Rabu, 11 Ogos 2010

Angkatan Muda Keadilan P.J Selatan

Angkatan Muda Keadilan P.J Selatan


Pengekalan Larangan Mahasiswa Berpolitik; Pemuda BN dicabar nyatakan pendirian.

Posted: 11 Aug 2010 05:23 AM PDT

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) tidak terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri mengenai larangan mahasiswa melibatkan diri di dalam politik kepartian dikekalkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan justifikasi bahawa larangan tersebut kekal kerana mahasiswa masih terikat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kenyataan beliau ini hanya membuktikan bagaimana Umno-BN, secara terancang, mahu membonsaikan minda mahasiswa yang satu ketika dahulu menjadi jurubicara masyarakat.
Apakah bezanya dengan kalangan guru yang kini dibenarkan berpolitik, jika hendak diberikan hak yang sama kepada mahasiswa dan juga para pensyarah universiti?

AMK yakin dan percaya, puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana sekiranya hak yang sama diberikan kepada mahasiswa, maka sudah pasti isu-isu rakyat yang kritis akan didepani oleh mahasiswa dengan begitu aktif sehingga melemaskan Umno-BN.

AMK mencabar Umno-BN melalui Tan Sri Muhyiddin untuk mengharamkan atau menamatkan operasi Kelab Umno mahupun Kelab Aspirasi yang ditaja Umno di IPTA/S seluruh negara dan luar negara yang secara jelas membuktikan keterlibatan Umno ke dalam kampus. Demikian juga Tan Sri Muhyiddin dicabar mengheret Puteri Umno ke mahkamah kerana secara terbuka beraktiviti di dalam kampus, yang terbaru di UiTM Shah Alam melibatkan pelancaran Skuad VOGUE Puteri UMNO Malaysia.

AMK juga mencabar Ketua Pemuda Umno dan MCA, YB Khairy Jamaluddin dan YB Wee Ka Siong yang selama ini berdegar-degar mempertahankan hak mahasiswa berpolitik untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka tanpa sebarang dolak dalih di sebalik alasan 'akur dan taat kepada kepimpinan parti'.

Realitinya, mahasiswa merupakan ejen perubahan massa. Mewujudkan budaya ketakutan ke atas mahasiswa di Malaysia, hanya mengesahkan apa yang dinukilkan oleh penyair Indonesia lewat puisinya Takut '66 Takut '98, "Presiden (Perdana Menteri) Takut Pada Mahasiswa!


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Malaysia

Tiada ulasan: