ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR |
Perutusan Hari Malaysia 2010 Oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim Posted: 16 Sep 2010 03:04 AM PDT 16hb September 1963, Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak secara rasminya membentuk Malaysia. Makanya kenegaraan Federalisme yang menjadi salah satu dari tiang seri negara sewajarnya menjadi semakin kukuh dan sepatutnya lagi dihormati. Kemasukan Sabah dan Sarawak ternyata membawa dampak yang bukan sedikit kepada negara. Malangnya semangat pembentukan Negara Malaysia dan faham Federalisme yang mendukungnya, malah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan pula, kian hari semakin terhakis. Pemusatan kuasa kepada kerajaan persekutuan tidak terbendung lagi. Faham Federalisme, Kedaulatan Undang-Undang dan Semangat Keperlembagaan diketepikan demi mengekalkan kekuasaan elit pemerintah semata. Justeru tidak hairan kita lihat bagaimana negeri-negeri seumpama Kelantan, Sarawak dan Sabah dinafikan hak mereka sungguhpun kaya dengan hasil bumi serta semulajadi. Janji-janji manis ditabur di Sabah dan Sarawak misalnya, kerana ianya dianggap sebagai "deposit" kemenangan ketika mahu memenangi pilihanraya. Ketidakadilan yang dialami oleh rakyat dari negeri-negeri yang ditindas inilah membuatkan mereka bersikap acuh dan pesimis terhadap hasrat memperkukuh sebuah negara Persekutuan ini. Jelasnya kita tidak boleh menyalahkan mereka dan seharusnya berusaha menjana tenaga, fikiran serta terus beriltizam membasmi penindasan tersebut. Makanya Parti Keadilan Rakyat bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat tuntas untuk memastikan keadilan dilaksanakan di seluruh negeri-negeri yang bersekutu dengan negara ini dan berusaha sejajar dengan hasrat murni Perlembagaan Persekutuan. Malanglah negara ini jika pemerintahnya bertindak menyisihkan dan menafikan hak rakyat sendiri kerana berbeza fahaman politik, ras dan kebudayaan. Kini sudah tibalah masanya seluruh rakyat dari Perlis sehingga ke Johor, dari Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak menyertai gelora menuntut Perubahan, agar sirna penindasan dan tertegaknya Keadilan. Hari Malaysia ini, bersamaan 16hb September 2010, biarlah ianya dimaknai oleh kita, untuk terus beriltizam dan berusaha mengembalikan Semangat Keperlembagaan agar negara ini "…mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia." ANWAR IBRAHIM Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia |
Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN Posted: 16 Sep 2010 02:49 AM PDT Kenyataan Media Angkatan Muda Keadilan Selangor Parti Keadilan Rakyat 16 September 2010 Ketua Polis Negara Baru Digesa Bebas Pengaruh KDN Angkatan Muda Keadilan Selangor menyatakan harapan tinggi agar Ketua Polis Negara yang baru,Tan Sri Ismail Omar menunjukkan ketegasan dan komitmen untuk tidak tunduk kepada pengaruh daripada mana-mana pihak. Sebelum ini,bekas Ketua Polis Negara,Tan Musa Hassan mengeluarkan kenyataan mengejutkan bahawa wujudnya campur tangan daripada Kementerian Dalam Negeri dalam urusan PDRM. Justeru,AMK Selangor berharap di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara yang baru,imej dan professionalisme PDRM dapat dipertingkatkan lantaran sebelum ini kewibawaan dan professionalisme PDRM dalam beberapa perkara dipertikaikan pelbagai pihak. AMK Selangor menggesa rakyat dan PDRM bersama-sama memerangi jenayah yang semakin membimbangkan dan menakutkan.Kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan 3 individu yang lain merupakan insiden tragis yang tidak patut berulang lagi. AMK Selangor mencadangkan agar aspek pendidikan pencegahan jenayah diperluaskan dan diberi perhatian sejak bangku sekolah lagi bagi memberi penerangan agar masyarakat dapat membentuk jaringan keselamatan bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah. AMK Selangor juga berharap kerajaan meneruskan komitmennya dalam aspek penurunan jenayah dengan melaksanakan dasar dan polisi berkesan menangani peningkatan kadar jenayah. Kita yakin rakyat keseluruhannya memberikan sokongan dan dokongan padu kepada PDRM dalam usaha pembanterasan jenayah dan hubungan baik antara rakyat dan pihak polis dipertingkatkan. Mohd Ezli Mashut Ketua Penerangan AMK Selangor |
You are subscribed to email updates from ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan