Rabu, 4 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Perwakilan Pakatan tak dibenar di sekolah Selangor

Posted: 04 Aug 2010 04:22 AM PDT

Satu surat pekeliling berhubung pemimpin-pemimpin BN yang boleh dijemput bagi menghadiri majlis yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di Selangor tetapi membelakangkan pemimpin daripada Pakatan Rakyat dilabelkan sebagai contoh sifat 'talam dua muka' kerajaan persekutuan.

Menurut surat yang bertarikh 16 Feb 2009 itu, menteri pelajaran telah meluluskan senarai 57 pemimpin dari Umno, MCA, MIC dan Gerakan di Selangor yang boleh mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin di negeri itu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha sulit menteri dan pekeliling itu dihantar kepada pengarah jabatan pelajaran Selangor.

Ia juga menyatakan bahawa wakil BN berkenaan turut dibekalkan dengan surat pelantikkan dengan salinannya dikepil bersama pekeliling tersebut dengan nama penuh serta jawatan mereka yang disenaraikan itu.

Ketika dihubungi, Hannah Yeoh, ADUN DAP bagi kerusi Subang Jaya berkata surat itu memberi implikasi bahawa pihak berkuasa sekolah mesti memndapatkan kebenaran menteri sebelum menjemput perwakilan Pakatan Rakyat.

"(Apabil
a sekolah memohon kebenaran), ia tidak pernah diberikan," dakwanya.

Yeoh dalam laman tweet pernah mempersoalkan kandungan pekeliling itu dan berkata beliau mempunyai senarai pemimpin BN yang diluluskan itu.

"Saya tidak dibenarkan menghadiri sebarang majlis di sekolah-sekolah di kawasan saya. Ini tidak betul erana ia menghantar isyarat yang salah kepada kanak-kanak bahawa seseorang terpaksa menerima apa yang diberikan. Mereka tidak dibenarkan memilih pemimpin sendiri," katanya.

Namun, katanya, dia dibenarkan ke sekolah lamanya - SMK Subang Utama - selepas campur tangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru.

"Dalam kes saya, kerana PIBG mendesak, maka saya boleh hadiri. Jadi ini menujukkan bahawa PIBG mempunyai peranan besar," katanya.

Perkara berkenaan disahkan oleh ADUN Teratai, Jenice Lee.

"Sesetengah sekolah memohon bantuan kewangan daripada saya tetapi saya tidak dibenarkan ke sekolah itu ataupun boleh berucap," katanya.

"Ada satu ketika, saya terpaksa menyampaikan cek di luar perkarangan sekolah.

"Perkara ini berlaku kepada kebanyakan pemimpin Pakatan dan bukan ke atas saya dan hannah sahaja. Ini jelas tidak adil," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Giliran Pakatan ‘Selamatkan Selangor’

Posted: 04 Aug 2010 04:18 AM PDT


SHAH ALAM, 4 Ogos – Selepas kempen pusingan pertama 'Selamatkan Selangor' oleh UMNO tamat Ahad ini, tiga hari kemudiannya giliran Pakatan Rakyat pula membuat serangan balas bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam 18 siri ceramahnya.

Menariknya, penerangan balas kerajaan Pakatan melalui Skuad Komunikasi Selangor (SKS) akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan – dijangka 11 Ogos.

Pada masa yang sama, UMNO – melalui Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) – pula memilih berehat sepanjang bulan yang mulia itu sebelum menyambung semula kempen fasa kedua nya selepas hari raya Aidilfitri yang dijangka pada pertengahan September.

"Kita (Pakatan) akan mulakan kuliah di masjid-masjid seluruh Selangor. Kita akan edarkan risalah penerangan.

"Paling kurang pun, kita minta buat tazkirah sekurang-kurangnya 30 minit," kata Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Bahron.

Katanya pihaknya memilih membuat penerangan di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi beribadat.


Sumber: Selangorkini

Ubah Fikiran, BN Terima Tawaran Pengerusi PAC Selangor

Posted: 04 Aug 2010 04:17 AM PDT


Barisan Nasional (BN) Selangor berubah fikiran, kini bersetuju dengan tawaran Pakatan Rakyat (PR) untuk jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri itu.

Walaupun sebelum ini mereka menolak jawatan itu, bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo dalam wawancara terkini dengan FMT berkata, "BN melihat perkara ini dengan fikiran terbuka tetapi dengan beberapa syarat."

Sidang Dewan Undangan Negeri, melantik Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) pada hari terakhir untuk menerajui PAC tetapi beliau dan rakan-rakan dalam BN menolak pelantikan itu.

Menyifatkan langkah ini sebagai dorongan politik, Shamsuddin berkata, beliau menolak pelantikan itu kerana beliau ingin mempertahankan integriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN.

Tetapi sekarang, Khir sebagai ketua pembangkang BN dalam dewan dilihat telah berubah nadanya walaupun mengambil sikap berhati-hati.

"Kami mempunyai dua pilihan. Pertama, apa yang kami boleh lakukan ialah Shamsudin boleh menolak jawatan itu. Kedua, beliau boleh mencuba.

"Jika beliau tidak mendapat kerjasama yang baik daripada ahli-ahli PAC yang lain dari kerajaan negeri maka beliau harus melepaskan jawatan itu," katanya.

BN berada dalam keadaan serba salah sejak pelantikan itu dibuat kerana mereka dianggap menghina dewan jika menolak pelantikan itu.

"Jika kami menolak pelantikan itu, dewan boleh mengambil tindakan terhadap Shamsudin dan beliau boleh digantung, saya kira, tidak kurang dari enam bulan.

"Tapi memaksa seseorang untuk menerima jawatan adalah sesuatu yang lucu," beliau menambah, bagaimanapun BN belum lagi membuat keputusan tentang hal itu.

Khir, yang pada mulanya menyokong pelantikan itu ketika bermesyuarat dengan Speaker Teng Chang Kim telah menukar fikiran apabila beliau diberitahu "sebab yang sebenar" dibelakang pelantikan itu.

Menurut beliau, Teng tidak menjelaskan secara terperinci tentang pelantikan itu termasuk komponen Jawatankuasa, hingga menyebabkan beliau meluluskannya.

Beliau hanya diberitahu oleh rakannya mengenai keputusan dewan melantik hanya dua Adun BN berbanding tujuh Adun dari kerajaan negeri.

"Saya tahu Teng menyatakan saya menyokong langkah ini apabila saya diberi tahu tentang pelantikan ini. Tapi beliau tidak menyebut apa-apa tentang komponen ahli-ahli pada ketika itu.

"Jadi apabila saya berbincang dengan rakan-rakan BN, mereka kesemuanya menentang cadangan itu dan menganggapnya sebagai "politik berisiko tinggi," kata Khir, menambah beliau telah memaklumkan perkara ini kepada Teng.

Tapi beliau (Teng) berkata, ini merupakan amalan Komanwel. Selepas saya periksa hanya England mempratikkannya dan malahan mereka mempunyai tujuh pembangkang dan sembilan dari kerajaan dalam Jawatankuasa itu dan pembangkang sebagai ketua," katanya.

Khir juga mengambil kesempatan untuk mengutuk kerajaan negeri kerana "berlakon secara pelik" dalam proses pelantikan.

"Ini sesuatu yang melucukan, seolah-olah mereka mempermainkan kami. Kami (dalam BN) tidak boleh membuat kata putus (kerana kami tidak mempunyai majoriti) dan tidak boleh memeriksa secara adil.

"Jika mereka betul-betul hendak memberi kuasa kepada pengerusi, maka mereka harus memberi kami majoriti," katanya.

Beliau mengibaratkan langkah ini sebagai "kami diberi senapang tapi tidak ada peluru" atau "kami diberi meriam tanpa bahan peletupnya."

"Mereka memberi kami kuasa tapi tidak memberi kekuatan. Tidak ada bezanya sekiranya hanya ada dua wakil BN." tambahnya.


Sumber: TVSelangor

Lulus Kurang Lima Jam, Rang Undang-Undang RM80 Juta Timbul Kecurigaan

Posted: 04 Aug 2010 04:16 AM PDT


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan pengantunggannya dari dewan, ada kaitan dengan perbahasannya yang mempersoal cadangan kelulusan rang undang-undang pembekalan yang mencapai puluhan juta ringgit.

Apatah lagi, dewan itu hanya berlangsung sehari walaupun ADUN Pakatan Rakyat memoho sidang berkenaan dilanjutkan kepada lima hari bagi membahaskan rang undang-undang yang melibatkan RM80 juta.

Dewan berkenaan kemudian meluluskan rang undang-undang itu dalam tempoh lima jam sahaja.

Datuk R Ganesan yang berperanan sebagai Speaker dewan mengarahkan Nizar meninggalkan dewan dan digantung sehari lantaran keengganannya menamatkan perbahasan.

Nizar menganggap tempoh 15 minit perbahasan itu terlalu sempit untuk membincangkan rang undang-undang yang melibatkan puluhan juta ringgit, apatah lagi sidang DUN hanya berlangsung satu hari.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau juga curiga dengan hasrat sebenar kerajaan Umno Barisan Nasional yang dilihat tergesa-gesa untuk meluluskan rang undang- undang berkenaan.

"Dia nak habiskan jugak perbahasan rang undang-undang ini hari ini. Mula jam 10 pagi nak habis jam 3 petang. Ia penting untuk luluskan rang undang-undang perbekalan 80 juta. Jadi, kita pohon untuk dilanjutkan 4 5 hari.

"Kemudian, saya bangun berbahas. Lepas 15 minit, saya disuruh berhenti dan mikrofon saya dimatikan. Saya menyatakan hak saya sebagai ketua pembangkang untuk bahaskan rang undang- undang ini.

"Oleh sebab saya berkeras mahu mempertahankan hak saya, speaker kemudiannya mengarahkan bentara membawa saya keluar dewan," katanya.

Beliau juga merujuk kepada perbahasan di Parlimen yang menyaksikan kelulusan sesebuah rang undang-undangan mengambil masa puluhan hari.

Sebenarnya mereka berkehendakkan bahawa satu peruntukan untuk perkhidmatan am 1982. Untuk pelaburan RM30 juta. Jadi, mereka mintak diluluskan RM50 juta untuk dilaburkan di mana-mana tempat.

"Di mana mereka nak labur, pada siapa mereka labur. Kita tak tahu lagi..."

Nizar turut mempertikai ketelusan kerajaan Umno BN dalam menyalurkan maklumat berkaitan pengurusan dan pentadbiran kewangan negeri itu.

"Tak boleh buat liputan, polis ada di luar dalam. Tak boleh ambil gambar. Tak boleh buat secara siaran langsung. Macam mana rakyat nak tahu atas dasar apa kerajaan negeri luluskan rang undang-undang perbekalan RM80 juta?"

Sumber: TVSelangor

Najib Ambil "Cuti" Mengejut Timbulkan Spekulasi Tarikh PRU-13

Posted: 04 Aug 2010 04:14 AM PDT


SHAH ALAM 4 Ogos - Langkah tergesa-gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti ke luar negara bermula 28 Julai lalu sehingga 10 Ogos depan menimbulkan pelbagai spekulasi andaian menarik.

Desas desus di kalangan pimpinan Umno ialah Najib bercuti ke luar negara kerana mahu berbincang secara sulit bersama pasukan perancang strategi beliau mengenai tarikh sesuai pengumuman pilihan raya umum ke-13 yang diuar-uarkan tahun ini.

Firma komunikasi antarabangsa pro-Zionis Israel, Apco Worldwide dikatakan memainkan peranan besar menasihati Najib bagaimana memenangi PRU-13.

Pun begitu, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pemergian Najib secara mendadak untuk "bercuti" menunjukkan Perdana Menteri berada dalam keadaan tertekan.

"Ada beberapa faktor besar yang menyebabkan Najib ke luar negara. Dua faktor yang penting yang amat memeningkan kepala PM ialah kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini telah masuk fasa yang amat kritikal yang mendedahkan segala kepincangan kes ini.

"Penyiasatan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh pihak berkuasa Perancis juga menjadi faktor utama Najib kini amat tertekan kerana beliau tidak ada bidang kuasa untuk menghalang dan menutup penyiasatan sekiranya kes yang sama diadili di Malaysia," jelas Azan kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan pendakwaan ke atas bekas Presiden MCA dan juga mantan anggita Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik serta isu kejatuhan paling teruk pelaburan langsung asing sejak tempoh 20 tahun menambahkan tekanan kepada Najib.

"Najib cuba tiru stail Dr Mahathir, bila ada sahaja skandal besar yang beliau tidak mampu berdepan atau menjawab kepada persoalan yang bakal ditimbulkan rakyat, dia 'cabut' awal-awal lagi. Beginilah cara pemimpin Umno-BN menyelesaikan masalah negara - tinggalkan negara dalam keadaan terumbang-ambing dan serahkan kepada timbalan untuk menghadapi kemarahan rakyat," kata beliau lagi.

Menurut kenyataan akhbar pejabat Perdana Menteri pada 28 Julai lalu Najib akan bercuti ke luar negara mulai tarikh tersebut hingga 10 Ogos.

Kenyataan itu juga memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, tugas-tugas Perdana Menteri akan dijalankan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Azan mempertikaikan protokol kerajaan yang tidak digunakan oleh Najib apabila seseorang Perdana Menteri itu ingin mengambil cuti.

"Sekurang-kurangnya Perdana Menteri mesti mengumumkan rancangan cuti beliau enam bulan lebih awal tetapi Najib buat cara yang amat tergesa-gesa. Apa yang beliau nak kejar sehingga membuat keputusan meninggalkan pentadbiran negara dalam keadaan terburu-buru?" tanya Azan.

Sumber: Suara Keadilan

Anwar Dakwa Jho Low Dapat Projek Lapangan Terbang Sungai Besi

Posted: 04 Aug 2010 04:13 AM PDT


SHAH ALAM 4 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa jutawan Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan panggilan Jho Low telah diberikan kontrak pembangunan semula pangkalan udara Sungai Besi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat tergesa-gesa menswastakan aset negara untuk mendapatkan keuntungan segera.

Menurut Anwar Lapangan Terbang Sungai Besi dianggap sebagai khazanah nasional kerana ia merupakan lapangan terbang pertama negara.

"Ini Jho Low boleh pergi 'enjoy' dengan Paris Hilton. Arak pun jutaan ringgit. Najib dan Rosmah bagi projek. Tender? Tiada. Cadangan projek? Tiada. Bolehkah rakyat terima ini," soal Anwar ketika berucap pada ceramah Merakyatkan Ekonomi Selangor di Dewan Serbaguna Taman Ehsan, Kepong Ahad lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Jun lalu memaklumkan kepada Dewan Rakyat, lapangan terbang itu yang sekarang digunakan sebagai pangkalan oleh Tentera Udara DiRaja Malaysia akan dipindahkan dan tapak berkenaan diswastakan dan dijual kepada Pembangunan 1Malaysia Bhd (1MDB).

Ini dilakukan tanpa tender terbuka kerana dakwa Ahmad Zahid masih melalui 'proses yang telus' kerana perjanjian itu tidak menjejaskan kepentingan kerajaan.

KEADILAN mendakwa perjanjian bernilai RM500 juta itu dikaitkan dengan Jho Low kerana pembabitannya dengan Lembaga Pelaburan Terengganu yang kemudiannya diperbadankan menjadi 1MDB.

Bagaimanapun pada wawancaranya dengan akhbar The Star minggu lalu, Jho Low menafikan dakwaan berkenaan.

Anwar dalam ceramahnya juga mendakwa, usaha mengheret bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik ke mahkamah atas percubaan menipu Jemaah Menteri pada 2002 hanya usaha Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat.

Beliau yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata dengan wang ikat jamin RM1 juta yang dikenakan ke atas Liong Sik, pihak berkuasa cuba menunjukkan seolah-olah mereka serius dalam usaha membanteras rasuah.

"Semasa di Pulau Pinang, rakyat kata 'Aiyo...' RM1 juta begitu tinggi, tapi saya kata jumlah itu terlalu kecil bagi Ling, RM1 juta bagi dia sama dengan RM10," kata Anwar.

SumberL Suara Keadilan

Umno-BN Diberi Amaran Tindakan Penjarakan Anwar Akan Hancurkan Maruah Malaysia

Posted: 04 Aug 2010 04:12 AM PDT


Kami datang dari dua spektrum politik yang beza mengenai banyak isu besar. Walau bagaimanapun satu isu yang menyatukan kita ialah kes perbicaraan Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang kini menjadi pemimpin utama gagasan politik pembangkang di negara itu.

Anwar telah didakwa di dalam keadaan yang amat meragukan dengan pertuduhan liwat, yang mejadi satu kesalahan jenayah di bawah perundangan Malaysia.

Sekiranya beliau didapati bersalah, Anwar berdepan dengan hukuman penjara selama 20 tahun, secara hakikatnya penjara seumur hidup bagi beliau yang berusia 63 tahun.

Perbicaraan tersebut yang dijangka bersambung minggu depan mengancam bukan sahaja Anwar tetapi juga mereka di Malaysia yang memperjuangkan sebuah negara yang bebas dan demokratik.

Ia juga adalah penting kepada seluruh dunia kerana perbicaraan ini menggugat masa depan sebuah negara yang dikatakan model kepada negara Islam yang lain.

Pandangan kami terhadap Anwar dirumus secara independen dan bebas daripada pengaruh satu sama lain. Kami tidak sellaunya bersetuju mengenai dasar luar tetapi kami sebagai bersetuju bahawa Anwar sebagai seorang pemimpin politik, negarawan dan intelek mempunyai kualiti yang memberi rangsangan dan harapan kepada masa depan.

Kualiti ini termasuk kejernihan dan sikap keterbukaan terhadap perbahasan dan diskusi; komitmen kepada prinsip akauntibiliti dan ketelusan urus tadbir; dan juga serius mengenai masa depan negaranya dan juga dunia disamping keberanian luar biasa mempertahankan apa yang diyakininya.

Kami yakin beliau komited kepada nilai pluralisme, toleransi dan kebebasan yang amat diperlukan oleh Malaysia sekiranya ingin makmur.

Apapun, yang lebih penting bukan sudut pandang kami tentang karektor Anwar tetapi sebenarnya pandangan rakyat negaranya terhadap beliau.

Rakyat Malaysia harus membuat keputusan sendiri melalui proses pilihan raya yang bersih dan telus, siapakah yang mereka dambakan sebagai tokoh yang akan memimpin mereka.

Mereka tidak harus dinafikan peluang tersebut hanya disebabkan penyalahgunaan kuasa badan kehakiman.

Ini adalah kali kedua Anwar dipaksa melalui perbicaraan yang bermotifkan politik atas pertuduhan yang sama. Pertama kali pada tahun 1998, sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan beliau tekad mencabar Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Akibatnya Anwar dipenjarakan, dipukul dengan teruk dan disumbat bertahun dalam penjara keseorangan selepas satu perbicaraan yang dianggap telah merobak-robikkan keadilan serta merosakkan sistem kehakiman.

Ini bukan kesimpulan kami sahaja tetapi juga keputusan Suruhanjaya Antarabangsa Kehakiman, Badan Peguam Antarabangsa, dan juga beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa. Ia juga adalah keputusan mahkamah tertinggi Malaysia pada tahun 2004, selepas Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Anwar kini menerajui gagasan tiga buah parti pembangkang di Malaysia yang memenangi lebih satu pertiga daripada kerusi Parlimen spada pilihan raya umum 2008. Ini merupakan prestasi terbaik pihak pembangkang dalam usaha melawan Umno, sebuah parti yang telah memerintah negara ini selama 53 tahun.

Tiga bulan setelah pilihan raya umum, Anwar bertindak untuk mengemukakan usul tidak percaya di Parlimen dan mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Beliau kemudiannya ditahan dan didakwa dengan pertuduhan liwat. Seperti caj yang sama sepuluh tahun dahulu, jangka waktu pertuduhan terkini terhadap beliau menimbulkan kesangsian kuat bahawa berlandaskan manipulasi politik.

Jika dibuat perbandingan, kes terhadap beliau kali ini adalah jauh kurang kredibel dan pelanggaran proses perundangan lebih hebat.

Ketika Anwar di kamar perbicaraan, negara dan rakyat Malaysia turut dibicarakan oleh seluruh dunia. Sekiranya beliau didapati bersalah, seluruh imej sistem politik Malaysia dan maruahnya di mata dunia akan terjejas teruk. Dan untuk apa?

Pilihan waktu untuk perbicaraan ini menyebabkan ramai pemerhati merasakan objektifnya ialah untuk mengekang kemerosotan teruk sokongan rakyat terhadap pemerintah. Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti rakyat melihat tuduhan ke atas Anwar adalah bermotifkan politik.

Seperti yang ditegaskan oleh Anwar sendiri, sekiranya beliau dipenjara sekali lagi ia tidak akan memadamkan obor perjuangannya. Malah sebaliknya gerakan rakyat yang dimulakan sedekad lalu akan terus berkembang dan merebak.

Malaysia kini berada diambang kritikal dalam penilaian sejarah yang mempunyai kesan mendalam kepada negara dan juga secara global. Dengan populasi seramai 30 juta orang, Malaysia bukanlah sebuah negara yang kecil.

Malaysia penting kerana ia dianggap contoh sebagai sebuah negara Islam progresif kepada negara Islam lain didunia. Negara ini berjaya dalam tempoh 50 tahun sejak merdeka untuk membuktikan bahawa ia mampu mencapai perkembangan ekonomi dan pada masa sama mengimbangi perpaduan dan harmoni dikalangan rakyat yang pelbagai agama dan kaum.

Tahun-tahun kebelakangan ini bagaimanapun, memperlihatkan Malaysia telah mundur ke belakang disebabkan pihak yang mengeksploitasi perbezaan agama dan etnik untuk tujuan politik. Perbicaraan dan pendakwaan ke atas Anwar akan menyemarakkan lagi masalah ini dengan menghancurkan keyakinan jutaan rakyat Malaysia terhadap sistem keadilan di negara ini.

Kami mendesak kerajaan Malaysia meletakkan kepentingan hukum seperti mana menjadi dasar Amerika Syarikat, sebagai landasan dalam proses politik di mana elemen keadilan dan kebebesan saling bergantungan antara satu sama lain. Kami akur daripada pengalaman, isu sensitif seperti ini seharusnya ditangani secara senyap, antara kerajaan dengan kerajaan.

Tetapi masa sudah suntuk. Detik kebenaran akan tiba.

Dua hari lalu, hakim telah menangguhkan perbicaraan Anwar bagi meneliti dakwaan hubungan sukit antara seorang timbalan pendakwa raya dengan pengadu.

Ini adalah peluang terbaik bagi Malaysia membuktikan bahawa sistem keadilan negara ini mempunyai kapasiti untuk berbuat sesuatu yang betul bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga bagi jutaan rakyat Malaysia yang melihat Anwar sebagai jurucakap kepada segala aspirasi mereka.

Kami menggesa pemimpin kerajaan Malaysia yang akan membuat keputusan supaya berbuat demikian dengan penuh bijaksana.

Al Gore merupakan Naib Presiden Amerika Syarikat yang ke-45. Wolfowitz adalah Timbalan Setiausaha Pertahanan dari 2001 hingga 2005.

Sumber: Suara Keadilan

Pakatan Rakyat Desak Rombak Sistem Lantikan Peguam Negara, Hakim

Posted: 04 Aug 2010 04:11 AM PDT


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bekas Pengerusi Transparency International (TI) Malaysia, Senator Tunku Abdul Aziz mencadangkan agar kerajaan mempertimbang dan mengkaji untuk membuat pindaan berkaitan pelantikan Peguam Negara.

Menurut beliau kaedah pelantikan Peguam Negara yang diamalkan masa kini mewujudkan prasangka diminda rakyat bahawa dibuat bermotifkan politik dan pilihan calon menurut kehendak siapa yang berkuasa dan bukannya berdasarkan kelayakan serta keyakinan orang ramai.

"Fungsi Peguam Negara adalah untuk memberikan nasihat kepada kerajaan berkenaan isu-isu Perlembagaan. Urusan pendakwaan pula patut dijalankan oleh Pejabat Pendakwa Raya Am yang diketuai oleh seorang Pengarah.

"Jadi tidak timbul perkara seperti mana sekarang ini di mana kes dibuang dan gagal di bawa ke mahkamah atas arahan Peguam Negara," kata Tunku Abdul Aziz selepas sesi perbahasan untuk meluluskan Rang Undang-undang Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di lobi Parlimen semalam.

Beliau memberikan contoh pemisahan peranan seperti ini dilaksanakan di Britain di mana fungsi Peguam Negara adalah berbeza dengan Pejabat Pendakwa Raya Am yang dibentuk oleh satu pasukan atau panel profesional untuk memerhati dan memantau setiap kes dan perjalanan perundangan.

"Bermakna kuasa Pengarah Pendakwa Raya Am ini tidak mutlak. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuang kes dengan alasan kekurangan bukti atau saksi, kerana ada satu pasukan yang turut bersamanya," jelas beliau lagi yang merupakan Naib Presiden DAP.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia supaya berani melakukan perubahan dan reformasi, terutamanya membabitkan institusi penting seperti sistem perundangan dan kehakiman.

Ini berikutan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa yang semakin memberikan kesan terhadap imej negara.

Tunku Abdul Aziz berkata salah satu perubahan penting yang perlu dilakukan ialah berhubung sistem pelantikan para Hakim.

Prosedur sekarang menurut Tunku Abdul Aziz didakwa bersifat kontroversi apabila semua pemilihan dan lantikan hakim dibuat secara langsung oleh badan eksekutif.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana memperkenalkan bil yang dijangka akan menjadi undang-undang bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Pindaan ini merupakan halatuju yang betul kerana sebelum ini, apabila orang bercerita tentang pelantikan Hakim, ia menjadi cerita-cerita jenaka yang sinikal," kata beliau

Tunku Abdul Aziz berkata langkah tersebut sekurang-kurangnya mampu memberikan kesan positif terutamanya kepada sektor perniagaan untuk kembali yakin dan melabur di Malaysia.

Beliau menjelaskan apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia ialah sebuah sistem kehakiman yang meyakinkan dan berfungsi untuk melindungi kepentingan setiap warganegaranya.

Ini kerana pelantikan hakim yang adil, profesioanal dan bebas diperlukan untuk memartabatkan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: