Selasa, 3 Ogos 2010

anjung setiawangsa

anjung setiawangsa


Kecuaian Khir Toyo Runding Konsesi Air, Selangor Rugi RM8 Bilion

Posted: 03 Aug 2010 01:42 AM PDT

Kerajaan Selangor mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM8 bilion berikutan kecuaian bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo dalam merunding perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Sebaliknya, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sedia berdepan dengan tindakan mahkamah berikutan keengganan memenuhi perjanjian konsesi yang memerlukan tarif air dinaik hingga membebankan rakyat.

Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan Dr Khir Toyo sebelum ini menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas yang membenarkan syarikat itu menaikkan tarif mengikut tempoh tertentu.

Mengikut perjanjian, Syabas dibenar menaikkan tarif sebanyak 37 peratus pada 2009,25 peratus (2012), 20 peratus (2015), 10 peratus (2018) dan lima peratus (2021).

Akibatnya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa berdepan dengan syarikat konsesi yang tamak dan berani menuntut jumlah yang melampau jika kerajaan negeri mengambil alih pengurusan air.

Malah, kerajaan negeri tidak gentar berdepan ugutan saman 1 bilion ringgit yang difail Syabas walaupun syarikat ini mendapat sokongan kerajaan Pusat.

Ini kerana kerajaan Selangor lebih mementingkan rakyat yang layak, mampu menikmati hasil dari dasar termasuk pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.

Dalam kenyataan media, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin menganggap Dr Khir Toyo patut berasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat keranan kecuaiannya menghalang rakyat menikmati perkhidmatan air yang lebih baik.

"Rakyat Selangor berhak mengetahui cerita sebenar dan bagaimana Dr Khir Toyo seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam tatacara mentadbir negeri ini," kata Faekah.

Faekah juga mengulangi gesaan supaya dokumen perjanjian air dan laporan audit didedah kepada umum supaya rakyat tahu hal sebenar dan hal ini wajar dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Langkah wajar bagi mendedahkan penganiayaan Umno BN terhadap rakyat melalui pemberian konsesi ini kepada syarikat kroni, akan diteruskan bagi memberi kefahaman kepada rakyat. -SK

Bersih 2.0 Desak ISA Dan Akta Zalim Lain Dimansuhkan Segera

Posted: 02 Aug 2010 06:12 PM PDT

SHAH ALAM 2 Ogos - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)mendesak agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan termasuk akta atau undang-undang lain yang menindas hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam sempena ulangtahun ke-50 perlaksanaan ISA di Malaysia, Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata kewujudan berterusan akta sedemikian akan hanya menafikan pilihan raya bebas dan adil, mengekang demokrasi pelbagai parti dam membiakkan gejala rasuah dan ketidakstabilan politik.

Bersih 2.0 menegaskan sehingga kini seramai 10,662 telah di tahan di bawah ISA dalam tempoh 44 tahun, 4,139 ditahan secara rasmi dan 2,066 ditahan di bawah sekatan kediaman dan juga aktiviti. 

"Mereka seharusnya dibebaskan atau didakwa di mahkamah. Malangnya ISA yang sepatutnya digunapakai terhadap amcaman penganas disalahguna untuk sebagai senjata untuk menindas seteru politik daripada pemimpin pembangkang dan agama, aktivis hak asasi manusia, ahli akademik, pelajar, aktivis pendidikan, pemimpin kesatuan pekerja, wartawan dan juga aktivis alam sekitar. 

"Justeru itu Bersih 2.0 menegaskan ISA bukan sahaja kejam dan zalim malah akta keras berusia 50 tahun itu telah mengancam pemikiran rakyat Malaysia sehingga mereka berasa takut dan lesu untuk membabitkan dalam perbincangan awam mengenai kebajikan dan hak mereka," kata Ambiga lagi.

Tambah badan itu melalui tindakan menafikan demokrasi pelbagai parti dan juga menghalang kewujudan sistem dua parti, ISA bersekongkol mendokong negara satu parti.

Disamping itu ISA mengugat kestabilan ekonomi negara dan seterusnya menggalakkan gejala rasuah secara berleluasa dan penyalahgunaan kuasa.

"Bersih 2.0 memberi amaran sekiranya ISA tidak dimansuh, pemimpin pembangkang dan masyarakat madani akan terus ditahan pada bila-bila masa oleh kerajaan Barisan Nasional apabila ia berasa terancam, terutamanya menjelang pilihan raya umum kelak.

"Rakyat Malaysia diingatkan kebangkitan rakyat pada pilihan raya umum 2008 masih tidak mampu menyekat penyalahgunaan kuasa. Kita melihat bagaimana tiga rakyat awam iaitu anggota parlimen, Teresa Kok, penulis blog, Raja Petra Kamarudin dan wartawan, Tan Hoon Cheng ditahan di bawah ISA pada September 2008 tanpa alasan munasabah," ujar Bersih 2.0.

Bersih 2.0 mendesak ISA dimansuhkan serta merta dan bukan setakat dipinda termasuk juga semua akta lain yang setanding dengannya. SUARA KEADILAN


Khir Toyo Terhalang Dari Segi Moral Untuk Bercakap Pasal Kepentingan Rakyat Selangor

Posted: 02 Aug 2010 05:57 PM PDT

KENYATAAN AKHBAR

02 OGOS 2010

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa merai pandangan pelbagai pihak berkaitan pentadbiran dan dasar-dasar termasuk dasar pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.

Apa yang penting bagi kerajaan ialah akhirnya rakyat Selangor yang layak, dapat menikmati hasil dari dasar dan ketetapan tersebut. Ini tidak terkecuali di dalam mencari jalan terbaik mengenai permasalah air di negeri ini.

Kerajaan Persekutuan harus ingat kemelut air di Selangor bermula apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yang masih merangkak di dalam kemelut ekonomi global.

Kerajaan BN yang di pimpin oleh YB Dr Mohd Khir bin Toyo telah menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas dimana syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% pada 2021.

Jelas, Kerajaan Pusat bukan sahaja gagal untuk membantu rakyat Selangor untuk mendapatkan kemudahan air yang murah malah gagal pula mengambil tindakan ke atas Dr Khir yang telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni.

Dr Khir sepatutnya merasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor dalam apa-apa topik sekalipun, baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat Negeri Selangor daripada mendapatkan pekhidmatan air yang terbaik.

Akibatnya Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terpaksa berhadapan dengan syarikat konsesi yang tamak dan berani menuntut jumlah yang terlampau jika Kerajaan Negeri mahu mengambilalih pengurusan air Selangor yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik dengan harga yang berpatutan kepada rakyat.

Rakyat Selangor berhak untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana Dr Khir seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam hal tatacara mentadbir negeri ini.

Oleh itu, Kerajaan Negeri menggesa agar mendeklasifikasikan dokumen perjanjian air dan segala laporan audit yang berkaitan agar rakyat tahu perkara yang sebenar. Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini dengan serius apabila membincangkannya di dalam mesyuarat kabinet Rabu ini.

Kerajaan Negeri juga langsung tidak gentar dengan ugutan saman mahkamah RM1 billion yang dilakukan oleh Syabas walaupun mereka mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri sentiasa membuka pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas di atas kegagalannya memenuhi perjanjian konsesi dengan penuh tanggungjawab yang telah mengakibatkan kerugian tidak kurang dari RM8 Billion.

Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah-langkah wajar untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor bagaimana kerajaan terdahulu telah menganiaya rakyat melalui pemberian konsesi kepada syarikat kroni ini.

Kita yakin rakyat Selangor menyokong penuh usaha Kerjaan Negeri mempertahankan hak air ini dan sentiasa mendoakan kejayaan kita.

FAEKAH BINTI HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: