Khamis, 12 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Muhyiddin akan jadi batu api sampai PRU 13

Posted: 12 Aug 2010 04:01 AM PDT

SHAH ALAM, 12 Ogos: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tetap menjadi batu api dengan memanipulasi kenyataannya serta kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kelak.

Menurut beliau, dengan menjadi bati api membolehkan Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri berusaha mengelirukan orang-orang Melayu supaya Umno BN tidak tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

"Dulu dia (Muhyiddin) laga-lagakan Presiden PASdengan Tony Phua, sekarang dia laga-lagakan saya dengan Ustaz Hadi.

"Selepas ini, tentu dia akan tetap laga-lagakan yang lain sebab dia ini batu api, batu api memang begitu untuk selamatkan Umno pada PRU13 nanti," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Baginya, tindakan Muhyiddin itu sebenarnya bermotif apabila asyik menggembar-gemburkan wacana awam berhubung polisi Melayu Bumiputera mendapat diskaun 7 hingga 10 peratus pada pembelian rumah dan bangunan komersial yang masing-masing bernilai minimum RM500 ribu dan RM2 juta.

"Dia memang suka lebih banyak Melayu miskin yang ramai sebab dengan demikian itu orang-orang kaya termasuk pemimpin-pemimpin Umno yang sedia kaya boleh terus dapat lebih banyak subsidi.

"Mereka ini memang suka batu api ini, mereka suka Melayu miskin yang ramai kerana kalau Melayu miskin dah tak ada, mereka ini tak dapat subsidi lagi," tegasnya.

Ekoran itu, beliau turut mempersoal rasionalisme pada pendirian Muhyiddin pula.

"Bagaimana nak selesainya kemiskinan orang-orang Melayu kalau Muhyiddin mempertahankan dasar memberi subsidi dan diskaun-diskaun ini hanya pada orang-orang kaya," soalnya.

Sebagai contoh, beliau berkata, Bumiputera yang sedia kaya raya sahaja akan terus menikmati subsidi RM35 ribu atau diskaun 7 peratus dalam pembelian rumah mewah bernilai RM500 ribu umpamanya, kerana orang-orang Melayu miskin mustahil boleh memberi rumah-rumah mewah ini.

"Inilah yang segelintir ahli-ahli Umno yang tinggal di rumah kos rendah, PPRT (projek perumahan rakyat termiskin) tidak nampak.

"Mereka sokong perjuangkan batu api ini tetapi orang lain yang dapat subsidi-subsidi ini," ujarnya sambil mencabar Muhyiddin memperjuangkan diskaun atau subsidi yang lebih besar pada penjualan hartanah kos rendah dan sederhana untuk orang Melayu termiskin.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak timbul isu percanggahan pendapat antara kenyataannya dengan Abdul Hadi itu.

"Pendirian saya dan Abdul Hadi sebenar tidak berbeza, iaitu kita nak bantu orang Melayu, kita nak bantu orang miskin, bukannya membantu Melayu dan Bumiputera yang sedia kaya.

"Tak ada percanggahan antara saya dan Abdul Hadi sebenarnya, ini kerja batu api namanya," tegasnya lagi sambil menyuarakan rasa yakin bahawa orang-orang Melayu dan bukan Melayu tidak terpengaruh dengan budaya batu api itu.

Selasa lalu, Muhyiddin, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional merangkap Timbalan Presiden Umno mencabar Khalid menyokong pendirian Abdul Hadi kononnya atas dasar perjuangan Melayu.

Cabaran itu ekoran Khalid mengambil 'jalan tengah' dengan mengadunkan cadangan dinamik Abdul Hadi dan Tony itu supaya tetap menguntungkan orang-orang Melayu bawahan, bukannya mereka yang kaya raya.

Khalid pada perkembangan yang sama turut dilaporkan mendakwa perjuangan Muhyiddin bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dipopularkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri walaupun Muhyiddin sendiri berkali-kali menafikan hakikat tersebut.

Ini kerana, beliau berkata, Muhyiddin masih dilihat sebagai ekstrem Melayu, sedangkan Najib cuba memujuk orang-orang bukan Melayu supaya kembali menyokong Umno BN melalui slogan tersebut pada pilihan raya akan datang.

Sumber: Harakah Daily

Sime Darby Hadapi Masalah Lagi, Kali Ini Di Indonesia

Posted: 12 Aug 2010 03:58 AM PDT


KUALA LUMPUR, Aug 12: Umpama jatuh ditimpa tangga, Sime Darby, syarikat yang belum pulih daripada derita kerugian hampir RM3 bilion tahun lalu terus dibelenggu masalah, kali ini di negara jiran, Indonesia.

Kumpulan Guthrie Berhad, syarikat yang kini sebahagian daripada Sime Darby, baru-baru ini diarah membayar tuntutan sivil kepada syarikat Indonesia PT Adhiyasa Saranamas oleh Mahkamah Agung Indonesia lebih dari USD25 juta, yang kini menggelembung sehingga USD41 juta.

Sebuah portal berita online melaporkan bahawa masalah itu telah dibawa ke perhatian parlimen negara itu untuk diselesaikan berikutan Guthrie terus mengingkari perintah untuk membayar.

"Pengingkaran terus daripada syarikat yang mempunyai kaitan kerajaan Malaysia telah menimbulkan tanda tanya atas kewujudan broker dan mafia undang-undang di sebalik kes ini," lapor Rakyat Merdeka, sebuah portal berita online di Indonesia.

Persengketaan antara dua syarikat tersebut bermula pada tahun 2000 ketika Guthrie Berhad merancang untuk menguasai aset PT Holdico Kuasa yang telah diambil alih oleh Badan Penyehatan Perbankan Nasional (BPPN) milik kerajaan Indonesia.

Guthrie telah melantik PT Adhiyasa Saranamas sebagai orang tengah untuk memudahkan prosedur dalam pengambilalihan PT Holdico Kuasa, serta anak syarikat dan aset milik syarikat berkenaan termasuk ladang kelapa sawit di beberapa bandar.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Guthrie telah bersetuju untuk memberikan yuran sebanyak tujuh peratus daripada hasil nilai urus niaga untuk Adhiyasa, menurut portal tersebut.

Selepas pengambilalihan berjaya, syarikat milik kerajaan Malaysia itu telah dituduh melanggar kontrak kerana sengaja melewatkan bayaran yang dijanjikan kepada Adhiyasa.

Adhiyasa kemudian mengambil pelbagai tindakan undang-undang, tetapi gagal, bahkan sehinggakan permohonan rayuannya di Mahkamah Agung Indonesia tidak mendatangkan hasil.

Pada tahun 2007, dengan pelbagai kelengkapan dokumen dan bukti, Adhiyasa telah berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Agung untuk mengarahkan Guthrie untuk memenuhi kewajipannya dalam membayar yuran yang dijanjikan, dengan enam peratus tambahan sebagai bunga.

Namun, keputusan ini terus diingkari Guthrie sehingga memaksa Adhiyasa untuk mengajukan petisyen dengan Mahkamah Negeri Jakarta Selatan untuk merampas aset Guthrie yang akhirnya diterima.

(Gambar: Salah satu dokumen yang disiarkan Raja Petra dalam Malaysia-Today tentang Guthrie di Indonesia yang dikatakan sedang menghadapi masalah)

Rakyat Merdeka menambah bahawa Guthrie cuba untuk melawan penghakiman tersebut dengan menyekat perintah untuk pembayaran melalui PT Holdico Kuasa, syarikat yang dikuasainya pada tahun 2000.

Kumpulan Guthrie merupakan syarikat yang terlibat dalam perladangan dan pengilangan yang dibeli pada tahun 1981 di bawah pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed melalui syarikat pelaburan kerajaan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi Bursa Saham London.

Bersama kerajaan dan PNB sebagai pemegang saham terbesar, Guthrie digabungkan dengan Sime Darby dan Golden Hope untuk membentuk Synergy Drive, kemudiannya Sime Darby sebagai nama bersama.

Pada November 2007, Sime Darby menjadi syarikat terbesar di Malaysia dan syarikat perladangan terbesar di dunia dengan bank tanah lebih daripada 540,000 hektar. Namun begitu, akibat salah urus tadbir, Sime Darby dilaporkan berada di dalam kemelut pentadbiran dengan kerugian hampir RM3 billion pada tahun lepas.- Harakah Daily

Harta Taib Mahmud Di Luar Negara, Mana SPRM?

Posted: 12 Aug 2010 03:57 AM PDT


Pendedahan dua dokumen yang membuktikan hubungan langsung antara Ketua Menteri Sarawak dengan sebuah syarikat hartanah berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Sakti International Corporation, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Hakikatnya, Tan Sri Taib Mahmud dan harta kekayaan di luar negara sudah sinonim di kalangan rakyat banyak. Hanya pihak berwajib seperti suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia atau SPRM sahaja masih membatukan diri.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata rakyat Sarawak sudah lali dengan penyelewengan Taib Mahmud dan pada masa sama hilang kepercayaan terhadap SPRM untuk mengheret ketua menteri itu ke muka pengadilan.

Malaysiakini mendedahkan perjanjian bertulis lembaga pengarah Sakti International Corporation dengan adik beradik Taib Mahmud dan anak-anaknya memegang kepentingan 50 peratus bersamaan RM250 juta, bagi pihaknya.

Antara lain, Taib Mahmud menamakan adik beradiknya Onn dan Ariff, anak perempuannya Jamilah dan anak lelakinya, Mahmud dan Sulaiman.

"Ini adalah perkara yang diketahui ramai. Dan sudah dijangka dan disyaki dari dulu bahawa Taib Mahmud ada harta dan duit luar negera. Ini satu bukti yang kukuh," katanya kepada TV Selangor.

Sakti International dilapor memiliki beberapa hartanah di bahagian pantai barat Amerika Syarikat, antaranya bangunan Abraham Lincoln di Seattle, bangunan yang juga menempatkan pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Unit Anti Pengganas Washington Fusion Centre.

Dalam konteks ini, Baru bian mempersoal sumber dana Taib Mahmud berkaitan hartanahnya di luar negara.

"Perkara sebegini yang besar berkaitan rasuah yang melibatkan berjuta- juta duit rakyat tidak dapat disiasat SPRM

Sebab itu, kita tidak yakin dengan SPRM kerana tidak membukti bahawa mereka efektif. Tiada siasatan. Sikit sahaja mereka laksanakan tugas untuk siasat," katanya.

Bagi Baru Bian, harta rakyat mesti dijaga bukan diperlaku sesuka hati.

"Harta rakyat mesti dipulangkan. Saya percaya harta rakyat yang dicuri perlu dipulangkan kepada rakyat," katanya.

Sumber: TVSelangor

DAP: Pemuda Umno dan MCA hilang taring

Posted: 12 Aug 2010 03:56 AM PDT

Keputusan kabinet melarang mahasiswa menyertai politik menunjukkan BN langsung tidak mendengar pandangan rakyat, khususnya golongan muda yang mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dimansuhkan dan kebebasan akademik dikembalikan di universiti tempatan, kata ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Anthony Loke.

Keputusan ini juga, tegasnya, membuktikan sayap Pemuda BN, khususnya Pemuda Umno dan Pemuda MCA semakin hilang taringnya kerana suara mereka yang mendesak supaya pelajar universiti dibenar menyertai parti politik, langsung tidak diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Malahan, kata Loke yang juga ahli parlimen Rasah, suara Timbalan Menteri Penggajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang jelas ingin membawa perubahan tersebut, juga tidak diendahkan oleh menterinya sendiri.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, DAPSY mengutuk keputusan kabinet untuk terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"DAPSY berasa amat kesal dan mengutuk keputusan kabinet yang terus melarang pelajar universiti daripada menyertai parti politik.

"Ini merupakan satu keputusan yang amat retrogresif dan mendukacitakan aspirasi golongan muda, khususnya pelajar Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA).

"Keputusan ini terus menafikan hak pelajar universiti tempatan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berpersatuan kepada setiap warganegara Malaysia," tambahnya.

Namun begitu, katanya, DAPSY akan terus mendesak supaya Akta Kolej dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan dan kebebasan pelajar universiti dikembalikan.

"DAPSY yakin, sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan, agenda mendemokrasikan IPTA akan diberi perhatian yang serius dan kebebasan pelajar universiti termasuk menyertai parti politik akan dikembalikan," tambahnya.

Malah, kata Loke, keputusan kabinet itu akan menyemarakkan lagi semangat mahasiswa tempatan untuk bangkit membawa perubahan politik.

"Dan BN akan diberikan satu pengajaran yang lebih pahit oleh golongan muda dalam pilihanraya umum yang ke-13 kelak," tegasnya.

Sumber: Malaysiakini

Batal Senarai Hitam Kejayaan Besar Pakatan Rakyat Bela Rakyat

Posted: 12 Aug 2010 03:55 AM PDT


SHAH ALAM 12 Ogos - Keputusan kerajaan menarik balik tindakan menyenarai hitamkan pemilik kenderaan yang menerima saman ekor merupakan satu kejayaan besar Pakatan Rakyat membela nasib rakyat yang tertindas disebabkan tindakan sembrono Umno-Barisan Nasional yang membelakangkan peraturan dan undang-undang.

Pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat mingguan Kabinet berkuatkuasa semalam sehingga 28 Februari tahun depan bagi memberi peluang rakyat memperbaharui cukai jalan sempena musim perayaan bermula dengan Hari Raya Aidil Fitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi Suara Keadilan berkata Pakatan Rakyat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan tetapi pada masa yang sama mahu tindakan menyenarai hitamkan dimansuhkan segera.

"Kita tidak mahu keputusan yang diputuskan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha hanya untuk memberi kelonggaran semasa musim perayaan akan datang.

"Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya daripada PAS sendiri." ujar Naib Presiden PAS itu.

Menurut beliau, Kase yang ditubuhkan hasil maklum balas rakyat telah bergerak ke seluruh negara bagi menbantah tindakan saman ekor oleh pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Ini menunjukkan sikap kerajaan yang tidak baik, mereka malu untuk mengaku bahawa tindakan mereka salah kerana ianya hasil daripada desakan rakyat.

"Kita juga meminta supaya kerajaan supaya jangan berdegil untuk mengkaji semula tindakan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak, waima daripada pihak kerajaan atau rakyat," ujar Mahfuz lagi.

Pada 5 Ogos lepas, Mahfuz telah menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Pengangkutan dan juga mengatur pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan perkara sama.

Isnin lalu, Kase telah membuat aduan kepada Suhakam bagi meminta badan hak asasi manusia itu membantu rakyat memperjuangkan hak mereka.

"Kita meminta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan membatalkan 'black list' tersebut dan mengizinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan," kata Mahfuz dalam perjumpaan itu.


Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Punyai Sejarah Panjang Hina, Aib Raja-Raja Melayu

Posted: 12 Aug 2010 03:54 AM PDT


SHAH ALAM 12 Ogos - Pemimpin Umno mempunyai sejarah panjang berhubung isu menghina dan mengaibkan Raja-raja Melayu sedangkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah gagasan baru dalam lanskap politik negara berpegang kepada prinsip mempertahankan Perlembagaan termasuk melindungi hak serta menghormati martabat raja-raja Melayu di negara ini.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta KEADILAN memohon maaf kepada Sultan Johir berkaitan isu kain rentang provokatif, jelas menunjukkan Umno penuh dengan kepura-puraan dan kini cuba memperalatkan institusi Raja Melayu ketika parti itu semakin ditolak rakyat.

"Umno yang semakin tersepit dalam usaha meraih sokongan rakyat cuba mempengaruhi Raja-raja Melayu selepas tidak berjaya menjadikan PAS sebagai kuda tunggangannya. Sebelum ini Umno juga cuba menggunakan beberapa individu yang didakwa sebagai ulama muda dan segelintir Mufti supaya mengikuti kehendak mereka.

"Bagi saya, kenyataan Muhyiddin dari awal lagi telah menghina Raja dan kita boleh senaraikan tindakan pemimpin Umno yang terdahulu yang telah menghina dan mengaibkan raja-raja Melayu," jelas Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Malahan kata Nizar lagi pemimpin Umno-BN harus dipersalahkan kerana disebabkan mereka, kuasa raja-raja Melayu hilang dan dirampas oleh Umno-BN dengan meminda Perlembagaan mengikut selera politik mereka.

Dalam nada yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata apa yang berlaku di Johor merupakan perancangan Umno untuk memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Kalau kita lihat dari segi sejarah, yang menghina dan mengaibkan institusi raja pemimpin Umno sendiri. Merekalah yang sebenarnya sebelum ini menyerang institusi raja habis-habisan sejak daripada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kedurjanaan mereka berterusan sehingga kini.

"Umno merupakan parti yang apabila mahu menggunakan institusi raja, mereka akan mengeksploitasinya semaksimum mungkin dan apabila hendak dihina, pemimpin Umno yang akan terdepan sekali menghina raja-raja Melayu seteruk-teruknya serta mendedahkan segala keaiban mereka di mata rakyat," tegas Syed Azman.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng mendakwa perbuatan memasang kain rentang provokatif yang membangkitkan kemurkaan Sultan Johor didalangi oleh seorang bekas Menteri Besar negeri itu daripada Umno-BN.

Jui Meng membidas pihak terbabit yang dianggap mempunyai niat jahat dan ingin membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang hanya membenarkan orang Melayu dan beragama Islam sahaja menjadi Menteri Besar.

Dalam pada itu, beliau menganggap tindakan melaga-lagakan KEADILAN dengan Sultan Johor sebagai fitnah yang gagal.

Sumber: Suara Keadilan

Ahli Parlimen PJ Utara Terima Nota Ugutan Dan Sebutir Peluru

Posted: 12 Aug 2010 03:53 AM PDT


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Anggota Parlimen DAP bagi Petaling Jaya Utara Tony Pua membuat laporan polis selepas menerima nota ugutan mati dan sebutir peluru semalam.

Pua berkata peluru itu dan nota tersebut dihantar ke pusat khidmat beliau di Damansara Utara yang tertulis dari Tangkak, Johor.

"Apabila salah seorang pembantu saya membuka surat itu, beliau mendapati nota itu berserta dengan sebutir peluru. Saya dan pembantu saya buat laporan polis di balai polis Damansara Utama pada kira-kira pukul 4.30 petang.

"Kemudian, kita dipanggil untuk beri keterangan kepada pegawai penyiasat malam tadi," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Pua, yang juga ketua publisiti DAP, tidak memberitahu kandungan nota ugutan itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Bernama

Tiada ulasan: