Anak Muda Kampung Nak Senang |
- Pembangkang bela peniaga Pasar Alor Gajah
- Tawaran Ibadah Korban Istimewa YAMNS 1431H
- Hidup Melayu, Hidup Kadazan, Hidup Jakun, Hidup Mamak
- BALA, BALA, ribut di Jelebu, N.Sembilan
Pembangkang bela peniaga Pasar Alor Gajah Posted: 21 Oct 2010 08:39 PM PDT Sinar Harian 22 Okt 2010 ALOR GAJAH - Rasa tidak puas hati sekumpulan peniaga Pasar Alor Gajah, dekat sini berikutan tindakan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan saman turut mendapat perhatian pemimpin pembangkang. Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Adli Zahari berkata, isu itu sebenarnya sudah wujud sejak bermulanya operasi menaik taraf perhentian bas di pekan berkenaan. Akibatnya, katanya, ia menyebabkan perniagaan di pasar berkenaan terjejas. Beliau yang turun padang selepas mendapat aduan daripada peniaga meminta MPAG bertolak ansur dengan peniaga selepas banyak kawasan sekitar pasar berkenaan ditutup untuk operasi naik taraf perhentian bas. Katanya, tindakan saman itu mengakibatkan pendapatan peniaga terjejas sehingga 50 peratus kerana kurangnya pelanggan akibat kesukaran tempat meletak kereta. "Kalau kita tengok hari ini pun, pasar ini lengang saja dan tidak ada orang hendak datang disebabkan mereka takut kenderaan mereka disaman. Sedangkan tempat meletakkan kereta menjadi masalah dan MPAG perlu ambil kira faktor ini," katanya. Beliau berkata, adalah tidak masuk akal apabila anggota penguat kuasa sanggup mengeluarkan saman atas nama 'tuan punya kereta sorong' dan menyelitkan surat saman berkenaan di tepi kereta sorong, sedangkan peniaga tidak menjalankan perniagaan pada hari itu. "Ini menjadi kebimba-ngan apabila nanti muncul pula 'tuan punya bakul, tuan punya sayur' dan ini bagi saya sudah melampau. Malah ada antara peniaga yang disaman pada tarikh mereka menjelaskan bayaran saman sebelumnya dan ini mewujudkan diskriminasi terhadap peniaga," katanya. Ketua Pemuda DAP Negeri Melaka, Tey Kok Kiew pula menyifatkan sikap segelintir anggota penguat kuasa MPAG menggunakan bahasa kesat terhadap peniaga seperti 'binatang' dan 'anjing' adalah tidak bermoral dan tidak bertamadun. "Kompaun dikeluarkan pihak majlis adalah satu kos yang tinggi bagi peniaga ditambah pula dengan hasil perniagaan yang terjejas teruk apabila pengguna semakin kurang untuk datang membeli barang di pasar ini. "Saya berharap Yang di-Pertua MPAG dapat membuat satu sesi dialog dengan peniaga supaya dapat menjelaskan kepada mereka perkara yang sebenar agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan selesa dan tidak memberi tekanan kepada mereka," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8318109.asp |
Tawaran Ibadah Korban Istimewa YAMNS 1431H Posted: 21 Oct 2010 07:43 PM PDT Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan akan mengadakan Program Ibadan Korban sempena Hari Raya Idil Adha 1431H. Ibadah korban ini akan dikhususkan di kawasan penempatan, taman perumahan, projek perumahan rakyat, rumah pangsa di mana terdapat lebih ramai penduduk-penduduk di kawasan ini yang kurang berkemampuan sekitar Seremban dan Negeri Sembilan. Daging korban ini akan diagihkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Tawaran untuk 1 bahagian lembu ialah RM350 dan untuk 1 bahagian kambing ialah RM450. Sebarang sumbangan untuk menjayakan program ini adalah amat dialu-alukan. Untuk penyertaan dan pertanyaan sila hubungi : Sufian 013-3589328 xupmxutm@yahoo.com Rozmal 012-2267406 rozmal@yahoo.com Pn Wani 013-3851202 halwan9@yahoo.com Hakki 013-3840022 alhaqqy@yahoo.com |
Hidup Melayu, Hidup Kadazan, Hidup Jakun, Hidup Mamak Posted: 21 Oct 2010 04:59 PM PDT Petikan ucapan penuh Najib PAU ke 61 - Najib's 61st Umno General Assembly full speech NST 2010/10/21 Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu Mamak dan Malbari serap ke Melayu Malah muallaf bertakrif Melayu Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam, Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum, http://www.nst.com.my/nst/articles/PMNajib_s61stUmnoGeneralAssemblyfullspeech/Article/ Najib berpuisi gambarkan bangsa Melayu 2010/10/21 KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan kata-kata perangsang yang bernas dan semangat berkobar-kobar ketika menyampaikan ucapan dasar semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno ke-61 hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak turut berpuisi untuk menyampaikan mesejnya. Perdana Menteri memetik bait-bait nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang dan gurindam daripada tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu. Bagi menggambarkan asal usul bangsa Melayu, Najib berpuisi: Melayu itu, kaya falsafahnya, Melayu itu, orang yang bijaksana, Akal budi bersulamkan daya. Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, Keturunan Acheh adalah Melayu. Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani, semua Melayu, Mamak dan Malbari serap ke Melayu, Malah mualaf bertakrif Melayu. Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam, Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum, Kita bersama dalam serumpun. Sebaik selesai membacakan puisi itu sambil tersenyum simpul, Najib menerima tepukan gemuruh daripada 2,543 anggota perwakilan yang berada di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ucapan Presiden UMNO itu, yang disiarkan melalui siaran televisyen litar tertutup, turut mendapat sorakan daripada pemerhati dan hadirin di luar Dewan Merdeka yang penuh khusyuk mengikuti ucapannya. Najib kemudian meneruskan puisinya bagi menggambarkan perpaduan dan agama di negara ini. Watak Melayu menolak permusuhan, Setia dan sabar tiada sempadan. Maruah dan agama dihina jangan, Hebat amuknya tak kenal lawan. Daripada perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan: Menjadi pemimpin sifatnya agung, Syarak dipakai adat dijunjung. Hidupnya mengabdi kepada rakyat, Taat setia membela umat. Di akhir petikan puisi itu, Najib membacakan rangkap yang menyimpulkan Melayu sebagai: Dijadikan induk kuat berdiri, Umat sentosa bertuahlah negeri. "Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. "Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat," kata Najib. Presiden UMNO itu berkata keperibadian bangsa Melayu itulah yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk dan sikap itu juga yang menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara. – BERNAMA http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NajibberpuisigambarkanbangsaMelayu/Article/index_html |
BALA, BALA, ribut di Jelebu, N.Sembilan Posted: 21 Oct 2010 04:56 PM PDT 32 rumah dilanda ribut Utusan Malaysia 22 Okt 2010 JELEBU 21 Okt. - Penduduk di Kampung Durian Tipus dekat Simpang Pertang di sini berhadapan detik mencemaskan apabila sebahagian besar atap, bumbung dan zink rumah diterbangkan ribut dalam kejadian pada pukul 5 petang semalam. Dalam kejadian itu, 32 rumah, sebuah sekolah dan balai raya mengalami kerosakan teruk apabila ribut kencang yang tiba-tiba berlaku di kawasan berkenaan mengejutkan penduduk dan pelajar yang mendiami asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir (SMKTH), di sini. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Siow Chen Pin berkata, kejadian itu merupakan terburuk yang pernah berlaku di kawasan berkenaan. ''Saya difahamkan dalam kejadian itu, sebuah kolam ternakan ikan turut mengalami kerosakan. Kita telah menerima laporan, 32 rumah kediaman rosak dan ada yang teruk sehingga tidak boleh didiami kerana atap habis diterbangkan," katanya di sini malam tadi. Chen Pin ditemui pemberita semasa melawat mangsa kejadian ribut di Simpang Pertang dan turut ditemani Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan. ''Setakat ini kita telah pun menyalurkan bantuan segera kepada penduduk di kawasan berkenaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi yang lain," katanya. Buat masa ini, katanya semua kerosakan sedang dinilai dan kerajaan akan segera membaiki kerosakan rumah penduduk supaya mereka dapat kembali mendiami rumah masing-masing. ''Kerajaan akan membantu sedaya upaya kepada semua mangsa dan berharap mereka bersabar dengan kejadian yang menimpa itu," katanya. Chen Pin yang berada di lokasi kejadian melahirkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku dan tidak menjangka ia sebegini teruk. ''Kita bersyukur kerana tiada mangsa yang cedera dalam kejadian ini, walaupun ada di antara mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kita akan berikan bantuan nasihat dan kaunseling kepada mereka," katanya. Tambahnya, bantuan bencana seperti selimut, bantal dan keperluan asas telah diuruskan oleh agensi berkaitan dan kerja-kerja membaiki kerosakan juga sedang dilakukan hari ini. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad, berkata, pihaknya kini menganggarkan kerugian yang dialami SMKTH termasuk bumbung, siling yang rosak akibat kejadian ribut semalam. ''Jumlah kerugian itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk diberikan perhatian segera dan melakukan baik pulih untuk keselesaan pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Abdullah juga dimaklumkan bahawa beberapa asrama yang menempatkan pelajar turut mengalami kerosakan selain beberapa dewan peperiksaan untuk pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). ''Pada masa sama, kita telah meminta pihak sekolah menyediakan pelan tindakan alternatif bagi membolehkan peperiksaan percubaan SPM dilaksanakan," katanya. Dalam pada itu, seorang penduduk, Nor Azizah Rony, 33, yang ditemui memberitahu, kejadian itu berlaku dengan pantas mengakibatkan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang. Nor Azizah bersyukur kerana dalam kejadian itu kesemua ahli keluarganya terselamat walaupun sebahagian besar barangan dalam rumahnya mengalami kerosakan. ''Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana segera memberikan bantuan kepada kami dan penduduk di sini," katanya. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_02.htm |
You are subscribed to email updates from Anak Muda Kampung Nak Senang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan