Khamis, 28 Oktober 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Laporan Ketua Audit Negara, Pakatan Rakyat Melaka kena agresif

Posted: 28 Oct 2010 01:50 AM PDT

Banyak kelemahan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk negeri Melaka tahun 2009. Ianya merangkumi Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Kerja Raya Negeri , Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Agama Islam Melaka, Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd. dan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd.

Pakatan Rakyat di Melaka terutamanya PAS dan PKR perlu hadam isi kandungan Laporan Ketua Audit Negara ini dan desak kerajaan negeri beri penjelasan serta tindakan susulan untuk mengatasinya. Kalau perlu buat laporan SPRM dan laporan polis, silakan.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA
NEGERI MELAKA TAHUN 2009

BAHAGIAN I - AKTIVITI JABATAN/AGENSI


1. Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Kerja Raya Negeri – Pengurusan Kenderaan Jabatan

Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) telah membelanjakan sejumlah RM2.47 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk perolehan 17 buah kenderaan baru. Manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam tempoh yang sama telah membelanjakan sejumlah RM2.29 juta untuk perolehan 20 buah kenderaan baru. Secara keseluruhannya pengurusan kenderaan JKMM adalah tidak memuaskan kerana terdapat kelemahan yang telah mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan pembaziran wang awam. Kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kad inden minyak yang tidak dipantau sehingga menyebabkan berlakunya pengisian minyak dalam tempoh yang singkat. Kos penyenggaraan kenderaan yang tinggi melebihi harga perolehan kenderaan antara 143% hingga 281% dalam tempoh lima tahun dari tarikh perolehan. Selain itu berlakunya pembaziran pembelian Sistem Pengesanan Automatik Kenderaan (AVLS) sejumlah RM96,350 yang tidak digunakan. Pengurusan kenderaan di JKR adalah memuaskan kecuali kelewatan tindakan pelupusan bagi membolehkan penggantian kenderaan baru.


2. Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Pejabat Daerah Dan Tanah Alor Gajah,

Jabatan Pengairan Dan Saliran dan Jabatan Alam Sekitar - Pengurusan Aktiviti Perlombongan Dan Pengambilan Pasir Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar Projek mendalam dan melebar Sungai Batang Tampin, Mukim Pulau Sebang, Daerah Alor Gajah adalah merupakan projek yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penswastaan Negeri Melaka pada bulan April 2008. Projek bernilai RM12.75 juta ini telah diberikan kepada sebuah Syarikat untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun meliputi kawasan sungai sepanjang 13.35 kilometer dari Pengkalan ke Pulau Sebang. Sebagai balasan Syarikat dibenarkan mengambil pasir yang dikeluarkan selain perlu membina tebing, landskap dan penanda aras sungai. Secara keseluruhannya pengurusan projek ini adalah tidak memuaskan kerana mengakibatkan gangguan kestabilan tebing dan rejim sungai serta menjejaskan kualiti air sungai. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah kelewatan penyediaan dokumen perjanjian, ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekitar mengenai syarat pengeluaran pasir oleh Syarikat dan kegagalan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil tindakan terhadap Syarikat kerana tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pengurusan dokumen perjanjian adalah tidak memuaskan kerana lewat disediakan sehingga Syarikat dibiarkan beroperasi selama lapan bulan tanpa perjanjian. Jabatan yang mewakili Kerajaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian manakala spesifikasi projek tidak disediakan oleh Syarikat yang telah menjejaskan kelancaran projek. Syarat JPS mengenai penyediaan Kajian Hidraulik dan Hidrologi sebelum pasir sungai dikeluarkan juga tidak dipatuhi oleh Syarikat. Pelebaran sungai dan kecerunan tebing sungai telah melebihi keluasan yang ditetapkan oleh JPS.


3. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah - Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Perkhidmatan pengurusan sisa pepejal bagi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah diswastakan kepada Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) pada akhir bulan Disember 1998 dengan objektif untuk meningkatkan kecekapan kerja pembersihan dan pelupusan sisa pepejal selaras dengan pembangunan yang pesat. Kawasan seluas 25.56 hektar di Mukim Krubong telah diperuntukkan bagi kerja pelupusan sampah di kawasan pentadbiran MBMB. Kontrak pelupusan sisa pepejal MBMB dengan SWM melibatkan kos sejumlah RM68.61 juta bagi tempoh tiga tahun iaitu dari tahun 2007 hingga 2009. Pada keseluruhannya pengurusan sisa pepejal bagi MBMB boleh dipertingkatkan tetapi pengurusan tapak sisa pepejal adalah tidak memuaskan. Antara kelemahan yang ditemui ialah di peringkat pengurusan kutipan sisa pepejal, pengurusan tapak pelupusan dan penyediaan laporan yang tidak mengikut keperluan Jabatan Alam Sekitar. Jumlah tong sisa pepejal yang dibekalkan tidak menepati bilangan yang ditetapkan. Ketiadaan prosedur dan pemantauan oleh MBMB terhadap tapak pelupusan telah menyebabkan tapak ini tidak disediakan benteng dan longkang bagi menghalang air larutan resap dari keluar ke sungai berhampiran dan tiada proses rawatan air larutan resap dilakukan. Washing bay yang disediakan tidak digunakan dengan sebaiknya serta pengambusan tanah yang tidak secara menyeluruh telah menyebabkan pencemaran bau.


4. Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin – Pengurusan Pelesenan Premis Perniagaan, Penjaja, Pasar Malam Dan Gerai Majlis

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah meletakkan tanggungjawab pengurusan pelesenan perniagaan, penjaja, pasar malam dan gerai Majlis di bawah pentadbiran Jabatan Pelesenan dan Kesihatan manakala Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di bawah pentadbiran Jabatan Kawalan Perniagaan Dan Perkhidmatan Bandar. Bagi tahun 2006 hingga 2008 hasil lesen yang dikutip oleh MPAG sejumlah RM3.40 juta manakala MPJ pula RM1.82 juta. Peningkatan hasil lesen bagi MPAG dan MPJ setiap tahun bagi tempoh 2006 hingga 2008 adalah kurang dari 8%. Secara keseluruhannya pengurusan lesen di kedua-dua Majlis adalah memuaskan. Antara kelemahan dalam pengurusan lesen ialah pelaksanaan tidak menyeluruh ke atas undang-undang kecil yang diwartakan, premis yang didirikan tidak mempunyai penyewa, premis beroperasi tanpa lesen dan kompaun yang dikeluarkan tidak diambil tindakan susulan. Di MPAG, pelesenan yang telah diwartakan sejak sembilan tahun lalu masih belum dikuatkuasakan lagi kerana tidak diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menjaga kepentingan orang awam. Sementara perubahan kadar lesen tanpa pewartaan memberi kesan kepada orang awam yang mana telah membayar lesen melebihi kadar yang boleh dikuatkuasakan. Di MPAG dan MPJ terdapat kes premis perniagaan tanpa penyewa sehingga terbiar kosong dan tidak diselenggarakan dalam tempoh yang lama. Di MPAG terdapat rumah tumpangan tidak berlesen disebabkan tidak mempunyai pelan bangunan yang sah. Rumah tumpangan yang beroperasi tanpa lesen boleh memberi kesan kepada penyewa sekiranya berlaku kemalangan di premis tersebut. Di MPJ, lombong pasir telah beroperasi sebelum pengeluaran lesen kerana tiada koordinasi oleh Pejabat Daerah Dan Tanah yang mengeluarkan permit bahan batuan. Sementara larangan menjual barangan haram seperti CD/VCD/DVD cetak rompak tidak dimasukkan dalam syarat pengeluaran lesen bagi tujuan penguatkuasaan.


5. Majlis Agama Islam Melaka – Pengurusan Hartanah Majlis Agama Islam Melaka

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menetapkan objektif untuk memastikan semua harta wakaf dan baitulmal diletak hak di atas nama MAIM selaras dengan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 77 dan 78 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) Tahun 2002. Pada keseluruhannya pengurusan hartanah MAIM adalah kurang memuaskan kerana telah mengakibatkan kerugian kepada MAIM dan kaedah pengurusan hartanah yang tidak teratur. Kelemahan yang diperhatikan ialah pembangunan tanah oleh MAIM yang dijalankan secara usaha sama, projek pengubahsuaian Kompleks Perniagaan Al-Azim, kaedah pelaksanaan pengurusan hartanah, penyelenggaraan rekod hartanah dan pemantauan hartanah MAIM. Projek pembangunan secara usaha sama dengan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) telah gagal kerana RMSB telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks MAIM sehingga tamat tempoh perjanjian pada bulan Jun 2004. Kegagalan penguatkuasaan perjanjian projek usaha sama ini telah mengakibatkan MAIM mendahulukan wang zakat sejumlah RM13.85 juta untuk pembangunan Kompleks MAIM. Juga berlaku kecuaian oleh pihak MAIM yang mengakibatkan tanah milik MAIM terjual kepada pihak ketiga oleh RMSB walaupun pada ketika itu perjanjian usaha sama telah dibatalkan. Manakala, kos projek pengubahsuaian Pejabat Jabatan Agama Islam Melaka telah ditanggung oleh MAIM melalui pendahuluan dari peruntukan Baitulmal berjumlah RM1.80 juta. Pemantauan yang tidak berkala dan berterusan oleh pihak MAIM telah mengakibatkan berlakunya kelewatan pendaftaran tanah wakaf, pencerobohan tanah baitulmal dan lokasi tanah wakaf tidak dapat dikesan.


BAHAGIAN II – PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI


6. Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd.

Melaka International Trade Centre Sdn. Bhd. (MITC) adalah merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dengan modal berbayar sejumlah RM1 juta dan telah beroperasi mulai tahun 2003. Objektif MITC adalah untuk menyediakan tempat persidangan, konvensyen, tempat perniagaan dan pameran yang terbesar di Melaka. Aktiviti yang telah dijalankan di MITC adalah pameran pengguna, pusat pelancongan antarabangsa, persidangan raja-raja, pameran pelaburan antarabangsa, pusat seminar dan konvensyen. MITC mengalami kerugian bersih bagi dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2007 dan 2008 manakala tahun 2009 MITC telah memperoleh keuntungan. Pada keseluruhannya, pengurusan MITC adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya ialah ketidakupayaan kewangan MITC dalam membuat pembayaran mengikut jadual sehingga menyebabkan pinjaman, pendahuluan dan sewa tertunggak dengan PKNM. Setakat Januari 2009, MITC hanya mampu menjelaskan hutang sejumlah RM0.17 juta kepada PKNM dan mempunyai baki RM6.99 juta lagi yang perlu dijelaskan. Walaupun MITC ipertanggungjawabkan untuk membuat kerja penyenggaraan kecil ke atas bangunan, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana masalah kewangan yang serius. Sistem kamera litar tertutup tidak berfungsi kerana ia melibatkan kos yang tinggi kepada MITC. Pembayaran bonus dibuat walaupun MITC mengalami kerugian serta tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.


7. Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd.

Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. (PSHM) dimiliki oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan pegangan saham berjumlah RM18.68 juta (70.5%). Objektif PSHM adalah untuk menawarkan semua jenis rawatan perubatan. PSHM memperoleh keuntungan bersih bagi tahun 2007 dan 2009 tetapi mengalami kerugian bersih pada tahun 2008. Pada keseluruhannya pengurusan aktiviti utama PSHM adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya ialah ketidakupayaan kewangan PSHM dalam membuat pembayaran sewaan bangunan mengikut jadual kepada Tabung Amanah Melaka. Jumlah tunggakan hutang bagi sewaan bangunan, wang pendahuluan dan bayaran penalti kepada Tabung Amanah Melaka sehingga Disember 2009 adalah berjumlah RM29.77 juta. Manakala sejumlah RM7.51 juta bayaran ansuran telah dibayar kepada TAM sehingga 30 Jun 2010. Sementara tunggakan hutang bil pesakit semakin meningkat, sehingga Disember 2009 berjumlah RM14.50 juta. PSHM menuntut bil pesakit yang dilindungi insurans daripada Syarikat Insurans melebihi amaun yang dilindungi. Pemberian diskaun ke atas bil pesakit pula tidak ditetapkan kadar. Pengurusan perolehan tidak mengikut proses tender dan sebut harga, bil lewat dijelaskan kepada pembekal dan wujud komisen pemungut hutang diragui. Dividen tidak pernah dicadangkan walaupun PSHM mendapat keuntungan dan pembayaran bonus dibuat untuk tahun 2008 berjumlah RM0.50 juta ketika PSHM mengalami kerugian. Bayaran bonus berjumlah RM0.80 juta bagi tahun 2009 telah dibayar sebelum akhir tahun walaupun penyata kewangan masih belum ditutup.

Tahniah Kepada Amirul Mukminin Malaysia

Posted: 27 Oct 2010 09:24 PM PDT

Ikuti dan hayati ucapan tahniah kepada Amirul Mukminin Malaysia pada pautan berikut http://surau-alhidayah-bwp.blogspot.com/2010/10/tahniah-kepada-dato-seri-perdana.html

Air berak cemar kampung Melayu di Melaka Maju, kawasan selamat

Posted: 27 Oct 2010 08:50 PM PDT


Air kumbahan resahkan penduduk . Utusan Malaysia. MELAKA 27 Okt. 2010 - Sepanjang dua tahun lalu, kira-kira 500 penduduk sekitar Kampung Limbongan di sini terpaksa menahan sabar akibat menghirup udara tercemar bau busuk saban hari di kawasan mereka.

(Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010)

Semua ini adalah gara-gara masalah saliran air kumbahan yang menimbulkan keresahan penduduk sekali gus mengakibatkan penduduk berdepan situasi tidak selesa terutama selepas waktu hujan.

Lebih memburukkan keadaan, air kumbahan pada saluran longkang di situ bertukar warna hitam pekat dan mengeluarkan bau yang busuk.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limbongan, Kamarudin Jaafar berkata, masalah itu berpunca daripada sistem saliran keluar longkang kampung di situ yang dipercayai telah tersekat ekoran projek tambak laut di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, keadaan tersebut mengakibatkan air kumbahan tidak dapat mengalir dengan lancar dan masalah menjadi serius apabila saliran yang terdapat di kawasan tambak laut tidak lurus.

Katanya, penduduk kampung sudah berjumpa dengan pihak kontraktor yang terlibat bagi mengemukakan masalah yang dihadapi.

''Susulan itu, pihak kontraktor terbabit mengambil tindakan segera mengorek saluran longkang di kawasan tambak laut bagaimanapun, masalah berkenaan masih tidak dapat diatasi.

''Akibat daripada masalah saliran kumbahan ini, penduduk sekali lagi terpaksa menahan situasi sama," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Menurut Kamarudin, keadaan bertambah buruk apabila air kumbahan dari beberapa kawasan bermula dari Kampung Pokok Mangga turut disalirkan ke laut berhampiran.

''Keadaan ini bertambah teruk dan mengakibatkan penduduk berasa tidak selesa serta sesetengah penduduk memilih untuk berkurung di dalam rumah akibat tidak tahan bau busuk.

''Lebih membimbangkan lagi apabila penduduk terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kita tidak mahu menunggu ada yang jatuh sakit akibat pencemaran udara yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Kamarudin merayu kepada mana-mana pihak yang terlibat agar dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Lim Eng Teck ketika ditemui berkata, aduan mengenai masalah berkenaan sudah dua kali dikemukakan kepada pihak kontraktor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurutnya, aduan pertama dibuat sebelum tiga bulan lalu mengenai masalah air kumbahan pada longkang kampung berkenaan sepanjang hampir dua kilometer yang tersekat.

''Masalah timbul semula apabila kerap berlaku hujan yang mengakibatkan saliran longkang sementara dibina terkambus semula.

''Kini air kumbahan yang mengalir menerusi longkang di Kampung Limbongan tidak dapat mengalir keluar mengakibatkan sampah sarap turut tersekat," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab memajukan kawasan tambak laut sekitar Limbongan agar membuat saluran longkang bagi saliran keluar kumbahan secara kekal dan lebih sempurna.

Katanya, tindakan membina longkang kekal yang dicadangkan itu tidak perlu ditunggu lebih lama lagi sehingga projek siap kerana penduduk tidak sanggup lagi berdepan masalah berterusan.

Menurut Eng Teck, pihak kontraktor perlu mengambil kira kepentingan dan keselesaan penduduk kerana selama ini, penduduk tidak pernah menghalang segala pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

''Beberapa sesi dialog bersama JPS sudah dijalankan dan kami menunggu pihak kontraktor terlibat untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menjamin keselesaan penduduk," katanya.

Menurutnya, kajian paras air laut perlu dilakukan kerana sekiranya berlaku ketinggian antara paras air laut dan saliran air longkang, satu rumah pam perlu dibina supaya mampu mengawal aliran air kumbahan ke laut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

Seremban ada banyak bangunan hantu, apa tindakan semua

Posted: 27 Oct 2010 06:38 PM PDT

Seremban adalah tempat yang baik untuk tinggal atau persaraan tapi bukan tempat yang baik untuk pelaburan. Nilai hartanah serta harga sewa rumah di Seremban ini tidak banyak naik sejak bertahun-tahun yang lalu. RM 300 masih boleh dapat sewa rumah teres di sini. Tidak hairanlah banyak kawasan komersial dan perumahan yang tidak berpenghuni di sekitar Seremban, Senawang dan Nilai.

Kerajaan negeri harus melakukan sesuatu untuk memulihkan fenomena bangunan hantu, rumah hantu dan kedai hantu di negeri ini. Tidak hairanlah hasil kutipan kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2009 menurun ke RM 247.79 Juta berbanding RM 260.70 Juta yang dikutip pada tahun 2008.

Tengok sahaja bayaran letak kereta. Kalau di Seremban hari Ahad bayaran letak kereta di tepi jalan adalah percuma, sedangkan di Melaka hari Ahad tetap dikenakan bayaran letak kereta. Ini menunjukkan Seremban dan beberapa kawasan lain di negeri ini bukanlah destinasi hujung minggu atau destinasi pelancongan.

Apa ke tidaknya, kalau dilihat Laporan Ketua Audit Negara 2009 perbelanjaan untuk pelancongan telah menurun kepada RM 1.94 Juta berbanding RM 4.45 Juta pada tahun 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2009 telah pun keluar. Adakah semua wakil rakyat di Negeri Sembilan ini , tak kiralah UMNO ke, PAS ke, DAP ke, PKR ke baca setiap lebaran Laporan Ketua Audit Negara ni ?

Takkan nak suruh rakyat yang bukan dibayar elaun dan gaji untuk menjaga hal ehwal negeri ini untuk membaca setiap lebaran laporan tersebut dan memberi komen ? Apa guna jadi Menteri Besar, EXCO, Wakil Rakyat kalau tak baca dan beri komen terhadap laporan Ketua Audit Negara tersebut ? Jangan baca yang positif je, baca yang negatif juga untuk diperbaiki.

Kalau tak , akan bertambahlah bangunan hantu, rumah hantu, kedai hantu di negeri ini macam laporan akhbar di bawah ini.

Saya nak tanya juga, wakil rakyat negeri lain dan ahli parlimen , baca tak setiap lebaran laporan Ketua Audit Negara, atau baca dari akhbar sahaja ? Atau sedang sibuk berpolitik, berceramah pilihanraya dan merebut jawatan dalam parti ?

****************
Bangunan 'hantu' jadi sarang penjenayah

Utusan Malaysia 28 Okt 2010

SEREMBAN 27 Okt. - Penduduk yang mendiami kawasan perumahan di Seremban Jaya, dekat sini sudah bosan dengan kewujudan bangunan 'hantu' yang ditinggalkan sepi.

Sudahlah tidak berpenghuni, kotor, busuk dan kini menjadi tempat longgokan sampah serta kediaman bagi 'orang yang tidak dikenali' serta paling membimbangkan menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes dan markas jenayah.

Senario itu adalah hakikat yang terpaksa dihadapi penduduk terutamanya di Jalan SJ 8/1, Seremban Jaya dekat sini apabila bangunan kedai yang ditinggalkan sepi telah mendatangkan banyak masalah kepada mereka.

Salah seorang penduduk, Adnan Abu Bakar, 39, berkata, mereka sudah bosan dengan keadaan itu dan tidak sanggup lagi menghadapinya.

"Hampir tiga tahun saya tinggal di sini dan berjiran dengan bangunan tinggal itu. Saya tidak tahu, siapa yang sepatutnya membersihkan bangunan dan kawasan berkenaan.

"Pihak berkuasa pula, buatlah sesuatu. Kalau pun itu bangunan persendirian, apa pula kisahnya di kawasan sekitar yang kotor dan terbiar itu," katanya di sini, hari ini.

Adnan berkata, derita rakyat di kawasan berhampiran bangunan 'hantu' itu perlu juga diberi perhatian dan kerajaan negeri perlu mendesak pemilik bangunan berkenaan melakukan pembaikan atau apa sahaja yang tidak mencacatkan pemandangan.

"Tengoklah, bangunan habis rosak, sampah sarap bertaburan. Tilam buruk pun ada. Kerusi lama dibuang di situ. Apa cerita ini?

"Itu tidak kira tong, botol atau apa sahaja yang boleh menakungkan air. Kami di sini bimbang diancam nyamuk aedes. Cuba tengok kawasan ini juga boleh menjadi sarang jenayah pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, Masri Nazir, 38, berkata, bangunan tinggal itu yang tidak diselenggara boleh mendatang banyak masalah kepada penduduk.

Masri memberitahu, kawasan yang dilihat 'selamat' kepada penjenayah itu sebenarnya tidak membawa keselamatan kepada penduduk, apatah lagi dibimbangi ia menjadi markas melakukan aktiviti jenayah.

"Kadang kala dengan kawasan yang begitu sunyi, gelap dan terpencil itu, ia boleh bertindak apa sahaja. Saya berharap, bukan sahaja pihak berkuasa tempatan, tetapi polis juga disaran memantau keadaan di sini dengan lebih kerap," katanya.

Apa yang mengecewakan, Masri mendakwa, kadang kala terdapat golongan belia yang melepak di situ dan menganggap ia sebagai 'zon selamat' kerana tiada pemantauan pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang pengadu yang ditemui Utusan Malaysia berkata, sikap orang ramai yang gemar membuang sampah di kawasan bangunan tinggal itu juga amat dikesali.

"Kalau saya bawa kereta di bangunan tinggal itu, hati sentiasa bimbang kerana kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Manalah tahu, di celah bangunan itu, tiba-tiba keluar orang datang menyerang.

"Kadang kala nak tegur pun salah, takut mereka menjadi marah, jadi kita buat tak tahu sahaja," katanya yang bekerja sebagai mekanik di salah sebuah bangunan berhampiran bangunan tinggal itu.

Lebih unik lagi, bangunan 'hantu' itu sudah pun ditumbuhi pokok di celah simen yang mula meretak.

Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia di kawasan bangunan 'hantu' di Seremban Jaya mendapati, terlalu banyak kotoran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm

Tiada ulasan: