Rabu, 11 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kerajaan tarik balik senarai hitam saman ekor

Posted: 11 Aug 2010 03:31 AM PDT

PUTRAJAYA, 11 Ogos: Kerajaan menarik balik tindakan menyenaraihitamkan kenderaan pesalah-pesalah trafik akibat saman ekor buat sementara waktu bermula hari ini hingga 28 Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, ini berikutan keputusan memberi kelonggaran semasa musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Langkah ini adalah kemenangan besar bagi perjuangan menentang saman ekor yang dibuat oleh rakyat negara ini khasnya dari PAS sendiri.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar (gambar) bersama rakan-rakannya telah menubuhkan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan bergerak ke seluruh negara bagi menentangnya.

Pada 5 Ogos lepas, beliau bersama rakan-rakannya ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi berbincang mengenai tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.

Namun, hanya setiausaha akhbar menteri berkenaan bertemu dengan mereka.

Jawatankuasa berkenaan juga telah mengatur satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan perkara sama.

Semalam, 10 Ogos, Kase telah membuat aduan kepada Suhakam bagi meminta badan hak asasi manusia membantu rakyat memperjuangkan hak mereka.

"Kami berharap pihak menteri tidak ada masalah dengan pertemuan ini kerana isu ini melibatkan rakyat secara keseluruhannya.

"Kami minta pihak Kementerian Pengangkutan membuat keputusan bijak dengan mengarahkan JPJ membatalkan black list tersebut dan izinkan orang ramai untuk perbaharui cukai jalan.

"Kase juga akan tetapkan satu tarikh untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin untuk berbincang isu saman ekor ini kerana pihak polis pun memainkan peranan dalam mengenakan saman ekor ini," kata Mahfuz pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Ibu Pejabat PAS di sini 2 Ogos lepas.


Sumber: Harakah Daily

Tempatkan Pegawai Di KSSB, Selangor Pelawa SPRM

Posted: 11 Aug 2010 03:29 AM PDT


Kerajaan Selangor menjemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan pegawai di pejabat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Tawaran ini dibuat selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap konsep pentadbiran yang telus serta bertujuan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap operasi KSSB berikutan kritikan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap syarikat milik penuh Kerajaan Selangor ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kakitangan SPRM ini boleh memantau operasi dan pentadbiran KSSB secara lebih dekat bagi memastikan salah guna kuasa atau rasuah tidak berlaku.

Katanya, bagi melengkapkan lagi prinsip pentadbiran telus dan terbuka, KSSB akan mengiklankan jawatan kosong di media bagi mengisi dua jawatan Pengarah yang bebas dari pengaruh politik tetapi berpengalaman dalam industri perlombongan pasir.

"Mereka ini akan menjadi wakil Kerajaan Negeri untuk bersama-sama mentadbir dan menguruskan KSSB dalam menjalankan perlombongan pasir.

"Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan KSSB melantik juruaudit bebas bagi mengaudit setiap sen yang dibelanjakan supaya makumat kewangan KSSB dapat diketahui orang awam," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, kerajaan Selangor percaya masih belum ada syarikat yang menguruskan pasir di negeri-negeri lain yang telah mengambil langkah-langkah seperti yang dilakukan KSSB. Selangor yakin KSSB menjadi syarikat pasir pertama yang mengamalkan pentadbiran yang telus dan terbuka.

"Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mencabar negeri-negeri di bawah BN supaya mengambil langkah yang sama terutama di Johor yang mana operasi perlombongan pasir amat diragui tetapi tidak diberi liputan oleh media arus perdana," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga ingin mengumumkan perlantikan Wan Ab. Halim Wan Ismail, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KSSB berkuatkuasa 26 Julai lalu.

"Wan Ab. Halim, 62, berkelulusan bidang Kejuruteraan Perlombongan dari London University, United Kingdom mempunyai pengalaman luas bidang perlombongan sumber galian termasuk pasir, batuan, timah, besi dan emas," katanya.

Sumber: TVSelangor

MPK disaran henti bayar Alam Flora

Posted: 11 Aug 2010 03:28 AM PDT

Kerajaan negeri Selangor melahirkan rasa tidak puas hati dengan kerja-kerja pengutipan sampah dari rumah-rumah dan kerja-kerja pembersihan kawasan persekitaran yang dijalankan oleh Alam Flora.

Sehubungan itu, menurut exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar, yang juga adalah ADUN Seri Andalas berkata pihak kerajaan negeri telah menyarankan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) supaya memberhentikan segala pembayaran kepada pihak Alam Flora dengan kadar 'serta merta'.

"Ini adalah lanjutan kepada kempen kebersihan dan gotong-royong Eco- Green Week yang dijalankan di Jalan Dato' Dagang 39B, Taman Sentosa, Klang pada 08 Ogos 2010 yang lalu.

"Kawasan Taman Sentosa tersebut didapati tidak diselenggarakan lebih dari setahun atau di sesetengah tempat kerja dijalankan tidak sempurna dan secara sambil lewa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, menurut Jayakumar, beliau menerima banyak aduan dari penduduk kawasan Taman Klang Jaya dan Taman Desawan berhubung sampah yang tidak dikutip mengikut jadual yang ditetapkan.

"Oleh kerana itu, didapati ramai penduduk terpaksa membuang sampah di tepi jalan raya kerana sampah tersebut berlonggok di rumah mereka berhari-hari.

S
ebagai exco Kesihatan, saya melahirkan kekecewaan terhadap keadaan yang tidak bersih, di mana terdapat banyak lalat dan tikus yang membawa penyakit," katanya.

Menurut Jayakumar, MPK juga telah diarahkan untuk memanggil semua kontraktor Alam Flora yang menyelenggarakan kawasan berkenaan untuk satu perjumpaan bagi mengatasi masalah tersebut.

"Saya inginkan pegawai Alam Flora yang bertanggungjawab untuk kawasan Seri Andalas turut hadir untuk perjumpaan tersebut. Pihak kontraktor juga diingatkan agar tidak menghantar pekerja untuk mewakili mereka pada perjumpaan tersebut," katanya.

Namun tarikh perjumpaan dan butiran serta agenda tidak diberikan.


Sumber: Malaysiakini

Bekas MB Johor Didakwa Dalang Pasang Kain Rentang Provokatif

Posted: 11 Aug 2010 03:22 AM PDT


SHAH ALAM 11 Ogos - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng berkata mendakwa perbuatan memasang kain rentang provokatif yang membangkitkan kemurkaan Sultan Johor didalangi oleh seorang bekas Menteri Besar negeri itu daripada Umno-Barisan Nasional.

Jui Meng juga mendakwa kain rentang provokatif itu dicetak di sebuah premis di bandaraya Johor Bahru.

"Nama bekas Menteri Besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan.

"Suatu ketika dulu, dia pernah tidak dialu-alukan untuk hadir ke Istana sewaktu Almarhum Sultan Iskandar masih hidup. Chua Jui Meng masih tidak lupa, dan masih mempunyai memori yang kuat. Jadi, tak masuk akal kalau dia meminta saya untuk meminta maaf kepada Tuanku Sultan. Beliaulah orang yang paling lantang mengkritik Sultan," kata bekas Menteri Kesihatan itu kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Beliau menegaskan tindakan pihak tertentu memasang kain rentang provokasi disepanjang laluan perjalanan Sultan Johor dalam program siri jelajah 'Kembara Mahkota Johor 2010' bertujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat dan percubaan untuk dan melaga-lagakan KEADILAN dengan pihak istana.

Beliau berharap pihak polis segera menjalankan siasatan yang mendalam dan mendakwa dalang dibelakang perbuatan tersebut.

Sehubungan itu KEADILAN Johor bersetuju dan menyokong pandangan Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar yang mengingatkan rakyat di negeri itu supaya tidak terpengaruh dengan tindakan yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat.

"Pakatan Rakyat menolak sebarang usaha untuk mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang wujud dalam negara kita. Kita akan mempertahankan Institusi DiRaja daripada mana-mana pihak termasuk parti politik dalam agenda untuk mengheret Istana ke dalam persaingan politik kepartian," tegas beliau.

Jui Meng membidas pihak terbabit yang dianggap mempunyai niat jahat dan ingin membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang hanya membenarkan orang Melayu dan beragama Islam sahaja menjadi Menteri Besar.

Beliau menganggap tindakan melaga-lagakan KEADILAN dengan Sultan Johor sebagai fitnah yang gagal.

Beliau berpendapat tindakan bodoh itu adalah usaha untuk menjadikan orang Melayu pekak, buta dan menjadi hamba kepada Umno selama-lamanya.

Tambah Jui Meng Umno-BN Johor kini terdesak disebabkan oleh gelombang perubahan yang dituntut oleh rakyat Malaysia umumnya, khususnya rakyat Johor.

"Angin perubahan ini tetap akan sampai dalam pilihan raya umum kelak. Yang jelas, Umno dan Barisan Nasional sekarang ini sedang menggigil ketakutan," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Selangor Anjur Seminar Perspektif Muda Ekonomi

Posted: 11 Aug 2010 03:21 AM PDT


SHAH ALAM 11 Ogos - Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor dan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor akan menganjurkan Seminar Perspektif Muda Ekonomi pada 14 Ogos ini sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri mengambil kira pandangan golongan muda bagi menambahbaik dasar dan pelaksanaan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, seminar itu dijangka akan mengumpulkan lebih 200 profesional muda dari pelbagai latar belakang.

"Mereka juga akan turut disertai oleh wakil rakyat muda yang berada di dalam lingkungan umur mereka yang diberi amanah untuk berbincang dan memahami pandangan-pandangan ini; yang seterusnya akan diangkat dan dijaguhi oleh wakil-wakil rakyat muda di arus perdana serta di bawa ke perhatian Menteri Besar Selangor," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, seminar yang akan dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong itu akan memberi peluang kepada golongan muda mengenengahkan pandangan, cadangan dan kritikan mereka terhadap pelbagai isu.

Tegasnya, ini kerana golongan muda mempunyai peranan yang besar dalam menentukan perkembangan isu yang mempengaruhi pembinaan bangsa dan negara ini.

"Mereka juga adalah golongan yang paling terkesan dengan kelembapan ekonomi negara. Contohnya, perubahan harga rumah atau kenaikan harga bahan api dan barangan asas baru-baru ini meninggalkan kesan yang lebih besar kepada golongan ini kerana mereka membentuk golongan buruh dan pekerja bawahan yang terbesar di dalam masyarakat ini," jelasnya.

Dalam seminar tersebut, peserta akan dibahagikan kepada 3 kumpulan di mana setiap kumpulan akan memberikan fokus kepada bidang yang khusus iaitu ekonomi, pendidikan dan pendemokrasian pentadbiran.

"Pada setiap sesi, peserta akan diberi peluang untuk bertukar kumpulan supaya pandangan yang luas dari semua peserta dapat digarap secara bersama.

"Sepanjang seminar tersebut juga, peserta akan berpeluang bertukar pandangan dengan wakil-wakil rakyat dari Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri secara santai," kata kenyataan itu lagi.

Seminar Perspektif Muda tersebut dijangka ditutup secara rasmi dengan ucaptama dan dialog bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor.

"Kami menjemput rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk menyertai seminar ini bagi memastikan pandangan-pandangan yang bakal diangkat mewakili pandangan terbanyak rakyat Malaysia," ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pendaftaran bagi menghadiri seminar itu masih lagi dibuka dan mereka yang berminat diminta mendaftar di laman web beralamat http://bit.ly/osea14.

Manakala maklumat lanjut mengenai seminar ini boleh didapati di laman Facebookhttp://www.facebook.com/event.phpeid=114723245246832&ref=ts

Sumber: Suara Keadilan

AMK Desak Polis Siasat Aduan Anwar Terhadap Saiful, Farah

Posted: 11 Aug 2010 03:20 AM PDT


SHAH ALAM 11 Ogos - Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi mendesak pihak berkenaan menjalankan siasatan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, saksi utama kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan ini dilakukan berikutan tiada siasatan yang dijalankan walaupun sudah lebih seminggu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di Pondok Polis Mahkamah Jalan Duta.

Beliau menambah, usaha tersebut merupakan tekanan berterusan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan membuat siasatan berhubung laporan yang oleh Ketua Umum KEADILAN itu.

Shamsul mendedahkan perkara seperti ini merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah negara Komanwel dan menuntut pihak polis menyegerakan siasatan terhadap Farah dan Saiful di bawah Seksyen 8(1) dan Seksyen 8(2) Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berpendapat, kedua individu itu mempunyai akses kepada maklumat sulit yang menjadi rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada umum, berikutan 'hubungan sulit' yang dijalinkan oleh mereka berdua.

Isnin lalu anggota AMK Perlis, Tengku Putra Aelmi Tengku Amiruddin membuat laporan polis terhadap Farah dan Saiful di Balai Polis Kangar meminta siasatan dibuat terhadap mereka di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Sekiranya pihak polis masih tidak melakukan sebarang tindakan terhadap laporan tersebut, kami bercadang untuk membawa kesemua laporan yang dibuat di seluruh negara ini ke pejabat Peguam Negara," kata beliau lagi.

Perbicaraan Fitnah II yang bersambung Isnin lalu menyaksikan keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan untuk membenarkan mahkamah menampilkan Farah dan Saiful sebagai saksi berhubung dakwaan terhadap mereka.

Hakim kemudiannya menetapkan 16 Ogos depan bagi memutuskan sama ada untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Anwar.

Shamsul juga menyelar tindakan media milik Umno-Barisan Nasional yang menyiarkan laporan bahawa Ketua Umum KEADILAN cuba melengah-lengahkan perjalanan kes tersebut.

"Itu hanyalah propaganda Umno-Barisan Nasional. Dalam perbicaraan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan haknya bagi mendapatkan perbicaraan yang adil. Jika tidak, adalah lebih baik sekiranya mahkamah mengugurkan tuduhan tersebut," kata Shamsul lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Didakwa Cuba Ulangi Operasi Lalang 1987

Posted: 11 Aug 2010 03:20 AM PDT


KUALA LUMPUR 11 0gos - Umno-Barisan Nasional didakwa membuat perancangan rapi bagi mencetuskan kegelisahan dan ketegangan kaum di negara ini apabila satu persatu pemimpinnya mula mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat perkauman.

Trend ke arah itu dipercayai menyediakan landasan dalam usaha politik kedurjanaan Umno-BN untuk mengulangi semula Operasi Lalang pada sekitar 1987 di mana ratusan pemimpin pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard berkata, tindak-tanduk itu dapat dilihat daripada kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina Islam dan masyarakat Melayu baru-baru ini.

"Kenyataan ini sengaja dikeluarkan semata untuk meraih sokongan orang Cina khususnya bukan Islam yang menjadi kekuatan MCA sebelum ini, sebaliknya mutakhir ini semakin menjauhi MCA."

"Kenyataan ini juga ada kaitannya dengan pelan besar rejim untuk mewujudkan ketegangan kaum, memainkan skrip lama untuk kekal berkuasa. Setiap kali gabungan pewaris penjajah hampir hilang populariti maka mereka akan memainkan sentimen kaum untuk kembali meraih simpati rakyat yang dipecah perintah berdasarkan kaum mengikut pemikiran penjajah dahulu," kata beliau selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Soi Lek bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menghantar berhubung kenyataannya sambil mendesak beliau memohon maaf secara terbuka dalam masa 14 hari.

Memorandum itu diserahkan kepada Pembantu Khas Presiden MCA itu, Yap Chin Chin di Bangunan MCA, Jalan Ampang tengahari semalam.

"SAMM yang terdiri anak muda Malaysia daripada pelbagai latar kaum dengan ini menyatakan amaran kepada Dr Chua untuk menarik semula kenyataannya yang menghina Islam dan memohon maaf dalam tempoh 14 hari atau berdepan dengan aksi anak muda di seluruh negara," tegas beliau.

Pada 6 Ogos lalu, Chua secara terbuka mengecam PAS termasuk Umno kerana didakwa menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu dan Islam dengan memberi gambaran negara Islam tidak progresif serta mengamalkan rasuah.

Menurut CheGuBard, sentimen perkauman biasanya digunakan Umno-BN bagi menimbulkan huru-hara dan mencetuskan ketegangan kaum apabila parti pemerintah itu mula kehilangan sokongan dari rakyat sepertimana berlaku pada 1987.

"Rakyat masih tidak lupa bagaimana pada tahun 1986/1987 ketika Umno dan parti gabungan BN sedang menghadapi konflik dalaman dan makin menghilang populariti, Lee Kim Sai, Ketua Pemuda MCA dan Najib Razak, Pemuda Umno telah melancarkan perang kaum.

"Setelah suhu permusuhan kaum naik, regim mengambil kesempatan menahan pimpinan rakyat yang progresif di bawah ISA dengan tema Operasi Lalang. Dua watak penting pembakar sentimen kaum terlepas malah seorang darinya sudah menjadi perdana menteri dan berselindung di balik slogan 1Malaysia," ujar beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: