Ahad, 22 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Otak pemimpin Umno fikir mahu kaut hak rakyat

Posted: 22 Aug 2010 01:57 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: "Otak pemimpin Umno daripada atas hingga ke bawah, fikiran mereka sama, iaitu fikir macam mana hendak kaut hak rakyat, bukan hendak bagi hak rakyat," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya PAS terkejut dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan negeri menaikan tarif air dan cukai tanah untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.

"Cadangan ini dikemukakan ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan barang keperluan harian," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pelik, katanya Perdana Menteri yang sering melaungkan slogan rakyat didahulukan tiba-tiba itulah cadangan yang beliau kemukakan dalam mesyuarat kewangan negara yang dipengerusikannya.

Idris berkata, sepatutnya Perdana Menteri dengan gaji dan elaun yang sudah melimpah ruah, Najib kena memikirkan bagaimana untuk meringankan bebenan rakyat di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau otak yang ada kepada beliau mengambil jalan pintas iaitu dengan menaikkan cukai, hapuskan subsidi, GST, saman ekor, menaikkan harga minyak.

Menurutnya, persoalan pokok dalam menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi yang berpunca daripada rasuah, ketirisan, beri kepada mereka yang bukan ahlinya, pentingkan kroni, hak keistimewaan orang Umno tidak pernah ada di dalam fikiran mereka untuk diperbaiki supaya khazanah negara dapat dinikmati oleh semua rakyat.

"PAS berpandangan, cadangan ini hanya dicadangkan oleh orang yang tidak mengetahui derita rakyat bawahan di negara ini yang begitu perit, terutama di dalam bulan Ramadhan ini.

"Kenaikan harga barang keperluan naik begitu mendadak seperti indeks Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL)," ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya PAS mengucap tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang dipimpin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertegas tidak akan menaikkan tarif air, walau pun di didesak oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Malahan, katanya Khalid bersedia ke mahkamah semata-mata untuk kepentingan rakyat dan memastikan kekayaan Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat di negeri itu.

Beliau menambah, sekarang rakyat Selangor dapat menikmati air percuma 20 meter padu.

"Kerajaan Selangor dibelasah oleh pimpinan Umno kerana memberi air percuma kepada rakyat. Mereka menuduh ini satu tindakan yang membazir wang negeri," katanya.

Selangor juga, katanya menolak cadangan projek kroni kerajaan BN dahulu untuk mengambil bekalan air daripada Pahang dengan harga RM8 bilion, sebaliknya kerajaan Selangor akan meneroka sendiri sumber air denagan kos RM2 bilion sahaja yang dapat menjimatkan wang rakyat berjumlah RM6 bilion.


Sumber: Harakah Daily

Asri Gesa Jangan Politikkan Isu Doa Khutbah

Posted: 22 Aug 2010 01:56 AM PDT


22 Ogos - Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Barisan Nasional untuk tidak mempolitikkan isu doa khutbah solat Jumaat.

Asri berkata tiada salahnya mendoakan panduan dan petunjuk diberi kepada pemimpin, atau mendoakan kerajaan yang bersimpati dan adil pada rakyat.

"Jangan politikkan isu ini. Saya minta Pakatan Rakyat dan juga BN untuk tidak mempolitikkannya," kata Asri, yang menambah beliau tidak tahu sejauh mana kesahihan dakwaan Umno berhubung perkara ini.

Beliau menambah apa yang tidak boleh dilakukan adalah mendoakan kesejahteraan untuk seorang pemimpin yang tidak adil, serta memanjatkan pujian-pujian akan pentadbirannya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendakwa beberapa masjid di Permatang Pauh dan Jelutong menggantikan nama Yang Dipertuan Agong kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam doa khutbah mereka.

Kerajaan Negeri dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagaimanapun menafikan mengeluarkan arahan kepada mana-mana masjid, dan berikrar menghukum mereka yang didapati berbuat demikian selepas siasatan dijalankan.

Lidah Umno bagaimanapun terus memainkan isu ini dan terbaru, khatib Masjid Jamek Padang Menora dikatakan telah menyebut nama Ketua Menteri dalam doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Imam Ibrahim Ishak berkata nama Yang di-Pertuan Agong tidak disebut dan beliau telah menegur khatib terbabit dan mengakui kesilapan yang dilakukan.

Khatib tersebut nampaknya mendoakan tuhan supaya membuka pintu hati Lim Guan Eng untuk menerima Islam.


Sumber: TVSelangor

Sistem Pendidikan Singapura 10 Tahun Tinggalkan Malaysia- DR Dzulkifly

Posted: 22 Aug 2010 01:54 AM PDT


Malaysia tidak akan mampu menandingi Singapura jika sistem pendidikan dinegara ini tidak dirombak, serta khazanah sumber kekayaan negara tidak diurus dengan berhemah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkifli Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengapa ekonomi Malaysia jauh ketinggalan dari Singgapura walhal negara itu mempunyai sumber yang jauh lebih kecil berbanding negara ini.

"Sistem pendidikan republik itu, 10 tahun tinggalkan kita. Sistem singgapura bersifat berfikir. Tidak macam sistem pendidikan negara kita yang berasaskan peperiksaan semata- mata. Ibubapa asyik menekan anak- anak mendapat 13A, 10A, akhirnya jadi apa ? Mereka tidak ada daya berfikir yang tinggi," katanya.

Beliau menegaskan disamping pengurusan kewangan yang efisyen, negara perlu melahirkan rakyat yang mempunyai kemahiran yang tinggi dengan keinginan yang tinggi untuk bersaing.

Dr Zulkifli yakin berkata, jika agensi- agensi yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas dan peranan masing- masing,
Malaysia mampu menandingi republik itu.

"Kalau negara ini diurustadbir dengan baik seperti Suruhanjaya Pencecahan Rasuah (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sistem kehakiman dna lain- lain berfungsi secara bebas dan berwibawa, saya yakin kita mampu takluk negara disebelah tambak sana," kata DR. Dzulkifly.

Beliau menambah, apa yang penting kini bukanlah mendabik dada mengumumkan pertumbuhan ekonomi setiap suku tahun seperti yang
dilakukan perdana menteri najib razak.

Apa yang lebih penting adalah kebajikan rakyat diutamakan.

"Apa gunanya angka pertumbuhan ekonomi dicatat tinggi tapi kalau 40 peratus dari rakyat bependapatan kurang 1500 kebawah ?. Apakah kualiti kehidupan rakyat ? Dari segi kesihatan, perumahan, dari segi perkara asa yang lain seperti bekalan air bersih," ujarnya lagi.

"Bila lihat pengagihan yang sebenar, berlaku jurang yang terlalu melebar," tambahnya.

Dr Zulkifli berkata, singgapura bernasib baik kerana ditadbir oleh pemimpin yang berwibawa meskipun rebublik itu mengamalkan pentadbiran kuku besi.

Namun, lain pula dimalaysia. Meskipun gah diwar- warkan Malaysia adalah negara demokrasi hakikatnya sektor- sektor kritikal masih dikuasai oleh juak- juak tertentu yang tidak ikhlas berkongsi dengan rakyat.

"Ini polisi Pakatan Rakyat. Ini polisi BN. Ini kepimpinan BN. Ini kepimpinan Pakatan Rakyat. Jadi berlaku persaingan polisi. Akhir sekali rakyat yang akan nilai dan buat keputusan. Maka mereka akan lakukan perubahan itu," akhirinya.

Sumber: TVSelangor

Pakatan Rakyat Mendahului BN 47.02 Peratus Dalam E-PRU13

Posted: 22 Aug 2010 01:53 AM PDT


SHAH ALAM 22 Ogos - Pilihan Raya Umum ke-13 masih diawang-awangan dan menjadi teka-teki penganalis politik negara tetapi di dalam dunia maya pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia sudah pun bermula dengan rancaknya.

Hasilnya Pakatan Rakyat mendahului BN dengan peratusan undi sebanyak 47.02 peratus.

Inisiatif peminat laman web sosial Facebook telah mewujudkan akaun E-Pilihan Raya Umum 13 Facebook Malaysia di mana rakyat Malaysia boleh mengundi secara maya bagi memilih parti politik yang bakal menubuhkan kerajaan pusat.

Undian terkini yang diperolehi menunjukkan Pakatan Rakyat mendahului BN dengan memperolehi 47.02 peratus atau 5,274 undi manakala BN hanya memperolehi 22.98 peratus atau 2,578 undi.

Parti Bebas yang turut bertanding berjaya mengaut 4.37 peratus atau 490 undi sahaja.

Jumlah pengundi yang didaftarkan dia dalam akaun tersebut adalah seramai 11,217 orang.

Walaupun ini hanya bersifat undian maya yang dibuat di laman sosial itu, kesimpulan keputusan setakat ini mendapati sokongan rakyat Malaysia terhadap BN sudah merosot.

Timbalan Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa berkata walaupun undian itu secara maya, ia menggambarkan satu senario baru politik di negara ini yang mana rakyat mahukan perubahan tampuk pemerintahan daripada BN kepada Pakatan Rakyat.

"Keputusan ini walaupun tidak rasmi tetapi menggambarkan keadaan sebenar politik negara yang mana rakyat mahukan perubahan pemerintah. Dasar yang di bawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tentang 1 Malaysia jauh terpesong daripada apa yang beliau katakan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'. Kita lihat rakyat sekarang berada dalam keadaan tertekan dengan faktor ekonomi apatah lagi dengan kenaikan harga baru-baru ini.

"Najib dan BN sebenarnya tidak mempunyai tanggungjawab dalam memastikan hak rakyat terus terbela, malah beliau hanya tahu menekan rakyat bila berhadapan dengan masalah kewangan negara. Yang terbaru tentang saman ekor sehinggakan disenarai hitam dan rakyat dipaksa untuk membuat bayaran penuh baru boleh diperbaharui lesen mahupun cukai jalan kenderaan mereka.

"Rakyat sudah mula menunjukkan hukum mereka terhadap BN, isyarat jelas rakyat berikan kepada BN bahawa Najib gagal dalam pentadbirannya. Dalam masa ekonomi semakin teruk rakyat terbeban dengan kenaikan harga Najib masih lagi boleh bersenang lenang bercuti di luar negara," jelas Fariz kepada Suara Keadilan.

Tambah Fariz, keputusan maya itu menunjukkan rakyat sudah mula menunjukkan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat.

"Kita melihat rakyat sudah boleh menerima kehadiran Pakatan Rakyat di dalam politik negara ini, sokongan itu menunjukkan usaha Pakatan Rakyat dalam membangunkan kebajikan rakyat sudah meresapi jiwa dan semangat mereka.

"Dari sudut negatif pula kita jangan terlalu leka dengan keputusan tersebut kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang mengundi, mungkin Umno-BN sengaja melakukan perkara tersebut agar Pakatan Rakyat tidak perlu bekerja keras untuk menguatkan parti. Apa yang saya harapkan usaha yang lebih keras perlu dilakukan oleh anggota KEADILAN dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat atas," kata beliau lagi.

Keputusan maya itu juga menunjukkan rakyat sudah mula telah menghantar isyarat awal yang jelas kepada BN sebelum PRU-13 bahawa mereka sudah serik dengan pentadbiran yang penuh dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa.

Pengundi menganggap pentadbiran BN di bawah Najib tidak mampu memberi keselesaan hidup kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Selain itu juga kegagalan BN meningkatkan taraf ekonomi negara ini juga menjadi faktor utama rakyat merasa tertekan yang dikaitkan dengan isu kenaikan harga barang dan ppenarikan subsidi.

Kekangan kebebasan bersuara dan tekanan ke atas media juga menjadi antara faktor utama kemerosotan sokongan rakyat kepada BN.

Sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pula memberi petunjuk jelas bahawa rakyat yakin gagasan itu bersedia untuk menggalas tugas menubuhkan kerajaan pusat yang baru selepas PRU-13 nanti.

Keyakinan rakyat berasaskan penerimaan rakyat terhadap dasar ketelusan, keadilan dan keterbukaan yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Rakyat.

Perubahan ke arah ini dapat di lihat daripada dasar serta program yang dilaksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan di mana pimpinan Pakatan Rakyat tidak meletakkan agenda memperkayakan peribadi, keluarga atau kroni semasa memegang tampuk kuasa.

Selain itu pengundi dalam Facebook juga melihat faktor membela rakyat yang menjadi teras Pakatan Rakyat mendapat perhatian berbanding BN.


Sumber: Suara Keadilan

Felda Didesak Perjelas Pelaburan Luar Negara

Posted: 22 Aug 2010 01:53 AM PDT


SHAH ALAM 22 Ogos - Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said mencabar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjawab soalan pokok berhubung pelaburan luar negara agensi itu serta Skim Pinjaman Perumahan Felda yang didakwa tidak memberikan subsidi kepada golongan peneroka.

Perkara ini didedahkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dalam risalah yang berjudul 'Felda Bankrap?'.

Suhaimi berkata risalah tersebut juga meminta Felda membuat penjelasan berhubung kedudukan pelaburan Felda di dalam Syarikat Twin Technology US Inc (TRT US) pada tahun 2007 yang berjumlah RM270 juta serta pelaburan Felda Global Ventures Sdn Bhd dalam projek penternakan lembu berjumlah RM688 juta.

Risalah itu juga mendesak Felda memberi penjelasan berkenaan wang yang dikutip daripada peneroka berjumlah RM768 juta sejak tahun 1970an bagi tujuan Tabung Penanaman Semula.

Beliau turut meminta agensi itu menyatakan berapakah keuntungan Felda Plantation yang sebenar dan ke mana keuntungan tersebut disalurkan.

Di samping itu, Suhaimi berkata risalah terbitan Anak itu mendakwa Felda Global Ventures meminjam berbilion ringgit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pelaburan di luar negara termasuk di Cincinnati dan Boston, Amerika Syarikat.

"Felda kaya disebabkan hasil keringat dan penat lelah peneroka sementara pemimpin Umno-Barisan Nasional pula berjoli sewenang-wenangnya atas nama pelaburan untuk menyenangkan kroni.

"Peneroka pula dibelenggu nasib malang apabila dibelit dengan bebanan hutang berantai yang tidak akan langsai hingga ke anak cucu ibarat harimau mati meninggalkan belang, peneroka mati dilonggokkan hutang," tegas Suhaimi.

Sehubungan itu, Suhaimi mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Dr Yusof Noor memberikan penjelasan berhubung dakwaan beliau memperolehi pendapatan mencecah RM2 juta setahun dalam bentuk gaji, elaun dan dividen daripada Felda dan anak-anak syarikatnya.


Sumber: Suara Keadilan

Abdul Hadi: Umno Tidak Lagi Mampu Bela Melayu

Posted: 22 Aug 2010 01:52 AM PDT


SHAH ALAM 22 Ogos - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata orang Melayu tidak boleh lagi terus percaya Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat melihat bagaimana sistem yang diwujudkan menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umnoputra.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara ini bahkan Umno-BN juga melakukan diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik.

"Bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN dikala terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini," tegas Abdul Hadi dalam blog rasminya Jumaat lalu.

Beliau berkata permasalahan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berbentuk resolusi daripada kongres ekonomi anjuran parti itu 14 Ogos lalu adalah satu lagi manifestasi kegagalan Barisan Nasional memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara ini.

Keadaan ini, kata Abdul Hadi, bertambah rumit apabila MCA menjadi parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya yang tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukan.

Kegagalan ini juga turut dikongsi bersama oleh MIC.

Justeru itu beliau menyeru semua lapisan rakyat dalam negara ini bertenang dan menilai dengan adil usaha meniup api perkauman yang kini saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno-BN.

Abdul Hadi juga mengajak seluruh rakyat terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk lakukan perubahan dan keluar daripada politik songsang mainan Umno-BN.

"Dengan ini kita akan sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia," ujar beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

AMK Selangor Sokong Sasaran Minima RM4,000 Pendapatan Isu Rumah

Posted: 22 Aug 2010 01:51 AM PDT


SHAH ALAM 22 Ogos - Angkatan Muda KEADILAN Selangor menyokong konsep yang di bawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sasaran minima RM4,000 pendapatan isu rumah dalam tempoh lima tahun apabila Pakatan Rakyat dapat menubuhkan Kerajaan Pusat.

AMK Selangor yakin idea besar ini amat penting untuk kesejahteraan rakyat terbanyak kerana masih ramai isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 ketika ini khususnya masyarakat Melayu.

"Realiti kini, kita masih terkongkong dengan idea pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera yang semakin kurang relevan dalam menangani persoalan asas kebajikan dan pendapatan rakyat terbanyak.

"Idea isi rumah minima RM4,000 merupakan langkah besar dan perlu disokong pelbagai rakyat kerana dilihat lebih realistik dan menjurus kepada rakyat kerana ianya akan meningkatkan kualiti pendapatan rakyat yang dibebani kenaikan harga barangan dan kadar inflasi yang tidak menentu," kata Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, AMK Selangor percaya idea pendapatan isi rumah akan membantu mengurangkan jurang kemiskinan antara kaum kerana pelbagai pendekatan dan mekanisma akan menyusul bagi menjayakan konsep ini.

Malahan, katanya, rakyat tidak mengira samada di bandar dan di kampung akan menerima impak terus menerus daripada pendekatan ini kerana ianya akan lebih menjurus berbanding pendekatan yang digunakan oleh kerajaan masakini yang dilihat belum mampu menyelesaikan banyak isu permasalahan berkenaan keadilan ekonomi dan kualiti bolehguna pendapatan isu rumah.

"Golongan muda juga bakal mendapat manfaat jika idea ini dapat dilaksanakan kerana rata-rata golongan muda yang baru memulakan hidup berkeluarga memerlukan jaminan sumber pendapatan yang dapat memenuhi keperluan semasa.

"Akhirnya,AMK Selangor sasaran ini adalah realistik dan mampu dicapai berasaskan prinsip Pakatan Rakyat yang memperjuangkan sistem ekonomi yang adil saksama, pentadbiran yang telus dan tekad memerangi rasuah," ujar beliau lagi.


Sumber: Suara Keadilan

KSSB, SPRM Setuju Tubuh Pasukan Petugas Khas

Posted: 22 Aug 2010 01:50 AM PDT


SHAH ALAM 22 Ogos - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan ini dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.

Pertemuan ini disertai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail, Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan ini diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah. Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.

KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi KSSB kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

"Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah," kata Menteri Besar dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB untuk mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

Pada pertemuan ini juga, Abdul Khalid telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor.

Selain itu, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Beliau berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah menerusi pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap KSSB.

Pada awal pertemuan, Abdul Khalid telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

"Kita tidak boleh menghentikan perlombongan pasir dan biarkan bekalan pasir di pasaran terjejas. Ini hanya akan menggalakkan kecurian pasir kerana permintaan tinggi.

"Tindakan kita sekarang ialah kita bukan sahaja membanteras curi pasir tetapi pada masa yang sama mengawal bekalan pasir pasaran," katanya.

Katanya, sebab itulah Kerajaan Selangor menubuhkan KSSB untuk memastikan industri mendapat bekalan pasir secara halal dan mencukupi dan ini akan membunuh permintaan terhadap pasir haram.

Menteri Besar menjelaskan, KSSB ditadbir Wan Halim dan Ramli yang mana kedua-duanya adalah pakar bidang kejuruteraan perlombongan yang akan memastikan perlombongan pasir mengikuti semua peraturan alam sekitar dan geologi yang ditetapkan.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: