Jumaat, 17 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Polis Lambat Bertindak, Majlis Peguam Kesal

Posted: 17 Sep 2010 01:45 AM PDT


KUALA LUMPUR, 17 SEPT- Majlis Peguam Malaysia kesal dengan sikap polis yang melengah-lengahkan siasatan terhadap peguam yang mempunyai rekod jenayah walaupun laporan polis telah dibuat.

Menurut Presidennya, K Ragunath, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam pada setiap tahun dan laporan polis telah dibuat terhadap mereka yang terlibat namun tiada sebarang tindakan diambil.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun hanya itu kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah, polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam yang menyeleweng," katanya seperti yang dilaporkan Bernama selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini timbul cadangan daripada pemimpin masyarakat dan orang ramai yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saranan itu dibuat berikutan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua adik-beradik peguam.

Selain itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah, isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki, iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor, sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.


Sumber: Selangorkini

Keluar PKR, Ketua Wanita Perak Sangsi Nama 72 'Ahli'

Posted: 17 Sep 2010 01:40 AM PDT


IPOH 17 SEPT: Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Fathmawaty Salim sangsi dengan pengisytiharan 72 wanita yang mengaku dari ahli wanita PKR Cabang Ipoh Perak yang mendakwa keluar parti.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ada ahli wanita keluar parti, sebaliknya meragui kesahihan identiti 72 wanita yang mengaku sebagai ahli parti.

"Saya tidak kenal siapa Siti Aminah atau nama-nama lain yang mengaku keluar parti itu. Berita itu tidak benar langsung," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Malah, beliau berkata, Ketua Cabang Ipoh Barat, Francis juga tidak mengenali Siti Aminah atau nama lain sebaliknya mereka pasti semua ahli wanita parti negeri ini, kekal dalam perjuangan tanpa ada yang belot.

Katanya, dakwaan keluar parti memang kerap kedengaran sebelum ini khususnya melibatkan cabang berkenaan tetapi semakan lanjut mendapati, semuanya tidak benar belaka.

"Dulupun, ada kata 100 orang keluar parti tapi hakikatnya tidak ada," katanya yang menganggap berita seumpama sebagai sebahagian usaha mengganggu gugat kemantapan Wanita Perak.

Terdahulu, Bernama melaporkan seramai 72 wanita mengaku keluar PKR Cabang Ipoh Barat hari ini atas alasan hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan parti.

Wakil kumpulan itu, Siti Aminah Mansor mendakwa cabang berkenaan kini menjadi parti perkauman kerana hanya mempunyai anggota daripada satu kaum sahaja.

"Ahli yang mengisi jawatan dalam cabang dan pemilihan jawatan di peringkat cabang tidak diketahui semua anggota kerana tiada sebarang notis diberikan kepada kami," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mendakwa ada di kalangan ahli yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu dan fitnah terhadap ahli daripada kaum lain bagi membolehkan orang tertentu menguasai cabang berkenaan.

Sumber: TVselangor

Sekolah Hamil Dibuka Tanpa Kemasukan Pelajar

Posted: 17 Sep 2010 01:35 AM PDT


JASIN 17 SEPT: Sekolah yang dicadang kerajaan Melaka untuk menempatkan pelajar mengandung dibuka secara rasmi di sini, pagi tadi tanpa kemasukan pelajar.

Bagaimanapun, Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Rumah Harapan, Datuk Abdul Rahman Abdul Karim berkata pengurusan sekolah itu hanya memperoleh tiga panggilan bertanyakan operasi sekolah berkenaan.

Ketika ditemui pemberita, Pengerusi Lembaga Sekolah Harapan Rumah Harapan, Datuk Abdul Rahman Abdul Karim berkata sekolah itu akan melindungi pelajar mengandung luar nikah dari terus tersesat jauh.

"Setakat ini kami sudah terima tiga panggilan dan satu mesej bertanyakan permohonan kemasukan pelajar ke sekolah ini," katanya yang menyifatkan hal itu sebagai perkembagan baik.

Beliau berkata panggilan telefon itu diterima dari pelajar dari Johor dan Negeri Sembilan, malah salah satu daripadanya bertanyakan sama ada sekolah itu boleh disertai mereka yang berusia lebih 30 tahun yang mahu menyertainya.

Sumber: TVSelangor

'Ustaz Kamal' Serah Sumbangan Aidilfitri Dalam Masjid

Posted: 17 Sep 2010 01:30 AM PDT


SHAH ALAM 17 SEPT: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari mendedahkan gambar Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan menyerahkan sumbangan cek dalam Masjid Sungai Tengi Selatan yang dipercayai berlaku pada kempen pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Pendedahan itu dibuatnya dalam blog beliau yang turut memuatkan kritikan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) termasuk memuatkan gambar ahli jawatankuasa masjid berpakaian tertera logo Barisan Nasional (BN).

Pada paparan blog bertajuk Umno, Kura-kura dan Perahu, Khalid kesal kerana tiada pihak termasuk Umno yang mendakwa perbuatan 'Ustaz Kamal' itu menghina dan mencemar kesucian masjid, sebaliknya cuma berdiam diri.

Khalid turut menyindir ahli parlimen berkopiah dipercayai merujuk kepada ahli parlimen di kalangan Umno, sebagai berdiam diri walaupun terpaksa menerima sumbangan orang kafir kerana 'sibuk menikmati juadah Aidilfitri'.

"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi Mais menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?" tulis beliau.

Sebelum ini, tindakan Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutama di kalangan pemimpin Umno dan BN.

Malah, Mais memberi amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu atas alasan perbuatan berkenaan mendatangkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sumber: TVSelangor

Jenapala Calon Ketiga Umum Hasrat Rebut Timbalan Presiden

Posted: 17 Sep 2010 01:25 AM PDT


KUALA LUMPUR 17 Sept - Gelanggang pertarungan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semakin hangat dan menarik apabila bekas Timbalan Setiausaha Agung PS Jenapala menawarkan diri bertanding kerusi itu hari ini.

Jenapala menjadi calon ketiga mengumumkan secara rasmi hasrat mengisi kerusi tersebut yang dikosongkan oleh Senator Dr Syed Husin Ali apabila memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandang beliau sejak 2003, Selasa lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim merupakan orang pertama menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Kuantan 6 September lalu.

Ini ikuti pula oleh Naib Presiden Azmin Ali yang berbuat demikian ketika sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Dalam satu kenyataan yang diemel kepada Suara Keadilan Jenapala berkata keputusan beliau bertanding bagi jawatan kedua tertinggi dalam KEADILAN didorong oleh empat faktor - perwakilan yang adil serta rasa hormat kepada komuniti India di dalam KEADILAN, menguji tahap demokrasi dalam parti, mengesahkan KEADILAN sebagai sebuah parti yang pluralistik dan berbilang kaum serta pemerkasaan ahli peringkat akar umbi.

"Saya mempunyai rasa hormat yang ama tinggi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Inilah apa yang dijanjikan oleh parti sebelum Mac 2008 apabila Datuk Seri Anwar menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan untuk bersama-sama KEADILAN menegakkan keadilan dan mewujudkan Malaysia yang lebih baik," kata beliau.

Jenapala berkata beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN disebabkan masalah kewangan tetapi kini ia telah hampir selesai.

"Saya berharap KEADILAN menghormati keputusan saya sebagai ahli parti untuk bertanding dalam pemilihan yang akan berlangsung tanpa terlibat dalam kempen memburuk-burukkan calon," ujar Jenapala.

Sumber: Suara Keadilan

Hujah Pembelaan Gugur Kes Fitnah 2 Didengar Isnin

Posted: 17 Sep 2010 01:20 AM PDT


PUTRAJAYA 17 Sept - Permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggugurkan tuduhan liwat terhadapnya akan didengar isnin depan berikutan bantahan awal pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau sebelum ini dianggap muktamad.

Hakim Datuk Ahmad Maarop yang mengetuai panel Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan untuk menangguhkan rayuan itu ke 20 September ini agar Karpal menyiapkan hujah mengenai isu bidang kuasa mahkamah itu untuk mendengar perkara berkenaan.

Peguam Cara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan membuat bantahan awalan dengan mengatakan Anwar tidak mempunyai hak merayu keputusan Mahkamah Tinggi kerana ia bukan perintah yang terakhir.

Anwar di dalam twitter berkata beliau kesal dengan tindakan mengejut pihak pendakwaan yang membuat bantahan tanpa memberi notis kepada pihak pembelaan.

Menurut ketua pasukan peguambela, Karpal Singh beliau tidak dimaklumkan berhubung bantahan awal itu dan tidak bersedia berhujah buat masa ini.

"Peruntukan Seksyen 3 Akta Kehakiman Mahkamah yang menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan rayuan mengenai perkara interlokutori akan diputuskan dalam perbicaraan kerana keputusan itu dianggap bukanlah perintah terakhir," hujah beliau.

Bagaimanapun, sebaik perbicaraan dihentikan seketika, Hakim Datuk Md Raus Sharif, Datuk Sulong Mat Jeraie dan Datuk Asar Ma'ah memutuskan untuk memberikan pasukan pembelaan sehingga jam 9.00 pagi Isnin depan untuk membuat persiapan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair pada sidang medianya di luar mahkamah bahawa berikutan dengan penangguhan itu hari ini, perbicaraan liwat tersebut yang ditetapkan untuk sebutan pada Isnin akan ditanguhkan ke Selasa ini.

"Mereka tidak memberi kami notis. Kami tidak melihatnya (pihak pendakwaan) datang. Biasanya, di bawah undang-undang, jika anda ingin membuat bantahan awal, anda harus memberitahu kepada kami dua minggu sebelumnya melalui surat," katanya.

Mengulas lanjut, Sankara menambah bahawa beliau akan meminta Mahkamah Tinggi untuk memindahkan mahkamah perbicaraan Anwar pada Isnin.

"Pendengaran akan didengar pada Isnin, dan keputusan tersebut akan diberikan pada hari yang sama.

"Kita tidak mungkin menganggap bahawa hal itu tidak akan diberikan jadi kami menukarkan ke Mahkamah Tinggi untuk meneruskan perbicaraan utama pada hari Selasa," tambah beliau.

Pada 16 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan yang meminta agar tuduhan liwat itu digugurkan ekoran dakwaan hubungan romantis antara saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Beliau membuat permohonan tersebut pada 2 Ogos lalu berikutan dakwaan hubungan intim antara pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif yang didakwa boleh menjejaskan kredibiliti dan ketelusan kes itu.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar pada 16 Ogos lepas dengan alasan bahawa keterangan bertulis oleh DPP Mohd Hanafiah Zakaria dan menyiasat pegawai Judy Pereira sudah cukup untuk membuktikan bahawa Farah tidak mengetahui banyak dokumen siasatan dan pengadilan, dan bahawa peranannya hanya terbatas untuk mencatat nota perbicaraan.

Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah juga mengatakan bahawa sejak Farah tidak bertanggungjawab dalam melakukan soal siasat terhadap saksi, tidak akan ada 'pengaruh' dari Saiful pada Farah sebagai akibat dari 'perselingkuhan'.

Farah sejak saat itu telah digugurkan dari pasukan pendakwaan. Anwar kemudian mengajukan permohonan balas atas keputusan Mahkamah Tinggi hari yang sama.


Sumber: Suara Keadilan

Pembunuhan Kejam Sosilawati Hasil Fahaman Sekular Umno-BN

Posted: 17 Sep 2010 01:15 AM PDT


KOTA BHARU 17, Sept - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pimpinan negara khususnya Perdana Menteri supaya tidak hanya meletakkan tanggungjawab kepada imam dan lebai sahaja untuk memperingatkan rakyat berhubung isu pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

"Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja. Seolah-olah persoalan iman dan taqwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid. Inilah benih yang dituai oleh sekular sekian lama dan kini menampakkan hasilnya.

"Masyarakat diulit dengan demokrasi yang tidak pernah menyebut persoalan iman di dalam sukatan pengajiannya. Apabila iman tidak diperkenalkan, lahirlah generasi kepimpinan yang langsung tidak pernah tertarik untuk mengajak rakyat untuk beriman. Natijahnya, terbentuklah suasana yang kita saksikan pada hari ini," jelas Menteri Besar.

Mengulas pembunuhan tragis itu, beliau berkata tidak ada sesiapa pun boleh menerima perbuatan seorang manusia membunuh orang lain kerana nyawa seorang manusia itu tidak dimiliki oleh sesiapa pun hatta dirinya sendiri.

"Pihak pimpinan negara sepatutnya menjalankan tugas menghebahkan peringatan agar rakyat bertaqwa dan gerun dengan azab kubur dan siksa api neraka.

"Tanpa peringatan seperti ini, tidak ada penghalang yang boleh mendinding manusia daripada melakukan jenayah dan hasilnya, kita mendengar kes-kes pembunuhan kejam berlaku sepanjang masa tanpa mengira bangsa dan agama," tegas Nik Abdul Aziz.

Katanya lagi, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak ada rasa malu dan aib di hati pembunuh.

Tambah beliau, sepatutnya, perasaan malu dan aib inilah yang merupakan jentera keselamatan yang boleh mengawal diri manusia daripada melakukan perkara yang mendatangkan mudarat samada kepada diri sendiri atau orang lain.

Jelasnya, Rasulullah SAW sebagai Perdana Menteri pertama negara Islam Madinah sentiasa mengulang sebut peringatan agar beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT di dalam setiap ucapannya kepada rakyat.

Iman selaku kembar siam kepada Islam adalah penghalang yang paling teguh daripada melakukan jenayah.

Oleh kerana pemimpin negara ini adalah orang Islam, justeru individu yang sangat perlu dicontohi ketika memimpin ialah Rasulullah SAW.

Nik Abdul Aziz mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah yang telah dibunuh dengan kejam bersama pemandu, pegawai bank dan peguamnya.

"Saya harapkan supaya keluarga mereka semua dapat bersabar dengan ujian Allah SWT ini ditambah pula ia berlaku pada saat umat Islam sedang bersedia menyambut Hari Raya Eidulfitri," ujarnya.

Pada masa yang sama beliau melahirkan keyakinan jika perkara ini dititikberatkan oleh kepimpinan negara akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat.

"Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja. Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti," tegasnya lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Hanya Pakatan Rakyat Mampu Bawa Reformasi Tulen Di Sabah, Sarawak

Posted: 17 Sep 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 17 Sept - Hanya Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan dan reformasi tulen di Sabah dan Sarawak yang bukan sahaja menegakkan keadilan sosial kepada semua golongan tetapi juga menjamin dasar kepedulian terhadap rakyat terutama menjamin pembelaan rakyat miskin dan terpinggir.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Senator Dr Syed Husin Ali berkata curahan berbilion ringgit daripada kerajaan Umno-Barisan Nasional kononnya untuk memaju dan membangunkan Sabah dan Sarawak hanya menguntungkan pemimpin dan kroni mereka dan sedikit sekali dikecapi oleh rakyat terbanyak.

Katanya, Umno-BN hanya menggunakan kedua-dua negeri tersebut tidak lebih sebagai kantung undi dan bergantung untuk mengekalkan tampuk kekuasaan mereka.

"Sebenarnya kewujudan Umno-BN hanya bergantung kepada sokongan dari Sabah dan Sarawak dan sekiranya kedua-dua negeri ini berubah menyokong Pakatan Rakyat maka sudah tentu kuasa politik Umno-BN akan tumbang.

"Walaupun kewujudan Umno-BN banyak bergantung kepada Sabah dan Sarawak kita lihat tidak ada pembelaan yang serius dilakukan terhadap golongan miskin dan terbiar di negeri itu. Malah kadar kemiskinan di Sarawak adalah antara yang tertinggi dan Sabah pula dikategorikan sebagai negeri termiskin di Malaysia.

"Rancangan berbilion ringgit yang dicurahkan ke Sabah dan Sarawak hanya menguntungkan kroni Umno-BN dan amat sedikit sekali memberi impak kepada golongan miskin dan terpinggir," kata beliau kepada Suara Keadilan.

Sikap cakap tak serupa bikin yang diamalkan Umno-BN menyebabkan kedua-dua negeri tersebut masih mundur jika dibanding negeri-negeri di Semenanjung sungguhpun dari segi hasil bumi Sabah dan Sarawak jauh lebih kaya dan makmur.

"Umno-BN hanya harapkan undi sahaja dari Sabah dan Sarawak dan koridor pembangunan yang dilancarkan hanya menguntungkan segelintir kroni yang rapat dengan pimpinan dan kebanyakannya masih tidak berjalan lagi. Rancangan ini juga tidak menaikkkan taraf kehidupan rakyat miskin dan terbiar.

"Golongan Penan umpamanya diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai kaum yang termiskin didunia dan terdedah kepada pelbagai eksploitasi termasuk seks," tegas Dr Syed Husin.

Sementara itu tokoh wartawan veteran, Said Zahari berkata keputusan kerajaan mengiktiraf Hari Malaysia pada 16 September sebagai cuti umum tidak memberi makna kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

"Ini bukannya isu baru. Kenapa sekarang setelah hampir 50 tahun mahu mengiktiraf dan mengumumkan 16 September sebagai cuti umum?

"Umno-BN sudah melihat tanda-tanda Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi berasa selesa dengan dasar mereka, jadi cuti Hari Malaysia ini hanya satu gula-gula untuk memenangi hati rakyat kedua negeri itu.

"Tetapi saya rasa tindakan ini tidak berkesan kerana agak sudah terlambat. Ia tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, kemiskinan tegar masih menghantui kebanyakan rakyat walaupun sudah 47 menerima gagasan Malaysia," kata Said.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN 'Penjajah' Baru Di Bumi Sarawak

Posted: 17 Sep 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 17 Sept - Rakyat Sarawak merasakan setelah 47 tahun bergabung dalam gagasan Malaysia, mereka hanya menggantikan penjajah Inggeris dengan satu lagi penjajah lain dalam bentuk Umno-Barisan Nasional.

Ahli Undangan Negeri Padungan, Dominique Ng berkata ini jelas dilihat daripada tindakan kerajaan yang mengiktiraf Hari Malaysia sebagai cuti umum selepas hampir lima dekad wujudnya Persekutuan Malaysia.

"Baru sekarang kerajaan Umno-Barisan Nasional mengiktirafkan sambutan Hari Malayia. Apabila selama 46 tahun Umno-BN hanya menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun dan meminggirkan 16 September, kami di Sarawak merasakan peranan dan sumbangan kami kepada Malaysia tidak diiktiraf langsung.

"Ini kerana 31 Ogos hanya menandakan pembebasan Semenanjung Malaysia daripada penjajah Inggeris dan bukannya pembentukan Malaysia. Kita merasakan rakyat negara ini hanya menggantikan satu penjajah dengan satu penjajah yang lain dan buktinya selepas 47 tahun Sarawak menjadi negeri keempat termiskin di antara 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia.

"Mungkin Najib berfikir kalau tidak kerana Sarawak beliau tidak mungkin menjadi Perdana Menteri hari ini dan sebab itu beliau terpaksa mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum," kata Dominique ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut beliau Pakatan Rakyat telah menyambut Hari Malaysia dengan penuh semangat patriotik sejak 2005 dengan menaikkan Jalur Gemilang di Padang Merdeka (dahulunya Central Padang), tempat bersejarah dimana deklarasi penubuhan Malaysia dimasyhurkan.

"Bagaimanapun kami sering kali diganggu gugat oleh pihak polis dengan mengatakan apa yang kami lakukan adalah perhimpunan haram kerana tidak ada permit. Adakah menaikkan bendera negara sendiri dikategorikan sebagai sastu jenayah? Saya katakan kepada pihak polis kalau tidak kerana bendera yang saya kibarkan dipadang ini di mana datangnya undang-undang negara ini?" soal beliau lagi.

Dominique menegaskan selama 47 tahun Umno-BN hanya melihat Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan hasil mahsul dan dieksplotasi sebanyak mungkin oleh pemimpin, kaum keluarga dan kroni Umno-BN.

Tambahnya, hanya setelah Pakatan Rakyat menafikan Umno-BN majoriti dua pertiganya buat pertama kali dalam sejarah, barulah ia sedar keyakinan rakyat Sarawak terhadapnya semakin hari semakin pudar.

Sumber: Suara Keadilan

AMK Pulau Pinang Sokong Shamsul Naib Presiden, CheGuBard Ketua AMK

Posted: 17 Sep 2010 01:00 AM PDT


BUKIT TAMBUN 17 Sept - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang menyatakan sokongan kepada Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi merebut jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti November depan.

Ketuanya, Amir Md Ghazali dalam sidang media yang diadakan di Stadium Batu Kawan petang semalam turut menyatakan sokongan bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard bagi merebut jawatan Ketua AMK Pusat.

Amir juga berkata sokongan ini melenyapkan teka-teki yang menjadi persoalan di kalangan anggota AMK yang ingin mengetahui pendirian sebenar AMK Pulau Pinang.

"Berdasarkan kepada kredibiliti,kesungguhan dan visi serta misi yang akan di bawa, kami AMK Pulau Pinang memberi sokongan tanpa berbelah bagi demi menguatkan kepimpinan parti dan barisan kepimpinan AMK supaya aspirasi untuk memenangi pilihan raya umum yang ke-13 akan datang menjadi realiti.

"Berdasarkan kepada komitmen yang telah ditunjukkan oleh kedua-dua calon sebelum ini, kita yakin mereka mempunyai ruang untuk mempamerkan satu reformasi bagi melonjakkan kedudukan AMK dan juga parti ke era yang lebih mencabar dan berjaya," tegas Amir.

Beliau yang memenangi jawatan Ketua AMK Cabang Permatang Pauh tanpa bertanding mengharapkan pemilihan yang julung kali diadakan secara undian langsung ahli dimanfaatkan secara baik dan adil.

Beliau juga berkata Shamsul yang telah berjaya membawa AMK ke satu tahap yang dihormati oleh akar umbi sepatutnya diberi ruang yang lebih luas supaya kewibawaan yang ada padanya akan terus dapat dimanfaatkan oleh parti dalam jangkamasa panjang.

Manakala CheGuBard pula dilihat sebagai salah seorang calon yang mampu bertarung dan mempertahankan kebenaran berdasarkan kepada komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang perjuangan beliau selama ini.

Turut hadir dalam sidang media tersebut termasuk Exco AMK Pusat, Amizuddin Ahmad dan Setiausaha AMK Pulau Pinang, Syed Mikael Rizal Aidid.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: