Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Pengundian 1 Ahli 1 Undi Dalam Pemilihan 2010 Beri Kekuatan Baru Untuk Parti
- Populariti Najib Merudum Akibat Sikap 'Flip Flop'
- JPP Sahkan Kekecohan Oleh Bukan Anggota Parti
- PRK DUN Galas 4 Nov, Penamaan Calon 26 Okt
- Majalah Economist Jangka Muhyiddin Lawan Najib Untuk Jawatan Presiden Umno
- Polis Cuba Perangkap Ean Yong dan Nie Ching
- Tindakan Perkasa Cari Gaduh Dengan Namawee Kebudak-budakan
- Pindaan Akta Pekerjaan Menindas Golongan Pekerja
- Felda Penindas Bangsa Melayu Sebenarnya
- PRK Galas: Umno Mahu Paksa Ku Li Tunjuk Kesetiaan
Pengundian 1 Ahli 1 Undi Dalam Pemilihan 2010 Beri Kekuatan Baru Untuk Parti Posted: 06 Oct 2010 01:45 AM PDT PETALING JAYA 6 Okt - Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata tumpuan luar biasa Umno-Barisan Nasional (BN) terhadap proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2010 bertujuan bagi membuktikan parti ini tidak mampu melaksanakan sistem pengundian baru iaitu 1 ahli 1 undi. Menurut beliau, tindakan itu juga merupakan usaha kerajaan untuk menarik sokongan anggota KEADILAN kerana Umno-BN beranggapan parti itu akan gagal menjalankan proses pemilihan tersebut. Sebaliknya, hasil yang diperolehi setelah berakhirnya proses pemilihan 3 Oktober lalu, KEADILAN berjaya membuktikan parti tersebut berupaya melakukannya malah pengalaman pertama itu memberikan semangat dan kekuatan baru untuk parti itu. "Umno dan BN memberikan tumpuan yang luar biasa dan diterjemahkan dalam bentuk serangan serta pandangan negatif terhadap proses pemilihan KEADILAN kali ini. "Saya percaya ia dilakukan bagi satu niat dan tujuan iaitu bagi memberikan gambaran bahawa KEADILAN tidak ada kemampuan dan keupayaan untuk menjalankan proses pemilihan parti secara 1 ahli, 1 undi seperti yang kita laksanakan. "Serangan itu bertujuan supaya rakyat khususnya akan berpaling memberi sokongan mereka kepada Umno jika sekiranya kempen berkenaan menggambarkan KEADILAN ini tidak mempunyai keupayaan menjalankan pemilihan parti berhasil," katanya di Ibu Pejabat KEADILAN di sini tengahari tadi. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang bagaimanapun menyifatkan pemilihan itu membawa harapan besar bahawa KEADILAN boleh dibuktikan sebagai parti masa hadapan. "Mereka mahu menyerang soal ketidakupayaan, ketidakmampuan parti namun hasil yang berlaku adalah sebaliknya. "Saya melihat bahawa parti telah membuat keputusan yang betul, berada di landasan yang tepat. Kalau melihat parti masa depan, inilah wajah Malaysia di masa hadapan dengan keanggotaan parti dengan 50% mewakili Melayu, 32% - India, 12 % Cina dan 15 % bagi lain-lain. "Inilah rupa wajah Malaysia yang akan datang, kalaulah kita boleh menguruskan parti dan menjalankan pemilihan ini dengan baik, saya percaya parti ini mempunyai masa depan yang cerah," katanya. Dalam pada itu, beliau melahirkan kesyukuran kerana Mesyuarat Agung Tahunan Cabang telah pun selesai dijalankan meskipun berhadapan pelbagai kekurangan namun ia tidak bererti kerajaan boleh sewenang-wenangnya memandang rendah kebolehan KEADILAN. "Di sana sini ada kelurangan dan kelemahan tetapi saya percaya pengalaman kali pertama parti KEADILAN dengan sistem baru ini akan memberikan satu lonjakan semangat dan kekuatan baru untuk parti. "Oleh itu niat dan juga tujuan pemimpin Umno-BN untuk menidakkan keupayaan parti akan berkubur begitu sahaja. "Saya menilai pandangan ini berasaskan kepada respon daripada surat-surat, emel, sms dan panggilan langsung yang saya terima. Kalau yang saya terima itu daripada anggota parti, saya anggap itu pujian biasa tetapi jika yang memberikan maklum balas itu adalah dari kalangan mereka yang di luar parti, itu saya anggap bahawa ini kejayaan KEADILAN untuk 'reach out' kepada segmen masyarakat yang sebelum ini pasif terhadap isu-isu politik dan pilihanraya," katanya. Tambah beliau, maklum balas yang diterima masyarakat hasil daripada pemilihan ini juga amat memberangsangkan. Menurutnya, kebanyakan respon itu memuji kesungguhan KEADILAN yang tetap meneruskan pemilihan walaupun banyak risiko bakal dihadapi. "Antara yang saya menjadi terkesan terhadap maklum balas masyarakat ini ialah mereka memandang tinggi terhadap kesungguhan KEADILAN untuk meneruskan juga pemilihan parti ini biarpun diura-urakan Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum boleh berlangsung pada bila-bila masa. "Kekaguman mereka ialah kerana mereka berpendapat pemilihan parti bila dilakukan ada menang ada kalah, kemudian akan berlaku perpecahan, ini akan melemahkan parti untuk berdepan dengan pilihanraya tetapi hakikat bahawa KEADILAN meneruskan juga dan sanggup berdepan untuk meneruskan juga walau apapun risiko dan hari ini terbukti bahawa kekecohan yang berlaku adalah pada tahap yang sangat kecil, sangat minima," jelas Saifuddin. Sehubungan itu, Saifuddin turtut mengesyorkan proses pendidikan politik perlu diterapkan pada seluruh anggota parti. "Ini memerlukan lagi proses 'political education' di dalam parti KEADILAN, dan inilah maklum balas yang paling berharga. Kalau tak berlangsung sistem pemilihan ini, kita tidak tahu bahawa ada elemen dan aspek displin yang diperkukuhkan. "Kali ini kita dapati segmen keanggotaan parti KEADILAN ini datang dari pelbagai kelompok termasuk intelektual, kelas menengah, sampailah kelompok bawahan. Jadi sudah tentulah tahap pemahaman terhadap perjuangan parti itu berbeza," katanya. Sumber: Suara Keadilan |
Populariti Najib Merudum Akibat Sikap 'Flip Flop' Posted: 06 Oct 2010 01:40 AM PDT SHAH ALAM 6 Okt - Satu kajian yang dijalankan oleh sebuah laman web pro-Umno, nobisha.com mendapati tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jatuh menjunam di kalangan pengundi Melayu hampir 30 peratus dalam masa tiga bulan. Dalam kajian bertajuk "Analisis Malaysia", hanya 56.5 peratus atau 1,383 responden yang terdiri daripada kaum Melayu atas pagar berpuas hati dengan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. Kajian terbaru ini sekaligus menyanggah kajian yang dijalankan Merdeka Centre pada Mei 2010 yang mengatakan 78 peratus pengundi Melayu berpuas hati dengan kepimpinan Najib. Ahli Parlimen Datuk Johari Abdul yang dihubungi Suara Keadilan berkata beliau bersetuju dengan pandangan tersebut kerana apa yang diuar-uarkan oleh Najib melalui slogan 1 Malaysia hanya retorik semata-mata. Menurutnya, apa yang dilaungkan Najib mengenai 1 Malaysia hanyalah omongan kosong kerana mengamalkan dua polisi yang berbeza dalam melayan kehendak swaya, Petubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa). "Dalam pada Najib menghebah-hebahkan semangat 1 Malaysia, pada masa yang sama beliau melayan permintaan Perkasa yang ekstrimis dan tidak munasabah. Malahan, beliau nampaknya tidak konsisten dalam isu Perkasa dan dilihat semakin menjadi-jadi menyemarak sentimen perkauman. "Beliau kena buktikan 1 Malaysia kerana rakyat boleh baca Najib hanya bermain politik semata-mata untuk memancing undi. "Saya tidak berasa was-was jika sokongan orang Melayu merundum kerana sikap dan dasar 'flip-flop' beliau sehinggakan pemimpin Umno turut tidak mempercayai beliau," ujarnya. Kata Johari lagi, Najib sekarang ini diibaratkan seperti masuk ke dalam tanah jerlus, terperangkap dan berada di dalam keseorangan tanpa sesiapa pun ingin membantu beliau. Pengendali web berkenaan, Norizan Sharif yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif INMIND, sebuah organisasi pemikir bagi kerajaan negeri Selangor semasa di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional, mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pengurusan organisasi termasuk terlibat secara langsung dalam aktiviti penyelidikan, penulisan dan latihan. Beliau juga membuat pengkhususan dalam bidang Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Kajian beliau tersebut adalah siri projek kajian pendapat awam komuniti atas talian yang dilaksanakan menerusi blog "Bicara Nobisha" http://www.nobisha.com. Kajian tersebut dijalankan bagi mengetahui pendapat komuniti atas talian terhadap isu sosio-politik bagi mengalakkan perbahasan isu secara berhemah; sekaligus mematangkan proses politik di negara ini. Siri pertama kajian ini memaparkan pandangan 1,383 responden berbangsa Melayu dalam soal kepimpinan negara dan politik Malaysia dari sejumlah 1,483 responden berbilang bangsa. Kajian itu juga mendapati hanya 28 peratus responden berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinet secara keseluruhannya manakala hanya 36.4 peratus berpuas hati dengan cara mereka menguruskan isu dalam negara. Dalam kajian pendapat awam tersebut, sejumlah besar responden iaitu 42.8 peratus tidak berpuas hati dengan cara anggota Kabinet menguruskan isu dalam negara manakala 20.8 peratus lagi tidak pasti mengenai hal itu. Menurut laman web tersebut, antara yang dipertikaikan ialah perlantikan Senator sebagai Menteri dan parti komponen Barisan Nasional yang kalah diberikan tempat yang banyak dalam Kabinet. Selain itu percanggahan keputusan antara seorang Menteri dan seorang Menteri yang lain seperti pengumuman pemindahan Parlimen ke Putrajaya, pembatalan keputusan kerajaan dalam isu kenaikan harga minyak, perbezaan pendapat antara Menteri dan Timbalan Menteri dalam isu isu Akta Universiti dan Kolej adalah antara perkara yang menjadi perhatian komuniti atas talian. Umno tidak berubah Sebanyak 43.7 peratus responden tidak bersetuju bahawa Umno telah berubah menjadi sebuah parti yang lebih baik selepas Pilihan Raya Umum ke-12 sementara 20.4 peratus lagi menjawab tidak pasti. Hanya 35.9 peratus sahaja responden bersetuju Umno telah berubah menjadi lebih baik. Bagaimanapun, ini tidak bermakna Pakatan Rakyat boleh berada dalam keadaan yang cukup selesa. Ini kerana hampir separuh iaitu 48.1 peratus responden tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa Pakatan Rakyat telah memenuhi harapan pengundi, manakala 27.9 peratus lagi merasa tidak pasti. Hanya 24.0 peratus responden sahaja yang setuju Pakatan Rakyat telah memenuhi harapan pengundi. Sebanyak 66.8 peratus responden berpendapat, Barisan Nasional akan kekal mentadbir Kerajaan Persekutuan, manakala 33.2 peratus responden lagi berpendapat Pakatan Rakyat akan menang dalam PRU-13. Keputusan kajian ini juga menunjukkan kerajaan mengawal dan mengongkong organisasi media utama di negara ini tanpa memberi ruang kepada kebebasan media menyebabkan rakyat memperolehi maklumat yang terhad. Sebahagian besar responden iaitu 86.0 peratus yang berpendapat BN akan membentuk kerajaan pada PRU-13, mendapat sumber utama dari akhbar (media cetak) dan radio serta tv (media penyiaran). Bagaimanapun, jawapan responden yang mengatakan sumber utama mereka ialah internet berpendapat Pakatan Rakyat akan membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-13 ialah sebanyak 48.3 peratus. Ini bermakna media maya akan menjadi lapangan pertarungan utama kepada parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Sumber: Suara Keadilan |
JPP Sahkan Kekecohan Oleh Bukan Anggota Parti Posted: 06 Oct 2010 01:35 AM PDT PETALING JAYA 6 Okt - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution hari ini menegaskan kekacauan dan gangguan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) dan Pemilihan peringkat cabang 2010 yang baru sahaja selesai dikenalpasti sebagai bukan anggota parti. "KEADILAN sememangnya memandang serius kes-kes kekecohan dan gangguan ini, terutamanya yang bersifat kekasaran terhadap pengawas dan petugas Pemilihan, wartawan dan anggota-anggota parti yang lain. "Selepas siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menerusi rakaman video yang diberikan, pihaknya mendapati kekecohan di Kuala Langat telah dicetuskan oleh seorang yang dikenali sebagai Abdul Razak Halidi, bekas anggota KEADILAN yang menyertai parti dari Umno dan kemudiannya mengisytihar keluar dari KEADILAN pada 5 Julai 2007. "Bagi insiden di Klang pula, salah seorang yang melakukakan kekecohan dan serangan terhadap kotak-kotak undi juga telah dikenalpasti sebagai bukan anggota sementara di Sabak Bernam pula, dua individu yang bertindak kasar dan mencetuskan ketegangan juga dikenalpasti bukan anggota parti selepas semakan daftar keanggotaan parti dibuat. Sehubungan itu, Saifuddin berkata KEADILAN telah membuat laporan polis dan berharap supaya pihak polis dapat menyegerakan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu tersebut. KEADILAN juga katanya merakamkan kekesalan, serta kemaafan kepada anggota media dari akhbar Sinar Harian dan Kosmo di samping akan memastikan perkara seperti itu tidak berulang. Walaupun sedemikian, daripada 204 cabang-cabang KEADILAN yang layak mengadakan MATC dan pemilihan, sebanyak 145 telah memperlihatkan pertandingan di pelbagai peringkat. "Hanya 9 daripada jumlah itu tidak dapat menyempurnakan proses pemilihan cabang sepenuhnya manakala 136 cabang lain berjaya melaksanakan MATC dan pemilihan (dengan pertandingan - kebanyakkannya sengit dan berpenjuru) dengan baik, teratur dan sempurna. Sementara, 59 cabang pula tidak ada sebarang pertandingan. "JPP akan memaklumkan kepada 9 cabang ini tarikh baru bagi mereka mengadakan semula pemilihan peringkat cabang," ujar beliau. Apa yang dikesalkan ujarnya, dalam pada 145 cabang yang berjaya mengadakan proses pemilihan, media milik Umno-Barisan Nasional hanya tertumpu kepada insiden-insiden kekecohan yang berlaku di 4 cabang sahaja iaitu di Kuala Langat, Kapar, Klang dan Sabak Bernam. Sumber: Suara Keadilan |
PRK DUN Galas 4 Nov, Penamaan Calon 26 Okt Posted: 06 Oct 2010 01:30 AM PDT PUTRAJAYA 6 Okt - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 4 Nov sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Okt. Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 Sept lepas berhubung kekosongan kerusi DUN N.45 Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept. "Berikutan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini. Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas. Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos. Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27). Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi. Sumber: Suara Keadilan |
Majalah Economist Jangka Muhyiddin Lawan Najib Untuk Jawatan Presiden Umno Posted: 06 Oct 2010 01:25 AM PDT SHAH ALAM 6 Okt - Laporan terkini Economist Intelligence Unit (EIU) menjangkakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mencabar bosnya, Datuk Seri Najib Razak untuk merampas kerusi Presiden Umno pada pemilihan parti itu tahun depan dan senario ini akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik di Malaysia. "Umno dilihat lebih cenderung kepada pertarungan dalam merebut jawatan tertinggi parti itu tanpa menghiraukan kepentingan parti lain dalam komponen Barisan Nasional dan ini bakal berlaku ketika kedudukan kuasa BN mula terancam. "Dalam situasi begini, pergolakan politik akan menjadi halangan terbesar untuk mereformasikan ekonomi. Usaha memperlecehkan kredibiliti Perdana Menteri, Najib Razak sehingga pada satu tahap meletakkan beliau dalam risiko bagi menggantikannya sebagai Presiden Umno sekaligus mengambilalih tampuk pemerintahan," kata EIU dalam laporan terbaru mereka. Ia ternyata jelas apabila Muhyiddin tidak pernah benar-benar menyokong mana-mana dasar Najib semenjak hari pertama beliau memegang jawatan Perdana Menteri walaupun mereka berdua dilihat berkempen sebagai satu pasukan semasa pemilihan Umno 2009. Pada ketika itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendahului pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden mengumumkan berundur diri daripada pertandingan itu bagi memberi laluan kepada Muhyiddin, yang mendapat sokongan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini, Muhyiddin dan Dr Mahathir telah bersatu tenaga dengan pertubuhan ultra Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan gandingan ini dilihat mempunyai kuasa yang lebih besar di dalam Umno berbanding Najib. Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Senator Dr Syed Husin Ali dalam reaksinya menyifatkan perkara itu sebagai perkembangan terbaru yang menarik apabila Dr Mahathir mula menyalahkan barisan kepimpinan Najib sebagai punca utama 'Wawasan 2020' yang diasaskannya sukar dicapai. "Nampaknya, Dr Mahathir mula mengkritik dan menyindir kepimpinan Najib sementara Najib yang terdesak mula menyalahkan mentornya dan Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca sehingga menyebabkan parti itu terjerumus di dalam masalah yang lebih besar. "Ini semuanya menunjukkan perkembangan politik yang semakin menarik dan wajar diikuti," ujar beliau melalui twitternya. Sumber: Suara Keadilan |
Polis Cuba Perangkap Ean Yong dan Nie Ching Posted: 06 Oct 2010 01:20 AM PDT KAJANG 6 Okt - Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mendakwa polis cuba memerangkapnya dengan mengajukan soalan yang tiada kaitan dengan siasatan terhadap dirinya tetapi mengalih perhatian kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Kembangan, Ean Yong Hian Wah. Nie Ching berkata kebanyakan soalan tertumpu kepada kenyataan Ean Yong dalam sebuah portal berita di mana beliau meminta Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyiasat terlebih dahulu sebelum mengenakan tindakan ke atas surau dan ahli jawatankuasa surau yang dilawati oleh rakannya tidak lama dahulu. "Kami dipanggil untuk memberi keterangan kerana terdapat laporan polis daripada pihak Umno terhadap kami, tetapi apa yang menghairankan pihak polis tidak bertanyakan berkenaan insiden yang berlaku kepada saya tetapi lebih menekankan mengenai kenyataan media Ean Yong," jelas Teo kepada media selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Kajang Sabtu lalu. antara lain kata beliau, polis bertanyakan pandangan beliau mengenai tindakan Mais terhadap surau berkenaan. "Bagaimana saya patut menjawab soalan tersebut? Kalau saya bersetuju, itu menunjukkan saya tidak prihatin terhadap kebajikan masyarakat kawasan saya dan sebaliknya jika saya tidak bersetuju, itu menunjukkan seolah-olah saya menderhaka terhadap Sultan kerana membangkang titah baginda," tegas Nie Ching lagi. Beliau seterusnya menjelaskan pegawai penyiasat yang mengambil keterangan beliau juga bertanyakan samada beliau sedar atau tidak tindakannya telah membawa ketidakharmonian di dalam masyarakat dan menyebabkan rasa tidak puashati di kalangan masyarakat Islam. "ASP Badrul tidak sepatutnya bertanyakan soalan seperti itu kerana itu seperti menekan saya untuk menerima dakwaan-dakwaan tersebut sebagai benar. "Beliau juga tidak mahu nyatakan samada saya disiasat ataupun di bawah seksyen mana saya disiasat. Jawapan yang saya terima hanyalah 'bagi membantu siasatan'," kata Teo yang jelas tidak berpuashati terhadap tindakan polis. Sebelum ini, isu Nie Ching memasuki ruang solat sebuah surau, digembar-gembur media arus perdana tetapi tidak pula dilaporkan berita mengenai tindakan sama yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan. Ean Yong pula memberitahu terdapat dua anggota Cawangan Khas (SB) yang turut bersama semasa keterangan beliau diambil. "Saya telah beberapa kali diambil keterangan tetapi ini kali pertama dua anggota SB turut serta dan saya berasa sangsi terhadap tujuan sebenar kehadiran mereka semasa keterangan saya diambil," kata Ean Yong. Beliau berpendapat kehadiran anggota SB berkemungkinan kerana laporan terhadapnya lebih berbaur politik kotor dan bukan kepentingan awam. Nie Ching dan Ean Yong ditemani Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang hadir untuk memberikan nasihat perundangan dan sokongan moral. Sumber: Suara Keadilan |
Tindakan Perkasa Cari Gaduh Dengan Namawee Kebudak-budakan Posted: 06 Oct 2010 01:15 AM PDT SHAH ALAM 6 Okt - Tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dilihat seperti kebudak-budakan apabila berdemonstrasi semasa Namawee melancarkan album terbarunya tetapi pada masa yang sama membisu apabila diajak berbincang mengenai isu perpaduan Melayu. Sumber: Suara Keadilan |
Pindaan Akta Pekerjaan Menindas Golongan Pekerja Posted: 06 Oct 2010 01:10 AM PDT KUALA LUMPUR 6 Okt - Beberapa badan swadaya (NGO) menyuarakab bantahan keras terhadap langkah Kementerian Sumber Manusia berhubung cadangan pindaan Akta Kerja yang bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen Oktober minggu depan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan menghapuskan kesemua pindaan akta yang melibatkan kepentingan pekerja kerana ia didakwa lebih drakonian sehingga menyebabkan hak-hak sediada pekerja terhakis. Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan mendakwa cadangan pindaan Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 semata-mata memberi kelebihan kepada pihak majikan sementara hak golongan pekerja terus dinafikan. "Ini merupakan satu pindaan yang kejam dan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) mengatakan ini adalah pindan yang paling teruk dalam masa 40 tahun. "Pindaan ini akan menyebabkan hak pekerja tergadai dan pekerja akan mengalami kehilangan perlindungan sosial yang amat serius. "Kesannya mengakibatkan rakyat (golongan pekerja) menderita kerana hak mereka akan ditarik balik," katanya dalam sidang media di pejabat Majlis Peguam Jumaat lalu. PSM sebaliknya mendesak kerajaan sekali lagi supaya memperkenalkan Akta Gaji Minima. "Baru-baru ini kerajaan mengatakan akan menggubal Akta Gaji Minima. Setakat ini apa yang kerajaan lakukan sehingga memakan masa begitu lama untuk memenuhi tuntutan gaji minima, sepatutnya ini yang perlu diutamakan," tegas beliau. Arutchelvan mendakwa cadangan pindaan itu dibuat tanpa mengambil kira pandangan daripada MTUC dan NGO terbabit. "Kami harap Perdana Menteri tidak membentangkan untuk bacaan kali kedua cadangan akta ini di dalam Parlimen akan datang," katanya. Menurut wakil Gabungan Membantah Akta Pekerjaan, S Parameswari, antara cadangan pindaan yang harus ditolak termasuk Seksyen 19 Akta Pekerjaan 1955 yang didakwa akan membenarkan majikan melewatkan pembayaran gaji kerja lebih masa sehingga tempoh 30 hari. "Sekarang ini, gaji lebih masa dibayar dalam tempoh tujuh hari. Kebanyakan pekerja di Malaysia bergantung kepada gaji itu supaya tanggungan mencukupi," jelas beliau. Manakala, dalam pindaan kepada Seksyen 60A akta yang sama pula didakwa membenarkan majikan menentukan waktu bekerja yang tidak munasabah apabila pekerja boleh memulakan tugas seawal jam 5 pagi. Bagi Akta Kerja 1955 pula, salah satu pindaan yang akan dicadangkan adalah menggalakkan sub-kontraktor. "Sebelum ini seseorang pekerja akan membuat permohonan pekerjaan terus melalui syarikat yang dipohon, tetapi menerusi pindaan ini, mana-mana individu yang mahu membuat permohonan pekerjaan hendaklah mengemukakannya kepada kontraktor. "Implikasinya tidak ada hubungan terus di antara pekerja dan majikan sebaliknya terus melalui kontraktor terbabit begitu juga dengan pekerja asing," jelas Parameswari. Wakil Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Wong Swee Nee berkata pindaan tersebut akan memberi kesan negatif kepada golongan muda yang bakal memasuki alam pekerjaan. Ini kerana cadangan pindaan Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 bermakna seseorang pekerja boleh dipecat dengan senang dan tiada pembelaan yang sewajarnya terhadap mereka. Katanya, kebanyakan golongan muda dan pelajar yang baru tamat pengajian biasanya akan diletakkan di dalam tempoh percubaan untuk dinilai oleh majikan. Sebelum ini pekerja yang diberhentikan dalam tempoh percubaan boleh mendapat ganti rugi sehingga setahun. Namun cadangan pindaan yang dikemukakan dalam akta tersebut menyebabkan pekerja yang dalam tempoh percubaan tidak lagi boleh menuntut pengembalian pekerjaan di bawah akta ini. "Malah mereka tidak boleh memfailkan kes ini untuk menuntut sebarang keadilan. Situasi ini gagal memberi sebarang perlindungan undang-undang ke atas pekerja khususnya golongan pekerja muda dan pelajar. "Dalam usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Program Transformasi Ekonomi untuk menjana ekonomi demi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ini akan menghasilkan 3.3 juta peluang pekerjaan dalam 10 tahun akan datang. "Dengan peluang pekerjaan yang banyak, jika tanpa sebarang perlindungan undang-undang untuk pekerja, mak ini tidak akan membawa sebarang makna kepada golongan pekerja yang merupakan tulang belakang ekonomi negara," kata Swee Nee. Justeru, Dema menyeru Menteri Sumber Manusia menghentikan segala pindaan undang-undang buruh yang mendiskriminasikan golongan pekerja. Selain itu, Dema juga menyeru agar Akta Gaji Minima digubal untuk melindungi hak pekerja di negara ini. Manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) pula turut mendesak kerajaan untuk menghentikan segala bentuk penindasan terhadap kaum pekerja dengan penggubalan pindaan kepada akta pekerja. Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Zulkarnain Abdullah berkata PRM menentang segala rampasan hak rakyat dan pekerja di negara ini. "Hentikan semua pindaan terhadap undang-undang buruh yang menambahburukkan kedudukan golongan pekerja. PRM menentang segala rampasan hak rakyat jelata yang kian bertambah dengan cubaan menggubal undang-undang buruh yang senantiasa berpihak kepada kaum majikan dan kapitalis," kata beliau. Sehubungan itu, PRM menegaskan pindaan itu akan memburukkan lagi hak rakyat dan pekerja di negara ini. "Pindaan undang-undang ini juga bukan sahaja memberi kesan kepada pekerja-pekerja tempatan tetapi juga pekerja-pekerja asing," ujar Zulkarnain. Turut serta dalam sidang media itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor, Maria Chin Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Majlis Peguam, R Adindra Kumar. Sumber: Suara Keadilan |
Felda Penindas Bangsa Melayu Sebenarnya Posted: 06 Oct 2010 01:05 AM PDT KUALA LUMPUR 6 Okt - Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak), Salahuddin Ayub berkata keputusan mahkamah yang memihak kepada peneroka Lembaga Kenajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam perjuangan mereka menuntut wang daripada Tabung Tanam Semula menunjukkan agensi tersebut penindas Melayu sebenarnya. Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan minggu lalu yang mengarahkan Felda membayar RM23,800 seekar daripada Tabung Wang Tanam Semula kepada 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3, Salahuddin berkata ia adalah suatu kejayaan yang amat dinantikan warga Felda terbabit. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata keputusan mahkamah itu juga membuktikan sememangnya berlaku penyelewengan dan penipuan biarpun dinafikan berkali-kali pihak Felda terhadap peneroka yang rata-ratanya adalah orang Melayu. "Kemenangan peneroka Felda baru-baru ini memang menampakkan penyelewengan malah penipuan serta salah guna kuasa Felda ke atas peneroka. "Kalau benar Umno mengatakan bahawa mereka adalah pejuang Melayu, 99.9 peratus peneroka yang terbabit adalah peneroka Melayu," kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS baru-baru ini. Naib Presiden PAS Pusat itu juga menyifatkan tindakan Felda membohongi peneroka tidak ubah seperti 'bau busuk' yang sedang melanda agensi itu. "Inilah yang dikatakan oleh Shakespeare sebagai 'something is rotten in the state of Denmark' (ada sesuatu yang busuk di negara Denmark), ada sesuatu yang busuk di dalam Felda)," katanya. Beliau juga percaya Felda kini tidak senang duduk apabila satu demi satu penyelewengan terhadap peneroka mula terbongkar. "Isu Felda bukan lagi fitnah tetapi telah terbongkar satu demi satu. Ini merupakan isu pencabulan dan pelanggaran terhadap perjuangan Melayu," kata Salahuddin lagi. Sebelum ini, peneroka Felda juga berjaya dalam tuntutan mereka berhubung isu penggredan kelapa sawit apabila Mahkamah Persekutuan mengarahkan agensi itu menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan. Hadir sama pada sidang media itu termasuk Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Salahuddin merayu kepada Felda agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan sebaliknya membayar terus kepada peneroka demi menjaga kepentingan mereka sebagai bangsa Melayu yang ditindas. Sumber: Suara Keadilan |
PRK Galas: Umno Mahu Paksa Ku Li Tunjuk Kesetiaan Posted: 06 Oct 2010 01:00 AM PDT SHAH ALAM 6 Okt - PAS menyifatkan perlantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undang Negeri Galas sebagai kata dua kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti minyak kerajaan negeri PAS Kelantan disamping membuktikan kesetiaannya kepada Umno. Ketua Penerangannya, Idris Ahmad berkata langkah itu jelas menunjukkan tindakan terdesak Umno yang terpaksa bergantung kepada pengaruh Ku Li bagi merampas semula kerusi DUN tersebut walaupun tahu beliau tidak sealiran dengan pimpinan tertinggi Umno serta risiko terbesar yang perlu ditanggung Umno sepanjang kempen. "Sebelum ini di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS. "Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi pengarah pilihan raya DUN Galas kali iniwalaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dan Menteri yang banyak menafikan hak royalti Kelantan," kata Idris dalam satu kenyataan. Katanya lagi, DUN Galas terletak di dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu kuat Ku Li dan PRK yang bakal berlangsung bakal menjadi medan ujian buat Umno dan bekas tokoh veteran Umno itu sendiri. "Sebelum ini kerusi itu dikuasai Umno namun dalam pilihan raya umum yang lepas Allahyarham Chek Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. "Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat Umno-Barisan Nasional. "Bagi kita, perlantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihanvraya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas pilihan raya umum 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan kerajaan negeri Kelantan yang menuntut royalti minyak daripada kerajaan Umno-BN," jelas beliau lagi. Malahan kata Idris, Ku Li yang juga mantan pengerusi dan pengasas Petronas menawarkan diri untuk menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan kerajaan negeri Kelantan terhadap Petronas. Ku Li menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan Majlis Tertinggi Umno demi membela nasib rakyat. "Kita yakin, perlantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno. Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno. "Kita juga yakin, beliau tahu membuat keputusan dan dia tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan," terang Idris. Di samping itu katanya, PAS tidak ada masalah jika beliau menerima perlantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan. "Kita juga akan membangkitkan isu royalti minyak yang dinafikan oleh kerajaan Umno-BN dan rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan? Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti," ujar beliau. Sumber: Suara Keadilan |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan