Isnin, 20 September 2010

Aminuddin Harun

Aminuddin Harun


PBT turun kain rentang

Posted: 19 Sep 2010 11:59 PM PDT

Sinar Harian 20 Sep 2010

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Aminuddin Harun melahirkan rasa kecewa atas tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menurunkan kain rentang ucapan Aidilfitrinya tanpa sebab.

Aminuddin berkata, empat kain rentang yang mengandungi ucapan Aidilfitri digantung di sekitar Seremban ditanggalkan PBT sebelum Aidilfitri lalu.

"Kain rentang berkenaan mampu bertahan selama 12 jam sahaja selepas ia digantung pada malam 7 September lalu.

"Keesokan harinya, kain rentang berkenaan diturunkan pihak PBT sekitar jam 2.30 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tindakan itu jelas menggambarkan sikap yang tidak matang.

"Saya melihat keadaan ini tidak berlaku di negeri lain. Pemimpin mahupun ADUN pembangkang dibenarkan menggantung kain rentang ucapan Aidilfitri tanpa prejudis.

"Saya amat terkilan kerana kain rentang ini hanya mengandungi ucapan hari raya tanpa mengandungi unsur politik," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohd Omar berkata, kain rentang miliknya juga turut ditanggalkan pihak PBT.

"Tindakan ini tidak adil kerana kain rentang yang dipasangkan hanya mengandungi ucapan hari raya, bukannya mengandungi unsur provokasi.

"Lebih terkilan apabila kain rentang daripada ADUN yang digantung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sendiri turut ditanggalkan meskipun ia di kawasan mereka," katanya.

Menurutnya, beliau telah meminta PBT memulangkan kain rentang terbabit tetapi pihak berkenaan enggan melakukannya.

Difahamkan, kain rentang milik ADUN Paroi, Taufek Abd Ghani dan ADUN Ampangan, Rashid Latiff turut mengalami situasi sama.

Dalam pada itu, Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8193055.asp

Tiada ulasan: