Isnin, 20 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Najib mungkin terus tunduk pada Singapura

Posted: 20 Sep 2010 01:45 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa Singapura akan mendapat lebih banyak manfaat dalam rundingan dengan Malaysia.

Beliau membuat andaian demikian ekoran melihat tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mei lalu menyerahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar pada republik itu yang baginya merugikan negara.

"Apakah kemungkinan Lee Hsien Loong (Perdana Menteri Singapura) mempunyai gambar pembunuh sebenar Altantuya menyebabkan Najib akan kalah dalam rundingan kedua hari ini," ujarnya pagi tadi pada Harakahdaily.

Beliau mengulas lawatan Najib hari ini ke Singapura hari ini bagi meneruskan siri perbincangan seterusnya berhubung beberapa perkara yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Najib sebelum ini dikaitkan dengan wanita Mongolia itu biarpun beliau beberapa kali menafikannya.

Altantuya dibunuh menggunakan bahan peledak C4 di Bukit Raja, Shah Alam pada 19 Oktober empat tahun lalu.

"Yang didapati bersalah Koperal Sirul Azhar Umar dan (Cif Inspektor) Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman sedangkan motif pembunuhan tidak dikenal pasti.

"Apabila mahkamah membebaskan setiausaha politik (Datuk Abdul Razak Abdullah Baginda) Perdana Menteri tanpa terlebih dahulu menjelaskan motif pembunuhan dasyat itu, seolah-olah ada pemimpin politik tertinggi tertentu dilindungi," ujar Mahfuz lagi.

Sebelum ini, penyiasat persendirian, P.Bala Subramaniam dalam akuan bersumpahnya mendakwa Najib ada bersama Altantuya pada pameran intan berlian di Singapura.

Sehubungan itu, ada pihak mendakwa Siangapura mempunyai rakaman tetamu yang menghadiri pameran tersebut.

Mereka juga mendakwa pembahagian 60:40 tanah KTMB di Tanjong Pagar kepada republik itu ada kaitan dengan bukti rakaman tersebut.


Sumber: Harakah Daily

Pelabur lebih percaya Pakatan Rakyat

Posted: 20 Sep 2010 01:40 AM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Sept: PAS menganggap dakwaan Umno bahawa pelabur tidak datang ke negara ini akibat percaya dakyah pembangkang adalah satu pengiktirafan kepada Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad secara sinis berkata, ianya juga membuktikan bahawa kerajaan BN sudah tidak dipercayai lagi dan sudah tiba masanya mandat pemerintahan negara diserahkan kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini," kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang.

Menurut Idris lagi, faktor pelabur tidak berminat ke negara ini bukan disebabkan Pakatan Rakyat, namun kegagalan pentadbiran BN mewujudkan suasana yang kondusif yang meyakinkan pelabur.

Pelabur ujarnya tentunya melihat dan meneliti perkembangan semasa dalam negara termasuk pergolakan politik yang berlaku.

Beberapa isu besar seperti isu video klip peguam V.K, Linggam, rampasan kuasa di Perak dan pengkatan indeks rasuah sudah cukup menggerunkan mereka untuk melabur di negara ini.

"Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim "Pak Man Telo".

"Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian," tambahnya lagi.

Sebaliknya, di negeri Pakatan Rakyat seperti di Kedah, mampu menarik pelaburan sebanyak RM1.837 bilion pada tahun 2009 dan Selangor RM7.755 bilion.

"Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut, pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur," katanya.


Sumber: Harakah Daily

Komited Untuk Bangunkan Kampung – Tan Sri Khalid Ibrahim

Posted: 20 Sep 2010 01:35 AM PDT


SUNGAI BULOH, 20 Sept: Kerjasama yang erat akan dilakukan dengan semua ketua-ketua kampung bagi meneruskan pembangunan di Selangor, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu meraikan majlis Aidilfitri di Dewan JKKK, Kampung Pasir Tuntung, Sungai Buloh, semalam.

"Saya akan bekerja dengan ketua-ketua kampung untuk membangunkan negeri Selangor dan bercadang untuk menyenaraikan semua permintaan dan memberi keutamaan kepada mereka," katanya pada majlis yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat itu.

Tan Sri Khalid menjelaskan lagi, perkara ini akan diberi keutamaan dalam merangka Bajat 2011 negeri Selangor yang bakal dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada November ini.

"Saya telah minta Tuan D.O untuk menyenaraikan kehendak-kehendak kita supaya kita dapat tolong bangunkan demi kesejahteraan rakyat di negeri Selangor," ujar Tan Sri Khalid lagi.

Pada majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzuelkefly Ahmad itu, Tan Sri Khalid turut menyampaikan 'duit raya' kepada kanak-kanak yang bersalaman dengan beliau.


Sumber: Selangorkini

Kerajaan Persekutuan Lepas Tangan Perbaiki Jalan : Hasan Ali

Posted: 20 Sep 2010 01:30 AM PDT


SHAH ALAM, 20 Sept – Kerajaan Persekutuan didakwa lepas tangan untuk memperbaiki jalan di negeri ini. Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap dan Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohammad Ali.

Hasan berkata, dalam banyak perkara, Kerajaan Pusat dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.

"Kalau dulu sebahagian jalan persekutuan itu dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan, begitu juga jalan luar bandar dikendalikan Kementerian Luar Bandar, tetapi sekarang seolah-olah mereka tinggalkan, minta kerajaan negeri lakukan," ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Hasan sudah memperolehi senarai jalan raya seluruh Selangor yang perlu dibaik pulih serta diselenggara.

Menurutnya lagi, melalui pertemuan dengan beberapa pihak berkaitan, beliau berjaya mengumpulkan semua maklumat mengenai jalan-jalan seperti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jalan bandar, di luar bandar dan sebagainya.

Beliau kini sedang dalam perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta beberapa jabatan dalam usaha menentukan senarai keutamaan yang perlu dilaksanakan.

"Saya sudah minta peruntukan bajet tambahan yang baru dibentangkan dipersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), melalui peruntukan itu diharapkan pembaikan-pembaikan jalan dapat dilakukan.

"Saya akan membuat senarai penuh tahun depan apabila mengemukakan bajet tahun 2011. Insya-Allah saya rasa kita akan dapat satu peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membaiki jalan yang rosak dan juga menyelenggarakan jalan tersebut dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata, anggaran kasar mengikut daerah adalah berdasarkan keperluannya seberapa banyak jalan yang memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat sedikit kelemahan dari segi penyelenggaraan, pembaikan jalan dan sebagainya, tetapi ini hanya bersifat sementara sahaja, iaitu sementara kerajaan negeri dapat membuat penyelarasan dengan kerajaan pusat dan sebagainya.

"Jadi dalam proses penyelarasan ini, maka timbullah benda-benda yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat tidak dapat dilakukan oleh kerajaan negeri kerana kita tidak dapat melakukan bajet sebab atas dasar ia dilaksanakan Kerajaan Persekutuan," katanya.


Sumber: Suara Keadilan

Rayuan Anwar Gugur Fitnah 2 Ditolak

Posted: 20 Sep 2010 01:25 AM PDT


PUTRAJAYA 20 Sept - Permohonan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan tuduhan fitnah 2 ke atasnya berdasarkan dakwaan bahawa Timbalan Pendakwaraya (DPP), Farah Azlina Latif mempunyai hubungan intim dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Rayuan pagi tadi.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop. Manakala dua lagi hakim ialah Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Ma'ah Azhar.

Bagaimanapun, peguam Ketua Umum KEADILAN itu, Karpal Singh berkata dalam sidang media selepas itu, pihaknya akan memfailkan notis untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan esok pagi.

Beliau juga menganggap keputusan tersebut merupakan berat sebelah kerana pihak pembelaan sama sekali tidak dibenar mengemukakan hujah malah tiada sebarang penjelasan dibuat mahkamah berhubung mengapa rayuan Anwar itu ditolak.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Anwar melahirkan rasa kesalnya kerana ruang untuknya mendapatkan pembelaan telah dinafikan tanpa penjelasan yang kukuh.

"Kita kesal dengan keputusan ini iaitu keputusan yang tidak berlandaskan fakta undang-undang, keputusan itu dibuat dan diberikan berdasarkan beberapa kes bagi memperkukuhkan hujah tanpa apa-apa penjelasan.

"Kemudian ia bercanggah dengan kenyataan termasuk oleh pendakwaraya, kalau dia menang tak boleh rayu, tetapi kalau kita menang boleh rayu dan mahkamah terima hujah itu.

"Yang kita minta ialah ruang untuk kita kemukakan hujah. Itupun dinafikan, jadi kita akan buat rayuan di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Anwar juga menyifatkan pihak terbabit yang bertanggungjawab mempercepatkan perjalanan kes itu sebagai jahil berkaitan undang-undang.

"Orang yang menggesa menyegerakan kes ini adalah jahil sama sekali tentang proses undang-undang dan jaminan keadilan dalam negara ini," tegas beliau.

Terdahulu, Hakim Ahmad memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut kerana perbicaraan sedang berjalan.

Beliau berkata, bidang kuasa mahkamah ditentukan oleh Seksyen 50 (1) Akta Mahkamah Kehakiman, sama ada ia boleh mendengar dan menentukan sebarang rayuan ketika perbicaraan sedang berjalan.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah telah menolak permohonan Karpal untuk menggugurkan tuduhan fitnah 2 terhadap Anwar selepas memutuskan bahawa dakwaan hubungan Farah-Saiful tidak menjejaskan kes pendakwa terhadap ketua pembangkang itu.

Dengan memetik beberapa kes, Ahmad turut berkata keputusan Mahkamah Tinggi tidak merupakan satu keputusan sebagaimana dimaksud dalam Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman.

Oleh itu, katanya, mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan tersebut dan seterusnya menolak rayuan Anwar itu.

Perkara ini sepatutnya didengar pada minggu lepas tetapi telah ditangguhkan sehingga hari ini berikutan permohonan pihak pendakwaan berhubung isu penghakiman.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Pendakwaraya Negara II Mohamed Yusof Zainal Abiden telah membangkitkan bantahan awal dengan berkata Anwar tidak mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Ini kerana perintah yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah bukan perintah muktamad.


Sumber: Suara Keadilan

Ulama, Media Pikul Tanggungjawab Berat, Dipersoal Di Akhirat

Posted: 20 Sep 2010 01:20 AM PDT


KOTA BHARU 20 Sept - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tugas yang digalas oleh ulama dan wartawan adalah sama, apa yang membezakan katanya terdapat golongan yang jahat yang dikenali sebagai wartawan upahan manakala ulama pula pula dikenali sebagai ulama palsu dan mereka inilah yang merosakkan masyarakat.

Dalam majlis meraikan para petugas media bertempat di salah sebuah hotel di sini Sabtu lalu beliau menegaskan tugas yang dipikul oleh kedua-dua golongan ini sama berat dan bakal dipersoalkan di akhirat nanti.

"Wartawan menggunakan tulisan dan ulama pula melalui ceramah, mengajar maupun menyertai politik dan wartawan bergerak selari dengan golongan ulama iaitu menyampaikan apa yang disebut oleh ulama dan sekiranya penyampaiannya salah, masyarakat yang akan menerima kesannya.

"Ulama lahir semenjak zaman Nabi manakala wartawan lahir di zaman Eropah dan ada yang mengatakan dari China, namun tugas dua golongan ini adalah sama dan golongan ini akan dipersoalkan di akhirat nanti akan setiap perbuatan dan penulisan yang mereka lakukan di dunia ini" ujar Menteri Besar.

Nik Abdul Aziz turut melahirkan harapannya agar wartawan masa kini dapat membuat keputusan sendiri dalam membuat laporan berita dan dalam konteks negara Malaysia kerana kebanyakan media arus perdana tidak melaporkan perkara yang sebenar terutamanya apabila berkaitan dua kumpulan besar iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

"Kita lihat di negara kita kini, media arus perdana begitu takut untuk melaporkan perkara sebenar, oleh itu saya rasa wartawan yang hadir malam ni kena fikir balik dan jangan lagi duduk dalam akhbar yang bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah dan politik dunia semata-mata," ujar beliau lagi.

Di majlis tersebut juga Menteri Besar membuat perbandingan dua akhbar arus perdana di mana ada yang hanya menyiarkan berita dari pihak kerajaan pusat sahaja dan satu lagi menyiarkan bagi kedua-dua pihak dan rakyat Kelantan kini semakin kurang memilih akhbar yang hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.

Semasa sesi dialog dibuka, antara persoalan yang dibangkitkan wakil media adalah mengapa akhbar arus perdana yang seolah-olah dipinggirkan dalam program Menteri Besar dan kesukaran mendapat maklumat tepat dari pihak kerajaan negeri dalam pelbagai isu.

Nik Abdul Aziz dalam jawapannya berkata mereka bukannya dipinggirkan tetapi mereka sendiri yang menjauhkan diri dari berhadapan dengan kenyataan yang sebenar.

"Saya tahu wartawan ni pada hakikatnya menulis apa yang dilihat sendiri tetapi maklumlah bila kerja dengan akhbar milik Pusat, apa yang dibuat oleh kita serba tak kena dan memberikan kesusahan untuk mereka melaporkan perkara sebenar.

"Saya rasa cukuplah kerja dengan mereka itu, saya nasihatkan supaya buatlah kerja secara jujur kerana di akhirat kita akan dipersoalkan kelak," kata beliau lagi.

Majlis dialog bersama Menteri Besar Kelantan itu dihadiri seramai 30 wartawan dari pelbagai jenis media.

Turut hadir termasuk Pengarah Urusetia Penerangan Abdul Rahman Yunus, Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Zainiah Abdul Halim, Pengarah Tabung Tok Kenali Mohd Khir Zahari, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Ketua Pengelola Halaqat Negeri, Abdullah Razak.


Sumber: Suara Keadilan

Polis Dilihat Cepat Bertindak Terhadap Kes Berprofil Tinggi Sahaja

Posted: 20 Sep 2010 01:15 AM PDT


SHAH ALAM 20 Sept - Kecekapan pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan susulan terhadap kes jenayah tertentu dilihat seperti hanya menumpukan kepada kes berprofil tinggi sahaja manakala banyak kes lain dibiar begitu sahaja.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata ini berikutan terdapat empat laporan polis awal yang dikaitkan dengan suspek pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya sejak Januari lalu tetapi tiada tindakan serius diambil pada masa itu.

"Pertama, saya ingin menegaskan tindakan polis patut dipuji di dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati kerana kita dapat lihat betapa cepat dan lancar polis bertindak sejak mendapat laporan kehilangan beliau bermula dengan proses mencari bukti hinggalah kepada penangkapan suspek.

"Tetapi pada masa yang sama polis gagal mengambil tindakan terhadap empat laporan terdahulu yang diantaranya kehilangan seorang peniaga warga India yang dikaitkan secara langsung dengan suspek kes ini. Tindakan polis yang tidak konsisten ini menimbulkan tanda tanya," tegas Khalid.

Kata beliau, sebelum ini tiada laporan berita langsung mengenai kewujudan empat laporan tersebut sehinggalah kes pembunuhan jutawan kosmetik itu digembar-gemburkan oleh media yang menunjukkan seolah-olah pihak polis cekap dan tepat.

"Ya, tindakan polis bagus dalam kes ini tetapi adakah tindakan kali ini hanya kerana kes ini berprofil tinggi? Apakah polis memilih kes berdasarkan profil yang menyebabkan tiada tindakan atau siasatan dibuat ke atas kes-kes kehilangan sebelum ini kerana mangsanya adalah individu yang tidak dikenali umum dan tiada hubungan politik?" tanya beliau.

Tambah beliau, sekiranya polis menggunakan sumber dan tenaga dengan menumpukan perhatian dalam menyelesaikan kes terdahulu yang difailkan terhadap suspek, sudah pasti suspek tersebut tiada peluang untuk melakukan jenayah lagi.

Khalid seterusnya berkata memandangkan suspek yang merupakan seorang peguam dan didakwa mempunyai hubungan rapat beberapa ahli politik MIC, tentu wujudnya kemungkinan suspek telah menggunakan hubungan politik tersebut untuk melepas atau mengelakkan diri beliau daripada disiasat polis.

Jelas beliau, situasi ini mengguatkan lagi isu yang didedahkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa campurtangan pihak luar sememangnya mengekang tugas polis.

Khalid berkata campurtangan politik jelas dilihat semasa siasatan kes fitnah pertama terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana polis terpaksa menyiasat dengan mengusung tilam ke lokasi saban hari yang telah menjadi bahan ketawa rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa sedangkan pada hakikatnya tiada kes langsung untuk disiasat.

"Dalam siasatan kes Anwar dahulu, polis seolah-olah telah memperbodohkan diri sendiri dengan tindakan mereka dan ini bukan kerana kelemahan di pihak polis tetapi disebabkan campurtangan politik.

"Dalam erti kata lain, pihak polis boleh bertindak cekap jika tiada campurtangan pihak luar dan pada masa yang sama, polis tidak dapat berbuat apa-apa tanpa arahan ataupun jika dihalang oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan," tegas Khalid lagi.

Katanya, keadaan ini membuktikan perlunya satu institusi kepolisan yang bebas tanpa pengaruh mana-mana pihak samada politik mahupun korporat, dan melayan semua aduan yang diterima secara adil dan saksama bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi polis.


Sumber: Suara Keadilan

Najib Mesti Hukum Utusan, DAP Mahu Saman

Posted: 20 Sep 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 20 Sept - Akhbar Utusan Malaysia mesti dikenakan tindakan kerana cuba menghasut pembacanya supaya membenci DAP dengan menyiarkan berita memfitnah dan mengkaitkan parti berkenaan dengan pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, pemandu serta peguamnya dan seorang pegawai bank.

Dalam satu kenyataan media Sabtu lalu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajar mengenakan tindakan keras terhadap akhbar tersebut kerana menyiarkan berita berbentuk hasutan dan fitnah dalam usaha mereka meracun pemikiran pembacanya.

DAP juga menuntut akhbar berkenaan memohon maaf kepada parti kerana cuba menanamkan benih ketegangan perkauman di samping tuduhan melulu yang tidak berasas melalui berita yang disiarkan.

Menurut Tony, persoalan DAP tidak mengutuk pembunuhan kejam empat individu terbabit tidak pernah timbul kerana parti berkenaan sentiasa mengutuk segala perbuatan jenayah yang lebih berat sama seperti kes pembunuhan terbabit.

"Kami (DAP) menerajui di dalam dan di luar Parlimen dalam menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keberkesanan melawan jenayah di negara ini. Bagaimanapun, kerajaan BN di bawah Umno sendiri yang tampak berpuashati dengan rekod situasi jenayah yang semakin meningkat sebelum menurun mengiikut statistik rasmi kerajaan," katanya.

Keduanya dan yang paling penting sekali, kata beliau adalah percubaan keji akhbar milik Umno itu untuk memfitnah dan mendakwa melalui 'berita' yang disiarkan bahawa suspek kes pembunuhan itu adalah ahli seumur hidup DAP tanpa sebarang usaha untuk mengesahkan dakwaan berkenaan.

Sehubungan itu, DAP menegaskan kedua-dua suspek, Pathmanabhan Nalliannen and Surendran Nalliannen bukan dan tidak pernah menjadi ahli DAP pada bila-bila masa sekalipun.

Tony berkata, sejak kebelakangan ini Utusan sentiasa menyiarkan tajuk-tajuk utama akhbar dengan berita yang memfitnah dan tidak berasas yang dimanipulasi seperti "Nama Guan Eng ganti Agong" serta mendakwa Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan tazkirah di sebuah surau.

Meskipun begitu ketara tindakan akhbar terbabit, Najib berulangkali mempertahankan Utusan Malaysia malah memuji akhbar berkenaan kerana dikatakan melaporkan berita dengan beretika dan tidak berat sebelah walaupun berita yang disiarkan menjurus kepada fitnah, hasutan dan memupuk benih perkauman.

Sehubungan itu, kata Tony lagi, bagi mempertahankan nama baik parti berkenaan, DAP tiada pilihan selain mengarah peguam parti berkenaan untuk mengambil tindakan yang perlu termasuk menyaman akhbar terbabit di mahkamah.


Sumber: Suara Keadilan

Selepas Debat Calon Ketua AMK, Ureka Mahu Anjur Debat Calon Timbalan Presiden Pula

Posted: 20 Sep 2010 01:05 AM PDT


KUALA LUMPUR 20 Sept - Penyelaras Universiti Terbuka Perak (Ureka), Afendi Ahmad aka Mat Saman Kati berharap debat bagi calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bakal diadakan di Universiti Industri Selangor (Unisel) sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak pentadbiran universiti tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah menghubungi pihak Unisel dan kini menunggu jawapan disamping menghubungi semua calon yang menawarkan diri untuk merebut jawatan itu.

"Saya sudah hubungi mereka (calon Timbalan Presiden), tapi setakat ini masing-masing berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan," kata Mat Saman Kati.

Beliau menjelaskan tumpuan kini lebih diberikan kepada program debat calon Angkatan Muda KEADILAN yang telah diadakan di Taiping Golf Resort Sabtu lalu.

"Saya lebih teruja dengan debat AMK. Mereka kelihatan cukup matang. Berlainan dengan calon Timbalan Presiden," tambah beliau.

Debat calon AMK tersebut merupakan yang pertama diadakan semenjak penubuhan parti pada tahun 1999.

Setiap speaker telah diberikan masa 15 hingga 20 minit untuk berpidato, dan sesi tersebut dikendalikan oleh Mat Saman Kati sendiri.

Calon yang mengambil bahagian termasuk Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard, Bendahari KEADILAN Terengganu, Rafizi Ramli dan Ketua KEADILAN Cabang Parit Sulong, Hasmi Hashim.

Sementara itu Ketua AMK, Shamsul Iskandar telah menarik diri daripada menyertai debat tersebut kerana menawarkan dirinya bagi jawatan Naib Presiden.

Debat yang berkonsepkan 'presidential debate' seperti yang dibuat di negara-negara maju bertujuan mengenengahkan visi, gagasan dan perancangan bakal Ketua AMK, sekiranya mereka diberikan mandat oleh ahli parti kelak.


Sumber: Suara Keadilan

Ramai Tokoh Wanita Muda Rebut Jawatan Tinggi Parti

Posted: 20 Sep 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 20 Sept - Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pemilihan parti kali ini secara langsung ini telah membuka peluang kepada ramai tokoh wanita muda untuk ikut serta dan dipilih ke perbagai kedudukan kepimpinan di tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Ketua Penerangan, Latheefa Koya berkata perlembagaan parti membenarkan mana-mana wanita untuk tampil bertanding dalam pemilihan di mana-mana peringkat termasuklah pada peringkat Angkatan Muda, wanita dan kepimpinan pusat.

Hal ini kata beliau amat berlawanan sekali dengan peluang yang diberikan di dalam parti-parti lain, yang selalunya hanya terhad kepada jawatan dalam sayap wanita.

"Pemilihan ini juga merupakan ujian terhadap iltizam parti untuk menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita pada semua peringkat pembuatan keputusan parti.

"Proses berterusan untuk mengangkat penyertaan wanita dalam parti juga memperlihatkan beberapa wanita muda memimpin cabang-cabang parti," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Berikut antara nama calon wanita muda yang menawarkan pencalonan dalam Pemilihan 2010 pada pelbagai peringkat:-

Siti Aishah Shaik Ismail, 25

Ketua Serikandi, Sayap Wanita

(tawar calon MPP)

Ginie Lim, 29

Aktivis politik sepenuh masa, calon untuk DUN Machap dalam Pilihan Raya Umum 2008

(tawar calon Exco AMK, MPP)

Sangetha Jayakumar, 27

Peguam, Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor

(tawar calon Naib Ketua AMK Pusat)

Eunice Ong, 27

Peguam

(tawar calon Naib Ketua AMK Pusat)

Zara Zahari, 33

Exco AMK Pusat

(tawar calon Exco AMK Pusat)

Fione Tan, 32

Ahli Jawatankuasa KEADILAN Cabang Cheras, Eksekutif Insurans

(tawar calon Exco AMK Pusat)

Maisuri Zainal, 25

Ahli Jawatankuasa Srikandi

(tawar calon Exco AMK)

Hamiza Che Ahmat, 39

Pimpinan AMK Pulau Pinang

(tawar calon Timbalan Ketua Wanita Cabang Batu Kawan)

Juwairiya Zulkifli, 25

AJK Srikandi, Graduan IT

(tawar calon AJK Wanita Pusat)

Nurul Izzah Anwar, 30

Ahli Parlimen Lembah Pantai

(tawar calon Ketua Cabang Lembah Pantai, MPP)

Yee Ling, 27

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Hulu Selangor

(tawar calon AJK Wanita Pusat)

Renuka T Bala, 37

Peguam Hak Asasi Manusia, anggota Cabang PJS

(tawar calon MPP)

Ngeow Chow Ying, 36

Peguam

(tawar calon Ketua Cabang Seputeh

Erveanna Ansari, 34

Peguam, Sabah

(tawar calon Ketua Cabang Sepanggar, Naib Ketua AMK)

"Parti amat menyokong penyertaan wanita muda dan mereka tidak boleh dipandang remeh semata-mata untuk mencukupkan angka kuota wanita. Ramai di kalangan mereka telah menunjukkan komitmen terhadap parti dan perjuangannya, berkelayakan, berdikari dan berkemampuan untuk menjadi pimpinan muda," kata Latheefa.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: