Jumaat, 1 Oktober 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


CD Jatuhkan MB: Khalid Tidak Percaya...

Posted: 01 Oct 2010 01:45 AM PDT


SHAH ALAM, 1 OKT: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak percaya bahawa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mahu menjatuhkannya seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Ketika diminta mengulas pendedahan seorang bekas pemimpin PKR semalam mengenai perkara itu, beliau berkata : "Kita tidak boleh terima berita itu terutama tentang kesahihannya. Saya tidak percaya yang Azmin lakukan perkara itu."

Abdul Khalid berkata walaupun wujud banyak perbezaan pendapat dalam PKR, parti itu mencari jalan penyelesaian terbaik dengan cara yang tertib dan teratur melalui perbincangan oleh Biro Politik PKR.

Ketika diminta mengulas mengenai persediaan bagi pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang diketuainya pada Ahad ini selepas berlaku kekecohan pada pemilihan di beberapa cabang parti tersebut baru-baru ini, Abdul Khalid berkata beliau telah meminta pasukan sukarelawan dari cabang itu untuk membuat beberapapersediaan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.


Sumber: TVSelangor

CD Jatuhkan MB: Faekah Anggap Skrip Lapuk

Posted: 01 Oct 2010 01:40 AM PDT


SHAH ALAM 1 OKT: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan dakwaan pendedahan cakera padat (CD) konspirasi menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebagai amalan politik tidak matang.

Beliau menganggap pendedahan sedemikian adalah skrip lama bekas pemimpin yang meninggalkan PKR bagi meraih publisiti politik, selain menegaskan corak kepimpinan parti sentiasa terkedepan.

"Perjalanan cerita sebegini macam skrip 'orang berkasih-kasihan' seperti dalam skrip tahun 1998. Jadi kalau wujud skrip sama pada tahun 2010 untuk menjatuhkan seseorang, saya kira ia sudah lapuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas laporan yang didakwa pendedahan CD untuk menjatuhkan Khalid, kononnya melibatkan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan pendedahan perbualan telefon yang digembar-gemburkan bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ng Lum Yong dan tersiar dalam kebanyakan media arus perdana hari ini.

Mengikut laporan media, perbualan telefon selama 10 minit itu melibatkan Ramlan Abu Bakar yang kini mengaku sebagai Ketua Reformis Malaysia dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya.

Menyatakan perbualan telefon itu juga menimbulkan pelbagai keraguan, Faekah turut mempersoal kedudukan sebenar Ramlan dalam pertubuhan berkenaan.

"Pejabat SUK ada menerima memorandum daripada Persatuan Reformis menyatakan Ramlan bukan Presiden tetapi orang lain. Ini menimbulkan keraguan," katanya.

Mengenai dakwaan penglibatan Azmin, Faekah berkata, tiada sebab Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu mahu jatuhkan Khalid memandangkan kedudukan Azmin lebih tinggi.

"Tiada sebab Azmin mahu menjatuhkan Khalid kerana dalam hiraeki parti, Khalid tidak ada jawatan tertinggi - hanya Ahli Majlis Pimpinan Pusat sedangkan Azmin adalah Naib Presiden," katanya.

Beliau juga melihat dakwaan demikian bukan isu sebaliknya konspirasi yang menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.

"Apapun tujuannya hanya mahu menjadikan proses pemilihan ini sebagai sesuatu panas (kontroversi)," katanya yang menganggap konspirasi menjadi rencah dan asam garam ketika pemilihan parti rancak berjalan.


Sumber: TVSelangor

Muhyiddin Cadang Ku Li Tanding DUN Galas

Posted: 01 Oct 2010 01:35 AM PDT


PUTRAJAYA, 1 OKT : Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului ketuanya selaku Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak apabila mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon PilihanRaya Kecil (PRK) Galas.

Beliau menganggap Tengku Razaleigh adalah calon terbaik untuk merampas semula kerusi DUN Galas yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Che Hashim Sulaima i Isnin lalu.

"Saya tidak ragu-ragu bahawa Tengku Razaleigh adalah calon terbaik," kata Muhyiddin yang sedia 'berbincang' sama ada terdapat kemungkinan calon lain untuk diketengahkan.

Tengku Razaleigh dijangka kembali dari luar negera pada 9 Oktober.

Muhyiddin juga yakin pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah PRK Umno Barisan Nasional (BN) Bagi DUN Galas adalah langkah tepat untuk mengembalikan kerusi itu dari tangan Pas.

"Saya percaya langkah kami benar ... Tengku Razaleigh adalah pemimpin Umnoyang mempunyai banyak pengalaman dan pengaruh, "katanya percaya Tengku Razaleigh dipandang tinggi masyarakat Melayu, Cina dan India di sana.

Sumber: TVSelangor

Felda Didakwa Enggan Kembalikan RM8,500 Baki Caruman Tanam Semula Setiap Peneroka

Posted: 01 Oct 2010 01:30 AM PDT


KUALA LUMPUR 1 Okt - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa masih enggan sehingga kini menyerahkan Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 kepada setiap peneroka yang mengerjakan tanaman kelapa sawit secara persendirian meskipun telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak alasan Felda tidak menyerahkan kembali wang tanaman semula kerana mendakwa kira-kira 11,000 peneroka dikatakan tidak mematuhi garis panduan agensi itu

"Antara garis panduan itu ialah pokok tua yang berusia lapan tahun harus ditebang dan peneroka hendaklah tanam pokok yang baru. Mereka mematuhinya tetapi wang tanam semula itu tidak juga diberikan Felda," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS tengahari semalam.

Mazlan menjelaskan, sejak 1970, Felda telah menubuhkan Tabung Tanam Semula yang dikutip secara bulanan dari setiap peneroka.

Peneroka mencarum pada kadar RM3.34 seekar dari 1970 sehingga 1984 dan kemudian ia dinaikkan kepada RM4.00 seekar mulai Januari 1985 bagi membiayai perbelanjaan penanaman semula tanaman kelapa sawit.

"Sungguhpun jumlah caruman tersebut hanya kira-kira RM9,600 tetapi persetujuan Felda memperuntukkan sebanyak RM17,000 bagi setiap peneroka sebagai anggaran wajar kos penanaman semula," kata beliau.

Felda juga menurut beliau bertindak melampau dengan memotong RM8,500 daripada Tabung Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Felda mengemukakan pilihan bahawa daripada RM17,000 mereka memotong RM8,500 untuk digunakan bagi input pertanian seperti pembelian baja dan sebagainya dan bakinya dipulangkan kepada peneroka.

"Malangnya walaupun sebahagian peneroka akur dengan syarat yang dikenakan, Felda mungkir janji untuk mengembalikan baki separuh kepada peneroka. Maksudnya Felda juga gagal melunaskan baki wang penanaman semula dan saya ada bukti," jelas Mazlan.

Felda juga didakwa tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Mereka ajak kita berbincang dan bersetuju untuk membayar ansuran sebanyak tiga ataupun empat kali dan sampai masa, pakej yang dipersetujui itu juga tidak dihormati oleh Felda," ujar beliau

Mazlan berkata Felda juga telah sewenang-wenangnya membuat potongan baru bagi caruman Tanam Semula kali kedua antara RM114 sehingga RM119 setiap bulan walhal caruman yang lama belum dilangsaikan.

"Dalam keadaan Wang Tanam Semula sebanyak RM17,000 tidak dipulangkan, tiba-tiba Felda telah secara sewenang-wenangnya memberi borang untuk potongan kali kedua dan terus memotong sehingga tiga kali ganda dan ini merupakan satu tindakan yang amat melampau," tegas Mazlan.

Katanya, apabila peneroka membuat bantahan Felda bertindak dengan memulang semula potongan kali kedua itu hanya kepada mereka yang membantah sahaja tetapi tidak kepada peneroka yang berdiam diri," katanya.


Sumber: Suara Keadilan

Umno Jadikan Datuk Bandar KL Kuda Tunggangan

Posted: 01 Oct 2010 01:25 AM PDT


SHAH ALAM 1 Okt - Tindakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail yang secara terang-terangan membenarkan dirinya menjadi kuli kepada Umno amat dikesali sedangkan sebagai penjawat awam, beliau sepatutnya bebas dari kekangan atau pengaruh orang politik.

Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen berkata ini terbukti apabila Umno Bahagian Titiwangsa secara terang-terangan meletakan gambar wajah beliau dalam semua banner bagi program Rumah Terbuka Bahagian itu yang dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober ini.

"Apakah maksud gambar beliau diletakan dalam banner itu? selalunya gambar yang diletakan dalam mana-mana banner itu mempunyai kaitan terus dengan organisasi yang mengeluarkannya, sama ada dia sebagai pemimpin atau ahlinya.

"Program berkenaan adalah anjuran Umno Titiwangsa dan Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang," kata Herman.

Menurut Herman lagi, apa yang pasti, Ahmad Fuad bukanlah penghuni rumah PPR atau ahli jawatankuasa persatuan penduduk berkenaan.

Tidak ada keperluan gambar beliau diletakkan di situ walaupun PPR berkenaan di bawah pentadbiran DBKL melainkan beliau mempunyai kepentingan peribadi melibatkan Umno.

"Sebagai penjawat awam yang menjadi orang nombor satu dalam DBKL beliau sepatutnya bebas dari kekangan politik atau pengaruh orang politik walaupun yang menjadi Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar adalah orang kuat Umno Wilayah.

"Beliau gagal menunjukkan imej bebas dan melanggar peraturan penjawat awam yang tidak membenarkan pegawai dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk terlibat dalam politik kecuali bagi guru sekolah.

"Jika kerajaan mahu berlaku adil, peraturan yang melarang penjawat awam terlibat dengan politik ini perlulah dimansuhkan serta merta," tegas beliau.

Dalam pada itu, DPPWP katanya kesal kerana kerajaan membelakangkan peraturan yang mereka ciptakan dan pengharaman itu jelas terhad kepada penjawat awam yang menyokong Pakatan Rakyat dan sebaliknya mereka ini diberikan kebebasan politik yang mutlak.

"Kita berharap agar beliau sedar bahawa beliau seharusnya berkhidmat dengan adil bagi semua rakyat dan wajib memberikan kerjasama kepada semua ahli parlimen di Kuala Lumpur yang majoritinya adalah dari Pakatan Rakyat.

"Beliau seharusnya menghabiskan lebih banyak masa dengan wakil rakyat yang dipilih rakyat bukannya dengan Ketua-Ketua Bahagian Umno. Tambahnya lagi, jawatan Menteri Wilayah yang dilantik melalui 'pintu belakang' juga harus sedar bahawa jawatan yang dipegangnya itu adalah untuk berkhidmat bagi semua rakyat bukannya untuk kepentingan Umno sahaja.


Sumber: Suara Keadilan

Mahkamah Rayuan Putuskan Saman Berhubung PKFZ Dibicarakan

Posted: 01 Oct 2010 01:20 AM PDT


PUTRAJAYA 1 Okt - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan dua saman oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd berhunung pertikaian pembayaran sebanyak RM900 juta dibicarakan sepenuhnya.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang membenarkan permohonan rayuan LPK terhadap keputusan penangguhan Mahkamah Tinggi supaya kedua-dua belah pihak boleh menyelesaikan perbalahan mereka secara tertutup.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing memerintahkan Kuala Dimensi membayar kos sebanyak RM30,000 dan meminta saman itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dua lagi hakim yang turut membuat keputusan yang sama adalah Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad and Datuk Zaharah Ibrahim.

Susulan keputusan hari ini, kes tersebut akan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi di mana tarikh pendengaran semula kes akan ditentukan.

LPK telah mengemukakan empat saman terhadap Kuala Dimensi untuk memaksa kontraktor turnkey projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang itu mengembalikan bayaran yang dianggap berlebihan.


Sumber: Suara Keadilan

Kadar Keluar Mengundi Tinggi Punca Masalah Logistik

Posted: 01 Oct 2010 01:15 AM PDT


SHAH ALAM 1 Okt - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berkata masalah logistik yang dihadapi oleh beberapa cabang semasa proses pemilihan hujung minggu lalu disebabkan tahap kehadiran pengundi yang tinggi.

Ini ditambah pula dengan sesetengah ahli yang tidak begitu faham dengan sistem baru pengundian yang dilaksanakan melalui kaedah 'satu ahli satu undi'.

"Berbeza dengan pilihan raya umum di mana seorang pengundi hanya diperlukan memilih setakat dua calon atau kebiasaannya hanya satu logo. Di dalam pemilihan KEADILAN, seroang pengundi perlu memilih sehingga 46 calon.

"Oleh itu proses sebenar memangkah dan membuang kertas undi di dalam peti undi memakan lebih banyak masa berbanding PRU. Apabila seseorang pengundi itu buta huruf pula ini menambah kepada cabaran yang dihadapi," kata Pengerusi JPP, Dr Molly Cheah dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Molly berkata pemilihan pada peringkat cabang melibatkan pengundian bagi jawatan-jawatan di dalam Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa Wanita Cabang dan Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.

Ini bermakna sekiranya ada pertandingan sebanyak 46 jawatan akan menjadi rebutan iaitu:

a. Jawatankuasa Cabang – Ketua Cabang (1), Timbalan Ketua Cabang (1), Naib Ketua Cabang (1) and Ahli Jawatankuasa Cabang (15);

b. Jawatankuasa Wanita Cabang – Ketua Wanita Cabang (1), Timbalan Ketua Wanita Cabang (1), Naib Ketua Wanita Cabang (1) and Ahli Jawatankuasa Wanita Cabang (7); dan

c. Jawatankuasa AMK Cabang – Ketua AMK (1), Timbalan Ketua AMK (1), Naib Ketua AMK (1) and Ahli Jawatankuasa AMK Cabang (15).

Beliau menambah pusingan ketiga dan terakhir Mesyuarat Agung Tahunan serta pemilihan peringkat cabang akan berlangsung pada 2 dan 3 Oktober ini membabitkan 38 cabang dengan 23 cabang berlakunya pertandingan iaitu di Selangor (14); Sarawak(4); Johore (2); Sabah (1); Kedah (1) dan Pulau Pinang (1).

"JPP mengambil perhatian terhadap semua isu berbangkit dan mengambil langkah bagi memastikan pengundian berjalan lancar dan teratur.

"Kami menyeru semua calon dan penyandang jawatan supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Sekretariat KEADILAN serta petugas," kata beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Salahuddin Desak Perbicaraan Fitnah II Telus, Adil

Posted: 01 Oct 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 1 Okt - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mahu keadilan diberikan sepenuhnya di dalam kes perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap beliau ada 'tangan ghaib' di sebalik konspirasi terancang ini.

Beliau berkata, setiap aspek perundangan yang dihadapi Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu hendaklah melalui perbicaraan yang adil dan telus kerana menurutnya sebelum ini terdapat bukti-bukti apabila berlaku kes seumpama ini di luar negara, maka ia telah lama digugurkan.

"Saya mahu supaya setiap aspek perundangan yang dihadapi Datuk Seri Anwar mesti melalui perbicaraan yang adil kerana sebelum ini telah dapat bukti-bukti yang kalau berlaku di negara lain, kes ini telah lama dibuang tetapi masih lagi kelihatan seperti ada pihak-pihak tertentu yang di belakang tabir kepada kes ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata berikutan terdapatnya campur tangan pihak tidak bertanggungjawab di dalam kes ini telah menyebabkan imej negara tercemar.

"Ini yang dilihat oleh masyarakat antarabangsa mungkin satu campur tangan iaitu campur 'tangan ghaib' di mana ada konspirasi terancang untuk kes Datuk Seri Anwar ini yang memalukan kita di luar negara.

"Sehubungan itu, beliau menggesa perbicaraan kes Fitnah II perlu dijalankan berlandaskan kepada semangat keluhuran, kedaulatan undang-undang dan ketelusan.

"Jadi saya menekankan kes ini perlu ditangani dengan satu perbicaraan yang adil dan mengikut kepada semangat keluhuran dan kedaulatan undang-undang dan diadakan secara telus untuk kita memulihkan imej negara.

"Untuk itu, keadilan harus diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kes ini," katanya.

Anwar menghadapi tuduhan liwat oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan perbicaraan beliau yang penuh dengan kontroversi dijangka bersambung pada 14 Oktober depan.


Sumber: Suara Keadilan

Pak Kudus, Pengasas KEADILAN Meninggal Dunia

Posted: 01 Oct 2010 01:05 AM PDT


KUALA LUMPUR 1 Okt - Salah seorang pengasas Parti Keadilan Rakyat yang gigih dan komited, Abdul Kudus Omar meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat serangan jantung hari ini.

Beliau meninggal dunia kira-kira pukul 11.40 pagi tadi di Institut Jantung Negara setelah dimasukkan ke Unit Penjagaan Intensif (ICU) sejak meinggu lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Kudus pernah memegang jawatan Ketua Cabang Tanjung Karang sebelum memberi laluan pada pemilihan kali ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pemergian Pak Kudus sebagai satu kehilangan besar keluarga KEADILAN.

"Pak Kudus salah seorang pengasas yang menentang arus semasa tercetusnya reformasi. Beliau sanggup berceramah di tengah-tengah sawah atas lori.

"Saya tidak akan lupa pengalaman dengan Pak Kudus dengan senikata lagu 'Suci Dalam Debu -

Suatu hari nanti pastikan bercahaya,

Pintu akan terbuka kita langkah bersama,

Di situ kita lihat bersinarlah hakikat,

Hina jadi mulia, debu jadi permata.

"Beliau berani dengan penuh hikmah dan komitmen sehingga akhir hayat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi berkata parti kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dan ikhlas kepada perjuanhgan parti sejak bermulanya era reformasi.

"Angkatan Muda amat merasakan kehilangan beliau. Saya menyeru ahli parti terutamanya yang baru menyertai KEADILAN supaya mencontohi semangat dan jiwa besar Pak Kudus dalam perjuangannya menegakkan keadilan di negara ini sejak awal lagi.

"Beliau boleh dikatakan sebagai salah satu butir mutiara dalam KEADILAN yang telah berjuang dengan penuh keikhlasan dan komitmen kepada nilai-nilai perjuangan," kata Shamsul.

Pak Kudus sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan adalah Pegawai Penyiasat Cawangan Khas yang pernah bertanggungjawab menyoalsiasat Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketia beliau ditangkap pada awal tahun 1970an berhubung demonstrasi pelajar di Baling.

"Anwar Ibrahim seorang manusia hebat dan berjiwa besar. Sepanjang yang saya kenalinya, beliau adalah seorang insan yang amat konsisten dengan pendirian dan keyakianan perjuangannya," kata Pak Kudus kepad Suara Keadilan dalam satu temuramah semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Jenazah beliau akan dibawa ke Masjid Kampung Parit Serong, Tanjung Karang dan akan dikebumikan selepas sembahyang Asar.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan golongan soliheen dan muttaqeeen.

Al-Fatihah.


Sumber: Suara Keadilan

Kepincangan Melayu Berpunca Dari Zaman Mahathir

Posted: 01 Oct 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 1 Okt - Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata kepincangan yang ditanggung oleh bangsa Melayu kini adalah akibat kesan daripada dasar pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun yang mengangkat budaya kronisme dan nepotisme.

Akhirnya kata Saifuddin, Dr Mahathir dan Umno telah menjahanamkan nasib dan masa depan orang Melayu serta kesucian agama Islam.

"Yang jahanamkan orang Melayu bukannya orang Cina yang namanya Kit Siang, yang menjahanamkan agama kita bukannya Melayu, bukan Cina yang namanya Guan Eng, Karpal Singh, Sivarasa atau pun Tian Chua.

"Dalil yang pertama, apakah betul Umno jaga agama? Orang Melayu di negara kita ini agamanya Islam. Berita yang terbaru tetapi dilaporkan akhbar antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu meluluskan lesen judi kasino di Sabah.

"Baru-baru ini kita lawan dia nak bagi lesen bola sepak kepada Tan Sri Vincent Tan. Bukan Najib bagi tapi Mahathir bagi. Dua tiga minggu sebelum Mahathir berhenti dia bagi lesen judi tersebut," jelas beliau.

Beliau berucap pada ceramah umum di Kedai Buluh, Marang, Jumaat lalu ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengugut kononnya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum akan datang

Menurut Saifuddin, selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri, Vincent Tan telah datang berjumpa dengan beliau meminta lesen judi kerana Dr Mahathir telah memberikan kelulusan untuk lesen judi bola sepak tetapi ditolak kerana takut akan dipersoalkan oleh PAS.

Katanya lagi, perkara itu didedahkan dalam sebuah buku oleh seorang penulis dari Singapura yang mempunyai pengalaman 25 tahun mengikuti perkembangan politik di Malaysia khususnya Umno.

"Ketika buku itu pada mula diterbitkan, Umno tidak benarkan buku itu dijual di Malaysia. Hari ini pula, seorang pelukis kartun, Zunar pula ditangkap kerana ingin melancarkan buku kartunnya. Dia kena tangkap, bukunya kena rampas. Kartun pun Umno takut sekarang ini," ujar beliau.

Beliau menegaskan Umno yang beria-ia ingin meluluskan lesen judi bermula zaman Dr Mahathir, kini diteruskan pula di zaman Datuk Seri Najib Razak.

Justeru itu katanya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencabar Najib supaya berterus terang menyatakan pendiriannya berhubung isu lesen judi yang mahu diluluskan sedangkan dalam Islam hukumnya jelas haram.


Sumber: Suara Keadilan

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...



My ωeblog; payday loan online
My homepage payday loan online

Tanpa Nama berkata...



Ηerе is my ѕite ... payday loans
My web page: payday loans