Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Pemilihan PKR 2010 Lahir Lebih Ramai Pemimpin Wibawa Kata Khalid
- Zunar Ditahan Reman Sehari
- Shamsul Mahu SPRM Tubuh JK Khas Siasat IPD Banting
- SMM Selar Tindakan Angkuh UPM Halang Pergerakan Mahasisiwa
- Kenyataan Muhyiddin Bersifat Anti-Perpaduan
- NUJ Pertikai Tindakan KDN Terhadap Suara Keadilan
Pemilihan PKR 2010 Lahir Lebih Ramai Pemimpin Wibawa Kata Khalid Posted: 25 Sep 2010 01:25 AM PDT PETALING JAYA 25 SEPT : Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus kukuh dengan lahirnya lebih ramai pemimpin yang berkualiti menurusi proses pemilihan akar umbi yang akan diadakan tidak lama lagi. Bercakap pada sidang media majlis pecah tanah Tadika Rakyat di Petaling Jaya semalam, ujar Khalid, proses demokrasi yang diamalkan dalam Pakatan Rakyat adalah kunci kemakmuran sebuah negara merdeka. "Belum pernah mana-mana parti dalam Malaysia mengadakan pemilihan terus oleh ahli-ahli yang akan menentukan pemilihan di peringkat cabang dan majlis tertinggi,"ujar Khalid. Terdahulu Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan keyakinan bahawa proses demokrasi yang bebas dan telus akan memperkuat dan mengukuhkan lagi struktur parti. Malah ujar Anwar, kekuatan akar umbi mampu melindungi PKR dari tekanan Umno-Barisan Nasional yang mahu mengganggu gugat kestabilan parti. Pemilihan PKR melibatkan hampir 500 000 ahli dari peringkat akar umbi memilih sendiri Presiden serta ahli Majlis Pimpinan Tertinggi mereka. Pemilihan yang bakal dijalankan November ini merupakan perkara julung kali yang dilakukan oleh mana-mana parti politik di Malaysia. Sumber: TVSElangor |
Posted: 25 Sep 2010 01:20 AM PDT SHAH ALAM 25 SEPT : Kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar yang ditahan polis dinafikan haknya apabila Mahkamah Majistret Sepang membenarkan polis untuk menahan reman beliau selama sehari sebelum kehadiran peguam. Pengarah Strategik PKR, Tian Chua menulis dalam laman Twitternya sebentar tadi memaklumkan demikian. " Zunar telah ditahan reman oleh mahkamah majistret Sepang sebelum peguam beliau tiba- ini jelas melanggar hak perlembagaannya," tulis Tian di laman Twitternya. Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Zunar kini berada dalam tahanan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang dan di bawah seksyen4(1)Akta Hasutan Bagaimanapun usaha Tv Selangor menghubungi peguam Zunar, Latheefa Koya sehingga kini gagal. Setakat awal pagi tadi, menurut laporan beberapa portal, Zunar yang ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam telah dibawa ke tujuh balai polis. Beliau dibawa ke balai polis Brickfields, Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Serdang, Puchong, Bukit Puchong, Sepang, dan akhirnya ke KLIA. Pada ketika itu Zunar ditemani peguam, Latheefa Koya. Pagi ini, beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang untuk mendapat perintah tahanan reman. Dalam serbuan di pejabatnya semalam, polis merampas lebih 60 naskhah naskhah Cartoon-O-Phobia yang sepatutnya dibawa ke majlis pelancaran itu. Bagaimanapun pelancaran karya Zunar, Cartoon-o-Phobia berjalan lancar malam tadi. Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH). Kira-kira 150 hadirin hadir memberikan sokongan kepada karya terbaru Zunar itu. Sumber: TVSelangor |
Shamsul Mahu SPRM Tubuh JK Khas Siasat IPD Banting Posted: 25 Sep 2010 01:15 AM PDT PUTRAJAYA 25 Sept - Ketua Angkatan Muda KEADILAN , Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan jawatankuas khas bagi menyiasat sepenuhnya kemungkinan wujud elemen penyelewengan serta rasuah di Ibu Pejabat Polis Daerah Banting berhubung empat laporan polis yang kini dikaitkan dengan suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga rakannya. Shamsul yang juga seorang peguam kanan berkata SPRM perlu membuat siasatan rapi dan mendalam untuk membongkar apa yang sebenarnya berlaku di kawasan pembunuhan di Ladang Gadong, Banting dan mengapa empat laporan terdahulu mengenai kehilangan beberapa individu tidak disiasat. Bercakap kepada media di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini semalam setelah memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan pihak polis dengan kes pembunuhan Sosilawati, Shamsul berkata beliau berbuat demikian bagi menuntut SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus untuk menentukan jika kes tersebut berkait dengan unsur rasuah dan penyelewengan. "Kita membuat keputusan untuk mengemukakan satu laporan di dalam bentuk maklumat awal berkaitan perkembangan terkini kes pembunuhan Datuk Sosilawati di Banting dan mangsa-mangsa yang dilaporkan hilang. "Kami membuat laporan ini kerana merasakan rakyat umumnya dan khususnya di kawasan Banting dan Selangor merasa gelisah dan resah di atas pendedahan media saban hari yang menunjukkan bahawa sebenarnya kes pembunuhan Datuk Sosilawati ini bukannya kes yang pertama. "Jadi mereka harus siasat dengan berani kerana ini membabitkan kes kepentingan awam," kata beliau. Shamsul tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 3.20 petang dan selesai memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM, Hazrul Syazrin Abdul Yazid dan Shahrul Naim Mohd Amin sejam kemudian. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM sebaliknya mengulangi pendiriannya yang bersedia memberi kerjasama kepada polis mahupun SPRM . "Saya telah meminta dan mengemukakan beberapa maklumat dan bukti yang kita ada kepada pasukan penyiasat SPRM dan saya telah berikan keterangan dan kerjasama yang sepenuhnya kerana kita mahu supaya satu siasatan diadakan secara telus dilakukan. "SPRM perlu menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di sana (kawasan kejadian) dan kita tidak boleh berdiam diri kerana setakat ini kematian yang dilaporkan baru empat orang (mangsa), mungkin lebih kita tidak tahu. "Pembunuhan kes yang cukup tragis ini adalah kes yang sebenarnya sebelum ini telahpun berlaku akan tetapi tiada siasatan yang menyeluruh dilakukan dan ada beberapa kes yang telahpun ditutup juga beberapa kes yang dianggap atau diklasifikasikan sebagai kes hilang tetapi dibuka semula kerana dengan perkembangan terkini kes pembunuhan," tegas Shamsul lagi. Beliau turut menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. "Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kononnya saya telah dimaklumkan tentang perkara tersebut. Saya tidak tahu menahu apa-apa mengenai perkara itu melainkan melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul. "Apatah lagi saya sebagai pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia yang faham undang-undang negara ingin mengambil tindakan tidak mengikut saluran undang-undang," jawab beliau. Tambahnya, jika polis ingin memanggil beliau untuk memberi keterangan maka pihak terbabit perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti yang termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. "Saya telah nyatakan pendirian saya bahawa dari segi undang-undang, kita berminat kepada keadilan. Saya tidak mahu kita kemukakan satu kaedah siasatan yang baru iaitu penyiasatan kepada media. "Ini bukan siasatan kepada media, kalau dia (polis) bercadang untuk memanggil maka saya bersedia untuk memberikan keterangan dan hari ini saya bersedia, saya datang kepada SPRM tetapi perlulah dipatuhi prosedur undang-undang sepertimana yang termaktub di dalam Kanun Acara Jenayah. "Dan janganlah kita didik rakyat untuk pergi ke balai memberi keterangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), facebook atau telefon bimbit," katanya. Dalam pada itu Shamsul turut menasihatkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberi fokus kepada tanggungjawab sebenar beliau. "Saya mahu ingatkan kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk membasmi jenayah dan bukan untuk menyerang saya saban hari di dalam media," katanya. Rabu lepas, polis memberi amaran bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. Hadir sama memberi sokongan, Timbalan AMK, Fariz Musa dan beberapa anggota AMK serta bekas pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia), Mohd Nazree Mohd Yunus. Sumber: Suara Keadilan |
SMM Selar Tindakan Angkuh UPM Halang Pergerakan Mahasisiwa Posted: 25 Sep 2010 01:10 AM PDT SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia menyifatkan tindakan Universiti Putra Malaysia (UPM) melarang mahasiswanya hadir ke mahkamah semalam untuk menyatakan sokongan kepada lima mahasiswa Universiti Malaya berhubung kes 'bini puaka' sebagai sikap angkuh dan tidak beretika. Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman kesaldengan sikap tidak profesional pihak Hal Ehwal Pelajar UPM yang seolah-olah tidak mengambil iktibar majoriti golongan mahasiswa di negara ini yang menentang penggunaan Akta Universiti dan Kolej Univerisiti 1971. "Saya menyarankan agar pihak HEP UPM celik dan jangan tidur dengan menindas dan mengekang gerakan mahasiswa sehinggakan mahasiswa ingin pergi ke tempat lain pun dihalang dengan pelbagai cara. Ini bertentangan dengan hak sebagai rakyat Malaysia yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. "Saya juga menyeru mahasiswa dan mahasiswi UPM supaya tidak takut dan gentar dengan arahan tersebut kerana tindakan itu hanya ingin menakut-nakutkan mahasiswa. "Saya juga menyeru seluruh mahasiswa di kampus lain agar bangkit dengan propaganda jahat yang ingin menenggelamkan gerakan mahasiswa di Malaysia," kata beliau dalam satum kenyataan Khamis lalu. Semalam Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur membebaskan lima penuntut UM setelah mendapti tiada kes 'prima facie' terhadap mereka. Mereka dituduh menconteng dinding Akademi Pengajian Islam UM pada tahun lepas dengan kata-kata 'bini puaka' yang merujuk kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Lima mahasiswa berkenaan - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh melakukan jenayahdi bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan. Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi. Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama. Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama. Sumber: Suara Keadilan |
Kenyataan Muhyiddin Bersifat Anti-Perpaduan Posted: 25 Sep 2010 01:05 AM PDT SHAH ALAM 25 Sept - Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kementerian Pelajaran tidak berkuasa menentukan tindakan ke atas pengetua rasis Bukit Selambau dianggap tidak bertanggungjawab dan anti- perpaduan kerana pada masa yang sama beliau cuba menjadi hero perpaduan melalui gagasan '1Malaysia'. Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata kenyataan Muhyiddin itu dilihat kurang bijaksana kerana seolah-olah mempertahankan pengetua yang bersikap perkauman terhadap pelajar bukan Melayu. "Sekurang-kurangnya mereka disiasat kerana melakukan provokasi terhadap murid-murid ini kerana mengikut Perlembagaan yang termaktub, kita perlu menjaga hak dan kepentingan semua kaum. "Beliau seolah-olah cuba lari daripada menjawab persoalan yang dibangkitkan dan tidak menyelesaikan secara profesional seperti pepatah, baling batu sorok tangan. Ini memendekkan lagi hayat politik pemimpin Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum akan datang. "Ini menunjukkan, kerajaan Umno-BN sudah berada di penghujung jalan dan bakal tersungkur pada PRU-13 nanti. Kebiasaannya, orang tua kata mereka yang akan mati buang tabiat dan inilah yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN sekarang ini," kata Abdullah Sani kepada Suara Keadilan. Apa yang dikesalkan katanya, jika perkara yang sama dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat, pihak polis dengan pantas akan mengambil tindakan undang-undang tetapi dalam hal yang membabitkan kepentingan Umno-BN, sedikit pun tidak ada tindakan terhadap mereka yang terlibat. "Kita ambil contoh seperti akhbar Suara Keadilan yang baru-baru ini disaman Felda, isu itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membuat pengumuman saman RM200 juta itu di media. "Begitu juga dengan tindakan pihak polis yang dengan segera mengambil tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung isu kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya," ujar beliau. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya tidak kuasa mengambil tindakan terhadap pengetua tersebut terletak di tangan Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada 4 September lalu, media melaporkan JPA telah menerima laporan setebal enam inci daripada kementerian itu tetapi masih membisu berhubung keputusannya. Tiga hari lalu, MCA melahirkan rasa tidak berpuas hatinya dengan pengetua yang tidak dikenakan sebarang hukuman kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar bukan Melayu pada bulan Ramadan yang lalu. Ketua MCA Kedah, Chong Itt Chew berkata jika pengetua itu, Ungku Aznan Ungku Ismail, tidak dipindahkan ke sekolah lain, parti itu mungkin menganjurkan protes di depan sekolah berkenaan. Chong berkata ibu bapa pelajar terbabit juga telah memohon kepada Jabatan Pelajaran agar pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani itu dipindahkan secepat mungkin. Sumber: Suara Keadilan |
NUJ Pertikai Tindakan KDN Terhadap Suara Keadilan Posted: 25 Sep 2010 01:00 AM PDT SHAH ALAM 25 Sept - Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari mempertikaikan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan organ rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan sambil menyifatkan kementerian tersebut bersikap bias. Hata yang juga wartawan kanan Utusan Malaysia menegaskan KDN tidak sepatutnya memangsakan akhbar Suara Keadilan tetapi sebaliknya seharusnya mengambil tindakan terhadap pengarang atau wartawan jika mereka melanggar undang-undang. "Mengapa harus akhbar ini dimangsakan? KDN perlu ingat bahawa setiap organisasi media bukan sahaja mempunyai bahagian editorial tetapi juga unit lain di bawahnya seperti gafik, pemasaran dan pentadbiran. Dengan mengantung permit Suara Keadilan, KDN dilihat seolah-olah berdendam dan mahu mematikan akhbar tersebut walhal yang bertanggungjawab mungkin editor atau pengarang sahaja. Biarkan akhbar terus wujud walau apa pun masalah yang timbul. "Saya menggesa KDN bersikap profesional dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Akhbar adalah milik rakyat samada ia dilihat menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat dan KDN dalam hal tidak boleh masuk campur. Kalau Felda ada masalah dengan artikel yang disiarkan oleh Suara Keadilan biar kedua-dua pihak yang selesaikan bukannya KDN masuk campur dan ambil tindakan terhadap akhbar itu," kata Hata ketika dihubungi Suara Keadilan. Permit penerbitan lidah rasmi KEADILAN tamat tempohnya pada 30 Jun lalu dan sejak itu pihak KDN terus mengambil sikap berdiam diri dan enggan memperbaharui permit tersebut.KDN menggunakan alasan ia tidak berpuas hati terhadap dua pucuk surat penjelasan dari Suara Keadilan malah membuat laporan polis pula terhadap akbbar tersebut. Ini ekoran tersiarnya artikel berjudul "Felda Bankrap" dalam bilangan 237 edisi 22-29 Jun 2010 Suara Keadilan. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd kemudiannya bertindak dengan mengemukakan tuntutan saman RM200 juta terhadap enam pihak iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat. "Media di negara ini hendaklah disuburkan bukan ditekan atau dikuburkan. Lihat sahaja keadaan industri media di negara jiran Indonesia di mana mereka bebas untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Sekiranya ada pihak berasa dianiaya disebabkan laporan yang dihasilkan oleh mana-mana media, mereka boleh mengambil tindakan mahkamah. Jadi pihak media dan pihak yang menyaman bolehlah mengemukakan hujah masing-masing dan biarlah mahkamah tentukan. "Jadi akhbar berkenaan terus beroperasi tanpa gangguan kerana yang terlibat hanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan artikel yang dipertikaikan tanpa melibat atau menganiaya pihak lain. "Saya harap pihka KDN menimbang semula pendirian berhubung isu Suara Keadilan dan bersikap adil dan telus dalam tindakan mereka," tegas Hata lagi. Sumber: Suara Keadilan |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan