Sabtu, 18 September 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Majlis Sambutan Eidulfitri Parlimen Permatang Pauh

Posted: 18 Sep 2010 12:03 PM PDT

Majlis Sambutan Eidulfitri Bersama Dato Seri Anwar Ibrahim

Ahad 19 September 2010

Masa: 1.00ptg

Program: Majlis Hari Raya

Tempat: Masjid Jamek Cherok To’kun

Masa: 2.30-5.00ptg

Program: Rumah Terbuka Hari Raya Permatang Pauh.

Tempat: Taman Guar Perahu,DUN Penanti

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Kerajaan Gagal Menarik Minat Pelabur

Posted: 17 Sep 2010 11:19 PM PDT

Laporan Bank of America Merill Lynch berkaitan pasaran negara begitu membimbangkan. Menurut laporan tersebut Malaysia kini antara negara yang tidak digemari para pelabur di Asia Pasifik selepas bank tersebut meninjau pandangan pengurus dana. Sungguhpun kerajaan cuba memberi gambaran yang serba indah, hakikatnya Malaysia jatuh dua anak tangga dari kedudukan sebelum ini iaitu di tangga ke 10, dan kini di kedudukan tercorot. Pastinya berita ini menerbitkan rasa bimbang saya berhubung kedudukan ekonomi semasa negara tatkala kononnya pentadbiran Dato’ Sri Najib akan mengemukakan satu kebijakan ekonomi yang diwar warkan bertujuan menarik minat pelabur.

Beberapa perkara mustahak yang sewajarnya diberi perhatian adalah pandangan para pelabur yang melihat Malaysia sudah tidak mampu bersaing dengan negara jiran yang begitu bertenaga maju ke hadapan seperti Indonesia. Tetangga kita itu menurut tinjauan Forum Ekonomi Dunia(World Economic Forum) pula telah melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 44 dari 139 negara. Berikutan perkembangan sebeginilah kita sangsi perincian Model Ekonomi Baru yang bakal diumumkan perdana menteri mampu memulihkan ekonomi negara yang lembap ini. Hasrat kerajaan untuk menjana pelaburan bernilai RM 2.2 trillion dalam  masa 10 tahun, yang mana 92% dari jumlah tersebut datangnya dari pelaburan swasta, pastinya menimbulkan kemusykilan tatkala para pelabur bertindak menjauhi pasaran kita.

Pemerintah harus sedar, kebijakan ekonomi yang menafikan perkara dasar serta gagal memberi keutamaan untuk melakukan perubahan terhadap sistem yang curang pastinya dipandang sepi. Secara tuntas saya tegaskan, para pelabur memberi keutamaan terhadap sistem keadilan yang bersih, iklim yang tidak rasuah dan culas serta kepimpinan negara yang meyakinkan. Pembentangan serta perincian dasar ekonomi namun menafikan perkara yang mendasar tersebut hanya akan disambut dingin. Malangnya hakikat ini terus dinafikan elit pemerintah walau rakyat jelatalah yang menderita menahan beban.

ANWAR IBRAHIM

Pemilihan KEADILAN : Mandat Di Tangan Setiap Anggota

Posted: 17 Sep 2010 08:47 PM PDT

Dari begitu banyak ulasan dalam blog, Facebook dan Twitter yang saya ikuti dengan dekat, terpancar kekhuatiran akibat berlakunya pertandingan dalam proses pemilihan parti KEADILAN.

Kita harus akui bahawa KEADILAN mempamerkan keberanian dan ketegasan luar biasa menetapkan sistem pemilihan terbuka dan langsung dari setiap anggota. Ini bermakna pencalonan dan pemilihan ditentukan oleh anggota parti dan bukan wakil mereka.

Pemilihan kali ini mengundang perhatian umum. Ini bermakna KEADILAN kini terangkul sebagai di antara parti utama negara.

Saya yakin Jawatankuasa Pemilihan akan memantau teliti agar kod etika dipatuhi – fitnah dan sogokan dihindari. Namun lebih dari itu, anggota partilah yang seharusnya membuat penilaian dan akhirnya penentuan.

KEADILAN digerakkan sebagai parti perjuangan menolak kezaliman dan menegak keadilan. Saf kepimpinan perlu tegas dan mantap memberi nafas reformasi.

Meski pun ternyata ada agenda luar termasuk media Umno-BN dan gerombolan luar yang akan teruskan dengan politik adu domba, mengheret khalayak membicara dari sudut negatif, saya yakin anggota parti akan memilih kepimpinan berdasarkan prinsip perjuangan, ikatan dan adab jamaah.

ANWAR IBRAHIM

Penghakiman Ingkar dimasukkan terhadap Zamil Ibrahim dalam Kes Saman Malu oleh Dr Syed Husin Ali

Posted: 17 Sep 2010 08:08 PM PDT

Siaran Akhbar
17 September 2010

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memasukkan penghakiman terhadap bekas anggota AMK Zamil bin Ibrahim atas saman malu yang telah difailkan oleh Timbalan Presiden PKR Dr.Syed Husin Ali terhadapnya.

Sejak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat, Zamil Ibrahim telah seringkali membuat dakwaan-dakwaan yang tidak berasas ke atas Parti Keadilan Rakyat serta pemimpin-pemimpinnya.

Tuntutan saman malu tersebut difailkan terhadap Utusan Malaysia dan Editornya serta Zamil Ibrahim pada 20hb Mei 2010 ekoran daripada kata-kata fitnah yang dikeluarkan oleh Zamil kononnya bahawa Dr.Syed telah menerima wang daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Dakwaan tersebut adalah suatu pembohongan semata-mata, dan telah disiarkan oleh akhbar kepunyaan UMNO iaitu Utusan Malaysia pada 6hb Mac 2010.

Penghakiman telah dimasukkan oleh Mahkamah kerana Zamil telah gagal menjawab tuntutan Dr.Syed Husin Ali.

Mahkamah telah memerintahkan bahawa gantirugi yang perlu dibayar kepada Dr.Syed Husin Ali akan ditaksirkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Manakala itu, tuntutan Dr Syed Husin terhadap Utusan Malaysia dan editornya Mohd Hassan B Mohd Nor telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 4hb Oktober 2010 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam N Surendran dari Tetuan Edwin Lim, Suren & Soh mewakili Dr Syed Husin Ali.

Harap maklum.

Tiada ulasan: