Rabu, 8 September 2010

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!

MOH...KITE LAWAN YEOP!!!


Selamat Hari Raya Aidilfitri

Posted: 08 Sep 2010 06:00 AM PDT

Assalamualaikum. Hari Jumaat adalah hari yang sangat dinanti-nantikan oleh semua umat islam di Malaysia. Ianya adalah hari perayaan utama bagi umat islam iaitu perayaan Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah setiap tahun. Hari Raya Aidilfitri juga kadang-kadang dipanggil dengan nama Hari Raya Puasa dan juga Hari Lebaran.

Hari Raya Aidilfitri adalah disambut oleh semua umat islam diseluruh dunia tidak kira apa bangsa sekalipun. Hari Raya Aidilfitri disambut kerana kejayaan kita umat islam setelah sebulan berpuasa menundukkan hawa nafsu di bulan Ramadhan. Hari Raya Aidilfitri hendaklah disambut dengan penuh syukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan olehNya kepada kita.

Di negara kita Malaysia, Hari Raya Aidilfitri memang disambut dengan begitu meriah sekali setiap tahun. Anda boleh lihat sendiri di mana-mana tempat sudah merasai suasana Hari Raya Aidilfitri ni. Di pusat membeli belah meriah sekali dengan jualan Hari Raya yang murah-murah dan di hiasi dengan perhiasan yang cantik-cantik. Ianya sudah pasti menjadi tempat tumpuan orang ramai setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri ramai warga kota dan anak-anak muda yang berada diperantauan akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing. Maka jalan raya akan mula sesak dipenuhi dengan begitu banyak kenderaan yang sedang menuju ke destinasi masing-masing untuk pulang beraya. Kepada yang baru nak memulakan perjalanan balik kampung berhati-hati dijalan raya ya. Semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Antara amalan yang biasanya dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri adalah amalan berziarah dan kunjung mengunjung. Mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Mereka akan saling bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang telah lalu. Pada asasnya, Hari Raya Aidilfitri adalah hari untuk kita bergembira, bermaaf-maafan dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri memang meriah dengan pelbagai jenis juadah makanan hari raya. Antara juadah makanan yang paling popular pada setiap kali sambutan hari raya ada ketupat, lemang, rendang dan banyak lagi kuih raya yang lain. Senang cerita setiap kali kita berkunjung ke mana-mana rumah terbuka maka bila balik perut akan penuh dengan makanan. Kadang-kadang tak larat nak makan banyak-banyak ni.

Hanya setakat ini saja artikel ringkas dari pkr gerik sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal berkunjung tiba pada hari jumaat ini. Sekiranya anda ingin berkongsi perkara menarik lain berkenaan Hari Raya Aidilfitri boleh la tulis diruangan komen. Ataupun nak cerita pengalaman anda menyambut hari raya pun boleh juga. Jadi, dikesempatan ini pkr gerik ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Maaf zahir dan batin andainya ada salah dan silap harap dimaafkan. Semoga Hari Raya kali ini memberikan 1001 kebahagiaan kepada kita semua. InsyaAllah.

Tiada ulasan: