Rabu, 1 September 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


IGP: Ismail Omar ganti Musa Hassan

Posted: 01 Sep 2010 01:45 AM PDT

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan diberi lanjutan kontrak untuk kali ketiga dan jawatannya akan diambil oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut SMS berita dari Utusan Malaysia, perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi berbulan-bulan lamanya tentang jawatan Musa yang berakhir hujung bulan ini.

Musa, 59, mencapai umur persaraannya pada 2007 tetapi kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali. Lanjutan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk pembangkang dan aktivis hak asasai manusia.

Sumber: Malaysiakini

Rafizi Umum Tanding Ketua AMK, Perkenal Barisan 'Generasi Reformasi'

Posted: 01 Sep 2010 01:40 AM PDT


PETALING JAYA 1 Sept - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Mohd Rafizi Ramli hari ini secara rasmi mengumumkan keputusan beliau untuk bertanding merebut jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN dalam pemilihan parti.

Mohd Rafizi, 33, yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor muncul dengan barisan kabinet bayangannya yang dinamakan 'Generasi Reformasi' yang dianggotai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau akan berganding bahu dengan Naib Ketua AMK yang juga ADUN Batu Caves, Amirudin Shari yang akan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin serta ADUN Hutan Melintang, S Kesavan masing-masing akan bertanding sebagai Naib Ketua AMK.

Kumpulan yang mengandungi ADUN Teja, Chang Lih Kang, bekas Ketua AMK Selangor, Halimey Abu Bakar, Ketua Biro Integrasi KEADILAN Perak, M A Tinagaran dan bekas Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Saifullah Zulkifli akan merebut jawatan Exco AMK.

Mohd Rafizi membuat pengumuman tersebut pada satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Tropicana, Petaling Jaya tengahari tadi.

Turut sama pada sidang media itu ialah Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tetapi beliau tidak mengumumkan sebarang hasrat untuk bertanding jawatan dalam AMK.

Selain Rafizi, beberapa nama lain yang disebut-sebut akan menentang penyandang Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin ialah Ahli MPP, Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard dan Ketua Cabang Parit Sulong, Hasmi Hashim.

Jawatan Ketua AMK dianggap antara kerusi panas pada pemilihan KEADILAN yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Rafizi berkata AMK sebagai barisan teraju utama pimpinan muda dalam KEADILAN yang diberi tangggngawab mendekati anak muda memerlukan suntikan dan dinamisme baru bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan menarik sokongan golongan muda.

"Isu-isu yang diperjuangkan perlu melambangkan isu yang rapat dan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda ini. Kita perlu ingat 4.6 juta pengundi muda ini mempunyai citarasa, pengalaman dan kehendak yang berbeza.

"Oleh sebab itu pada pendapat kami pendekatan yang perlu diambil oleh AMK dalam menghadapi PRU ke-13 juga perlu dipelbagaikan.

"Pendekatan yang baru, isu yang perlu lebih luas dan rapat dengan anak muda supaya kita boleh menarik minat anak muda yang pada ketika ini kurang berminat dengan politik," ujar beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik dari Universiti Leeds.

Mohd Rafizi yang dikatakan kurang dikenali dan tidak mendapat sokongan padu di kalangan ahli AMK di peringkat akar umbi, merupakan antara yang terawal terlibat dalam menyusun gerakan reformasi pada 1998 bersama aktivis mahasiswa dalam PKPIM dan Gabungan Mahasiswa islam Se-Malaysia (Gamis).

Anak kelahiran Besut ,Terengganu ini juga merupakan penggerak utama dalam laman Free Anwar Campaign semasa kebangkitan awal refromasi bersama reformis Raja Petra Kamaruddin dan Dr Abdul Rahim Ghouse.

Beliau juga pernah menjadi Exco Pemuda Keadilan di bawah portfolio antarabangsa semasa Ezam Mohd Nor mengetuai sayap pemuda itu.

Bagaimanapun Rafizi menarik diri dari beberapa jawatan parti bermula pada 2004 selepas tidak bersetuju dengan beberapa keputusan pimpinan.

Katanya, 'atas semangat politik baru' pada masa itu beliau membuat keputusan mengundurkan diri demi menghormati keputusan majoriti parti.

"Kalau kita tidak bersetuju dan tidak berani mempertahankan keputusan majoriti yang telah dibuat parti pada ketika itu, kita perlu menarik diri. Kita tidak boleh berada dalam kepimpinan dan pada masa yang sama mensabotaj keputusan pimpinan.

"Itu pendirian yang saya ambil dan sebab itu saya tarik diri daripada jawatan parti. Bermula 2004, saya ahli KEADILAN biasa dan aktif di peringkat bawahan sahaja dan membantu pimpinan yang ada. Sepanjang masa itu saya memberi perhatian terhadap kerjaya," kata beliau yang juga bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad.


Sumber: Suara Keadilan

DPMMS Tolak Kerjasama Dengan Kerajaan Negeri

Posted: 01 Sep 2010 01:35 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) bahawa mereka telah dipinggirkan dalam pembangunan ekonomi di negeri itu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menjelaskan sebenarnya DPMMS sendiri telah gagal memainkan peranan selaku pertubuhan perniagaan.

"Kerajaan Pakatan Rakyat meletakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban sebagai asas pentadbiran. Pada masa yang sama, kita sentiasa melibatkan rakyat dari pelbagai peringkat untuk terbabit sama dalam merangka polisi dan dasar kerajaan negeri.

"Sejak mentadbir Selangor, Pakatan Rakyat secara berterusan mengadakan pertemuan dan sesi dialog dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan pandangan sebelum apa-apa dasar atau polisi digubal.

"Malah buat julung kalinya sebuah kerajaan negeri menganjurkan Sesi Dialog Bajet sebelum pembentangan bajet negeri dilakukan. Sesi dialog ini merupakan salah satu cara bagi mencapai hasrat kerajaan dalam usaha merakyatkan ekonomi negeri.

"Ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk terlibat sama memberi pandangan bagaimana meningkatkan pendapatan negeri dan mengurus perbelanjaan berhemah," jelas Faekah dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga menganjurkan Dialog Pelan Tiga Tahun Selangor di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mewujudkan perkhidmatan tempatan yang berkesan dan efisyen.

"Kerajaan Negeri telah menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan perniagaan untuk memberi pandangan dan cadangan sebagai nilai tambah kepada Bajet 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini. DPMMS adalah antara kumpulan perniagaan yang dijemput.

"Malangnya, DPMMS telah menolak jemputan Kerajaan Negeri. DPMMS sesungguhnya berpeluang untuk melontarkan pandangan hatta rungutan namun mereka gagal mengggunakan peluang dan cabaran yang diberikan ini atas alasan yang mereka sahaja mengetahuinya," tegas beliau lagi.

Justeru itu Faekah menyifatkan rungutan DPMMS bahawa kerajaan negeri tidak memberi peluang kepada pertubuhan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Pihak kerajaan katanya sentiasa membantu semua pihak bagi menjalankan perniagaan atau memperkembangkannya tanpa unsur pilih kasih.


SumberL Suara Keadilan

Pengarah Jais Akan Dipanggil Perjelas Tindakan Terhadap Surau Al Huda

Posted: 01 Sep 2010 01:30 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berkata pihaknya akan memanggil Pengarah Jabatan Agaman Islam Selangor (Jais), Datuki Mohammed Khusrin Munawi untuk mendapatkan penjelasan mengenai tindakan yang diambil beliau membubar Jawatankuasa Surau Al Huda di Kajang Sentral berhubung isu lawatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke surau tersebut 22 Ogos lalu.

"Berhubung dengan isu penyertaan Teo yang telah diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu, saya telah diberi penjelasan oleh pentadbiran Surau Al Huda mengenai kejadian tersebut dan apa yang saya boleh perjelaskan di sini adalah Ahli Parlimen Serdang memang dijemput sebagai tetamu atas sifat beliau sebagai Ahli Parlimen Serdang. Beliau dijemput menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor di bawah Parlimen Serdang.

"Beliau juga telah dijemput masuk ke dewan solat surau untuk menyampaikan bantuan dan seterusnya menyampaikan ucapan ringkas. Ucapan beliau hanya tertumpu kepada usaha-usaha kerajaan negeri dalam membantu pelajar yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

"Tetapi perkara ini telah dieksploitasi oleh pihak yang ingin menangguk di air keroh. Keadaan ini telah menimbulkan reaksi segera di pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais, dalam masa yang sama Pengerusi serta Bendahari surau dan Pembantu Khas kepada Teo telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Pengerusi Mais, Pengarah Jais dan wakil Istana.

"Sejurus selepas pertemuan tersebut, keputusan telah diambil tetapi ia merupakan satu keputusan yang tidak dibayangkan dalam pertemuan itu dan seperti yang dilaporkan, keputusan yang diambil ialah membubarkan jawatankuasa surau dan Mais mengambil alih pentadbiran surau tersebut," jelas Dr Hassan.

Tambah beliau lagi media telah membuat laporan yang berat sebelah mengenai kejadian ini yang mengatakan Teo menyampaikan tazkirah serta didakwa menyampaikan bantuan kewangan kepada ahli PAS.

"Berdasarkan rentetan kejadian di atas saya telah mengambil inisiatif untuk memanggil Jawatankuasa Surau Al Huda untuk menjelaskan kepada saya kejadian yang sebenarnya, selain itu juga saya telah menerima penjelasan daripada Teo dan menghormati hasrat beliau untuk menyembah ampun maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

"Saya akan cuba menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik demi menjaga sensitiviti setiap golongan rakyat, mereka perlu memaklumkan rancangan kehadiran mereka kepada pihak yang berwajib supaya tatacara penggunaan surau dan masjid dapat dipatuhi. Dengan cara ini diharapkan kejadian yang berlaku di Serdang tidak berulang.

"Dalam pada itu saya juga akan mencadangkan supaya digubal peraturan yang lebih mendalam dengan memperincikan langkah yang mesti diambil dan tatasusila yang mesti dipelihara bagi mereka yang berhajat menggunakan kemudahan surau dan masjid di Negeri Selangor," tehas beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Tuduhan Rozali Tidak Berasas, DPMMS Pinggirkan Diri

Posted: 01 Sep 2010 01:25 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok menyifatkan tuduhan Pengerusi Eksekutif Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail bahawa kerajaan negeri Selangor meminggirkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) adalah palsu serta tidak berasas.

Beliau berkata kerajaan negeri sememangnya berhasrat membangunkan ekonomi negeri melalui pengembangan perniagaan, termasuklah agenda untuk mempromosi industri halal dan pembangunan ekonomi kaum Bumiputera.

"Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri Selangor sentiasa berhubung dan berbincang dengan semua pihak perniagaan yang berkait melalui dialog terbuka supaya ia dapat dilakukan secara bersih dan telus.

"Kerajaan negeri Selangor tidak pernah dan tidak mungkin akan meminggirkan, memulaukan atau mengecualikan mana-mana dewan perniagaan daripada proses ini.

"Contohnya, kerajaan negeri Selangor telah menganjurkan sesi dialog mengenai bajet tahunan negeri pada 26 hingga 27 Julai lalu, semua dewan telah dijemput hadir, termasuk DPMMS. Pertubuhan seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Real Estate and Housing Developers Association Malaysia (Rehda) telah menghantar wakil mereka untuk mengutarakan pendapat dan mewakili kepentingan mereka di dalam forum tersebut, tetapi DPMMS tidak hadir walaupun telah dijemput dan ketidak hadiran mereka amat mengejut dan mengecewakan," jelas Teresa dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri Selangor juga telah menubuhkan suatu majlis penasihat yang dipanggil Majlis Perniagaan Selangor (Selangor Business Council).

"Kami telah melantik para perniagaan, penganalisa dan ahli ekonomi dari pelbagai latar belakang untuk menjadi ahli majlis inil, termasuklah ahli-ahli perniagaan Melayu dan pakar ekonomi Melayu dan juga ahli-ahli DPMMS.

"Ini membuktikan bahawa tuduhan bahawa kerajaan negeri Selangor telah meminggirkan para peniaga Melayu adalah suatu pembohongan dan penyebaran maklumat palsu," jelas Teresa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara .


Sumber: Suara Keadilan

Darjah Selangor Ling, OC Phang Digantung

Posted: 01 Sep 2010 01:20 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Sultan Selangor hari ini mengambil tindakan menggantung gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, Phang Oi Chooi

Dalam satu kenyataan media, setiausaha kerajaan negeri Selangor, berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah membuat keputusan itu setelah berunding dengan Dewan DiRaja Selangor pada 19 Ogos lalu.

Sultan Selangor menggantung darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang dianugerahkan kepada Liong Sik pada tahun 1992 manakala gelaran darjah Kebesaran Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka yang dianugerah kepada beliau pada tahun 2001 juga diambil tindakan sama.

Menurut kenyataan itu, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran kedua-dua mereka itu akan disemak semula jika mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Liong Sik di dakwa pada 29 Jun lalu di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek "Mega Distribution Hub" di Pelabuhan Klang mengikut seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan.

Beliau mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dengan sebutan kes ditetapkan pada 3 September ini.

OC Phang pula didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan di mahkamah sesyen Klang melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,000 di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Okt 2004 dan 5 Sept 2005.

Beliau juga berdepan dengan dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21,600,000 dan RM134,550,000.

Kes beliau yang akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam telah ditangguhgkan dari 25 Ogos ke 26 hingga 29 Oktober depan.


Sumber: Suara Keadilan

Umno 'Arif' Agama Anjur Pertandingan Menghias Pengantin Dalam Surau

Posted: 01 Sep 2010 01:15 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept Ogos - Dalam usaha giat Umno-Barisan Nasional melempar fitnah siang dan malam terhadap pemimpin Pakatan Rakyat tanpa mengira samada bulan suci Ramadhan atau tidak, parti usang ini lupa bahawa Umno Kuala Langat bersama Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) didakwa pernah menganjurkan pertandingan tatarias pengantin di dalam premis yang dipercayai ruang solat Surau Al Falah.

Pertandingan tersebut yang menjadi sebahagian daripada program Karnival Juara Rakyat yang didakwa diadakan pada 9 Mei lalu yang disertai oleh sekumpulan belia lelaki dan perempuan Islam yang bergaul secara bebas tanpa batasan muhrim.

Perkara ini didedahkan dalam sedutan video selama dua setenganh minit melalui laman sosial Facebook yang menyiarkan rakaman pertandingan tatarias pengantin di dalam surau tersebut.

Klip video yang bertajuk 'Jawapan Kepada Isu Teo Nie Ching Masuk Surau' menyiarkan rakaman sekumpulan wanita yang dipercayai anggota Puteri Umno di dalam sebuah bangunan yang mana pada pintunya tertera papan tanda 'Surau Al-Falah'.

Lawatan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al Huda di Kajang Sentral 22 Ogos lalu telah dijadikan bahan politik murahan Umno-BN dengan mendakwa ahli politik DAP itu telah mencemarkan kesucian ruang solat surau tersebut dengan menyampaikan ucapan ringkas.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melabelkan Nie Ching sebagai orang bukan Islam yang 'kotor'.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan pimpinan Umno sebagai jahil agama apabila menghalang orang bukan Islam untuk datang ke surau dan masjid bagi tujuan baik, sedangkan dalam masa yang sama merekalah yang kedepan sekali mencemar kesucian tempat ibadah tersebut.

"Ini membuktikan Umno tidak menghormati kawasan atau ruang orang Islam melakukan ibadat. Bagi mereka semuanya halal dan boleh belaka," kata Abdullah Sani.

Apa yang mengejutkan program Juara Rakyat anjuran Umno itu menjadikan ruang solat surau tersebut sebagai tempat bagi pertandingan mendandan sekumpulan gadis yang mengambil bahagian dalam pertandingan menghias pengantin itu.

Klip video itu turut memaparkan beberapa wanita Islam yang tidak memakai tudung menutup aurat dihiasi serta dikenakan mekap oleh pendandan lelaki.

Pada montaj klip video tersebut dipaparkan persoalan untuk renungann, 'Umno Kecam Teo Masuk Surau Kerana Tidak Menutup Aurat Dan Membawa Isu Politik Ke Dalam Surau, Tetapi Tahukah Anda Puteri Umno Tidak Menutup Aurat Dan Mereka Membawa Isu Politik Ke Dalam Masjid?'.

"Jika benarlah rakaman video tersebut, tindakan inilah yang sebenarnya menghina rumah ibadat," tambah Abdullah Sani.

Beliau berpendapat Umno-BN akan terus memainkan isu sensitif perkauman dan agama, terutamanya apabila sokongan rakyat kepada mereka semakin menurun.

Baginya tindakan tersebut merupakan usaha bagi memecahbelahkan masyarakat di negara ini.

"Memang inilah budaya Umno. Kepada mereka, semuanya halal. Judi halal, rasuah halal dan menyalah gunakan rumah ibadat pun halal. Nampaknya Umno ingin mengatasi hukum agama," tegas Abdullah Sani.


Sumber: Suara Keadilan

Perak Calon Mustaffa Untuk Jawatan Timbalan Presiden KEADILAN

Posted: 01 Sep 2010 01:10 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Mesyuarat Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak semalam sebulat suara bersetuju untuk mengesa Pengerusi MPN, Mustaffa Kamil Ayub bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti pada November nanti.

Menurut Anuar Zakaria, Setiausaha MPN Perak dalam satu kenyataan media, kepimpinan peringkat negeri serta semua 24 Ketua Cabang di negeri itu menyatakan Mustaffa merupakan tokoh yang paling layak memegang jawatan Timbalan Presiden KEADILAN memandangkan beliau mempunyai asas serta kualiti kepimpinan yang cemerlang semenjak berada dalam parti pada 1999.

"Saudara Mustaffa Kamil Ayub berpengalaman memimpin Parti Keadilan Rakyat sebelum ini sebagai, Pemangku Ketua Pemuda selama 2 tahun, Setiausaha Agung selama 3 tahun dan Naib Presiden selama 6 tahun.

"Beliau juga diberi kepercayaan yang tinggi oleh Presiden dan kepimpinan parti mengetuai negeri Terengganu dan Sarawak sebagai Pengerusi Keadilan Negeri dan berjaya menyelesaikan kemelut kedua-dua negeri ketika dilanda masalah.

"Saudara Mustaffa Kamil Ayub juga turut diberi kepercayaan oleh Presiden dan kepimpinan parti menjadi Pengerusi Biro Antarabangsa dan Biro Latihan," tegas kenyataan itu.

MPN Perak berkata Mustaffa seterusnya dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN Negeri Perak pada November 2009 dan berjaya menyelesaikan konflikdan kemelut yang melanda negeri itu suatu ketika dahulu.

Melalui kepimpinan beliau, satu perubahan besar telah dilakukan melalui gagasan Memimpin Agenda Perak (MAP) yang diilhamkan oleh Mustaffa sehingga menjadikan KEADILAN Perak disegani oleh rakan dan digeruni pihak lawan.

"Majlis Pimpinan Negeri Perak yakin sekiranya Saudara Mustaffa Kamil Ayub bersedia untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, beliau mempunyai keupayaan yang tinggi memberi sumbangan yang bermakna kepada KEADILAN untuk menjadi sebuah parti yang unggul di negara ini.

"Majlis Pimpinan Negeri Perak juga memutuskan dan menyatakan sokongan kepada YB Dr Lee Boon Chye, Naib Presiden dan Ahli Parlimen Gopeng dan Dr Mohd Nur Manuty, Ahli Majlis Pimpinan Pusat yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan yang akan datang," ujar kenyataan itu lagi.

MPN Perak juga mengumumkan calon bagi jawatan anggota MPP yang mewakili negeri itu:

1. Madzi Hassan, Naib Pengerusi MPN Perak

2. Zulkify Ibrahim, Ketua Penerangan MPN Perak

3. Ismail Yusof, Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak

4. Usaili Alias, Ketua Cabang Parit

5. YB S Kesavan, Naib PengerusI MPN Perak & ADUN Hutan Melintang

6. YB Tai Sing Ng, Bendahari MPN Perak & ADUN Kuala Sepetang

7. Muzaffar Shah Khairuddin, Exco AMK Pusat & Negeri Perak

8. Siti Aisyah Shaik Ismail, Ketua Srikandi Pusat

Sehubungan itu, MPN Perak meminta supaya pimpinan Cabang dan ahli di peringkat akar umbi untuk mencalonkan kesemua nama yang tersenarai semasa proses pencalonan MPN kelak.


Sumber: Suara Keadilan

Perkauman Tajaan Umno Semakin Galak Di Bawah Pentadbiran Najib

Posted: 01 Sep 2010 01:05 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Pentadbiran setahun jagung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memperlihatkan tahap ketegangan antara kaum dan agama serta sentimen perkauman yang jauh lebih membimbangkan daripada lima Perdana Menteri sebelum ini dalam sejarah 53 tahun negara merdeka.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata sambutan kemerdekaan tahun ini sepatutnya memberikan rasa bangga kepada semua rakyat Malaysia dengan slogan '1Malaysia Menjana Transformasi' tetapi pada hakikatnya prestasi Najib pada tahun pertama memegang jawatan amat mengecewakan.

"1Malaysia Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan oleh kerajaan Januari lalu menyatakan tujuan 1Malaysia adalah untuk menjadikan Malaysia lebih bagus, produktif dan berdaya saing dan akhirnya menjadi negara yang lebih baik di mana setiap warga Malaysia akan mendahulukan Malaysia sebelum bangsa dan agama masing-masing.

"Tetapi kesemua ini jatuh merudum apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin berkata beliau seorang Melayu dahulu, kemudian baru Malaysia. Anehnya, tiada Menteri dalam Kabinet yang menyuarakan penentangan,' kata Kit Siang.

Kata beliau, GTP 1Malaysia juga menyatakan Malaysia telah memilih satu pelan yang unik dengan menitikberatkan pelbagai kaum dan memastikan keadilan untuk semua kekal seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan Malaysia.

Tetapi kata beliau, tajuk utama berita sejak 24 jam lalu telah membuktikan keadaan sebaliknya seperti,'Perkasa menggesa mengekalkan pengetua yang berucap menghina kaum lain', 'Perkasa mahu semua warga bukan Islam dilarang memasuki masjid dan surau', 'Ibrahim Ali mendesak tindakan tegas diambil ke atas Teo kerana memasuki surau'.

"Semua ini tidak langsung mencerminkan 1Malaysia yang didakwa dibangunkan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, dan melalui pelbagai undang-undang, polisi, Rukunegara, Visi 2020 dan Misi Kebangsaan," tegas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Beliau menjelaskan minggu lalu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal konsep Bangsa Malaysianya sendiri semasa melancarkan Visi 2020 pada 1990 dan sembilan matlamat utamanya apabila beliau cuba menyamakan meritokrasi dengan unsur perkauman.

Katanya lagi, retorik terbaru ialah apabila Najib mengisytiharkan 'zero tolerance for racism' (tiada toleransi untuk perkauman) tetapi tidak ada pun tindakan diambil terhadap pengetua sekolah sehingga kini, dan slogan itu akan berakhir sebagai tema kosong sahaja.

"Slogan 'zero tolerance for corruption' (tiada toleransi untuk korupsi) juga akan berakhir sebagai sesuatu yang retorik, memandangkan korupsi semakin berleluasa, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula gagal mengambil tindakan setiap kali laporan diberi yang menyebabkan SPRM hilang segala penghormatan yang diberi oleh rakyat.

"Ke mana Malaysia setelah 18 bulan adanya 1Malaysia oleh Najib?," tanya Kit Siang lagi.


Sumber: Suara Keadilan

MEB Hanya Cantik Atas Kertas Kalau Terus Amalan Kronisme

Posted: 01 Sep 2010 01:00 AM PDT


SHAH ALAM 1 Sept - Model Ekonomi Baru (MEB) hanya akan berjaya sekiranya kerajaan Umno-Barisan Nasional mampu menamatkan amalan pemberian kontrak kepada kroni yang terbukti tidak mampu melaksanakan projek sehingga menyebabkan ia terbengkalai.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Umno-BN telah menganugerahkan banyak projek kepada kroni dan kaum kerabat pemimpin mereka sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan dana tambahan bagi menyiapkan projek terbengkalai.

"Sebagai contoh, Lebuh Raya Timur Barat yang terhenti di Kuala Terengganu, Hospital Shah Alam yang terbengkalai dan banyak projek lagi mengalami kegagalan kerana pemberian kontrak kepada kroni oleh kerajaan Umno-BN," tegas Khalid ketika berucap di forum Rancangan Malaysia Ke-10 anjuran majalah Leader di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah beliau, MEB memperlihatkan satu pelan yang bagus di atas kertas tetapi pada realiti perlaksanaannya jauh lebih keadaan yang dibayangkan.

Oleh kerana itu kerajaan perlu mempunyai kemahuan politik yang kukuh jika benar-benar inginkan MEB berjaya.

Mengulas hujah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyentuh mengenai sasaran ekonomi muluk yang digariskan oleh MEB, Khalid sebaliknya menyatakan sasaran yang diperkatakan dilihat memberangsangkan tetapi sasaran yang diimpikan jauh menyimpang daripada pencapaian sebenar.

"Khairy menyebut kerajaan Umno-BN mensasarkan pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 daripada angka semasa iaitu AS$7,000 ke AS$8,000. Ini bermakna ekonomi perlu kekal meningkat kira-kira enam peratus setahun, ini sesuatu yang tidak masuk akal," jelas Khalid.

Kata beliau, sejak 15 tahun lalu, ekonomi Malaysia hanya meningkat pada purata 4.5 peratus setahun, maka jika kerajaan Umno-BN masih mahu memberikan projek dan imbuhan kepada kroni dan kemudian terpaksa menyuntik dana tambahan bagi menyelamatkan kroni, ia tidak akam mampu mendapat peningkatan enam peratus seperti yang disasarkan.

Tambahnya lagi, angka sasaran kerajaan diibarat seperti 'dipetik daripada udara' dan bukan sesuatu yang mencerminkan nilai unjuran yang realistik.

Ini kerana cara mendapatkan unjuran pertumbuhan ekonomi melalui pendekatan 'back tracking' bagi menentukan sasaran utama adalah tidak realistik dan tidak membantu mencapai matlamat MEB.

"Sasaran masa hadapan perlulah dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa, dan keadaan ekonomi semasa Malaysia tidak memungkinkan penambahan enam peratus untuk tahun ini, jika dibandingkan dengan tahun lalu.

"Tetapi memandangkan peningkatan setengah pertama tahun ini yang agak bagus iaitu pada suku pertama sebanyak 10.1 peratus dan suku kedua sebanyak 8.9 peratus, kita tidak dapat menyimpulkan jangkaan akhir tahun pada masa ini," jelas Khalid lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: