejak 2002, Selangor telah gagal menyesuaikan (reconcile) urusniaga iaitu urusniaga tertunggak dalam penyata bank Kerajaan Negeri Selangor. Sehingga 2009, urusniaga yang telah gagal disesuaikan berjumlah RM977.70juta. Mengikut pecahan, 2002-2003 sebanyak RM126 juta, 2004 (RM327 juta), 2005 (RM82 juta), 2006 (RM278 juta), 2007 (RM48 juta) , RM61 juta pada 2008 dan RM56 juta pada 2009.

Menyedari jumlah ini terlalu banyak, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas untuk menangani masalah ini supaya semua urusniaga dan pungutan hasil dapat disesuaikan dengan kedudukan semasa. Dengan ini, urusniaga tertunggak dapat dihentikan sepertimana yang diamalkan oleh organisasi kewangan yang cekap dan berkesan.

Jawatankuasa ini telah menyelesaikan masalah menyesuaikan nombor urusniaga pembayaran dan pungutan hasil dengan rekod buku tunai dan penyata bank. Hasilnya, sejumlah RM770.85 juta telah dapat diselaraskan sehingga 26 Oktober 2010. Baki RM206.36 juta akan disemak dari semasa ke semasa dan dijangka penyesuaian akan dapat dibuat sepenuhnya total pada tahun kewangan terakhir pada 31 Disember 2010.

Oleh itu., laporan akhbar News Straits Times yang mendakwa RM977.70 juta wang Kerajaan Negeri 'hilang' dalam tempoh enam enam hingga tujuh bulan adalah tidak benar. Laporan ini boleh dianggap sebagai laporan nakal yang bermotifkan politik (politically mischevious news report). Ini adalah kerana laporan audit telah dengan jelas menyatakan masalah ini berlaku sejak tujuh tahun yang lepas - bukan enam hingga tujuh bulan yang lepas seperti yang dilaporkan.

Kedua: Hutang Kerajaan Pusat

Laporan Ketua Audit Negara menyatakan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat berjumlah RM829.86 juta. Lebih 85% atau RM705juta daripada jumlah hutang melibatkan pembelian aset air. Hutang ini sepatutnya dibayar SYABAS sepertimana yang dipersetujui dalam perjanjian penswastaan bekalan air Selangor diantara SYABAS, Kerajaan Negeri dan Persekutuan apabila perkhidmatan air diambil alih oleh SYABAS daripada Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 2003.

Kerajaan Negeri mendapati rekod aset loji pembekalan dan loji pengagihan air bukan sahaja tidak lengkap malah tertinggal dalam rekod milikan Kerajaan Negeri. Mulai 2008, selepas Pakatan Rakyat mengambil alih, Kerajaan Negeri mula membuat tindakan mengesahkan aset-aset dengan mengenal pasti lokasi dan keadaan aset tersebut.

Sebelum pengesahan dibuat, nilai aset air yang tercatat dalam buku Karajaan Negeri hanyalah RM1 bilion. Tetapi pakar perunding yang dilantik kerajaan negeri telah mengenal pasti aset air yang dimiliki sebenarnya bernilai RM10.98 bilion iaitu melebih RM9 bilion dari rekod asal.

Jika Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan air dan menyerahkan aset ini kepada PAAB (Perbadanan Aset Air Berhad) yang ditubuh bawah Akta WSIA (Akta Industri Air Malaysia), Kerajaan Negeri bukan saja dapat melangsaikan hutang tersebut tetapi menambah milikan aset lebih dari RM9 bilion. Oleh itu pembayaran hutang air ini tidak timbul dan perkara ini telah pun dipersetujui oleh pihak Audit Negara.

Di sini saya ingin menekankan penyusunan semula air perlu dilakukan segera supaya rakyat Selangor tidak dibebankan dengan tariff tinggi yang akan dikenakan oleh SYABAS yang selama ini tidak membayar satu sen pun untuk menggunakan aset kerajaan negeri yang bernilai lebih RM10 bilion.

Ketiga: Rezab


Semasa penyelidikan audit dilakukan terhadap rezab negeri Selangor, pejabat Ketua Audit Negara hanya mengambil kira dalam kewangan berakhir 31 Disember 2009 dan tidak melihat apa yang berlaku seterusnya.

Untuk makluman, selepas tempoh tersebut, rezab kerajaan negeri meningkat dan tidak lagi berada dalam kedudukan negatif. Kerajaan Negeri tahu pada waktu itu bahawa keadaan akan pulih kerana pendapatan dijangka meningkat selepas 31 Disember 2009.

Carta di bawah menunjukkan dengan jelas peningkatan rezab pada 2010. Sehingga Jun 2010, Selangor telah mencatatkan lebihan pendapatan RM268.18 juta iaitu paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Turun naik rezab adalah perkara biasa dalam mana-mana institusi kewangan termasuk rezab negara. Oleh itu laporan audit bahawa rezab Selangor telah merosot tidak membimbangkan.

Keempat: Bangunan Teater Diraja Shah Alam

Projek ini menghadapi masalah sejak dari awal di mana kontraktor melakukan kerja tersebut telah dilantik secara runding terus. Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM43 juta untuk projek ini tetapi hasilnya sangat mengecewakan kerana syarikat kontraktor gaga; mematuhi spesifikasi dan pelan asal.

Contoh kerja pembinaan yang lemah ialah kemasan yang renggang, tinggi tangga yang tidak sekata dan projek siap lewat sehingga 14 bulan. Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa untuk membaiki kerosakan dan kelemahan pembinaan dan dijangkanya bangunan ini dapat perbaiki dalam tempoh setahun.

Kelima: Pelaburan anak syarikat tidak untung

Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) telah disusun semula pada Jun 2009 . Sebelum waktu ini, kebanyakan anak-anak syarikat yang ditubuhkan Kerajaan Negeri tidak melihat keuntungan sebagai asas utama penubuhan. Syarikat ini tidak memberi fokus kepada keuntungan yang sesuai dengan pelaburan dibuat. Selepas penstrukturan semula MBI, wujud satu visi untuk mendapat keuntungan.

Walaupun anak-anak syarikat ini terus menjalankan tanggungjawab sosial (corporate social responsibility) untuk rakyat Selangor tetapi konsep mendapat keuntungan dari perniagaan akan diberi keutamaan. Semua syarikat akan dipantau oleh MBI dan semua bonus dan pembayaran ganjaran syarikat mestilah berasaskan hasil keuntungan.

Keenam: Isu pasir

Pembayaran royalti bukan satu-satunya hasil kerajaan Negeri dari industry pelombongan pasir. Sejak KSSB ditubuhkan Jun 2008, hasil pasir adalah termasuk keuntungan dari jualan.

Oleh itu, jika kita campurkan hasil royalti dan keuntungan KSSB, maka pendapatan Kerajaan Negeri adalah lebih baik daripada sebelum ini. Sila graf di bawah:

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negeri bertanggungjawab memantau dan membanteras operasi perlombongan haram. Usaha ini melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA). Kerajaan Negeri Selangor juga amat mengalukan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersama terlibat dalam operasi sebegini.

Mengikut perangkaan yang dikemaskinikan sehingga 26 Oktober 2010 oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat sembilan puluh enam (96) tangkapan yang telah dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah dan juga Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Tangkapan tersebut telah dilakukan sekitar bulan Januari hingga Oktober 2010 di beberapa lokasi hotspot yang dikenalpasti menjadi tumpuan penyangak pasir. Tempat hotspot tersebut menjadi tumpuan pencuri pasir kerana kualiti pasir dan permintaan pasir yang tinggi dipasaran pada masakini.

Daripada rekod kes yang didaftarkan oleh Bahagian Undang-Undang dan Dasar, Pejabat Tanah dan Galian Selangor terdapat lapan (8) kes telah berjaya dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang dan atas perintah Mahkamah Majistret pada 18 Oktober 2010 lapan (8) kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Secara kesimpulannya, kita mahu memastikan pentadbiran Kerajaan Selangor adalah bersih dan berada di landasan yang betul serta tidak lagi wujud unsur-unsur korupsi, salah urus tadbir dan pembaziran.

Kita mahu memperbetulkan kesilapan-kesilapan lama, mengemas kini kelemahan pentadbiran kewangan untuk memastikan pentadbiran yang telus, efektif dan bertanggungjawab.


dari Malaysiakini

Tiada ulasan: