Ahad, 8 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kempen bantah harga barang naik petang ini

Posted: 08 Aug 2010 07:50 PM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) akan menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai pada jam 5.00 petang ini.

Penyelaras Protes, Dr Mohd Hatta Ramli sebelum ini menjelaskan Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen itu diadakan kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya Kampung Kerinchi juga berdekatan dengan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya yang menjadi tumpuan aktiviti para pelajar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menyeru orang ramai menyertainya dan menjangkakan sekitar 1,000 orang akan hadir termasuk penghuni Projek Perumahan Rakyat di sekitar Kampung Kerinchi.

Protes bukan sahaja dianggotai parti politik tetapi juga disertai kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysua (Suaram), dan Jemaah Islah Malaysia (Jim) dan Kumpulan Budayawan Bertindak.

Ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas, Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya.

Sumber: Harakah Daily

Umno BN jangan pancing undi pekerja miskin

Posted: 08 Aug 2010 07:49 PM PDT

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengingatkan Umno BN tidak menjadikan para pekerja tempatan yang miskin untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Justeru, DPPP menegaskan bahawa Kerajaan Umno BN harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap 442,000 pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, laporan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu bukan sekadar mendedahkan tetapi harus disusuli dengan pelan tindakan yang lebih berkesan.

KSM baru-baru ini mendedahkan kira-kira 442,000 orang atau 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah garis kemiskinan negara.

Menterinya, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, ia berasaskan kajian oleh Perolehan Pekerjaan Nasional KSM tahun lalu menunjukkan mereka meraih gaji bulanan bawah RM700 sebulan berbanding garis kemiskinan negara iaitu RM720 sebulan.

Ini adalah kesan daripada kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal ke dalam negara kita.

Justeru, kata Nasrudin, kerajaan sepatutnya mengambil serius perkara itu kerana dengan kemasukan pekerja asing yang tidak terkawal bukan sahaja menghadkan peluang pekerjaan di kalangan rakyat tempatan malah kegiatan jenayah juga meningkat.

"Ini juga ada kaitannya dengan kelembapan ekonomi yang turut dirasai oleh Malaysia ditambah dengan salah urus tadbir kerajaan Umno BN yang terlalu membazir dalam banyak perkara serta rasuah yang berleluasa," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, situasi itu juga menunjukkan bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap nasib yang menimpa pekerja-pekerja tempatan kerana tiada tindakan yang khusus dibuat, selain hanya janji-janji manis menjelang pilihan raya sedangkan kerajaan seharusnya agresif membela nasib mereka.

Menurutnya, Pakatan Rakyat konsisten terhadap tuntutan bahawa gaji minimum pekerja ialah RM1,200 sedangkan kalau dilihat kerajaan Umno BN masih lagi menggunakan tarif lapuk yang sepatutnya sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan semasa.

"Apakah RM700 sesuai digunakan ukurannya kepada penduduk yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur?" soalnya.

Sehubungan itu, ujarnya DPPP mendesak agar kerajaan Umno BN mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap isu itu supaya pekerja-pekerja tempatan terbela hak mereka, bukan hanya menggunakan kesusahan mereka sebagai pemancing undi semata-mata.

"Sekiranya masih lagi tiada apa-apa tindakan daripada kerajaan, DPPP menyeru agar pekerja-pekerja tempatan semua supaya bangkit menentang kerajaan yang hanya tahu berretorik semata-mata," ujarnya lagi.


Sumber: Harakah Daily

Presiden MCA Jahil Islam, Bongkak, Sombong

Posted: 08 Aug 2010 07:41 PM PDT


GEORGETOWN 9 Ogos - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melabel negara Islam tidak progresif dan korup adalah melampau dan bersifat jahil.

Malah kenyataan Soi Lek itu kata Anwar mempamerkan sifat bongkak dan sombong pemimpin Barisan Nasional.

"Beliau tidak mempelajari sejarah sebenar masyarakat dan negara-negara Islam. Kenyataan beliau itu adalah keterlaluan dan jahil mengenai perkembangan negara Islam.

"Sepatutnya berdasarkan kepada pergaulan beliau bersama pemimpin Umno dan BN maka sudah seharusnya Soi Lek memahami akan perasaan dan prihatin masyarakat Islam. Namun begitu ini tidak berlaku selama beliau bersama dengan mereka.

"Maka itu usaha kerajaaan negeri Pulau Pinang yang didokong oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng daripada Pakatan Rakyat adalah lebih baik kerana merintis pelbagai cara dan ruang bagi masyarakat Islam dan bukan Islaa untuk menghargai sumbangan positif sesama mereka," kata Anwar semasa berucap pada Persidangan Integiriti Antarabangsa Khalifah Umar Abdul Aziz di sini Jumaat lalu.

Anwar menegaskan dalam amalan politik baru yang di bawa oleh Pakatan Rakyat, setiap kaum dan suku kaum dihargai dan budaya mereka dipelajari dan difahami.

Pendekatan ini amat berlainan dengan Umno-BN yang tidak menjadikan kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini sebagai satu kekuatan dalam membentuk masyarakat.

Soi Lek semasa berucap dalam konvensyen ke-33 MCA Kedah di Alor Star Khamis lalu mendakwa kononnya negara-negara Islam adalah miskin, korup dan mundur.

Kenyataan beliau itu turut dibidas oleh Guan Eng yang menganggap kenyataan Soi Lek itu tidak berasas dan mengarut.

"Sepatutnya beliau mendalami ilmu pengetahuan mengenai negara Islam dengan mempelajari sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang begitu besar kepada manusia sejagat sebelum membuat kenyataan yang tidak berlandaskan fakta yang kuat," tegas Guan Eng.

Persidangan sehari anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang itu yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri membincangkan mengenai sumbangan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam melaksanakan konsep keadilan dan ketelusan dalam pentadbirannya.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Tidak Tahu Tangani Gejala Gadis Bawah Umur Hamil

Posted: 08 Aug 2010 07:40 PM PDT


SHAH ALAM 9 Ogos - Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Sheikh Ismail kesal dengan kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang dianggap merendah-rendahkan martabat anak gadis dan kaum wanita di negara ini apabila berkata kerajaan tidak perlu menghalang kehamilan di luar nikah disebabkan individu terbabit tidak serius untuk mendirikan rumahtangga.

Malahan kata Ketua Puteri Umno itu remaja yang terbabit dengan gejala sosial ini hanya memikirkan keseronokan tanpa mahu menanggung akibat daripada perbuatan tidak bermaruah itu.

Membidas kenyataan itu, Siti Aisyah berkata kerajaan sepatutnya memikirkan mekanisme mencegah gejala tersebut menerusi institusi keagamaan dan bukan hanya membiarkan remaja perempuan terus terjerumus dalam lembah kehinaan itu.

"Kita kesal dengan kenyataan Ketua Puteri Umno yang dilihat menghina anak gadis dan dan kaum wanita. Apa yang diutarakan oleh Rosnah tidak masuk akal, kita sepatutnya mencegah perbuatan mungkar itu dan bukannya memberikan sokongan dengan alasan disebabkan kadar perceraian yang tinggi maka kerajaan tidak perlu menghalang masalah sosial itu daripada berterusan.

"Kerajaan Umno-BN gagal menggunakan institusi keagamaan yang ada bagi membendung dan mengawal gejala sosial yang semakin berleluasa di negara ini," kata Siti Aishah kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau, cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam untuk membina sekolah untuk gadis mengandung di negeri itu juga bukan jalan penyelesaian yang kini melanda golongan remaja perempuan khususnya yang berumur 18 tahun ke bawah.

"Kerajaan Umno-BN tidak sepatutnya membazirkan wang rakyat membina sekolah untuk gadis hamil tetapi mencari jalan dan kaedah penyelesaian yang terbaik berlandaskan ajaran agama.

"Nampaknya idea Ketua Puteri Umno lebih teruk lagi daripada apa yang dicadangkan Ali, dan apa yang lebih parah kedua-dua idea tersebut datang dari pemimpin Umno yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu dan orang Islam.

"Apa yang kita boleh katakan di sini, kerajaan Umno-BN gagal membentuk sahsiah baik di kalangan remaja di negara ini," ujar beliau lagi.

Kata Siti Aishah, Srikandi bersedia duduk semeja berbincang dengan Puteri Umno untuk menyelesaikan gejala sosial yang semakin menular di kalangan remaja perempuan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Sehubungan itu, Ketua Wanita Umno Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula mengutuk cadangan Ketua Menteri Melaka dengan alasan perkahwinan bawah umur tidak boleh diterima di segi moral dan sosial.

"Kerajaan Negeri Melaka tidak sepatutnya menggalakkan perkahwinan di bawah umur kerana ia akan menyebabkan tanggungjawab dan beban yang berat kepada ibu bapa anak tersebut dan menyebabkan perkembangan fizikal, emosi dan psikologi kanak-kanak yang baru dilahirkan itu terbantut," ujar Shahrizat.

Sumber: Suara Keadilan

Kes Liwat II - Mengapa Muhyiddin Gelabah Sangat?

Posted: 08 Aug 2010 07:39 PM PDT


Mengapa Muhyiddin begitu gelabah apabila mendengar bantahan dari negara luar terhadap perbicaraan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim? Negara luar sememangnya ada hak untuk mengemukakan pandangan dan pendapat mereka berkaitan apa jua dasar atau ketidakadilan yang berlaku di dalam negara ini.

Begitu juga negara kita sering memberikan pendapat dan respons terhadap apa yang berlaku di negara lain, contohnya seperti yang pernah berlaku terhadap pemimpin Myanmar dan dasar apartheid di Afrika.

Semua maklum bahawa negara luar tiada hak untuk campur tangan atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh negara ini, tetapi mereka punyai hak untuk bersuara kerana mereka bukan seperti `katak di bawah tempurung.

Kenyataan Muhyiddin yang kelihatannya amat gelisah apabila mengetahui negara luar telah tahu tembelang pemimpin negara ini amat menghairankan.

Apa yang penting, Anwar tidak merayu meminta tolong negara luar untuk membebaskannya dari tuduhan Liwat II yang rakyat negara ini sendiri pun tahu betapa songsangnya kes tersebut.

Apa yang Anwar lakukan adalah memberi penerangan kepada dunia luar bagi membersihkan namanya daripada fitnah kali kedua ini.

Penerangan ini penting kerana Anwar adalah tokoh dunia yang terkenal dan pernah dinobatkan di antara 100 pemimpin dunia yang berpengaruh.

Sekiranya Saiful Bukhari juga ingin membersihkan namanya, beliau juga boleh berbuat demikian ataupun beliau boleh bersumpah laknat di semua masjid di dalam dunia ini. Itu hak beliau.

Anwar pun tahu, negara luar tidak boleh mempengaruhi undang-undang di dalam negara ini walau sekuno mana sekalipun undang-undang di negara kita ini.

Samada Anwar bersalah atau tidak nanti, yang paling penting adakah rakyat di dalam dan di luar negara percaya atau tidak dengan sistem kehakiman dan undang-undang yang diamalkan di negara kita.

Di dalam kes Altantuya, dunia luar sendiri pun tertanya-tanya apa motif pembunuhan wanita Mongolia itu.

Mereka juga pening bagaimana rekod kemasukan Altantuya boleh hilang secara tiba-tiba. Salahkah mereka meraguinya? Kita tidak boleh memperbodohkan dunia luar semata-mata kita sudah menjadi bodoh.

Justeru itu, Muhyiddin harus melihat kembali mengapa dunia luar sekarang semakin memandang serong ke atas sistem kehakiman di negara kita.

Jika dikatakan Anwar adalah kesayangan Amerika, apakah Anwar juga kesayangan ulamak terkemuka Syeikh Dr Yusof Qardhawi?

wfauzdin.blogspot.com

Anwar : PR contohi Kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz

Posted: 08 Aug 2010 06:10 PM PDT


Teladan kepimpinan berintegriti yang ditunjukkan Khulafa Rashidin Islam menjadi pegangan kerajaan Pakatan Rakyat dalam mengurustadbir negeri yang diamanahkan rakyat pada pilihanraya umum yang lalu.

Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Rakyat untuk terus bertaut pada model kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang tegas dan tabah melaksanakan keadilan dan kesaksamaan untuk semua dan setiap lapisan masyarakat.

Dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Ehya Ramadhan di Jawi, Pulau Pinang, Anwar melahirkan rasa bangga dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang meraikan nilai-nilai Islam dalam lanskap sosio-politik Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas Pakatan Rakyat memberi bantuan kepada 56 buah surau dan 21 buah masjid dengan matlamat menjadikan rumah-rumah ibadat Islam sebagai nadi penggerak rakyat Pulau Pinang.

Bantuan ini diberi bagi meraikan kedatangan bulan suci Ramadhan, dengan harapan masjid dan surau di Pulau Pinang maju dan sentiasa diimarahkan.

Anwar melahirkan rasa terharu kerana suasana seperti ini tidak wujud ketika Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri.

Beliau turut mengulas mengenai larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu yang telah diputuskan dalam mesyuarat penuh Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) yang dikritik oleh Barisan Nasional, walhal cadangan itu adalah untuk kalangan umat islam agar menjauhi minuman keras.

Sumber: TVSelangor

Selangor Pecah Rekod Masak Dodol Paling Banyak

Posted: 08 Aug 2010 06:00 PM PDT


Rakyat Selangor mencipta sejarah apabila memecah rekod mengacau dodol terbanyak, paling lama, dan membabitkan pakar kacau dodol paling ramai di dunia.

Program kecau dodol mega ini turut disertai peserta dari Kampung Baru Cina, Kampung Baru India, dari Belgium dan juga negara Jerman.

Diadakan di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat, program ini adalah anjuran bersama agensi-agensi kerajaan negeri di Hulu Langat.

Pegawai Daerah Tuan Zainal Abidin A'la menerima sijil pengiktirafan dari Malaysia Book Of Record, yang diserahkan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Dengan ini saya Maira Zaman, mewakili Malaysia Book of Record mengesahkan bahawa Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat berjaya memecahkan rekod Largest Dodol cooking event, sekaligus mencatatkan rekod di dalam Malaysia Book of Record dengan jumlah 360 kawah . Dengan itu tahniah dan terima kasih,"

Selain dari memecah rekod baru, program ini juga bertujuan merapatkan silaturrahim antara pegawai-pegawai agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Selain dari Menteri Besar, turut hadir sama menjayakan majlis ini adalah Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali dan Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz.

Sumber: TVSelangor

Golongan Kaya Umnoputra Salahguna Diskaun Untuk Beli Rumah Mewah

Posted: 08 Aug 2010 05:56 PM PDT


SHAH ALAM 9 Ogos - Naib Pengerusi DAP, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata diskaun untuk pembelian rumah mewah Bumiputera adalah salah satu penyalahgunaan jelas Model Ekonomi Baru yang antara lain memastikan bahawa golongan berpendapatan rendah di negara ini menerima manfaat daripada dasar tersebut.

Menurutnya, Umno dan sayap Pemudanya jahil berhubung tafsiran peruntukan Perlembagaan yang sengaja disalahgunakan bagi melindungi golongan kaya atau Umnoputra yang mahu terus menikmati diskaun sedemikian apabila membeli rumah mewah mereka.

"Reaksi Umno juga jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai maruah dan harga diri, untuk mencari perlindungan sedemikian dan menyalahgunakan manfaat untuk orang miskin dan kurang bernasib baik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno yang menyerang secara terbuka terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mencadangkan supaya diskaun Bumiputera berkaitan pembelian hartanah mewah dimansuhkan dan disalurkan kepada golongan miskin.

Menurutnya, orang Melayu seharus merasa bangga kerana terdapat mereka yang kini mampu memiliki hartanah dan kediaman mewah yang menunjukkan orang Melayu kini sudah mampu berdiri atas kaki sendiri.

"Oleh itu saya menyokong penuh cadangan Menteri Besar Selangor menimbangkan untuk menghapuskan diskaun ke atas rumah mewah tetapi menyalurkan diskaun itu kepada tabung perumahan untuk membantu Bumiputera miskin," tegas Tunku Abdul Aziz.

Beliau mengecam Umno yang sejak dua minggu lalu, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengkritik Tony berhubung cadangan itu termasuk membuat laporan polis kononnya ahli parlime itu cuba menghasut orang ramai dan mencabuli Perlembagaan negara dan kontrak sosial.

Tunku Abdul Aziz berkata, jelas pemimpin Umno mempunyai pengetahuan yang kosong mengenai undang-undang di mana tidak ada satu artikel dalam Perlembagaan mencadangkan bahawa Melayu atau Bumiputera diberi hak diskaun untuk pemilikan rumah mewah.

"Tidak terdapat dalam Perlembagaan yang mengatakan orang Melayu berhak untuk diskaun pembelian hartanah mewah berjuta-juta ringgit.

"Kedudukan istimewa orang Melayu juga tidak menerangkan definisi untuk pemberian diskaun atau keistimewaan sedemikian bagi mendapatkan kedudukan istimewa atau menyatakan orang Melayu berhak kepada diskaun untuk membeli kereta BMW, Porche, sistem teater rumah, tiket penerbangan kelas pertama atau barang kemas dan batu permata," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

Khalid Nafi Jumpa Sultan Mengenai Kedudukan Sebagai Menteri Besar

Posted: 08 Aug 2010 05:55 PM PDT


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan khabar angin pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini ada membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Ini berikutan laman-laman web pro Umno yang menyebarkan khabar angin kononnya Sultan telah menasihati Khalid supaya berundur daripada jawatan beliau.

Menurut Abdul Khalid, pertemuan beliau dengan Sultan Sharafuddin berhubung urusan rasmi dan tidak menyentuh mengenai perkara berkenaan.

"Saya tak tahu, saya ada berjumpa dengan Sultan semasa Sultan memberi hadiah kepada Selangor Master, esok juga saya berjumpa dengan Sultan untuk acara-acara tertentu," kata beliau ketika ditemui Suara Keadilan.

Katanya, Umno tidak perlu melatah mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar memandangkan perlantikkan beliau ke jawatan itu merupakan mandat daripada rakyat.

"Saya ingat perkara ini tak perlu difikirkan oleh Umno sebab dia bukan Menteri Besar, dia kalau nak jadi MB, masa pilihan raya lah. Kita rasa kalau dia cakap macam ini, dia akan kalah lagi,"

Sumber: Suara Keadilan

Selangor Cadang Tubuh Tabung Amanah Kampung Baru Kekalkan Pemilikan Melayu

Posted: 08 Aug 2010 05:54 PM PDT


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan penubuhan sebuah badan amanah bagi memantau pengurusan hartanah di Kampung Baru selain Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diwujudkan kerajaan pusat melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri juga mencadangkan supaya kawasan mercu tanda kebanggaan orang Melayu yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu, kekal sebagai milik Bumiputera.

"Antara lain, saya telah nyatakan untuk mendapatkan pembangunan terbaik untuk Kampung Baru, semua pemilik tanah di Kampung Baru perlu bersetuju untuk membuat pembangunan bersama. Saya juga telah tunjukkan bagaimana untuk menentukan pemilikan tanah di Kampung Baru kekal dalam pemilikan Bumiputera.

"Oleh sebab itu kita cadangkan satu tabung amanah di mana unit saham tersebut dibahagikan kepada dua bentuk, satu unit pemilikan tanah dan satu lagi saham pembangunan bagi hartanah tersebut. Pembangunan tanah mengambil kira, keuntungan sewa dan boleh diurusniaga oleh semua pihak tetapi tanah hanya tertumpu kepada masyarakat di kawasan tersebut," jelas Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan dengan pewaris dan pemilik tanah Kampung Baru bagi membentangkan cadangan pembangunan semula kampung berkenaan yang ditaja bersama Pejabat Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertempat di Kelab Sultan Sulaiman petang semalam.

Menurut Abdul Khalid lagi, penubuhan badan amanah itu itu juga berupaya menyelesaikan masalah pertikaian berhubung pewarisan pemilikan tanah di kalangan penduduk kawasan berkenaan.

"Ini juga akan menyelesaikan masalah 'inheritance' oleh kerana Kampung Baru kini mempunyai generasi ke empat. Pemilikan ini jika dimasukkan dalam bentuk saham dan unit boleh dibahagikan tetapi tidak beri kesan kepada pembangunan fizikal. Jadi ia boleh dibangunkan secara menyeluruh," ujarnya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dan Roslan Baharuddin, Timbalan Pengurus Besar PKNS.

Pada Mei lalu, Kabinet meluluskan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang berfungsi sebagai perancang dan pengawal selia pembangunan kawasan itu yang dijangka bermula tahun depan manakala Rang Undang-undang mengenainya dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

Menteri Besar berkata, isu pembangunan di Kampung Baru tidak mudah untuk diselesaikan memandangkan penduduk di kawasan Kampung Baru sendiri masih tidak pasti dengan rancangan pembangunan di kawasan berkenaan oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang dibentuk pihak kementerian.

"Rakyat di Kampung Baru masih belum mempunyai pandangan yang jelas bagaimana pembangunan ini dilakukan. Ada yang curiga samada hasilnya akan memberikan kebaikan menyeluruh untuk mereka. Ada juga yang bertanya apa akan jadi kepada mereka, jika dibangunkan dan di mana penempatan mereka. Banyak lagi soalan yang masih belum terjawab," ujarnya.

Sementara itu Dr Lo' Lo berkata, penubuhan badan amanah itu bertujuan mengelakkan konflik kepentingan dalam pengurusan hartanah dan pembangunan di kawasan tersebut.

"Dalam Parlimen saya ada bertanya apakah bahagian dalam Rancangan Malaysia ke-10 yang diperuntukkan untuk pembangunan Kampung Baru, tetapi perkara ini tidak dijawab dan mungkin saya akan buat lagi soalan lisan dalam sesi Parlimen akan datang supaya dengan itu kita lebih jelas samada akan dijalankan dalam RMK-10 atau tidak.

"Tetapi sebenarnya apa yang kita dan penduduk Kampung Baru risaukan adalah penubuhan Perbadanan Kampung Baru. Mereka bimbang nanti jika akta ini diluluskan sahaja dan orang Kampung Baru terpaksa terima," kata Dr Lo' Lo'.

Katanya, selepas pertemuan ini beliau akan terus mendapatkan maklum balas daripada penduduk terutamanya di segi penubuhan badan amanah yang dicadangkan.

"Kalau mereka bersetuju maka satu memorandum akan dibuat kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk memastikan dalam pembentangan akta Perbadanan Kampung Baru (ada dimasukkan) tentang penubuhan badan amanah untuk mengelakkan konflik kepentingan pihak tertentu," ujar beliau.


Sumber: Suara Keadilan

RM30 Juta Untuk Pilihanraya Sarawak

Posted: 08 Aug 2010 04:24 AM PDT


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memperuntukkan RM30 juta untuk menggendalikan pilihanraya Sarawak melibatkan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang penggalnya berakhir pada Julai depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya juga sudah bersedia menghadapi pilihan raya itu yang boleh diadakan pada bila-bila masa tahun ini atau sebelum Julai tahun depan.

Abdul Aziz berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemillih peringkat negeri di Kuching,Sarawak.

Pada pilihanraya negeri yang berlangsung pada 2006, SPR membelanjakan RM31 juta dan sebahagian besarnya untuk penggunaan helikopter bagi kawasan yang sukar dihubungi menerusi jalan darat dan air.

Sumber: TVSelangor

70,000 Petugas Persekutuan Diarah Lawan Kempen PR

Posted: 08 Aug 2010 04:22 AM PDT


Kira-kira 70,000 petugas Jabatan Persekutuan yang berkhidmat di Kelantan diarah mempromosikan dasar-dasar Kerajaan Pusat pimpinan Umno-BN, khususnya bagi memujuk rakyat menyokong skim pemotongan subsidi.

Agensi berita nasional, Bernama melaporkan arahan ini dibuat bagi mengekang impak kempen penerangan Pakatan Rakyat.

Menyedari orang-ramai berang dengan langkah kerajaan memotong subsidi yang diberi untuk meringankan beban rakyat bawahan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta 70,000 penjawat awam memainkan peranan sebagai agen menyebarkan propaganda Model Ekonomi Baru.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis perhimpunan, Perkhidmatan Awam Persekutuan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekutuan (JPP), Makhtar Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Wisma Persekutuan, Wan Mohamad Sabri Wan Harun.


Sumber: TVSelangor

Muhyiddin Pertikai Hujah Wolfowitz, Al-Gore Pertahan Anwar Tapi Bungkam Fatwa Yusuf Qardhawi

Posted: 08 Aug 2010 04:20 AM PDT


KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap hipokrit dan dangkal Umno-Barisan Nasional kerana memberikan penilaian yang berbeza antara kenyataan pemimpin dunia barat dengan tokoh Islam berhubung perbicaraan Fitnah II yang dilemparkan terhadap beliau.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Ketua umum KEADILAN itu terdesak sehingga terpaksa menggunakan rakan baiknya, Paul Wolfowitz menyatakan sokongan terhadapnya dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar berpengaruh, The Wall Street Journal beberapa hari lalu.

Anwar menyelar Muhyiddin dan pimpinan Umno-BN kerana mengunakan alasan pertalian persahabatan beliau dengan Wolfowitz untuk memperkecilkan pandangan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika itu.

Bagaimanapun Umno-BN kata Anwar mengambil sikap yang jauh berbeza apabila tidak sekali pun menyiarkan reaksi tokoh dunia Islam tersohor seperti Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi berhubung kes yang dihadapinya terutama hukum menyebarkan dan meneruskan angkara fitnah.

"Itulah masalahnya pemimpin Umno-BN ini. Mereka memberikan penilaian berdasarkan kedangkalan ilmu dan kejahilan mereka. Apakah orang lain tidak boleh keluarkan pandangan? Golongan Umno-BN ini hanya menggunakan orang Barat sahaja dalam reaksi mereka sedangkan fatwa Sheikh Yusof Al Qardhawi lebih keras. Mengapa tidak mereka siarkan?," soal Anwar kepada Suara Keadilan selepas program bacaan Yasin dan majlis penyerahan bantuan bagi meraikan 45 orang petugas daripada Majlis Perundingan Islam SeMalaysia (Mapimm) yang ke Gaza dalam misi penyampaian bantuan di kediaman beliau Khamis lalu.

Anwar juga mempersoalkan sikap media arus perdana di negara ini yang menyepi dan tidak menyiarkan fatwa Sheikh Dr Yusuf berhubung kes pertuduhan liwat terhadap dirinya.

Beliau berkata menurut Sheikh Dr Yusuf adalah berdosa hukumnya kepada mereka yang meneruskan fitnah ini bahkan mereka yang berterusan dengan fitnah itu tergolong dalam kumpulan fasik dan munafik.

Tambah Anwar lagi, pandangan yang sama diberikan oleh ramai lagi kumpulan dan sarjana Islam dari seluruh dunia berkenaan kes fitnah terhadap beliau namun media arus milik Umno-BN terus menutup kebenaran dan mengenepikan pandangan ini.

"Apa yang Al-Gore daripada Parti Demokratik dan juga Paul Wolfowitz daripada Parti Republikan itu katakan ialah berkenaan proses keadilan dan undang-undang dalam perbicaraan ini. Mereka nyatakan bahawa ada hal yang tidak jelas. Itu yang mereka war-war dan hebohkan. Sedangkan pendirian kita tegas. Ada perkara yang kita tidak setuju dengan pandangan mereka dalam lain-lain hal.

"Apa yang kita tidak dipersetujui ialah dasar luar mereka. Serangan Ameria di Iraq dan Afghanistan. Soal Gaza dan Palestin. Perkara ini sendiri tidak dipersetujui oleh kerajaan Umno-BN. Usaha menghantar konvoi bantuan kemanusiaan ini juga adalah atas inisiatif dan kewangan mereka sendiri dan kerajaan tidak memberikan apa-apa bantuan," kata Anwar.

Beliau berpendapat sikap Umno-BN yang sering mengembar-gemburkan bantuan mereka kepada rakyat Palestin sebagai tidak ikhlas kerana ia hanya bertujuan untuk menagih simpati.

"Mereka tidak ada keikhlasan dengan apa yang disebut sebagai konsistensi dan istiqamah sedangkan persoalan yang berbangkit tidak dijawab. Tentang bayaran kepada Apco oleh PM Najib dan Umno, tentang wang yang digunakan untuk membayar Robert de Niro untuk datang ke Malaysia, dan segala bintang Hollywood oleh Rosmah. Itu yang mereka patut jawab. Bukan mempertikai siapa yang memberikan pandangan.

"Saya fikir apa yang kita perlu lakukan ialah meneruskan tugas dan kerja untuk menyedarkanrakyat untuk melihat bagaimana media diperalatkan. Mereka menyerang kita setiap hari, tetapi tidak beri ruang kepada kita untuk menjawab," kata beliau lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Serangan Bertubi Umno-BN Mantapkan Kerjasama Pakatan Rakyat, Tingkatkan Sokongan Rakyat

Posted: 08 Aug 2010 04:18 AM PDT


SHAH ALAM 8 Ogos - Usaha Umno-Barisan Nasional melancarkan serangan politik untuk menumbangkan Pakatan Rakyat merupakan langkah sia-sia dan sebaliknya asakan bertubi-tubi ke atas gagasan itu membuatkan ia bertambah kukuh dan mantap serta meningkatkan lagi sokongan dan simpati rakyat.

Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali berkata pelbagai strategi yang dilakukan Umno-BN untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat tidak sesekali melemahkan perjuangan yang didominasi KEADILAN, PAS dan DAP untuk terus mengekal dan mempertahankan sistem demokrasi yang adil dan politik bersih di negara ini.

Jelas Dr Syed, kekuatan dan pengukuhan Pakatan Rakyat juga mampu menandingi kelemahan Umno-BN meskipun ia baru ditubuhkan pada 2008.

"Mereka (Umno-BN) sudah nampak jelas masa depan mereka (yang suram), maka untuk menyelamatkan diri, mereka melakukan pelbagai strategi dengan terus menuduh Pakatan Rakyat. Ini bagi memberi gambaran Pakatan Rakyat lemah dan berpecah supaya mereka terus memerintah dengan cara yang zalim.

"Dalam perjuangan politik, kita berceramah sana sini malah dalam pilihan raya kecil kita dapati kerjasama Pakatan Rakyat kukuh. Inilah kekurangan nyata BN," kata beliau pada Majlis Makan Malam Mega Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram) di Stadium Malawati di sini malam tadi.

Tambah Dr Syed pelancaran Tiram menghantar mesej jelas kepada Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Pakatan Rakyat adalah satu badan kukuh dan kuat yang boleh menjatuhkan mereka.

Beliau mendakwa Umno adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memecahbelahkan kaum dan agama di negara ini.

Sambil merujuk beberapa contoh, Dr Syed Husin turut menjelaskan Umno menggunakan media tajaan mereka untuk menggambarkan seolah-olah pemimpin Pakatan Rakyat sering berkelahi dan tidak sependapat.

"Itu sebabnya ada beza antara hubungan PAS-DAP dan Umno-MCA," jelas beliau yang mewakili Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Dr Syed Husin, Umno juga sanggup menggunakan institusi agama dan hubungan kaum bagi meraih sokongan serta undi daripada rakyat.

"Mereka guna agama dan perhubungan kaum untuk menyubur sikap pecah belah di kalangan Pakatan Rakyat, itu sebabnya mereka cakap tentang agama untuk mempertahankan agama tetapi mereka yang bertanggungjawab memecahbelahkan institusi Melayu.

"Umno-BN juga guna media timbulkan suasana untuk membela nasib Melayu dan sasarannya jelas adalah bekerjasama dengan PAS. Walaupun dah ditolak masih nak pujuk rayu, memang tak tahu malu," katanya.

Terdahulu, pelancaran Tiram semalam berjaya mengumpul dana berjumlah lebih RM35,000 dalam acara lelongan amal termasuk hasil sumbangan derma dan jualan tiga potret Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan hasil karikatur Zunar yang berkisarkan ketakutan Najib kepada golongan kartunis dan bapanya, Tun Abdul Razak terhadap anasir komunis.

Tiram ditubuhkan untuk membiayai penganjuran aktiviti yang boleh membentuk kesedaran dan mendidik masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat di negara yang mengamalkan demokrasi.

Pada majlis itu, Tiram turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang menjadi mangsa tembakan sesuka hati pihak polis termasuk Aminulrasyid Amzah serta keluarga Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa Memali pada 1985, dan keluarga mangsa mati dalam tahanan, A Kugan.

Nik Aziz tidak hadir kerana dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian petang semalam kerana kepenatan dan diwakili oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pula diwakili Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas.

Dalam ucapannya, Penasihat Tiram, Datuk Husam Musa berkata, tabung itu mampu memberikan harapan dan menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat dengan mempertahankan prinsip demokrasi.

"Hasrat kami adalah untuk bergerak dengan lebih efektif untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat bukan saja untuk pilihan raya umum akan datang," ujarnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap program Tiram berjaya dan merupakan permulaan kepada usaha menjadikan Malaysia lebih bebas daripada amalan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi.

"Ini merupakan usaha serius yang perlu dilakukan demi negara. Asas kita adalah prinsip keadilan yang menerangi semua," katanya.

Turut hadir termasuk Naib Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari dan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Sumber: Suara Keadilan

SB Kena Halau Cuba Intip Aktiviti KEADILAN

Posted: 08 Aug 2010 04:15 AM PDT


SHAH ALAM 8 Ogos - Identiti seorang anggota polis dipercayai daripada Cawangan Khas (SB) yang menyamar sebagai orang awam terdedah apabila cuba menyusup masuk bagi mengikuti serta mengumpul maklumat pada majlis taklimat anjuran Sekretariat Latihan dan Perkaderan (Selkad) di sini minggu lalu.

Anggota SB itu 'kantoi' apabila gagal menunjukkan bukti pengenalan diri apabila didesak petugas KEADILAN pada majlis taklimat yang disampaikan oleh pegawai Skuad Komunikasi Selangor (SKS) pada pukul 9 malam Khamis lalu.

Menyedari perkara tersebut, pegawai SKS bertindak menghalaunya daripada terus berada di premis Selkad dalam sesi taklimat yang diadakan pukul 9 malam Khamis lalu.

Sehubungan itu Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahron membidas tindakan pihak polis yang dilihat menjadi alat politik Umno-Barisan Nasional untuk mengintip aktiviti KEADILAN di Selangor.

"Kita minta pihak polis supaya tidak menjadi alat atau orang suruhan Umno-BN, mereka hendaklah bertindak profesional dalam menjalankan tugas.

"Mereka sepatutnya tidak menjadi seperti orang suruhan atau anjing politik bagi menjaga kepentingan politik pemimpin jahat," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Tambah Dr Badrulamin, sejak insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor sehingga membawa kepada era reformasi, pihak polis secara berterusan masih lagi bertindak secara tidak profesional dan hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno-BN.

Sepatutnya tugas asasi pihak polis kata beliau adalah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam bukan campur tangan dalam urusan parti politik.

Mengenai program penerangan diseluruh negeri Selangor, Dr Badrulamin berkata langkah penerangan balas kerajaan Pakatan Rakyat melalui SKS akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa yang dijangka pada 11 Ogos.

Beliau berkata pihaknya memilih untuk membuat penerangan di semua masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi mengerjakan ibadat.

Tambah beliau, selepas kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk tujuan sistem penyaluran maklumat, pihaknya akan meningkatkan edaran akhbar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini berkali ganda bagi menjawab dakwaan dan tohmahan pembangkang.

Bilangan akhbar Selangorkini dijangka ditingkatkan daripada 60,000 kepada 300,000 dan bakal diedarkan selepas Hari Raya Adil Fitri nanti.

Sumber: Suara Keadilan

Malaysia Di Bawah Najib Diselubungi 1001 Misteri

Posted: 08 Aug 2010 04:14 AM PDT


SHAH ALAM 8 Ogos - Rakyat diseru menolak Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat kian lemas dengan pelbagai isu yang ditakrif sebagai misteri dan tidak terjawab selepas tsunami politik 2008.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata banyak persoalan yang melanda negara yang sehingga kini menjadi tanda tanya dan dianggap misteri disebabkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban tidak diamalkan oleh Umno-BN.

"Terbaru, kita dikejutkan dengan kematian dua orang pemimpin Umno yang dianggap misteri oleh media tapi sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku tetapi dibiarkan begitu sahaja tanpa jawapan yang sahih.

"Kita lihat apabila Najib pergi bercuti, secara tiba-tiba bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal Pelabuhan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), pada yang sama juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengkritik gagasan 1Malaysia, ini juga satu misteri," kata Shamsul kepada Suara Keadilan.

Menurut beliau, Umno-BN seolah-olah tidak boleh menyelesaikan banyak isu yang membabitkan negara menyebabkan pentadbiran Najib dianggap 'kerajaan penuh misteri'.

Kata Shamsul keadaan ini telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan negatif terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

"Banyak lagi perkara yang menjadi misteri seperti pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu apabila rekod kemasukkannya ke negara ini didapati hilang, malah motif pembunuhan yang sebenar juga masih tidak diketahui.

"Sama juga seperti kes terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga misteri kerana laporan perubatan serta keterangan saksi utama, Saiful Bukhari Mohd Azlan tidak diberi. Lebih misteri apabila Saiful menjalinkan hubungan intim dengan ahli pasukan pendakwa raya, Farah Azlina yang menyebabkan saksi hilang kredibiliti sekaligus kes tersebut sebenarnya boleh dibuang," tegas beliau lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi politik apabila skrip yang sama pada 1998 diulang.

Pengadu, Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan Fitnah I ketika itu telah ditangkap khalwat bersama pasangannya pada 15 September 1999 menyebabkan kes tersebut menjadi pincang.

Ini kata Shamsul sekali gus membuktikan apa yang didakwa sebagai konspirasi untuk menamatkan karier politik Anwar adalah benar.

"Sebab itulah, orang luar memberikan pandangan mereka secara sindiran dan sinikal kerana mendapati perbicaraan terhadap Ketua Pembangkang itu tidak mengikut saluran dan lunas undang-undang yang betul seperti yang diamalkan oleh negara yang bertamadun," ujar Shamsul yang merujuk kepada kenyataan Al Gore dan Paul Wolfowitz dalam akhbar ekonomi berpengaruh di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal yang meminta kes terhadap Anwar digugurkan segera.

Dalam artikel bertajuk "Malaysia's Opposition On Trial", Al Gore dan Wolfowitz mendesak kerajaan Malaysia meletakkan kepentingan hukum sebagai landasan dalam proses politik di mana elemen keadilan dan kebebasan saling bergantungan antara satu sama lain.

Menurut mereka lagi, ia adalah peluang terbaik bagi Malaysia membuktikan bahawa sistem keadilan negara ini mempunyai kapasiti untuk berbuat sesuatu yang betul bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga bagi jutaan rakyat Malaysia yang melihat Anwar sebagai jurucakap kepada segala aspirasi.


Sumber: Suara Keadilan

Noh Kehilangan Dua Penyokong Kuat, Khir Mengintai Untuk Serang

Posted: 08 Aug 2010 04:11 AM PDT


SHAH ALAM 8 Ogos - Umno Bahagian Tanjung Karang yang diterajui oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dijangka bertambah lemah berikutan kematian mengejut dan misteri dua penyokong kuatnya.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor kehilangan orang kanannya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Aziz Mohd Noh dan Naib Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat.

Aziz adalah juga bekas Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abu Hassan Omar, bekas Menteri Besar Selangor.

Kedua-dua mereka ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala kira-kira pukul 11 pagi di KM 455.7 Lebuh Raya Lembah Klang Utara berdekatan Sg Buloh Selasa lalu, dipercayai mangsa bunuh dan bunuh diri.

Setiausaha Cabang KEADILAN Tanjung Karang, Yahya Sahri berkata Noh yang banyak bergantung kekuatan politiknya di Tanjung Karang dan juga Selangor akan lebih terdedah kepada serangan politik untuk menjatuhkan beliau daripada kem seteru yang diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo.

"Secara peribadi, saya memang kenal dengan Allahyarham dan Allahyarhamah, kerana kami berasal dari daerah yang sama. Saya turut mengucapkan takziah kepada keluarga keduanya. Kita juga berharap agar pihak polis dapat menyelesaikan siasatan berkaitan kejadian ini bagi merungkai persoalan yang hangat diperkatakan.

"Dari segi politik, mungkin dia tak mainkan peranan yang besar. Tetapi sebagai orang kuat bekas Menteri Besar Selangor, sudah tentu beliau mempunyai jaringan yang besar, terutama apabila bekas majikannya, Tan Sri Abu Hassan Omar pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna," jelas Yahya.

Pada pandangan beliau, Umno Selangor sehingga kini masih belum lagi memberikan sebarang penjelasan atau kenyataan yang menimpa dua tokoh penting mereka.

Bahkan menurut Yahya, media hanya melaporkan komen Noh Omar.

Kumpulan Noh dan Dr Khir dikatakan sedang secara agresif dalam usaha untuk merebut jawatan Menteri Besar Selangor, sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan kembali Selangor.

Selain mereka, Senator Ezam Mohamad Nor muncul sebagai watak baru dalam percaturan politik umno Selangor.

"Ketika saya menziarahi keluarga Allahyarham di Hospital Sungai Buloh, tidak ramai penyokong Umno daripada bahagian Kuala Selangor yang hadir. Apabila ditanya ke mana penyokong yang lain, semuanya mendiamkan diri, seolah cuba sembunyikan sesuatu," kata Yahya.

Yahya turut mempersoalkan tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dilihat cuba menimbulkan persepsi terhadap kedua mangsa.

Kenyataan Khalid didakwa melangkaui siasatan yang dilihat cenderung untuk menimbulkan perasaan kurang senang dan pertanyaan di kalangan orang ramai.

"Saya menggesa keluarga kedua mangsa soal pihak Datuk Khalid tentang kenyataannya itu yang boleh mencemar nama baik mangsa dan keluarga mereka. Sepatutnya beliau selesaikan dahulu siasatan kejadian bukan membuat andaian," kata Yahya lagi.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: