Selasa, 7 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Pilihanraya PBT Dijangka Akan Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan

Posted: 07 Sep 2010 12:10 AM PDT


7 Sept - Kaji selidik yang dijalankan mendapati sebahagian besar penduduk bandar di Selangor mahu kerajaan Pakatan Rakyat negeri ini akan merealisasikan cadangan untuk mengadakan pilihanraya bagi memilih ahli-ahli pihak berkuasa tempatan ataupun PBT di Selangor.

Pengerusi Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri kerajaan Selangor, Teresa Kok percaya pelaksanaan cadangan itu akan menjadi bukti betapa kerajaan Selangor mengutamakan demokrasi dalam serba serbi pentadbirannya

Pilihan raya PBT adalah elemen penting dalam amalan demokrasi sebelum 1964 tetapi ia dimansuhkan walaupun kerajaan Umno Barisan Nasional berjanji untuk menyambung semula amalan itu.

Selepas beberapa dekad pimpinan Umno BN masih gagal menunaikan janji, sebaliknya Pakatan Rakyat yang membawa cadangan untuk menghidupkan semula pilihan raya PBT.

"Sebenarnya di kawasan Bandar atau di kawasan bandar kebanyakan penduduk memang mahu diadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan" kata Teresa.

Kajian peringkat kebangsaan yang dijalankan Merdeka Centre sebelum ini mendapati 71 peratus mahu pilihan raya PBT diadakan semula.

Sebahagian besar respondan ialah masyarakat Cina - 75 peratus, India - 71 peratus dan Melayu - 68 peratus.

"Mereka mahu kerana mereka rasa adalah satu proses demokrasi dimana, yang mana mereka amat berharap ini dapat realisasikan" kata beliau lagi.

Berdasarkan kaji selidik, penduduk Selangor berpendapat kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian maklumat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan bertambah baik dengan adanya pilihan raya PBT.

"Selain daripada itu, mereka juga berpendapat bahawa kalau adanya pilihanraya PBT, ini akan menambah baikkan mutu perkhidmatan dan juga sistem penyampaian kerajaan tempatan" ujar Teressa mengakhiri perbualan.


Sumber: TVSelangor

Lagi 13 Wakil Rakyat Sokong Azmin, Sembilan Dari Selangor

Posted: 07 Sep 2010 12:09 AM PDT


Seramai 13 ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan Negeri Sembilan hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir pada sidang media yang bertujuan menyatakan sokongan kepada Pengerusi PKR Selangor itu, iaitu Yaacob Sapari, Amiruddin Shari, Suhaimi Shafei, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Xavier Jeyakumar.

Pada sidang media itu, mereka menyatakan seramai 13 ADUN termasuk kelima-lima mereka menyokong Azmin pada pemilihan yang berlangsung pertengahan 17 September hingga 21 November ini.

Selain mereka, ADUN yang didakwa menyatakan sokongan tetapi tidak hadir sidang media berkenaan ialah Rodziah Ismail, Lee Kim Sin, Gan Pei Nei dan Haniza Talha manakala ADUN dari Negeri Sembilan adalah Amiruddin Harun, Rashid Latif, Ravi Munusamy dan Chai Tong Chai.

ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari berkata Azmin adalah calon terbaik untuk bergandingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengasaskan politik baru di negara ini.

"Ketokohan, kepimpinan dan ketahanan diri beliau sudah teruji. Sebagai pelopor kanan, bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail akan memperkemas dan memperteguh parti menuju ke mercu jaya," katanya.

Kerusi nombor dua hieraki parti itu kosong berikutan penyandangnya , Syed Hussin Ali, seorang senator Dewan Negara sebelum ini yang dijangka tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Bagaimanapub, Yaakob berkata sokongan yang dibuat hari ini bukan untuk menjatuhkan sesiapa, sebaliknya menganggap menzahirkan sokongan adalah hak seseorang wakil rakyat.

Pada akhirnya, kata beliau, ahli akar umbi PKR yang akan membuat undi bagi memilih pemimpin.

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi pula menyifatkan proses menyatakan sokongan ini bukan amalan tidak sihat dalam sesuatu proses pemilihan parti, sebaliknya turut diaplikasi di negera maju termasuk United Kingdom.

"Proses menyatakan sokongan ini adalah persaingan yang sihat dalam membuat sebarang pemilihan pimpinan dalam mana- mana parti," katanya

Mereka turut menyatakan penghargaan kepada Syed Husin kerana banyak berjasa dan berkorban memantap dan mempertahankan parti dari serangan musuh tradisinya, Umno Barisan Nasional.

Proses pemilihan parti 2010 melibatkan 218 cabang dan setengah juta anggota pamrti yang kesemuanya layak mengundi dan memilih kepimpinan di peringkat cabang dan pusat.


Sumber: TVSelangor

KM Sarawak: Tiada Tanda Taib Sedia Berundur

Posted: 07 Sep 2010 12:08 AM PDT


7 Sept - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan sudah bersiap sedia untuk menerajui BN Sarawak menghadapi pilihan raya negeri, walaupun beliau sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mungkin akan berundur apabila tiba masanya.

Pendapat ramai di Sarawak ketika ini ialah beliau sememangnya pemimpin untuk Sarawak ketika ini.

Seorang penulis terkenal Amerika Denis Waitley pernah berkata: Ada dua pilihan utama dalam kehidupan, iaitu untuk menerima keadaan mengikut seadanya, atau mengambil tanggungjawab untuk mengubahnya.

Nampaknya anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mahu menggoncang kestabilan, kerana mereka berpendapat hanya beliau sahaja yang mampu mengekalkan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin parti komponen dalam BN Sarawak.

Kriteria itu merupakan perkara penting untuk menerajui negeri dan mesej ini jelas disuarakan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Kuching Ahad lalu, sekaligus menggambarkan kedudukan kukuh Taib dalam parti.

Menurut satu sumber parti, pemimpin-pemimpin penting PBB bimbang sekiranya Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak 1981 mengundurkan diri sebelum pilihan raya negeri, ia mungkin menggugat kestabilan parti dan juga BN Sarawak.

"Ramai di kalangan anggota BN Sarawak bimbang sekiranya Taib tidak cukup mantap untuk menerajui pilihan raya. Apa sahaja pendapat anda tentangnya, dia mempunyai kepimpinan uang kukuh bagi memastikan segalanya berjalan lancar semasa pilihan raya, dan jentera pilihan raya bersatu di bawah satu pentadbiran," katanya.

"Sekiranya Taib mengambil keputusan untuk berundur sekarang, bagaimana penggantinya dapat mengekalkan perpaduan dalam parti, terutama dalam menangani isu-isu seperti calon berpotensi dan permainan politik dalaman yang akan memberi kesan terhadap jentera semasa tempoh berkempen?" tambahnya.

Beliau berkata sebarang keputusan terlalu awal di pihak Taib untuk berundur ketika ini pastinya akan menggugat kestabilan parti.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi penjelasan kepada tindakan timbalan presiden parti PBB Tan Sri Alfred Jabu yang mengumumkan bahawa 71 cawangan PBB menyuarakan ikrar taat setia kepada Taib untuk terus memimpin sebagai Ketua Menteri, Pengerusi BN Negeri dan Presiden PBB.

Katanya kepimpinan Taib amat penting dan diperlukan bagi mengekal kestabilan politik Sarawak, keamanan, keharmonian serta perpaduan yang tidak tergugat, dan kerajaan negeri memerlukan Taib untuk mengekalkan disiplin bagi memastikan kerjasama kukuh antara parti-parti komponen BN Sarawak, di samping menjanjikan prestasi yang cemerlang dan berintegriti dalam BN.

Satu lagi sumber dalaman parti berkata Taib sendiri memberi taklimat kepada anggota Majlis Tertinggi Ahad lepas mengenai rancangan bagi menggantikan tempatnya dan memberi penjelasan mengenai kontroversi yang timbul ekoran kenyataan beliau sebelum ini menegnai kesanggupannya untuk berundur.

Tidak ada anggota Majlis Tertinggi yang sanggup memberi komen mengenai rancangan itu kecuali berkata mereka memberi sokongan penuh kepada Taib untuk terus menerajui negeri dan parti.

Antara yang dilihat berpotensi menjadi pengganti Taib ketika ini selain Jabu ialah Timbalan Presiden II Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg, dan Naib Presiden kanan 1 Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

Bagaimanapun masih ada kemungkinan lain yang tidak boleh diketepikan.

Contohnya Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu yang baru dilantik sebagai penasihat khas kepada pejabat Ketua Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal awam pada 2 April lepas yang memberikan beliau setaraf dengan menteri, Datuk Seri Adenan Satem.

Pelantikan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu sebagai penasihat khas kepada Taib turut mencetuskan cakap-cakap politik dalam arena politik negeri.

Adenan sebelum ini pernah disebut-sebut untuk menggantikan Taib, namun beliau dikatakan tidak sefahaman dengan Ketua Menteri pada tahun 2006, dan sejak itu beliau 'menghilangkan diri' buat seketika.

Sebelum ini ada beberapa pemimpin PBB yang dikatakan berpotensi untuk mengambil alih teraju kepimpinan, antaranya termasuk Allahyarham Tan Sri Sulaiman Daud, Datuk Seri Effendi Norwawi, Datuk Bujang Ulis dan Datuk Abang Abu Bakar Mustapha, bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan.

Pada tahun 2006, Taib memberi petunjuk bahawa beliau akan kekal sebagai Ketua Menteri untuk penggal semasa yang akan berakhir Jun tahun depan.

Bagaimanapun bagi pilihan raya berikutnya, ketika ini nampaknya Taib akan terus menjadi kata pemutus kepada kepimpinan negeri. - Bernama

Dakwaan Ke Atas Pembikin Video Bawah Pokok Ditangguh

Posted: 07 Sep 2010 12:07 AM PDT


7 Sept - Dakwaan ke atas ADUN Tebing Tinggi Ong Boon Piow kerana memiliki DVD yang belum diluluskan oleh lembaga penapisan filem telah ditangguhkan.

Menurut Ong, dakwaan berkenaan sepatutnya dibacakan di Mahkamah Mejistret Ipoh, pagi ini tetapi ditangguhkan atas arahan ketua pendakwa negeri.

"Mereka sedang menuju arahan lanjut dari Putrajaya," katanya ketika dihubungi.

Ong petang semalam diarahkan oleh polis untuk hadir di mahkamah berkenaan hari ini. Pihak pendakwaan juga hari hari ini.

Beliau dijangka akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002. Jika terbukti bersalah, Ong boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun, denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali.

DVD kontroversi itu memuatkan rakaman sidang tergempar dewan undang negeri Perak pada 3 Mac 2009 yang diadakan di bawah sebatang pokok yang dirakamkan oleh Ong.-MALAYSIA KINI

Wanita Dakwa Dimarahi Tidak Tahu Bahasa Malaysia Semasa Buat Laporan

Posted: 07 Sep 2010 12:07 AM PDT


KUALA LUMPUR, 7 Sept - Polis hari ini mengambil keterangan daripada Loh See Moi, wanita yang mendakwa dimarahi oleh seorang pegawai penyiasat kerana tidak pandai berkomunikasi dalam bahasa Malaysia ketika membuat laporan di Balai Polis Kepong pada 28 Ogos lepas.

Wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu hadir ke balai polis itu pada kira-kira 11 pagi tadi bersama Nick Ong, pembantu khas Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Ong berkata, Loh memberitahunya bahawa anggota polis dari Bukit Aman datang ke rumahnya pada 3.30 petang semalam.

"Hari ini Loh See Moi turut dipanggil ke Balai Polis Kepong untuk hal yang sama," katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, pegawai penyiasat itu kini menjalankan tugas pentadbiran sementara menunggu siasatan dijalankan.-SINAR ONLINE

Musa Dedah KDN Campur Tangan Urusan Polis

Posted: 07 Sep 2010 12:05 AM PDT


Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pahit dan manis sepanjang 41 tahun bersama pasukan PDRM itu.

Katanya jika ada arahan dari pihak yang salah, masalah lapuk (campur tangan) ini akan terus menerus berlaku selain menegaskan antara pihak ketiga itu adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

Selain itu beliau turut kecewa ada sesetengah anggota dan pegawai PDRM yang tidak bersama-sama menanamkan sifat integrasi dalam diri mereka ketika anggota lain berbuat sedemikian.

"Bila saya cuba hendak tingkatkan integrasi, ada sebilangan yang cuba rosakkan seperti terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa serta merosakkan imej PDRM," katanya.

Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini.

Ketika ditanya mengenai bagaimana perasaannya apabila diumumkan beliau tidak akan disambung kontrak tempoh hari, Musa berkata perkara terbabit tidak diketahuinya sehinggalah pengumuman dibuat.

"Tiada orang bagi tahu saya mengenai perkara itu. Saya tahu sendiri apabila ia diumumkan," katanya yang menyambut baik pengumuman itu selain berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang perkhidmatannya.

Ketika ditanya mengenai nasihatnya kepada orang awam, beliau berkata masyarakat perlu mempunyai 'first class mentality' dengan tidak bertindak sendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah sehingga melanggar undang-undang.

Menurutnya masyarakat juga perlu menghormati anggota polis yang bertugas sehingga ada yang mengorbankan nyawa mereka dalam menjaga keselamatan negara.

"Bila kes kematian penjenayah akibat tindakan polis, sesetengah masyarakat pandang serong.

"Bagaimana dengan kematian anggota polis ketika bertugas? Jangan layan kami seperti penjenayah kerana kami juga sebahagian dari masyarakat dan kami menjaga keselamatan kamu," katanya.

Dalam pada itu, Musa berharap agar penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, dapat meneruskan pelan strategik lima tahun PDRM dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan anggota mereka sendiri.

"Pelan Strategi Lima Tahun PDRM tidak boleh dihentikan kerana ada pelan untuk penstrukturan semula polis untuk fokus pada tugas penting terutamanya membanteras jenayah.

"Sebab itu kita wujudkan jabatan baru seperti 'terrorism and research'. Ini adalah penting supaya kita boleh bertindak dengan cepat dalam sesuatu kes," katanya.

Menurut beliau ketika ini pelan terbabit baru mencapai tahap 48 peratus dan diharap pelan ini akan diteruskan yang antara lain meningkatkan kualiti penyiasatan, menambah anggota dan memperbanyakkan balai polis.

Ketika ditanya apa yang ingin dilakukannya selepas bersara, Musa berkata kini adalah masa yang paling sesuai baginya untuk berehat panjang memandangkan jarang mengambil cuti selain ingin menjadi rakyat yang baik.

"Ya, jika ada kesempatan saya ingin melawat rakan-rakan saya di mana-mana balai atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"Selain itu mengajar cucu saya untuk menjadi rakyat yang lebih baik," katanya.

- Bernama

Pandangan Nurul Izzah Kena Tepat Kepada Golongan Berpandangan Sempit

Posted: 07 Sep 2010 12:04 AM PDT


SHAH ALAM 7 Sept - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pucuk pimpinan Umno hanya bercakap tentang 1Malaysia, tetapi pada hakikatnya berkongsi pendapat dengan golongan perkauman sempit Melayu.

Senator Dr Syed Husi Ali menegaskan pandangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bahawa frasa 'hak istimewa' Melayu dan 'ketuanan Melayu' tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi yang wujud hanya 'kedudukan istimewa', telah mengoncang pendapat golongan yang berfikiran sempit.

"Sekurang-kurangnya tiga orang menteri kanan, termasuk PM Najib telah menegur atau mengecam pandangan yang dikemukakan serta cabaran yangdibuat oleh YB Nurul Izzah terhadap pemimpin Perkasa.

"Nyata sekali pandangan serta cabaran anggota Parlimen Lembah Pantai telah menyengat dan mengena tepat pada sasaran.

"Mana-mana perlembagaan negara bukannya seperti al-Quran ciptaan Allah yang tidak boleh diubah oleh manusia. Perlembagaan Persekutuan telah dipinda lebih 40 kali," kata Dr Syed Husin dalam kenyataannya hari ini," tegas beliau.

Beliau berkata prinsip Nurul Izzah, selari dengan pendirian yang diambil oleh KEADILAN serta juga PAkatan Rakyat ialah mendukung seluruh semangat Perlembagaan Persekutuan seperti yang wujud kini, termasuk fasal-fasal yang mengenai kedudukan Islam, Sultan serta Bahasa Melayu, dan juga kedudukan istimewa Melayu asalkan ia tidak disalahguna untuk memuaskan kerakusan golongan berkuasa yang memang sudah istimewa.


Sumber: Suara Keadilan

Johan Jaaffar, Farid Ridzuan Perlu Letak Jawatan

Posted: 07 Sep 2010 12:03 AM PDT


SHAH ALAM 7 Sept - Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Eksekutif, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan didesak meletakkan jawatan segera dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya diatas kecuaian membenarkan penyiaran iklan Aidilfitri yang berunsur syirik sejak seminggu lalu.

Walaupun iklan tersebut telah ditarik balik sejak dua hari lalu namun kesan dan pengaruh elemen syirik yang dianjur oleh iklan tersebut dijangka memberi kesan mendalam kepada golongan belia serta kanak-kanak.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) yang dimiliki oleh Media Prima dianggap tidak langsung mengambil berat tentang isu sensitiviti agama Islam apabila menyiarkan iklan Aidilfitri yang mirip kepada sambutan perayaan Hari Natal.

Beliau berkata penyiaran iklan tersebut telah menimbulkan bantahan dan kemarahan umat Islam di negara ini malah iklan itu seolah-olah menggalakkan unsur syirik ditengah-tengah masyarakat Islam di Malaysia.

"Tindakan TV3 menamatkan penyiaran iklan tersebut bukan dapat menyelesaikan segala-galanya atau meredakan kemarahan umat Islam tetapi mereka yang berperanan seperti pengurusan tertinggi syarikat perlu mengambil seluruh tanggungjawab ke atas penyiaran iklan itu.

"Menamatkan penyiaran iklan tersebut bukan satu jawapan kepada bantahan yang diterima daripada rakyat dan ia tidak tamat disitu sahaja, apa yang pasti dan paling penting adalah Johan Jaaffar serta Farid Ridzuan perlu tampil untuk membuat penjelasan secara terbuka kepada rakyat dan memohon maaf bagaimana perkara tersebut boleh terlepas.

"Saya pasti bagi mengembalikan suasana tenang kedua-dua mereka perlu meletak jawatan, ini sebagai tanda mereka mengambil tanggungjawab atas segala apa yang berlaku," tegas Salahuddin kepada Suara Keadilan.

Salahuddin juga melontarkan persoalan samada firma komunikasi antarabangsa pro Zionis-Israel, Apco Worldwide menjadi dalang disebalik penyiaran iklan dan adakah Apco juga mahu rencah 1Malaysia dicapai melalui iklan tersebut.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan memantau dengan tegas sebarang iklan yang mempunyai unsur syirik yang boleh memesong akidah umat Islam.

"Iklan tersebut jelas mempunyai unsur syirik yang mana boleh memesongkan akidah seseorang terutamanya kanak-kanak yang mempunyai sifat keinginan mengetahui sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Kita risau tanpa tindakan segera perkara yang memesongkan ini akan bersemadi di dalam diri kanak-kanak yang mengikuti iklan tersebut.

"Kita tidak mahu acuan yang digunakan untuk memastikan konsep 1Malaysia ini mendapat perhatian rakyat terus mencemar sambutan Aidilfitri yang bakal tiba nanti," ujar beliau lagi.

Dalam iklan yang disiarkan sejak Khamis lalu, sempena sambutan Aidilfitri, TV3 menggambarkan seorang Pak Haji mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.

Penyiaran tersebut menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.

Iklan itu juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.

Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 yang banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer atau 'computer generated imaging' (CGI).


Sumber: Suara Keadilan

Kerajaan Pakatan Rakyat Tidak Rompak Harta Rakyat Seperti Umno-BN

Posted: 07 Sep 2010 12:03 AM PDT


BUKIT MERTAJAM 7 Sept - Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat tidak mengamalkan prinsip rompak hasil mahsul negeri dan kemudian mengagihkan sedikit daripadanya kepada rakyat seperti mana yang menjadi budaya Umno-Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan disebabkan ketelusan Pakatan Rakyat, maka Umno-BN menyerang bertubi-tubi kerajaan negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana memberi ancaman kepada agenda merompak harta rakyat.

"Jika mereka merompak wang rakyat, balak, tanah dan saham untuk diagihkan kepada kroni bagi memenuhi temolok mereka dan sebahagian daripada itu diagihkan kepada orang miskin bukanlah satu tindakan yang betul.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah jauh bezanya daripada Umno-BN. Kita tidak merompak hak orang lain. Kerajaan pimpinan Lim Guan Eng memberikan wang penghargaan berdasarkan kepada perbelanjaan yang berhemah dan berjimat cermat.

"Merompak, mengambil hak orang lain, mengagihkan kepada kroni dan penyokong sahaja bukan menjadi amalan dalam mana-mana kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat," tegas Anwar lagi semasa menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan waris warga emas yang meninggal dunia di Dewan Mutiara, Bukit Mertajam Ahad lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengiktiraf golongan warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dengan syarat mereka telah mendaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang bagi menerima sumbangan RM100 seorang.

Sehingga ini seramai 107,625 warga emas telah pun menikmati wang penghargaan tersebut.

Ia juga menunjukkan peningkatan lebih 25,000 warga emas mendaftar dibandingkan seramai 83,000 warga emas sahaja yang mendaftar sebelum ini.

Manakala bagi waris kepada warga emas yang kematian ibu dan bapa akan menerima RM1,000 sebagai sumbangan mengurangkan beban yang ditanggung waris.

Sehingga 24 Ogos 2010, sejumlah 776 pewaris telah menerima sumbangan itu yang melibatkan kos sebanyak RM776,000 yang salurkan melalui sistem i-sejahtera yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

"Dalam tempoh yang singkat pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berjaya membela nasib rakyat. Sistem pemerintahan yang bijak mampu memberi manfaat kepada kerajaan dan juga rakyat.

"Oleh kerana itu sokongan dan dokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir beberapa buah negeri harus ditingkatkan lagi bagi mencapai hasrat kita menuju ke Putrajaya," tambah Anwar.

Turut hadir pada majlis sumbangan tersebut termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman serta Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy.


Sumber: Suara Keadilan

KBGM Jahil Perlembagaan Telah Dipinda 40 Kali Dalam 53 Tahun

Posted: 07 Sep 2010 12:01 AM PDT


SHAH ALAM 7 Sept - Badan Peguam menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Kelab Belia Graduan 1Malaysia (KBGM) terhadap Kempen Perlembagaanku adalah akibat kurangnya pemahaman dan maklumat berkenaan kempen tersebut lebih-lebih lagi mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media semalam, PresidenBadan Peguam, Ragunath Kesavan berkata kebimbangan KBGM bahawa buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh kempen itu (Buku Panduan Rakyat) yang bersifat menghasut adalah tidak benar sama sekali.

"Tujuan kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang Perlembagaan di kalangan rakyat Malaysia kerana ia memberi makna kepada negara kita. Ia langsung tidak menjadi matlamat Badan Peguam untuk cuba membuat pindaan terhadap Perlembagaan.

"Kempen ini tidak bersifat kepartian dan kami mengambil segala usaha untuk menjalinkan usahasama dengan semua pihak yang mahu bekerjasama dengan kami. Setakat ini, aktiviti-aktiviti kami telah dihadiri dan disokong oleh seorang Menteri dan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang Ketua Menteri, dua Menteri Besar, Ahli-ahli Parlimen termasuklah Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat dan pihak lain," jelas Ragunath.

Beliau menegaskan kerisauan utama KBGM adalah berhubung kandungan Buku Panduan Rakyat yang mengatakan Perlembagaan boleh dipinda oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

"Ini sememangnya ada dinyatakan di dalam Perlembagaan. Dalam pengetahuan kami, Parlimen telah meminda Perlembagaan lebih daripada 40 kali dalam masa 53 tahun yang lalu dengan lebih kurang 650 pindaan individu.

"Secara amnya, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen. Namun demikian, terdapat beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan seperti yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu, yang hanya dapat dipinda dengan kebenaran Majlis Raja-raja," kata beliau lagi.

Ragunath menolak dakwaan KBGM bahawa kempen tersebut dibiayai oleh NGO asing anti-kerajaan.

Beliau menjelaskan kempen PerlembagaanKu tidak mengaut sebarang keuntangan dan ia dibiayai sepenuhnya oleh Badan Peguam Malaysia disamping menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuklah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, badan politik dan bukan politik dan juga rakyat Malaysia.

"Kempen PerlembagaanKu bertujuan untuk memaklumkan rakyat Malaysia tentang apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan. Ia mengalakkan orang ramai untuk membaca Perlembagaan dengan sendiri dan mempelajari tentang apa yang terkandung dan tidak terkandung di dalam Perlembagaan.

"Dalam hal ini, kami percaya kebimbangan KBGM dapat diatasi dengan ilmu pengetahuan berkenaan Perlembagaan. Kami menjemput KBGM untuk mengadakan perbincangan dan sedia bekerjasama dengannya untuk bersama-sama 'Merakyatkan Perlembagaan'," ujar Ragunath.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: