Selasa, 17 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Nik Nazmi dilantik pengarah komunikasi PKR

Posted: 17 Aug 2010 02:40 AM PDT

PKR hari ini mengumumkan perlantikkan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai pengarah komunikasi yang baru berkuatkuasa 16 Ogos lalu.

Nik Nazmi, 28 tahun adalah ADUN Seri Setia mengisi jawatan itu yang dikosongkan oleh penyandangnya sebelum ini, Jonson Chong.

Perlantikan beliau dibuat menerusi surat yang ditandatangani presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Serentak itu, beliau akan turut menganggotai biro politik dan biro pengurusan serta mengetuai biro komunikasi parti itu.

Adalah dipercayai, Nik Nazmi dipilih berdasarkan pengalaman luasnya dalam media baru dan media cetak yang luas.

Beliau adalah lulusan undang-undang dari King's College, University of London.

Sebelum ini Nik Nazmi, pernah memegang jawatan setiausaha sulit kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber: Malaysiakini

Pornthip tiba diselubungi kerahsiaan, kawalan ketat

Posted: 17 Aug 2010 02:35 AM PDT

Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang dibawa oleh kerajaan Selangor bagi memberi keterangan pada inkues Teoh Beng Hock, tiba di negara ini dengan kawalan ketat pihak keselamatan yang dibekalkan oleh kerajaan negeri dan cuba dirahsiakan.

Dr Pornthip tiba pada jam 12.30 tengah hari tadi. Pada April lalu, beliau membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir bagi meneruskan untuk memberi keterangan. Ia berikutan 'nasihat' daripada majikannya, Kementerian Undang-undang Thailand supaya membatalkan kehadirannya kerana terdapat 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

Beliau dijangka memberi keterangan apabila inkues bersambung esok.

Pakar patologi Thailand itu juga pernah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa beliau juga dinafikan melawat Kelantan awal tahun ini bagi menyiasat pembunuhan di selatan Thailand.

Pada Oktober tahun lalu, Dr Pornthip berkata berdasarkan pemantauannya pada bedah siasat pertama, beliau dapati ada 80 peratus kemungkinanTeoh mati akibat dibunuh.

Pendedahannya yang kontroversial itu menyaksikan pihak berkuasa bersetuju mengadakan beha siasat kedua yang dijalankan pada November tahun lalu.

Pornthip, bersama Dr Peter Vanezis, seorang ahli patologi British yang diupah olh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak sebagai pemerhati pada behah siasat itu.

Dr Vanezis dan pakar patologi kerajaan Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan bedah siasat kedua, masing-masing telah memberi keterangan mereka pada inkues. Hanya Dr Pornthip yang belum berbuat demikian.

Dr Shahidan menolak berlaku penjerutan sebagai punca kematian manakala Dr Vanezis berkata Teoh sedar ketika jatuh tetapi tidak menyatakan sama ada ia perbuatan bunuh diri.

Berikutan pendedahan pada inkues minggu lalu, bahawa terdapat nota yang didakwa ditulis oleh Teoh yang dijumpai kira-kira dua bulan selepas kematiannya, keterangan Dr Pornthip dilihat begitu penting bagi menentukan kematiannya.

Surat yang didakwa sebagai nota terakhir menjelaskan tindakannya membunuh diri yang ditulis oleh Teoh itu telah disebarkan oleh media arus perdana tetapi keluarganya menolak ia sebagai tulen.

Sumber: Malaysiakini

Aleyasak saman polis, kerajaan RM2 juta

Posted: 17 Aug 2010 02:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 17 Ogos: Gara-gara bertindak ganas mencederakan orang awam, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) disaman RM2 juta oleh seorang rakyat Malaysia.

Bercakap di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Aleyasak Hamid @ Hassan, 34 tahun mengaku bahawa tempurung lututnya musnah ekoran dipijak oleh anggota polis pada perhimpunan sempena Kempen Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 10 November tiga tahun lalu.

"Apabila saya jatuh, dalam lima hingga enam orang polis datang menyerang saya dan memijak lutut saya sehingga pecah.

"Saya buat semua ini sebab nak tuntut keadilan atas kezaliman ini kerana selama ini saya ingat polis jaga keamanan rakyat biasa seperti saya," ujarnya sambil menyuarakan rasa tidak selamat berada di tanah air.

Katanya, polis terbabit langsung tidak bersimpati atas kecederaan yang dialaminya pada ketika itu walaupun beliau berkali-kali meminta perikemanusiaan mereka yang terbabit.

"Bila saya minta tolong polis untuk angkat saya, polis cakap: mengapa kamu bodoh dan datang ke sini? Kamu babi yang banyak menyusahkan orang," jelasnya lagi dalam nada yang kecewa.

Tidak cukup dengan itu, pihak polis menurut dakwaannya turut menyepak bahagian tempurung lutut yang telahpun cedera apabila beliau berkali-kali meminta bantu polis.

Disebabkan kecederaan itu, beliau mengaku hilang upaya hampir tiga tahun di samping kehilangan kerjaya sebagai ahli perniagaan kecil-kecilan pada ketika itu.

Tambahnya lagi, kecederaan tersebut turut memaksanya untuk menghabiskan sejumlah wang tertentu setiap minggu untuk perubatan klinikal serta terapi kaki kirinya itu.

Ditanya tentang sumber pendapatannya sekarang, beliau berkata, beliau membantu isterinya mengadakan kelas tambahan kecil-kecilan demi menyara hidup tiga anaknya yang masih kecil.

Peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri dan Siti Murnie Anuar pada kenyataan yang sama berkata, polis dan FRU sepatutnya tidak bertindak kasar pada perhimpunan rakyat.

Partisipasi tidak langsung rakyat pada perhimpunan tersebut, menurut beliau, sepatutnya tidak boleh mendorong polis untuk mencederakan tempurung lutut anak guamannya itu.

Disebabkan itu, beliau berkata, jumlah tuntutan saman RM2 juta itu adalah munasabah bagi menampung kos perubatan, kos teladan, kos kecederaan dan sebagainya yang dialami oleh anak guamannya.

Demi mendapatkan keadilan bagi anak guamannya, beliau yang juga anggota Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur (PBGKL) mengumumkan bahawa ACP Kamal Pasha Jamal (Ketua Polis Daerah Dang Wangi), Datuk Sabtu Osman (Ketua Polis Kuala Lumpur), Tan Sri Musa Hassan (Ketua Polis Negara) dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.


Sumber: Harakah Daily

Bendera Malaysia Dicemar 1Malaysia

Posted: 17 Aug 2010 02:25 AM PDT


17 Ogos - Bendera adalah satu lambang kedaulatan sesebuah negara. Ianya adalah sama seperti lagu Negaraku yang kita wajib hormati. Jika satu masa dahulu persada media kecoh dengan aksi pelajar yang mempersendakan lagu Negaraku, tapi hari ini bendera Malaysia pula dicacatkan dengan menambah logo 1Malaysia padanya.

Bercanggah dengan norma-norma dan nilai-nilai murni Perlembagaan Persekutuan, penambahan elemen luar yang berunsur politik ini adalah satu tindakan tidak bertanggung jawab lebih-lebih lagi apabila konsep 1Malaysia itu sendiri dikatakan gagal mencapai matlamatnya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Abdullah Sani ketika dihubungi berkata bahawa matlamat penubuhan 1Malaysia sendiri adalah samar apatah lagi jika mahu diabadikan pada Bendera Kebangsaan.

Beliau yang mengecam tindakan tersebut, berkata perkara ini haruslah dirujuk kepada Parlimen dan Perlembagaan terlebih dahulu sebelum diberi wajah baru sekiranya ada.

"Ini soal perlembagaan, soal telah pun diwartakan. 1Malaysia tu sloganan". Kata Abdullah Sani

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika dihubungi oleh TV Selangor berpendapat jika ada mana-mana pihak yang mengubah 'rupa' bendera Malaysia, ia adalah satu penghinaan kepada Negara kerana bendera merupakan satu simbol kedaulatan negara.

Beliau turut berkata bendera tidak boleh di ubah suai demi untuk memenuhi kehendak politik parti pemerintah.

Sasterawan Negara, A Samad Said ketika dihubungi turut tidak bersetuju dengan tindakan mencemarkan bendera Malaysia itu. Beliau yang menyifatkan bahawa bendera sesebuah negara itu adalah murni dan mewakili untuk semua zaman biar siapa pun memerintah.


Sumber: TVSelangor

Beralih Kepada Sumber Internet : BN Gusar

Posted: 17 Aug 2010 02:20 AM PDT


17 Ogos - Kebimbangan kerajaan Umno Barisan Nasional mengenai kemungkinan rakyat mengalih perhatian dari media arus perdana kepada laman web pro-pembangkang, mungkin faktor utama mendorong cadangan tapisan internet diteruskan.

Dan, bagi mengelakkan rakyat membuat bantahan terhadap hak kebebasan bersuara, pimpinan Umno BN yang bergelar menteri, menjadikan alasan antara lain ialah pembasmian laman web porno, sebagai alasan.

Ini dilihat sebagai gerakan terancang pimpinan Umno BN bagi mengekang maklumat sampai ke tangan rakyat, selepas beberapa media cetak terbitan parti pembangkang dikenakan tekanan, malah permit Suara keadilan sehingga kini tidak diperbaharui.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shahrin menyifatkan kecurigaan rakyat terhadap media arus perdana mendorong Umno BN memintas usaha penyaluran maklumat melalui internet.

Ura-ura penapisan internet ini mula kedengaran selepas hasil kajian Merdeka Centre yang menunjukkan 60 peratus rakyat Malaysia tidak mempercayai media arus perdana, didedah kepada umum.

Bulan lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mempertimbang pandangan bekas Perdana MenteriTun Dr Mahathir Mohamad berhubung keperluan menapis bahan pornografi di internet.

Sekalipun bersandarkan alasan mengekang pornografi, lain pula ceritanya di organisasi kerajaan kerana jabatan kerajaan tidak boleh akses anwaribrahim.com dan harakahdaily.com.net,walhal jabatan kerajaan dibenarkan untuk akses laman-laman Umno.

"Ini jelas mengambarkan bahawa kerajaan sebenarnya dalam keadaan cukup tertekan,dan saya percaya dan yakin,mereka sebelum pilihanraya akan datang akan menhalang malaysia dengan maklumat internet dan sebagainya" kata beliau.

Pimpinan Umno BN seakan-akan tidak peduli terhadap faktor lain yang lebih penting, asalkan penyaluran maklumat dapat disekat bagi memastikan penguasaan politik tidak terlepas ke tangan pembangkang.

Tetapi akibatnya Malaysia akan mendapat tentangan yang hebat sekiranya mereka haramkan beberapa saluran internet,teknologi maklumat dan sebagainya malah akan mendapat hentaman hebat dalam aspek pelaburan kerana pelabur-pelabur tidak akan pergi ke negara yang demokrasinya mati dan palsu.


Sumber: TVSelangor

Tajuddin Didakwa Penyebab MAS Rugi RM8 Bilion, Mengapa Tiada Tindakan Daripada SPRM?

Posted: 17 Aug 2010 02:15 AM PDT


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan aduan yang dibuat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenapa tindakan tidak diambil terhadap bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (JSJK PDRM) yang didakwa menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion telah bolos ke pihak yang diadu.

Sehubungan itu Salahuddin mendakwa Tajuddin mungkin dilindungi pihak tertentu menyebabkan beliau bebas daripada pendakwaan malah butiran aduan MAS kepada SPRM mengenai kerugian itu telah didedahkan kepada JSJK PDRM iaitu pihak yang diadu.

Dalam pendedahannya, Salahuddin menjelaskan terdapat dua aduan MAS berhubung perkara itu.

Aduan pertama merupakan dua repot polis bertarikh 4 Januari 2002 dan 4 Mei 2005 terhadap Tajuddin dan pegawai yang bersubahat dengannya.

Aduan kedua pula berhubung aduan MAS kepada SPRM terhadap JSJK PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Tajuddin di mana syarikat penerbangan nasional itu dalam surat aduannya menyatakan pihaknya merasa terdapat salah laku rasuah atau penyalahgunaan kuasa sehingga kes terhadap Tajuddin tidak diambil tindakan sewajarnya.

"Yang menjadi isunya adalah apabila MAS membuat aduan itu kepada SPRM, kenapa tindakan tidak diambil terhadap Tajuddin dan juga terhadap JSJK sebaliknya SPRM telah dedahkan maklumat itu kepada JSJK PDRM.

"Sepatutnya SPRM siasat perkara itu tapi SPRM dedahkan kepada JSJK pula menyebabkan MAS rasa cemas sebab aduan didedahkan kepada pihak berkepentingan," kata Salahuddin ketika membacakan satu surat aduan daripada peguam MAS bertarikh 2 Ogos lalu.

Surat yang dialamatkan kepada Pemangku Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Badrul Shah Norman juga menyebut tindakan SPRM mendedahkan maklumat siasatan kepada JSJK itu bercanggah dengan peruntukan bawah Seksyen 29(4) dan Seksyen 65(2) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"SPRM kena jawab kenapa dia dedahkan laporan tersebut," kata Salahuddin lagi.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, terdapat juga dokumen lain yang menjadi asas kukuh kenapa Tajuddin terlepas daripada pendakwaan.

Kata beliau, ia merupakan sepucuk surat oleh bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusuf yang menyarankan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai bentuk pendakwaan yang boleh dikenakan kepada Tajuddin.

"Apa yang membangkitkan kemusykilan dan keresahan saya adalah kemungkinan MAS telah ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion daripada tahun 1994 hingga 2001.

"Dokumen yang dikatakan sebagai surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Komersil PDRM kepada Perdana Menteri itu juga mencadangkan agar tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa individu warganegara Malaysia dan juga warganegara asing.

"Kesahihan adakah dolumen itu benar merupakan surat daripada Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah PDRM kepada PM, harus disiasat dan adakah kandungan dokumen itu benar atau tidak juga harus disiasat adakah benar ia melibatkan kerugian rakyat sebanyak RM8 bilion dalam MAS?

"Jika dokumen itu benar, mengapa daripada Mac 2007 hingga sekarang mereka yang dituduh pecah amanah itu tidak di bawa ke muka pengadilan?" tegas Salahuddin lagi.

Menurut Salahuddin, beliau telah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah yang dianggotainya supaya mengadakan mesyuarat khas tergembar bagi membincangkan kes itu.

Tambah beliau, dokumen itu akan diedarkan kepada kesemua anggota jawatankuasa khas itu.

Beliau juga sedang menimbangkan sama ada perlu membuat satu lagi laporan kepada SPRM atau pun pihak polis.

Salahuddin turut menuntut Perdana Menteri untuk mengambil tindakan tegas dalam skandal ini yang disifatkannya hampir menyamai skandal PKFZ.

"Saya khuatir risiko kewangan ini akan menjadi ibarat risiko yang ditanggung Kerajaan Malaysia dalam skandal PKFZ," ujar beliau.

Pada 13 Disember lalu, Salahuddin telah menyerahkan surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid meminta jawatankuasa itu menyiasat kerugian RM8 bilion dalam MAS tetapi malangnya tiada respon diterima sehingga kini meskipun perkara itu telah di bawa ke sidang Parlimen.


Sumber: Suara Keadilan

Budaya Fitnah Dalam Umno Sampai Tahap Maksima

Posted: 17 Aug 2010 02:10 AM PDT


SHAH ALAM 17 Ogos - Budaya fitnah yang menjadi senjata politik dalam Umno telah sampai ke tahap paling maksima yang menyaksikan parti itu akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, beliau menyifatkan budaya politik dalam Umno menggunapakai prinsip politik Machiaveli meskipun terpaksa menggunakan pendekatan tidak beretika dan bermoral.

"Umno memang sebagai sebuah parti yang tak menghayati prinsip syariah dan akhlak. Mereka betul-betul mewakili prinsip Machiaveli. Itu memang merupakan permainan mereka dan telah sebati dalam perjuangan Umno.

"Itulah sebabnya kita sendiri merasa terkejut, setelah rakyat dengan tegas menolak pusingan pertama dalam tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang pusingan kedua pula dibuat.

"Ini menunjukkan Umno itu adalah Machiaveli, mereka tidak sama sekali memperhitungkan persoalan moral yang bukan sahaja dalam Islam tetapi disebut agama-agama yang lain yang memperjuangkan demokrasi," komen beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Dr Muhammad Nur, selepas tsunami politik pada Mac 2008 yang menyaksikan beberapa buah negeri di Semenanjung jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Umno kini semakin tertekan.

Berikutan itu, katanya, Umno-BN terpaksa menggunakan apa sahaja taktik termasuk memperalatkan agensi kerajaan bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat bagi mengelakkan fenomena 'tsunami 8 Mac' menular ke negeri-negeri lain pada pilihan raya umum akan datang.

"Ini amat merunsingkan pimpinan Umno-BN pada saat ini. Strategi pembantaian, untuk 'discredit' apa sahaja yang dilakukan kerajaan negeri, walaupun agensi kerajaan yang dinaungi oleh Umno seperti SPRM sudah menarik balik tuduhan (rasuah) terhadap Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Jelas, ini membuktikan bahawa mereka akan pergi kepada maksimum untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada kerajaan negeri Selangor dari segi pengurusan, termasuklah dalam isu pasir sedangkan isu pasir telah lama berlaku sejak Menteri Besar yang lalu," ujar beliau.

Ditanya mengenai tindakan Senator Ezam Mohd Nor yang cuba mengulangi tuduhan jahat memburukkan imej Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, beliau berkata umum mengenali watak sebenar Ezam yang meninggalkan perjuangan kerana soal peribadi dan kini cuba menimbulkan keraguan dengan dakwaan yang tidak berasas.

"Sudah lama kita dengar percakapan untuk menggugat integriti Datuk Seri Anwar. Watak Ezam itu, orang tertentu memang mengenali sangatlah watak ini, dia (hanya) cuba untuk timbulkan keraguan (bagi memburukkan KEADILAN)," kata Dr Muhammad Nur.

Beliau yang mengenali Anwar sejak 1968 yakin dengan keperibadian Ketua Pembangkang dan menganggap tuduhan bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu hanya merupakan persepsi liar semata-mata.

"Saya yakin keutuhan moraliti Datuk Seri Anwar dan juga isterinya Datuk SeriDr Wan Azizah," tegas bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu.


Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Guna Wang Peneroka Untuk Beri Duit Raya Kepada Peneroka

Posted: 17 Aug 2010 02:05 AM PDT


SHAH ALAM 17 Ogos - Umno-Barisan Nasional didakwa menipu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan pemberian wang tunai sebagai hadiah hari raya tanpa diketahui bahawa tersebut adalah kepunyaan peneroka sendiri.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata taktik ini digunakan Felda supaya golongan peneroka akan selama-lamanya tunduk, patuh dan terus bergantung kepada agensi tersebut untuk kehidupan mereka.

"Sebenarnya pemberian 'duit raya' sudah lama diamalkan oleh Umno-Barisan Nasional dan setiap tahun ia dijadikan sebagai isu politik. Sebenarnya dana untuk memberikan wang tersebut datang dari simpanan warga peneroka itu sendiri," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana Sabtu lalu.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian duit raya sebanyak RM350 seorang kepada 101,391 peneroka rancangan Felda, manakala 11,244 peneroka lain yang tidak bersama Felda akan diberi wang poket hari raya RM150 seorang.

"Perkara ini dilakukan seolah-olah kononnya peneroka tidak tahu, sedangkan ramai peneroka telah sedar (tentang helah ini). Pemberian kembali wang tersebut bukan sahaja pada hari raya, tetapi pada tahun baru, ketika sesi persekolahan akan bermula," jelas Suhaimi yang juga seorang peguam.

Suhaimi juga membangkitkan semula isu berhubung bayaran semula wang Tabung Tanaman Semula kepada peneroka yang secara puratanya berjumlah kira-kira RM17,000 seorang.

"Wang tersebut yang dipulangkan kembali hanyalah sekitar RM7,000 hingga RM9,000 seorang, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan milik peneroka. Ada kes di mana peneroka yang telah 9 tahun mengerjakan tanaman sendiri, tetapi masih belum menerima baki bayaran tersebut," tambah beliau.

Tambahnya lagi, mulai Julai lalu Felda telah mula mengutip bayaran bulanan sebanyak RM120 sebulan untuk Tabung Tanaman Semula sedangkan sebelum ini peneroka hanya dikehendaki mencarum sebanyak RM40 sebulan.

"Ini tidak ternasuk bayaran tambahan untuk yuran keceriaan kampung, tabung khairat kematian dan yuran JKKR (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan). Jika elaun sara hidup yang diterima sebanyak RM 1,500 sebulan, kini hanya tinggal sekitar RM800 sahaja.

"Jumlah ini sudah tentunya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan sesebuah keluarga peneroka dengan kadar kos kehidupan yang semakin meningkat. Kami mencadangkan agar elaun sara hidup kepada peneroka ditingkatkan kepada sekitar RM2,500 sebulan," kata Suhaimi.

Suhaimi juga memaklumkan, pihaknya sedang bersiap sedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda berkenaan kegagalan mereka untukmemulangkan kembali wang Tabung Tanaman Semula kepada peneroka.

"Sekarang ada banyak firma guaman yang bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu peneroka untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda. Bayangkan separuh daripada jumlah keseluruhan bayaran semula (RM17,000) dan ada 25,000 orang peneroka yang menjalankan tanaman sendiri. Berapakah jumlahnya,? soal Suhaimi.

Sumber: Suara Keadilan

Pemimpin Umno-BN Takut Bawa Perubahan, Dibelenggu Rasuah

Posted: 17 Aug 2010 02:00 AM PDT


SHAH ALAM 17 Ogos - Pemimpin Umno-Barisan Nasional dilihat tidak lagi mempunyai keinginan dan keazaman kuat untuk bergerak ke hadapan dan memimpin rakyat serta membawa perubahan lantas kerana takut berdepan dengan penilaian rakyat dan media.

Ahli dan kolumnis Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Christopher Barnabas dalam artikelnya When BN Leaders Fail To Lead, "think alternative" 11 Ogos lalu menyatakan pemimpin Umno-BN juga takut menyuarakan pandangan yang lari daripada pendirian rasmi parti atau kerajaan menyebabkan kredibiliti mereka sebagai pemimpin terhakis.

Ini jelas dilihat pandangan Ahli Parlimen Rembau yang menokong rakan sejawatnya dari Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu politik perkauman namun terpaksa mengundur setapak dengan mengatakan pandangan beliau tidak dikongsi majoriti rakyat Malaysia.

"Khairy bersetuju dengan kenyataan Khalid bahawa politik berteraskan ideologi perlu menjadi halatuju politik tanahair dan mengecam politik perkauman yang dipertahankan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, tetapi pada masa yang Khairy juga menyatakan kebanyakan rakyat Malaysia tidak akan bersetuju dengan idea ini.

"Saya amat tidak bersetuju kerana kemenangan bersejarah Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu merupakan bukti kukuh rakyat dapat melihat halatuju politik negara," tegas Christopher.

Beliau berkata, jika Khairy benar dan ikhlas politik perkauman patut dihapuskan, beliau sepatutnya mengambil langkah pertama dengan mendidik gerakan pro-perkauman yang Umno-BN dipenuhi dengan pemimpin berfikiran sebegitu.

"Dahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyokong tindakan protes kepala lembu dengan alasan rakyat berhak menyatakan pendirian, tetapi beliau sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik dengan mengarahkan dan membenarkan polis menahan dan bertindak kasar terhadap peserta protes aman anti ISA dan acara nyalaan lilin seperti di Petaling Jaya dan Pulau Pinang baru-baru ini.

"Tindakan itu jelas menunjukkan beliau gagal menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin yang menyokong toleransi antara kaum, sesuatu yang amat diperlukan oleh negara pada masa ini," kata beliau lagi.

Tambah Christopher, contoh paling ketara sikap penakut pemimpin Umno-BN tidak menerima perubahan ialah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan konsep 1Malaysia tidak lama selepas mengambil alih pucuk pimpinan pada April 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dalam kenyataan beliau yang pertama setelah memegang jawatan ialah beliau terpaksa meletakkan kepentingan sebagai seorang Melayu dahulu kerana takutkan reaksi negatif daripada penyokongnya.

"Saya boleh memberikan lebih banyak lagi contoh sebegini tetapi hakikatnya jelas bahawa negara kini dipimpin oleh golongan Umno-BN yang takut membawa perubahan serta membimbing rakyat ke jalan yang sesat.

Begitu juga kata Christopher apabila Najib bercakap mengenai Model Ekonomi Baru kepada pelabur asing di Singapura yang menyentuh mengenai isu 'mesra pasaran', 'keputusan berasaskan merit', 'ketelusan' dan dasar 'berasaskan keperluan' - semua ini seolah-oleh memberi harapan bahawa Umno akhirnya telah menerima perubahan.

Malangnya beliau melontarkan pandangan yang amat berbeza pada majlis penutup Majlis Perundingan Melayu Mei lalu dengan mengatakan MEB hanyalah pada peringkat cadangan dan beloum dimuktamadkan. Najib memperlihatkan sikap 'flip flop' atau pusingan yang nyata daripada apa yang beliau ucapkan di Singapura.

Ini adalah kerana beliau takut untuk memikul tugas sebagai pemimpin bagi mempelopori transformasi pada saat-saat negara amat memerlukannya.

"Badan kehakiman tercemar, SPRM mengamalkan pendakwaan berpilih, sistem pendidikan caca marba, kekejaman pihak polis dan kematian dalam tahanan semakin menjadi-jadi, SPR pula berat sebelah. Ditambah pula dengan kos kehidupan yang semakin meningkat disebabkan amalan rasuah berleluasa dan pembaziran dana awam serta subsidi hanya kepada syarikat kaitan kerajaan (GLC). Dalam keadaan ini rakyat pula yang dipaksa mengubah gaya hidup.

"Memandangkan kepimpinan Umno-BN telah gagal sepenuhnya walaupun setelah 53 tahun berkuasa, sudah tiba masa untuk rakyat mula berfikir secara alternatif dan mengundi untuk satu perubahan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang bagi menyerahkan teraju negara kepada mereka yang berani mempertahankan, mempromosikan dan berusaha tanpa henti bagi mencapai visi mereka hingga berjaya," jelas Christopher lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: