Sabtu, 14 Ogos 2010

.

.


PROJEK BAKUN: SUBSIDI KORPORAT DITERUSKAN, SUBSIDI RAKYAT DISEKAT

Posted: 13 Aug 2010 04:14 PM PDT


Saya memandang dengan serius laporan-laporan mutakhir yang menunjukkan kelewatan projek Empangan Bakun kerana begitu banyak wang rakyat telah disalurkan ke projek ini sejak sedekad yang lalu.

Berdasarkan laporan, jumlah kos keseluruhan dijangkakan akan meningkat akibat beberapa kelewatan projek. Kos setakat ini sudah pun mencecah RM7.3 billion dan sebahagian besarnya dibiayai oleh wang rakyat melalui pinjaman berjumlah RM5.75 billion yang diberikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Kedua-dua pinjaman ini juga dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Sikap tidak peduli Perdana Menteri yang membiarkan wang rakyat terus digunakan di dalam projek Empangan Bakun adalah sangat bertentangan dengan pendapat beliau mengenai subsidi minyak dan gula. Beliau seolah-olah tidak kisah dengan kemungkinan wang rakyat terus dibazirkan untuk projek ini, tetapi bersungguh-sungguh mahu menarik balik subsidi minyak dan gula – sedangkan sasaran penjimatan perbelanjaan kerajaan adalah terlalu kecil berbanding dengan wang rakyat yang digunakan untuk membiayai projek Empangan Bakun setakat ini.

Sasaran penjimatan RM750 juta dari potongan subsidi hanyalah 10% dari jumlah kos keseluruhan projek Empangan Bakun. Projek ini juga telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900 juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Jumlah keseluruhan kerugian dan pampasan kepada Sime Darby sahaja boleh membiayai pelbagai program kebajikan rakyat yang sepatutnya dijalankan apabila subsidi ditarik balik, untuk meringankan bebanan rakyat.

Minggu ini, kita dikejutkan dengan berita projek ini akan mengalami kenaikan kos mendadak disebabkan oleh kelewatan (bukan perkara baru sejak projek dilaksanakan). Laporan-laporan juga memetik sumber dalaman yang menyebut perbezaan pendapat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak mengenai harga apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri. Perbezaan ini memungkinkan Kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion apabila projek diserahkan kelak.

Siapa yang akan membayar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM2 billion ini? Adakah Perdana Menteri akan secara senyap-senyap mengarahkan KWSP dan KWAP melupuskan sebahagian dari RM5.75 billion hutang yang diberikan kepada projek Empangan Bakun, untuk menutup kerugian itu?

Empangan Bakun adalah lambang layanan Barisan Nasional yang berbeza-beza kepada rakyat dan syarikat besar dalam menentukan subsidi. Di mata Barisan Nasional, 20 sen subsidi bagi setiap kilogram gula yang dinikmati rakyat adalah beban yang cukup besar kepada pentadbirannya, tetapi pada masa yang sama ia menghadiahkan subsidi korporat berbillion ringgit kepada syarikat besar tanpa rasa bersalah sedikit pun.

Saya menyeru Perdana Menteri mengambil pertanggungjawaban dan berterus-terang dengan rakyat mengenai masalah kewangan projek Empangan Bakun dan kesannya kepada wang rakyat. Menteri yang dipertanggungjawabkan menyelia projek juga perlu berterus-terang dan menerangkan kepada rakyat kenapa anggaran kerugian RM2 billion itu perlu ditanggung oleh rakyat.

Rakyat berhak tahu terutamanya apabila rakyat diminta mengurangkan beban kewangan kerajaan, maka subsidi korporat juga perlu dihentikan.


YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG

SEKATAN PENGLIBATAN MAHASISWA DALAM POLITIK

Posted: 13 Aug 2010 06:35 AM PDT

Pengumuman YB Datuk Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah Kerajaan yang ketinggalan dengan perubahan yang berlaku di persekitarannya.

Tindakan Kerajaan melayan tentangan daripada Tun Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya bermakna pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.

Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas – yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja.

Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat di dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda.Kami dengan ini menggesa pembentukan kaukus rentas parti oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa di dalam politik.

Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya.

Usaha Timbalan Menteri YB Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarikh perhatian terhadap isu ini beserta tentangan daripada YB Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian rentas parti terhadap isu ini.

Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput YB Datuk Saifuddin untuk mempimpin kaukus rentas parti dalam isu ini.Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka.


YB NURUL IZZAH ANWAR, Ahli Parlimen Lembah Pantai

YB YUSMADI YUSUF, Ahli Parlimen Balik Pulau

YB YUNUS JAMHARI, ADUN Kuala Kurau

YB KESAVAN, ADUN Hutan Melintang

YB NIK NAZMI AHMAD, ADUN Seri Setia

YB CHAN MING KAI, ADUN Simpang Pulai

YB CHANG LIH KANG, ADUN Teja

YB SIM TZE TZIN, ADUN Pantai Jerejak

YB AMIRUDDIN SHARI, ADUN Batu Caves

YB GAN PEI NEI, ADUN Rawang

Tiada ulasan: