Selasa, 24 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Hentikan Serangan Terhadap Nurul Izzah, kata Zaid

Posted: 24 Aug 2010 01:47 AM PDT


24 Ogos - Tindakan menyerang Nurul Izzah Anwar yang giat dilakukan oleh penyokong tegar politik Umno-BN mendapat kecaman dari bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim.

Beliau yang menulis di dalam blognya berkata Menteri Kabinet yang kanan seperti Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein Onn sepatutnya memberi tumpuan dan masa mengulas dasar negara yang penting seperti Model Ekonomi Baru, atau kekerapan insiden perkauman kebelakangan ini, ataupun mengapa begitu ramai peneroka FELDA membuat tuntutan Mahkamah terhadap Felda.

Menurut Zaid, adalah sesuatu yang dianggap malang bila kenyataan yang kedua-dua Menteri kanan ini berkisar menyerang YB Nurul Izzah rentetan dari komen dan pendapat beliau mengenai ekonomi negara dan keadaan kapal selam yang kita beli dalam wawancara dengan majalah Indonesia, Tempo.

Zaid berkata, kedua-dua Menteri menuduh Nurul Izzah memburuk-burukkan imej dan nama negara kerana mengkritik dan menyoal kerajaan BN.

Menyifatkan tuduhan tersebut dilempar oleh orang yang tidak tahu membezakan negara dan kerajaan, Zaid berkata Zahid Hamidi dan Hishamuddin akan cuba mengelak dari isu-isu ini dengan menggunakan benteng "Negara" dan sebagainya, tetapi rakyat tahu bezanya antara Negara dan Kerajaan BN.

Terdahulu, Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md Arip menggesa Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar disiasat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menjejaskan imej negara dalam satu temu bual sebuah akhbar Indonesia, 4 Ogos lalu. –FARDILLA DIN


Sumber: TVSelangor

KKSB Tidak Akan Ditutup

Posted: 24 Aug 2010 01:46 AM PDT


Tidak ada sebab untuk kerajaan negeri menutup Kumpulan Semesta Sdn Bhd kerana tugas dan peranan yang dipertanggungjawabkan kepada kumpulan itu tidak melanggar bidang kuasa pihak pentadbir tanah dan pihak berkuasa tempatan.

KKSB ditubuh bagi mengurus permohonan pengeluaran pasir agar ia jadi lebih sistematik dan sentiasa didokumenkan untuk rujukan dan pemantauan kerajaan negeri.

ADUN Sri Muda Suhaimi Shafie tidak bersetuju dengan desakan pihak pembangkang yang mahu Kumpulan Semesta ditutup atas alasan ia mengganggu kerja-kerja agensi kerajaan sedia ada.

Beliau menjelaskan tidak ada sebab untuk mana-mana pihak takut pada badan yang tugasnya adalah untuk mendokumentasikan urusan pengeluaran pasir.

Menurut beliau tanggungjawab KKSB tidak sama dengan agensi-agensi kerajaan sedia ada dan ianya terbukti dapat menyelaraskan permohonan-permohonan semua tanah-tanah hakmilik persendirian. Selain dari itu, yang lebih penting adalah agensi yang mematuhi petaturan yang tetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar"

Sementara itu, Suhaimi juga memaklumkan TV Selangor bahawa KSSB mempunyai program khusus untuk mengambus dan memulih kawasan perlombongan pasir. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memanfaat dan melindungi setiap inci tanah.- Mohd Ezli Mashut


Sumber: TVSelangor

Umno Fitnah Kerana Terancam Kekuatan Pakatan Rakyat

Posted: 24 Aug 2010 01:42 AM PDT


BUKIT MERTAJAM 24 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyelar segelintir pimpinan Umno Pulau Pinang yang sengaja menjadikan isu doa khutbah Jumaat sebagai satu cara untuk meraih sokongan yang sudah jelas semakin pudar terhadap mereka.

Dr Wan Azizah membidas sikap Umno Pulau Pinang yang terpaksa menggunakan taktik murahan dengan usaha menaikkan kemarahan rakyat berhubung isu agama dan kaum di negeri itu.

"Dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah teraju Pakatan Rakyat, Umno dan Barisan Nasional sudah semakin hilang taringnya. Mereka melihat kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat semakin lama semakin mencengkam dan menggugat kedudukan mereka.

"Apa lagi dengan pemberian wang khas sempena menyambut Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awam Pulau Pinang sebelum 3 September ini. Ini semua memberi tamparan hebat kepada mereka yang menerajui Kerajaan Pusat setelah melihat negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mampu untuk menghargai rakyat negeri ini.

"Mereka semakin tertekan dan dihimpit pelbagai kemungkinan. Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kebelakangan ini merupakan tamparan kepada Umno dan Barisan Nasional. Kejayaan kepimpinan Pakatan Rakyat di bawah teraju Ketua Menteri sekarang adalah di luar jangkaan mereka," tegas Dr Wan Azizah.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadhan kepada 50 ibu tunggal di Tanah Liat,Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah Ahad lalu.

Majlis anjuran Koperasi Ibu Tunggal Seberang Perai Tengah itu turut dihadiri isteri Timbalan Ketua Menteri I, Datin Aishah Zainol serta Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang, Norhayati Jaafar.

Dr Wan Azizah juga berkata ketakutan Umno-BN kini adalah kerana sokongan yang semakin kuat diberikan oleh rakyat di negeri Pulau Pinang kepada kepimpinan Lim Guan Eng.

Menyentuh mengenai dakwaan penderhaka terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu pertahanan, beliau membidas menteri itu yang dianggap enggan berpijak dibumi nyata.

"Sedangkan dalam Parlimen lagi perkara ini telah pun didedahkan berkali-kali oleh ahli parlimen mengenai kegagalan kapal selam milik negara kita berfungsi.

"Kerajaan jangan cuba hendak mengalihkan perhatian rakyat terhadap penyelewengan berleluasa yang telah mereka lakukan selama ini. Di bawah pemerintahan mereka segala pengkhianatan berlaku. Wang rakyat mereka habiskan mengikut acuan mereka. Kronisme, korupsi dan skandal yang cuba mereka selindungi juga tidak akan bertahan lama.

"Lambat laun saya yakin, Umno dan BN akan tumbang dalam pilihan raya umum yang akan datang apabila rakyat sendiri melondehkan segala kejelekan yang telah mereka lakukan dan hanya rakyat yang mampu memberi pengajaran kepada mereka," ujar Dr Wan Azizah lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Dasar Pemilikan Hartanah Baru Perlu Untuk Jamin Hak Rakyat Miliki Rumah

Posted: 24 Aug 2010 01:41 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Kerajaan didesak mewujudkan Dasar Pemilikan Hartanah yang baru bagi mengawal lebihan pasaran yang kini dianggap menafikan hak rakyat kurang berkemampuan memiliki rumah dan hartanah.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata dasar ekonomi pasaran yang diamalkan sekarang bersifat manipulatif serta menindas.

"Dasar ini memberi mudarat dan juga dilihat menindas rakyat dalam hak mereka berhubung pemilikan hartamah. Jika keadilan hendak dicapai, isu pemilikan rumah dan hartanah mestilah dijadikan keutamaan. Apatah lagi sekarang ini, isu yang berkait rapat adalah mengenai kualiti hidup rakyat," kata Yusmadi kepada Suara Keadilan.

Beliau menganggap kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang membidas komen Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung kuota Bumiputera dalam pembelian hartanah mewah bernilai RM500,000 ke atas sebagai agenda perkauman sempit.

"Kita perlu ada satu dasar yang lebih mampu memastikan hak asasi rakyat (pemilikan rumah) terjamin. Dasar hari ini hanya mampu untuk mengawal rancangan pembangunan, tetapi tiada ruang untuk mengawal harga. Dasar yang baru ini, mestilah tidak menutup ruang keusahawanan dan juga persaingan. Jadi satu dasar yang strategik perlu diwujudkan terutama memberi peluang kepada generasi baru untuk memiliki rumah," jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai status kampung tradisi dan tanah adat Orang Asal, Yusmadi bersetuju kepada dasar untuk mengekalkannya sebagai salah satu daripada agenda ekonomi dan pembangunan yang terancang dan seimbang.

"Ini kerana agenda ekonomi kerajaan pusat sekarang, tidak menangani isu asas pembangunan, iaitu hak kepada pemilikan perumahan. Jika ia tidak ditangani melalui satu dasar baru, usaha pembangunan yang sedang dijalankan ini akan menjadi beban pada masa akan datang. Isu yang dijangka akan timbul selain daripada kemiskinan bandar adalah gejala sosial," ujarnya.

Yusmadi menjelaskan berdasarkan pengalaman beliau di Parlimen Balik Pulau, sejak tahun 1990an pembangunan perumahan begitu rancak di kawasan tersebut menyebabkan nilai hartanah dah perumahan meningkat sehingga mencecah RM1 juta.

Namun apa yang dibimbangkan, pembangunan tersebut seolah-olah tidak memberi manfaat, terutamanya penduduk tempatan dalam pemilikan perumahan.

Yusmadi menjelaskan masyarakat tempatan hanya menjadi penonton yang berkemungkinan terpaksa keluar berpindah ke kawasan lain, sekaligus akan mengubah karektor, tradisi dan kebudayaan kawasan tersebut.

"Perkara ini tidak boleh diperbetulkan secara berasingan tetapi memerlukan dasar yang menyeluruh melalui undang-undang dan mekanisme dalam kerangka ekonomi nasional. Ia perlu dilihat dari sisi hak asasi manusia untuk memiliki perumahan, kerana kajian ahli ekonomi membuktikan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan meningkat, antara lain melalui penekanan kepada hak hartanah," jelas beliau lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Larang Berpolitik: Mahasiswa Akan Ajar BN Lebih Teruk Daripada PRU-12

Posted: 24 Aug 2010 01:40 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Ketua Pemuda Sosialis DAP(Dapsy), Anthony Loke berkata keputusan Kabinet 11 Ogos lalu melarang pelajar universiti daripada bergiat dan menyertai sebarang parti politik hanya akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik pada pilihan raya umum yang ke-13 kelak.

Anthony memberi amaran Umno dan Barisan Nasional akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda daripada apa yang dialami semasa PRU-12 pada 2008 lalu.

Ahli Parlimen Rasah itu berkata langkah itu merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mengecewakan aspirasi golongan muda khususnya pelajar di Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia.

"Keputusan Kabinet menunjukkan Barisan Nasional langsung tidak mendengar pandangan rakyat khususnya golongan muda yang ingin melihat Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di kampus universiti tempatan," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, keputusan itu juga membuktikan Pemuda Barisan Nasional khasnya Pergerakan Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taring kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenarkan untuk menyertai parti politik langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malah katanya, suara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan berhubung dasar Auku juga tidak diendahkan oleh Menterinya sendiri.

"Dapsy akan terus mendesak supaya Auku dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan. Dapsy yakin bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tegas beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Tabur Fitnah Tidak Kira Ramadhan Atau Tidak

Posted: 24 Aug 2010 01:39 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Jentera propaganda Umno-Barisan Nasional bekerja lebih masa setiap hari menghambur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan rakyat namun malangnya segala taktik kotor mereka telah lama dihidu dan disedari rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Umno-BN tidak ada lagi pilihan melainkan menabur fitnah secara berterusan hatta dalam bulan Ramadhan yang mulia sekali pun.

Ini terbukti apabila pihak tertentu menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan akan menghadiri majlis bagi mengedar bir percuma di sebuah kafe selepas solat Tarawikh Sabtu lalu.

Beliau berkata ini menunjukkan betapa Umno-BN amat terdesak untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di Selangor, walaupun pada bulan Ramadhan.

"Saya cukup terkejut apabila mendapat panggilan daripada wartawan Sinar Harian petang Sabtu bertanyakan samada saya akan hadir ke Asia Cafe untuk membuat kunjungan muhibbah dan seterusnyamengedarkan bir kepada tetamu. Malah Hannah Yeoh (Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya) menalipon saya memberitahu SB (anggota polis Cawangan Khas) menghubungi beliau bertanya samada saya akan hadir ke majlis itu.

"Ini jelas satu fitnah telah disebarkan oleh pihak tertentu terhadap saya, malahan saya tidak tahu pun di mana Asia Cafe ini," tegas Khalid.

Kata beliau, tindakan ini adalah satu petanda Umno-BN telah kehilangan idea untuk menentang Pakatan Rakyat di Selangor secara intelektual dan terpaksa menggunakan taktik jijik seperti ini.

"Umno-BN sedar rakyat semakin menolak mereka kerana salahguna kuasa, penyelewengan dan amalan rasuah. Jadi mereka tidak berani untuk mengatakan mereka lebih baik daripda Pakatan Rakyat tetapi cuba nak pengaruhi rakyat dengan memfitnah Pakatan Rakyat pun sama teruk seperti mereka.

"Masyarakat sudah sedar bahawa Umno-BN sakit dengan isu rasuah dan sebagainya, maka tindakan ini hanya akan memburukkan lagi keadaan bagi mereka di mata rakyat," ujar beliau.

Menyentuh mengenai kerjasama erat PAS-DAP, Khalid berkata satu ketika dahulu Umno-BN mengutuk dan mengatakan tidak mungkin kedua parti itu dapat bekerjasama tetapi sangkaan mereka terbukti salah apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditubuhkan atas gabungan KEADILAN, PAS dan DAP.

"Umno-BN sudah keliru dengan matlamat mereka di Selangor. Ada ketikanya mereka mengutuk DAP kerana mahukan undi Melayu tetapi pada masa yang sama mengutuk PAS kerana mahukan undi kaum Cina. Tindakan bercelaru begini jelas petanda Umno-BN akan terpaksa menghadapi tentangan yang jauh lebih hebat pada pilihan raya umum ke-13 nanti," kata beliau lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Umno, MCA Main Wayang Timbul Ketegangan Kaum

Posted: 24 Aug 2010 01:38 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin mengingatkan rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan strategi dan tindak tanduk pihak tertentu yang menggunakan isu perkauman untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Taktik yang sama katanya digunakan kerajaan Perikatan semasa peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan Operasi Lalang pada 1987 yang menyaksikan penangkapan puluhan pemimpin pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Pertama sekali pada 1969 kenapa sentimen kaum dibakar? Kerana pada masa itu parti pemerintah telah hilang sokongan. Pada 1987 Umno hilang tumpuan apabila berpecah dengan Semangat 46. Sandiwara ditunjukkan pemimpin Umno seperti Najib Razak dan pemimpin MCA Lee Kim Sai yang cuba membakar api perkauman. Pembangkang pada masa itu telah memberikan respon secara tidak tersusun yang akhirnya mengakibatkan pemimpin progresif (pembangkang) ditangkap," katanya kepada Suara Keadilan.

Badrul aka CheGuBard demikian ketika diminta mengulas insiden surau Taman Pulai Impian, Temiang di Seremban yang disimbah dengan cat merah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab Ahad lalu.

Kejadian terhadap rumah ibadat ini merupakan pertama kali berlaku selepas isu penggunaan kalimah Allah yang dimainkan Umno sejak awal tahun ini yang menyebabkan beberapa rumah ibadah, termasuk gereja dan surau dibakar.

Bagaimanapun CheGuBard berkata berbanding 1987 rakyat kini lebih bijak menilai taktik dan strategi yang digunakan Umno-BN untuk menimbulkan keresahan dikalangan rakyat negara ini.

"Rakyat telah cerdik dan matang untuk menilai peristiwa ini. Dalam kes bakar rumah ibadat sebelum ini, Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti alternatif menyatakan pendirian yang tegas dan kita telah berjaya tangani isu ini dengan sempurna. Kita kutuk kejadian seperti ini, jangankan kata bakar surau, malah bakar kuil pun tidak boleh terima kerana ini adalah rumah ibadat.

"Siapa yang untung daripada kejadian tersebut, sudah tentulah parti yang bersifat perkauman seperti Umno-BN dan bukan parti politik yang merentasi sempadan ras perkauman dan agama seperti Pakatan Rakyat," ujar beliau.

Beliau berharap pemimpin Pakatan Rakyat tidak melayani sebarang provokasi bagi mengelakkan mereka masuk dalam perangkap Umno-BN.

"Kita minta supaya pemimpin Pakatan Rakyat jangan layan. Kita mahu polis ambil tanggungjawab penuh siasat kejadian ini. Isu yang lebih penting pada masa ini ialah kesusahan hidup rakyat, kos hidup yang meningkat dan sebagainya," tegas CheGuBard.

Kes simbah cat di surau tersebut mengesahkan pandangan sesetengah pihak terdapat usaha ke arah 'menjayakan' semula Operasi Lalang dengan membangkitkan api perkauman di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ini jelas dilihat daripada isu dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di negeri itu bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan tujuan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Islam dan Melayu.

Ini ditambah dengan tindakan dua pengetua di sekolah menengah di Kulai, Johor dan Bukit Selambau, Kedah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India.

Umno juga mempermainkan isu kuota 30 peratus ekuiti Bumiputera selepas memutar belitkan kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai diskaun pemilikan rumah mewah yang dinikmati golongan kaya Bumiputera.

MCA pula menuntut Majlis Perundingan Melayu diheret ke mahkamah kerana membuat hasutan untuk membubarkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.


Sumber: Suara Keadilan

Umno Fitnah Sembrono, Gagal Tunjuk Bukti

Posted: 24 Aug 2010 01:37 AM PDT


GEORGETOWN 24 Ogos - Umno Pulau Pinang yang melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri berhubung dakwaan nama Ketua Menteri digunakan bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dalam khutbah solat Jumaat di masjid negeri itu sehingga kini gagal membuktikan tohmahan mereka.

Justeru, kerajaan negeri menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan berhubung fitnah yang disebarkan Umno itu dalam bulan Ramadhan yang mulia demi menjaga imej dan mempertahankan maruah imam dan khatib di Pulau Pinang.

"Sehingga sekarang Umno tidak dapat menunjukkan bukti JAIPP sediakan teks khutbah yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong ataupun menunjukkan di mana kerajaan negeri, JAIPP atau Ketua Menteri sendiri mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada masjid atau surau untuk menggunakan nama Ketua Menteri.

"Adalah tidak adil dan patut masjid dan imam serta khatib diheret dalam kancah permainan jahat Umno semata-mata untuk memenuhi keghairahan politik Umno untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat," kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dalam kenyataan beliau semalam.

Mansor menegaskan sekali lagi teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong.

Malah kerajaan negeri, JAIPP atau Ketua Menteri sendiri tidak pernah menerima atau mengeluarkan sebarang arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama Lim Guan Eng.

"Oleh itu sekiranya ada mana-mana imam atau khatib yang menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong, ini adalah salah dan tindakan keras haruslah diambil.

"Sehingga sekarang tidak ada seorang imam atau khatib mengaku ada menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong sepertimana yang didakwa oleh Umno," jelas Mansor.

Mansor berkata seorang khatib, Zakaria Ahmad, menafikan tuduhan Umno yang membabitkan beliau dan menganggap tuduhan itu sebagai satu fitnah.

Zakaria kata Mansor, hanya mendoakan Guan Eng diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam, di mana Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mendoakan agar orang bukan Islam diberi petunjuk dan hidayah Allah untuk memeluk Islam.

Samada ini selaras dengan hukum Islam ataupun tidak, ianya harus diputuskan oleh para ulama dan pakar agama.

"Isu "Guan Eng gantikan Agong" yang dibangkitkan oleh Umno perlu diputuskan kesahihannya samada benar atau tidak. Ini kerana beberapa masjid di Pulau Pinang berasa gelisah selepas dilanda fitnah Umno mengatakan mereka terlibat dalam isu menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan nama Ketua Menteri. Oleh yang demikian siasatan polis diharap dapat disiapkan dengan segera supaya perkara yang begitu sensitif ini boleh diselesaikan dalam bulan Ramadan yang mulia ini sekaligus boleh mempertahankan maruah imam dan khatib dan masjid seluruh Pulau Pinang," tegas Mansor lagi.

Kerajaan negeri, tambah beliau, merasa kesal kerana Umno telah mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia dengan tuduhan melulu dan melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri.

Mansor turut mengulangi usul bersama pada mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat Pulau Pinang Ahad lalu yang menyeru rakyat dan penyokong bertenang dan tidak masuk perangkap Umno.

"Ini adalah kerana Umno cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada beberapa kejayaan program kerajaan negeri seperti memberikan kewangan khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM400 kepada semua ahli pentadbiran dan agensi kerajaan negeri; pemberian tahunan RM100 wang penghargaan warga emas; menambahkan peruntukan hal ehwal Islam sebanyak 100 peratus kepada RM24.3 juta pada 2010 berbanding dengan RM12.5 juta pada 2008 ; sumbangan Ihya Ramadan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta mengharamkan perjudian bola selaras dengan prinsip amar maaruf nahi mungkar," ujar beliau.


Sumber: Suara Keadilan

Konsep 1Malaysia Gagal Satukan Rakyat Malaysia

Posted: 24 Aug 2010 01:36 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Konsep 1Malaysia yang di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbukti gagal dihayati oleh kakitangan kerajaan apabila suara sumbang yang sarat dengan sentimen perkauman terus kedengaran walaupun jutaan ringgit dana awam telah dibelanjakan bagi kempen mempromosi gagasan tersebut

Bukti kegagalan 1Malaysia terserlah apabila seorang lagi pengetua sebuah sekolah menengah, kali ini di Bukit Selambau, Sungai Petani didakwa mengeluarkan kenyataan perkauman minggu lalu ketika menegur perbuatan pelajar yang melakukan kesilapan dengan kenyataan "pindah ke negeri lain" dan "balik ke China".

Insiden ini berlaku selang beberapa hari setelah pengetua SMK Tunku Abdul Rahman di Kulai, Johor mengatakan pelajar Cina 'tidak diperlukan' dan perlu 'pulang ke China' manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka, selain mendakwa hanya anjing yang memakai tali seperti itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berasa kesal dengan tindakan pengetua sekolah terbabit sambil berkata konsep 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib gagal dihayati oleh setiap kakitangan kerajaan.

"Kita kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pengetua, sepatutnya beliau sebagai seorang pendidik membentuk pelajar menjadi seorang yang berguna dan boleh bersatu dengan pelbagai kaum di negara ini tetapi ini tidak beliau dengan sendiri mengeluarkan kenyataan yang berbentuk rasis, jelas pengetua itu gagal menghayati konsep 1Malaysia Najib.

"Kita tidak mahu bincang apa yang telah diperkatakan oleh pengetua terbabit, jika pihak tertentu ingin menyiasat itu adalah yang terbaik untuk menggembalikan suasana kurang senang kaum lain. Setelah lebih 50 tahun kita merdeka nampaknya kerajaan masih gagal meletakkan situasi keharmonian antara kaum serta meruntuhkan benteng perkauman di negara ini.

"Ini terbukti dengan kenyataan rasis pengetua sekolah di Johor dan juga Kedah," jelas beliau.

Johari berkata kegagalan Umno-Barisan Nasional menyatukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini adalah disebabkan oleh program yang tidak mendatangkan faedah seperti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang secara jelas bertentangan dengan konsep 1Malaysia.

"Isu ini perlu dipandang serius oleh kerajaan kerana kegagalan menangani isu perpaduan menyebabkan kaum lain dinegara ini tidak yakin dengan pentadbiran yang ada. Kita perlu berusaha agar semua kaum di negara ini merasakan mereka juga adalah rakyat Malaysia," jelas beliau.

Tambah beliau, Kementerian Pelajaran perlu bertindak segera agar kejadian seperti ini tidak berulang dan mencegah ia menjadi tabiat buruk pengetua sekolah apabila menegur pelajar berbilang kaum.


Sumber: Suara Keadilan

Pengerusi JKKK Kampung Baru Pandamaran Digantung

Posted: 24 Aug 2010 01:36 AM PDT


SHAH ALAM 24 Ogos - Kerajaan negeri Selangor membuktikan ia serius menangani isu penyalahgunaan surat sokongan untuk tujuan mendapatkan kontrak perniagaan dengan menggantungkan serta merta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Pandamaran, Yap Hock Siew baru-baru ini.

Hock Siew didakwa mengeluarkan sepucuk surat sokongan bagi membolehkan syarikat milikinya diberikan satu kontrak penyelenggaraan dan pembersihan sungai.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata keputusan tersebut dibuat kerana tindakan Hock Siew disyaki menimbulkan soal konflik kepentingan.

"Siasatan berkenaan dakwaan tersebut akan dijalankan serta-merta. Kerajaan negeri yakin pihak yang berkaitan akan memberikan segala kerjasama semasa siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan media Khamis lalu.

Beliau berkata, ini merupakan suatu usaha yang membuktikan ketegasan kerajaan negeri Selangor yang mengamalkan prinsip Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan.

"Kerajaan negeri menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang bersalah atau melakukan penyelewengan," ujar Hian Wah yang juga Pengerusi DAP Selangor.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: