Khamis, 26 Ogos 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


UNDI TERUS BUKTIKAN KEADILAN UTAMAKAN KETELUSAN DALAM PEMILIHAN PARTI

Posted: 25 Aug 2010 02:58 PM PDT

PETALING JAYA 26 OGOS 2010:

Pendekatan undi terus hampir 500,000 ahli yang diambil oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pemilihan parti yang bakal diadakan lewat tahun mencerminkan ketelusan pucuk pimpinan tertinggi.

Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub berkata pendekatan baru ini membuka peluang kepada semua ahli untuk memilih pemimpin pilihan mereka berbeza dengan praktis biasa di mana hanya beberapa wakil sahaja daripada setiap cabang akan hadir untuk pemilihan dan hanya mereka yang hadir boleh mengundi.

"Sistem undi terus akan membuka pelbagai ruang baru kerana dapat mengelakkan banyak permasalahan yang biasa berlaku dalam pemilihan mana-mana parti seperti politik wang, pemilihan 'favouritism' dan sebagainya,' jelas Mustaffa kepada Suara Keadilan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Akademi KEADILAN di Taman Paramount Selasa lalu.

Beliau menegaskan bagi memastikan sistem ini berjalan lancar semua pihak yang terlibat perlulah bekerjasama daripada pucuk pimpinan parti hinggalah ke ahli diperingkat akar umbi yang layak mengundi.

"Semua ahli yang berdaftar dengan KEADILAN berhak mengundi untuk memilih pucuk pimpinan dan ini termasuk pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan kesemua ahli majlis pimpinan pusat.

"Ini merupakan satu langkah yang amat berani daripada pucuk pimpinan parti kerana dengan cara ini tiada lagi pemilihan dalaman atau pemilihan untuk mengisi jawatan tetapi undi akan diberikan kepada calon yang dilihat layak untuk sesuatu jawatan oleh ahli," jelas beliau lagi.

Mustaffa yang juga Pengarah Biro Latihan & Gerakkerja Jentera Parti menerangkan bagi memastikan sistem baru ini berjalan lancar, parti telah mengeluarkan Kod Etika untuk calon yang menjelaskan dengan terperinci skop kempen yang boleh dibuat oleh calon dan apa yang ditegah.

"Antara perkara yang tidak boleh digunakan oleh calon ialah dengan menyatakan calon mendapat sokongan daripada mana-mana tokoh politik dalam parti, secara langsung mahupun tidak langsung," kata beliau.

Tambahnya, Kod Etika akan memastikan kesemua calon akan bertanding menggunakan kelebihan yang ada pada diri sendiri dan sumbangan kepada parti dan cara ini memberikan satu platform pertandingan yang adil kepada semua calon.

Mustaffa juga berkata pemilihan berdasarkan sistem undi terus hanya akan berjaya jika semua ahli yang layak mengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi calon pilihan masing-masing.

Jelas beliau, dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang tahun lalu hanya kira-kira 10 peratus sahaja ahli yang keluar mengundi di cabang masing-masing dan jumlah ini jauh daripada mencukupi bagi memastikan pemilihan yang adil.

"Cabaran terbesar ialah memastikan semua ahli keluar mengundi dan untuk itu, kesemua jentera cabang dan ranting perlulah bekerjasama menyebarkan maklumat dan mendidik ahli berkenaan kepentingan pemilihan kali ini dan memastikan ahli sedar bahawa setiap undi mereka amat penting.

"Jika KEADILAN dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa sistem undi terus boleh dilaksanakan dengan adil dan telus saya percaya rakan dalam Pakatan Rakyat - PAS dan DAP - pasti dapat menerima dan menggunakan sistem ini," ujar beliau.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

SELANGOR PERTIMBANG PEMBERIAN KHAS HARI RAYA

Posted: 25 Aug 2010 02:54 PM PDT

SHAH ALAM 26 Ogos 2010:

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor akan bermesyuarat minggu depan mengenai cadangan pemberian sumbangan khas sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mesyuarat Exco minggu depan akan membincangkan perkara itu.

Bagaimanapun Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata kerajaan negeri menyediakan sumbangan hari raya pada setiap tahun.

"Tiap-tiap setahun kita akan bagi duit raya," kata beliau ringkas pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco semalam.

Sekiranya kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan khas hari raya ia menjadi negeri Pakatan Rakyat kedua selepas kerajaan negeri Pulau Pinang yang meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk tujuan geran kewangan istimewa bernilai RM400 kepada setiap kakitangan awam yang berjumlah 3,577 orang.

Susulan daripada langkah Pulau Pinang, kerajaan pusat juga mengumumkan pemberian bantuan khas RM500 yang membabitkan lebih 1.24 juta penjawat awam dan 590,000 pesara kerajaan.

Tidak mahu ketinggalan, Perak turut memberi bayaran khas RM500 kepada lebih 7,000 kakitangan awam dan pesara kerajaan negeri.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

UMNO-BN TENTANG PENGGUNAAN DINAR, DIRHAM TAPI BEGITU CEPAT LULUSKAN LESEN JUDI

Posted: 25 Aug 2010 02:50 PM PDT

Exco Pembangunan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa membidas kejahilan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mengenai penggunaan dinar dan dirham dan menyifatkan kedangkalan ilmu beliau selari dengan pengurusan pincang pengurusan ekonomi negara di bawah Umno-Barisan Nasional

Dalam responsnya kepada langkah kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan dinar emas dan dirham perak, Dr Awang berkata tindakan tersebuthanya akan mengundang aktiviti pemalsuan serta mempertikaikan keberkesanan penggunaan dinar dan dirham dalam aktiviti perniagaan.

"Kalau Timbalan Menteri Kewangan tidak tahu bagaimana urus tadbir emas dan juga perak bagi saya itu satu tanda yang serius bakal dihadapi oleh negara ini dalam soal ekonomi pada masa yang akan datang. Persoalan yang sukar kenapa bila soal dinar dan dirham yang telah lama digunakan sejak beribu-ribu tahun tidak diiktiraf olehnya tetapi bila soal judi senang pula beliau ingin memberi kelulusan lesen untuk dijadikan halal.

"Walaupun ada pihak tertentu yang mempertikaikan penggunaan dinar serta dirham ini akan menjadi penyebab kepada pemalsuan dengan alasan emas serta perak boleh dicampur dengan bahan-bahan yang lain, bagi saya itu bukan persoalan besar untuk kita tidak meneruskan penggunaannya. Mana-mana mata wang pun ada juga yang memalsukannya seperti juga wang kertas Ringgit Malaysia kita gunakan ini wujud juga yang palsu tetapi kita mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti yang mana betul ataupun palsu.

"Seperti penggunaan dinar serta dirham, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menyediakan satu alat untuk mengenalpasti dinar serta dirham yang palsu ataupun tidak, kita telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi kesemuanya," jelas Husam.

Tambah beliau, dinar dan dirham mempunyai nilainya yang tersendiri di mana nilainya tidak akan berkurang seperti yang berlaku kepada mata wang didunia.

"Kuasa nilai dinar dan dirham ini melebihi nilai wang kertas yang ada, kalau kita menyimpan wang kertas dan dinar dalam jangka masa yang panjang umpama sepuluh tahun kita akan mendapati nilai dinar akan bertambah daripada nilai asal yang kita beli dulu sedangkan simpanan kita melalui wang kertas hanya bertambah sedikit dan mungkin berkurangan.

"Nilai dinar dan dirham ini meningkat mengikut masa, aset yang berharga tidak akan ada penurunan harga malah cetakan wang kertas Malaysia juga mengikut simpanan emas kita yang ada.

"Kerajaan Kelantan yakin dengan apa yang dilakukan ini boleh memberi faedah kepada Malaysia khususnya di Kelantan, kita akan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat agar mereka tahu menggunakan dinar ini dengan cara yang berkesan. Nilai emas bukannya ditentukan oleh kerajaan yang memerintah, kerajaan tidak boleh sesuka hati ingin menurunkan harga emas," tegas beliau lagi.

Husam berkata beliau berpuas hati sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan.

Malah kata Husam, masyarakat bukan Islam juga menunjukkan minat untuk membeli dan berurus niaga dengan menggunakan dinar dan dirham.

Selain itu Husam menyatakan Pasar Khadijah di Kota Bharu menjadi sebuah pasar yang moden kerana terdapat urus niaga dalam dua mata wang.

Bagi memudahkan peniaga dan pembeli, kerajaan negeri telah menyediakan kaunter khas bagi mereka yang ingin membuat pertukaran dinar dan dirham.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

UMNO-BN HANYA PANDAI BUAT LAPORAN POLIS, TAKUT JELAS ISU RAKYAT

Posted: 25 Aug 2010 02:45 PM PDT

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan beliau yang disiarkan dalam sebuah majalah di Indonesia mengenai isu kapal selam Scorpene mencerminkan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gagal mengembalikan keyakinan rakyat.

Malah Nurul Izzah terkejut dengan reaksi sebuah kerajaan yang sudah memerintah selama 50 tahun tetapi melenting kepada setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

"Tindakan membuat laporan polis jelas membuktikan kerajaan tidak memandang serius dengan isu yang dibangkitkan. Sepatutnya sebuah kerajaan yang memerintah lebih 50 tahun melihat setiap kritikan secara positif bukan hanya tahu melenting serta membuat laporan polis.

"Jika ini yang selalu dilakukan oleh Umno setiap kali kritikan dibuat bagi saya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan ke mana, malah soal kestabilan ekonomi negara juga tidak akan mendapat jaminan yang sewajarnya," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Nurul Izzah berkata sebagai ahli parlimen, beliau perlu memberi penjelasan apabila ditanya media Indonesia mengenai isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan kaitan kematian tragiknya dengan pembelian kapal selam Scorpene.

"Saya ditanya tentang soalan yang telah diketahui oleh seluruh dunia berkaitan pembunuhan warga negara Mongolia Altantuya Shaariibuu serta soalan berhubungan dengan kapal selam.

"Saya bukannya mengeluarkan kenyataan yang palsu atau mengada-gadakan cerita. Kenapa kita perlu berbohong sedangkan perkara tersebut telah diketahui umum, kita tahu seluruh dunia mengetahui apa yang telah terjadi di negara ini dan juga kepincangan pentadbiran Barisan Nasional apatah lagi soal komisyen dalam pembelian peralatan ketenteraan," jelas beliau.

Beliau juga pihak yang menyokong Umno-BN menyalahgunakan polis untuk menutup sebarang usaha pemimpin Pakatan Rakyat untuk menimbulkan isu yang mempunyai kepentingan awam.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku sekarang, agensi yang sepatutnya menjadi tempat untuk kita mendapat perlindungan telah disalahguna oleh Umno. Pihak polis kena tahu mereka bukannya milik BN tetapi milik semua rakyat negara ini dan tidak kira apa jua parti, kedudukan mahupun kaum.

"Apabila pemimpin Pakatan Rakyat bangkitkan isu rakyat, Umno akan gunakan kuasa untuk mengarah apa jua agensi yang boleh diperalatkan bagi memastikan pergerakan pemimpin itu akan terhalang seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan juga apa yang saya alami," ujarnya lagi.

Sementara itu, menulis dalam blognya semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkata sesiapa sahaja boleh memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan juga kelemahan dasar BN.

"Nurul Izzah dan sesiapa sahaja boleh dan wajar memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan kelemahan dasar BN, dalam negeri ataupun di luar negeri. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan cuba mengelak daripada isu-isu ini dengan menggunakan benteng "Negara" dan sebagainya, tetapi rakyat tahu bezanya antara Negara dan kerajaan BN.

"Menteri Kabinet yang kanan seperti Ahmad Zahid dan Hishammuddin sepatutnya memberi tumpuan dan masa mengulas dasar negara yang penting seperti Model Ekonomi Baru, atau kekerapan insiden perkauman kebelakangan ini, ataupun mengapa begitu ramai peneroka Felda membuat tuntutan mahkamah terhadap Felda.

"Boleh juga kalau mereka menerang proses perlantikan guru besar di sekolah negara ini, sehinggakan yang mengutarakan pendapat jijik perkauman dan fasis pun boleh jadi guru besar; dan tanpa apa-apa tindakan diambil terhadap mereka. Malangnya kenyataan yang kita dengar dari kedua-dua Menteri kanan ini berkisar menyerang Nurul Izzah kerana komen dan pendapat beliau mengenai ekonomi negara dan keadaan kapal selam yang kita beli dalam wawancara dengan majalah Indonesia, Tempo.

"Nurul Izzah sekarang sudah menjadi sasaran, kedua-dua Menteri itu berkata Nurul Izzah memburuk-burukkan imej dan nama negara. Malah laporan polis pun dibuat oleh orang orang yang tak ada kerja. Dengan lain perkataan komen dan pendapat Nurul mestilah memuji kerajaan BN barulah ia dikatakan memuji negara dan menjaga nama baik negara. Bila dia mengkritik dan menyoal Kerajaan BN dan keputusan kerajaan maka itu bererti Nurul memburukkan nama baik negara," jelas beliau.

Zaid juga menyifatkan pemikiran dan logik terhad ini yang menjadi punca segala permasalahan.

"Mereka ini tak tahu membezakan negara dan kerajaan. Sebab itu duit rakyat digunakan sebagai duit BN. Institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis DiRaja Malaysia juga digunakan oleh mereka seperti hak BN.

"Untuk pengetahuan mereka, negara ini milik rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik tetapi kerajaan BN ini bukan milik semua rakyat. Dasar ekonomi dan pembelian kapal selam dibuat oleh kerajaan BN, maka sesiapa saja termasuk Nurul Izzah boleh mengulas dan mengkritik dasar itu. Apa kena mengena dengan maruah negara? Hanya maruah BN yang tercemar dengan kritikan itu," kata Zaid lagi.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan: