Ahad, 26 September 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Dr Xavier Menang Ketua Cabang ‘Panas’ Kota Raja, Undi Masih Dikira

Posted: 26 Sep 2010 07:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melakar sejarah dengan mengadakan pemilihan langsung buat julung kali, mencatatkan satu lagi rekod — pengiraan undi salah satu cabang yang dilihat panas — Kota Raja di Selangor —  berlarutan sehingga pagi ini.

Maklumat yang diperoleh sekitar 7 pagi tadi menunjukkan undi masih dikira.

Ia seolah-olah menggambarkan berulangnya sejarah pengiraan undi kerusi sehingga membawa sehingga tengah hari keesokan hari di Lembah Klang sedekad lalu.

Pengiraan dijalankan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, bermula lewat malam tadi, selepas proses mengira undi di Bukit Naga lewat petang tadi berakhir dengan kekecohan dan tindakan rampas kertas undi dan peti undi.

Sebanyak 18 peti undi dibawa ke ibu pejabat PKR untuk dikira dengan kawalan polis.

Cabang Kota Raja menyaksikan ketuanya Dr A Xavier Jayakumar, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, berhadapan dengan saingan S Kottappan dan M Telaiamblam.

Keputusan tidak rasmi yang diperoleh pagi ini menunjukkan menunjukkan Xavier  memenangi persaingan tiga penjuru dengan memperoleh 883 undi manakala Kottappan 145 undi dan Telaiamblam pula mendapat 138 undi.

Undi rosak dikatakan dalam lingkungan 30.

Pengiraan undi jawatan ketua cabang siap dikira pukul pukul 5.30 pagi tadi.

Difahamkan setakat pukul 7.40 pagi ini undi bagi jawatan ketua Wanita masih dikira.

"Keputusan ketua cabang dan ketua AMK sudah diketahui, tetapi undi bagi sayap Wanita masih dikira," kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Kerusi ketua AMK dimenangki oleh Azmizam Zaman Huri.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dijangka akan mengadakan sidang media pukul 10 pagi ini untuk memperjelaskan perkembangan semalam, yang dilihat sebagai paling buruk dan memalukan parti itu.

Kota Raja merupakan salah satu daripada, sekurang-kurangnya enam cabang yang berhadapan dengan insiden kecoh sehingga menyebabkan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan terpaksa ditangguhkan dan dipertikaikan.

Cabang-cabang lain ialah Klang, Kapar, Kuala Langat dan Subang.

Beberapa cabang dari negeri-negeri lain juga dilaporkan bermasalah termasuk cabang Parit Sulong.

Cabang-cabang PKR memulakan mesyuarat masing-masing pada 17 September lalu dan akan berakhir 3 Oktober ini sebelum meneruskan proses pemilihan mulai tengah bulan depan.

Setakat semalam sekitar 130 cabang telah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan masing yang turut membuat pencalonan bagi jawatan-jawatan pusat.


Sumber: Malaysian Insider

Dr Xavier Buat Laporan Polis Isu SMS

Posted: 25 Sep 2010 05:00 PM PDT

KLANG – Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja, Dr Xavier Jayakumar membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai memburukkan imej beliau dan ahli keluarganya.

Xavier berkata, laporan polis itu terpaksa dibuat berikutan SMS berkenaan disebarkan kepada orang ramai sejak tiga minggu lepas.

Menurutnya, antara kandungan SMS itu menuduh beliau mendapat kontrak daripada Kerajaan Negeri untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarganya yang lain.

"Tuduhan ini sangat serius, jika benar saya melakukan penyelewengan diminta individu yang menyebarkan SMS ini tampil ke hadapan dan membuat laporan polis terhadap saya.

"Saya sedia bekerjasama dan sanggup disiasat pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),"katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, semalam.

Xavier yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri memberitahu, antara kandungan SMS yang diterimanya turut menyebut beliau akan menganugerahkan pingat kepada rakan-rakanya jika menyokong beliau pada pemilihan PKR Cabang Kota Raja, Ahad ini.

Katanya, dakwaan sedemikian tidak berasas sama sekali kerana penganugerahan pingat hanya boleh dilakukan oleh Sultan Selangor.

"Penyebaran SMS ini merupakan satu usaha bagi menjatuhkan imej saya dan ia perlu dihentikan segera.

"Saya yakin SMS ini ada kaitan dengan pemilihan PKR Kota Raja yang akan diadakan pada Ahad ini (esok),"katanya.

Xavier berkata, pengirim SMS itu dipercayai dilakukan individu sama berdasarkan nombor telefon yang tertera.

Justeru katanya, pihak polis perlu menyiasat perkara tersebut supaya individu terlibat dalam penyebaran SMS berkenaan dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata akan meneliti terlebih dahulu laporan polis Dr Xavier sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, sebaik sahaja meneliti laporan berkenaan pihaknya akan menentukan sama ada akan menyiasat kes tersebut atau menyerahkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, ia berikutan laporan berkenaan melibatkan penyebaran fitnah melalui SMS.

"Saya belum melihat laporan itu lagi, jadi saya tidak boleh beri keputusan bilakah siasatan akan mula dijalankan,"katanya.

Tiada ulasan: