Isnin, 2 Ogos 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kemelut air di Selangor berpunca kerajaan UMNO-BN dahulu

Posted: 02 Aug 2010 02:18 AM PDT


SHAH ALAM, 2 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor sentiasa merai pandangan pelbagai pihak berkaitan pentadbiran dan dasar-dasar termasuk dasar pemberian diskaun, insentif dan sebagainya.

Apa yang penting bagi kerajaan ialah akhirnya rakyat Selangor yang layak, dapat menikmati hasil dari dasar dan ketetapan tersebut. Ini tidak terkecuali di dalam mencari jalan terbaik mengenai permasalah air di negeri ini.

Demikian menurut Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan harus ingat kemelut air di Selangor bermula apabila Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibenarkan menaikkan tarif air tanpa mengambil kira beban tanggungan rakyat yang masih merangkak di dalam kemelut ekonomi global.

Menurutnya, kerajaan BN yang di pimpin oleh Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah menandatangani perjanjian konsesi air dengan Syabas dimana syarikat itu dibenarkan menaikkan tarif sehingga 37% pada 2009, 25% pada 2012, 20% pada 2015, 10% pada 2018 dan 5% pada 2021.

"Jelas, Kerajaan Pusat bukan sahaja gagal untuk membantu rakyat Selangor untuk mendapatkan kemudahan air yang murah malah gagal pula mengambil tindakan ke atas Dr Khir yang telah memberi konsesi secara cuai kepada syarikat kroni.

Dr Khir sepatutnya merasa malu untuk bercakap soal kepentingan rakyat Selangor dalam apa-apa topik sekalipun, baik air mahupun pasir kerana kecuaiannya telah menghalang hak rakyat Negeri Selangor daripada mendapatkan pekhidmatan air yang terbaik," katanya..

Tambahnya, akibatnya Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terpaksa berhadapan dengan syarikat konsesi yang tamak dan berani menuntut jumlah yang terlampau jika Kerajaan Negeri mahu mengambilalih pengurusan air Selangor yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik dengan harga yang berpatutan kepada rakyat.

"Rakyat Selangor berhak untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana Dr Khir seharusnya dihalang dari segi moral untuk memberi pandangan terutama dalam hal tatacara mentadbir negeri ini.

"Oleh itu, Kerajaan Negeri menggesa agar mendeklasifikasikan dokumen perjanjian air dan segala laporan audit yang berkaitan agar rakyat tahu perkara yang sebenar. Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini dengan serius apabila membincangkannya di dalam mesyuarat kabinet Rabu ini," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga langsung tidak gentar dengan ugutan saman mahkamah RM1 billion yang dilakukan oleh Syabas walaupun mereka mendapat sokongan Kerajaan Pusat.

Sebaliknya katanya, Kerajaan Negeri sentiasa membuka pilihan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas di atas kegagalannya memenuhi perjanjian konsesi dengan penuh tanggungjawab yang telah mengakibatkan kerugian tidak kurang dari RM8 billion.

'Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah-langkah wajar untuk memberi kefahaman kepada rakyat Selangor bagaimana kerajaan terdahulu telah menganiaya rakyat melalui pemberian konsesi kepada syarikat kroni ini.

'Kita yakin rakyat Selangor menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri mempertahankan hak air ini dan sentiasa mendoakan kejayaan kita," katanya.

Sumber: Selangorkini

Anwar Buat Laporan Polis Terhadap Saiful Dan Farah

Posted: 02 Aug 2010 02:16 AM PDT


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pasukan peguam bela hari ini membuat laporan di pondok polis Mahkamah Jalan Duta terhadap saksi utama kes Fitnah II, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan ahli pasukan pendakwa raya, Farah Azlina di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Laporan berhubung kebarangkalian kebocoran dokumen dan keterangan saksi oleh pihak pendakwaan terhadap saksi utama.

Beliau kemudiannya memberikan keterangan kepada Penolong Penguasa polis, ASP R Munusamy pada jam 11.30 pagi tadi.

Dalam laporan tersebut, Anwar mendakwa Saiful dan Farah Azlina telah melanggari Seksyen 8(1) dan Seksyen 8(2) akta itu.

"Kita berharap pihak polis dapat membuat siasatan berkenaan kes tersebut dengan segera.

"Perkara ini mencemar kedudukan pendakwaaan. Isnin depan, peguam kami akan kemukakan permohonan untuk menggugurkan pertuduhan yang dianggap tidak mengikut takrif kebebasan dan pendakwaaan yang telus," tambahnya.

Sebelum itu, perbicaraan Fitnah II terhadap Anwar yang bersambung hari ini menyaksikan pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh membuat permohonan kepada mahkamah agar kes tersebut digugurkan ekoran dakwaan saksi utama pihak pendakwaan yang menjalin hubungan romantik dengan salah seorang ahli pasukan pendakwa raya.

"Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini perkara yang serius kerana bercanggahan dengan perjalanan proses mahkamah. Terdapat kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana hubungan sulit itu boleh dikompromi dan menjejaskan integriti pasukan pendakwaan," kata Karpal kepada media.

Beliau mendesak seluruh pasukan pendakwaan juga harus menggugurkan diri mereka daripada terbabit dalam perbicaraan ini oleh kerana apa yang yang berlaku adalah amat serius dan menjejaskan kes yang sedang dibicara.

"Tuduhan terhadap Anwar harus digugurkan. Timbalan Pendakwa Raya adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan, hubungan sulit ini memungkinkan Saiful mengetahui keseluruhan maklumat mengenai siasatan kes," kata Ahli Palrimen Bukit Gelugor itu.

Farah Azlina, digugurkan dari menyertai pasukan pendakwa raya oleh Peguam Negara minggu lalu ekoran dakwaan Raja Petra Kamaruddin dari Malaysia Today bahawa beliau mengadakan hubungan sulit dengan Mohd Saiful. Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bagaimanapun menganggap dakwaan Raja Petra sebagai perkara enteng tanpa sebarang bukti nyata.

Sementara itu,Peguam Sankara Nair memaklumkan pihaknya telah menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta penjelasan dan memberikan tempoh sehingga hari Jumaat lalu, untuk mendapatkan jawapan berhubung perkara tersebut. Selepas tiada jawapan yang diberikan, pasukan pembelaan memfailkan permohonan bagi menggugurkan kes tersebut hari ini.

Karpal memaklumkan kepada Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah, permohonan bagi tujuan tersebut telah dikemukakan atas hujah bahawa pasukan, pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden telah tercalar dan tidak lagi diyakini akibat daripada dakwaan hubungan sulit itu.

Datuk Mohamad Zabidin kemudiannya meminta mahkamah dikosongkan sementara beliau mengadakan perbincangan dengan kedua-dua belah pihak di dalam kamar hakim.

Beliau kemudiannya menangguhkan prosiding untuk mendengar permohonan pasukan pembelaan pada 9 Ogos depan.

Sumber: Suara Keadilan

Karpal Kemuka Permohonan Gugur Kes Fitnah II

Posted: 02 Aug 2010 02:15 AM PDT


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung pagi tadi menyaksikan tindakan pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh membuat permohonan kepada mahkamah kes tersebut digugurkan ekoran dakwaan saksi utama pihak pendakwaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan menjalin hubungan romantik dengan Farah Azlina Latif, salah seorang ahli pasukan pendakwa raya.

Farah Azlina bagaimanapun telahgun digugurkan menyertai pasukan pendakwa raya oleh Peguam Negara minggu lala apabila dakwaan itu didedahkan oleh penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin.

Karpal memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah bahawa permohonan bagi tujuan telah dikemukakan padi tadi atas hujah pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden telah tercalar dan tidak lagi diyakini akibat daripada dakwaan hubungan sulit itu.

"Terdapat kesalahan dilakukan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

"Akibat hubungan sulit itu integriti pasukan pendakwaan telah dikompromi," kata Karpal kepada media.

Beliau mendesak seluruh pasukan pendakwaan juga harus menggugurkan diri mereka daripada terbabit dalam kes ini oleh kerana apa yang yang berlaku adalah amat serius dan menjejaskan kes yang sedang dibicara.

"Tuduhan terhadap Anwar harus digugurkan. Timbalan Pendakwa Raya adalah sebahagian daripada pasukan pendakwaan, hubungan sulit ini memungkinkan Saiful mengetahui keseluruhan maklumat mengenai siasatan kes," kata Ahli Palrimen Bukit Gelugor itu.

Yusof bagaimanapun menganggap dakwaan Raja Petra sebagai perkara enteng tanpa sebarang bukti nyata.

Peguam Sankara telah menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara minggu lalu meminta penjelasan berhubung perkara tersebut.

Mohd Zabidin meminta mahkamah dikosongkan semengtara beliau mengadakan perbincangan dengan kedua-dua belah pihak di dalam kamar hakim.

Sumber: Suara Keadilan

Zeti Didesak Jelas Skandal Rasuah Cetak Mata Wang Libatkan Kroni Umno-BN

Posted: 02 Aug 2010 02:14 AM PDT


SHAH ALAM 2 Ogos - Senator Tunku Abdul Aziz mahu Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membersihkan nama baik institusi itu yang dikaitkan dengan dakwaan skandal rasuah mencetak mata wang negara yang didalangi oleh kroni Umno-Barisan Nasional.

Malah lebih serius skandal rasuah itu juga didakwa melibatkan kegiatan mencetak wang berganda untuk kegunaan Umno-BN merasuah pengundi ketika kempen pilihan raya.

Lambakan wang kertas ini akibat pencetakan wang berganda akan menyebabkan nilai matawang negara jatuh dan bakal mengheret negara kepada inflasi kata Tunku Abdul Aziz.

Beliau berkata amalan rasuah kini sudah menular ke institusi kewangan negara sehinggakan tahap integriti dan urus tadbir BNM kini turut diragui.

"Sekarang, korupsi telah menguasai perjalanan pentadbiran di kedua-dua sektor; swasta dan kerajaan. Malang sekali buat negara kita, rasuah telah menjadi amalan hidup kita," ujar beliau ketika berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-10 di Dewan Negara.

Beliau yang juga bekas pengerusi Transparency International Malaysia merujuk skandal berhubung komisyen bernilai RM11.4 juta yang diterima seorang usahawan tempatan daripada syarikat membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas, Securency International dan Note Printing Australia.

Dua anak syarikat Reserve Bank Australia itu didakwa merasuah usahawan tersebut, yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno, yang bertindak selaku orang tengah bagi memenangi kontrak mencetak dan membekalkan mata wang negara antara 1990 hingga 2005.

Skandal itu sebelum ini turut menggemparkan masyarakat antarabangsa apabila syarikat itu dikatakan turut merasuah Timbalan Gabenor Bank Pusat di sebuah negara Asia dengan menawarkan khidmat pelacur Asia. Antara nama negara yang disebut termasuk Malaysia, Nigeria dan Vietnam.

Naib Presiden DAP itu juga mempersoalkan mengapa kontrak percetakan mata wang negara yang membabitkan perbelanjaan awam itu dilakukan melalui pihak ketiga.

Tegasnya, Zeti sebagai pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan berhubung isu itu.

"Saya kira, bagi berlaku adil serta melindungi nama baik dan reputasi beliau dan Bank Negara di mata dunia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu memberi komen terhadap laporan ini. Hanya dengan cara ini, beliau boleh menyelamatkan nama beliau.

"Kita tahu pihak berkuasa Australia telah membawa perkara ini kepada Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah bagi menyiasat dakwaan ini yang mana nilai rasuah dengan penglibatan agen bernilai sehingga A$47 juta.

"Persoalan yang kita ingin penjelasan ialah mengapakah perolehan awam seperti wang plastik RM5 ini kita memerlukan agen yang bertindak bagi pihak kerajaan?," soal Tunku Abdul Aziz yang terkenal dengan penulisan buku mengenai integriti dan perjuangannya menentang rasuah.

Menurut beliau, skandal kontrak mencetak mata wang negara itu menyerupai pembelian peralatan ketenteraan yang menjurus kepada amalan rasuah ratusan juta ringgit seperti mana yang berlaku dalam pembelian kapal selam Scorpene.

"Sekiranya pihak kerajaan serius dan jujur dalam mewujudkan sebuah negara yang bebas rasuah, 'accountable' dan telus maka kita perlulah mengamal serta menerapkan ciri-ciri sedemikian," ujar beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tindakan Ke Atas Liong Sik Hanya Sandiwara Umno-BN

Posted: 02 Aug 2010 02:14 AM PDT


BUKIT MERTAJAM 2 Ogos - Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail melahirkan kebimbangan samada pendakwaan dan pertuduhan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dijalankan secara telus dan adil atau ianya hanya satu sandiwara ciptaan Umno-Barisan Nasional.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyifatkan pendakwaan terhadap Liong Sik sebagai bukti sistem perundangan dan kehakiman negara tidak berat sebelah sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang.

"Ia adalah satu kejutan kerana dakwaan tersebut melibatkan ikat jamin sehingga RM1 juta. Ini menunjukkan betapa seriusnya kes tersebut. Ini juga sebagai satu usaha mewujudkan persepsi yang hendak ditunjukkan kepada rakyat bahawa tindakan telah diambil terhadap sesiapa sahaja.

"Namun begitu, kita khuatir ia hanya sebagai kambing hitam oleh pihak pemerintah untuk mengaburi mata rakyat. Sejarah sendiri telah membuktikan bagaimana kes yang melibat profil tinggi seperti mendiang Tan Sri Eric Chia dan Datuk Kasitah Gadam sebelum ini.

"Apakah hasil daripada pertuduhan yang telah dibuat terhadap mereka? Dalam insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dengan jelas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor hanya dikenakan tindakan selama 2 bulan penjara sahaja sedangkan perbuatan tersebut adalah satu jenayah yang mendatangkan kecederaan yang teruk," jelas Dr Wan Azizah pada majlis meraikan JKKK Kubang Semang, Bukit Mertajam sempena majlis makan malam bersama pemimpin di Bandar Perda semalam.

Menurut beliau lagi kerajaan boleh memberi apa sahaja alasan berhubung pertuduhan ke atas Liong Sik tetapi rakyat mampu untuk menilai dengan sebenarnya apakah dakwaan tersebut telus dan ikhlas untuk menegakkan keadilan.

Sebaliknya Dr Wan Azizah mempersoalkan samada tindakan itu hanya untuk mengaburi mata rakyat supaya menganggap kerajaan yang sedia ada mampu bertindak terhadap sesiapa sahaja tanpa mengambil kira kedudukan atau fahaman politik mereka.

Liong Sik didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya 30 Julai lalu atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia kerana memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi projek PKFZ.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain serta Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Sumber: Suara Keadilan

Polis, FRU Mengganas Di Perhimpunan Anti-ISA, 25 Ditahan

Posted: 02 Aug 2010 02:12 AM PDT


PETALING JAYA 2 Ogos - Anggota polis menahan 25 peserta Mansuh ISA di sini malam tadi setelah pihak keselamatan menghalau peserta perhimpunan daripada menghampiri Padang Timur dimana perhimpunan aman itu diadakan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan 6 perempuan.

Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diadakan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap zalim itu dan bagi mendesak agar ISA dimansuhkan.

Acara memasang lilin di Padang Timur bertukar menjadi kecoh apabila puluhan anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan bertindak kasar dan ganas menghalau peserta perhimpunan daripada kawasan padang berkenaan walaupun telah mendapat permit daripada pihak Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Peserta mula berkumpul seawal pukul 8 malam di hadapan pusat membeli-belah Amcorp Mall.

Hampir 300 peserta yang berbaju serba hitam berkumpul bagi menyertai perhimpunan tetapi dihalang pihak polis yang menutup jalan-jalan utama ke tempat perhimpunan itu.

Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan bagi mengepung kawasan padang bagi menghalang peserta memasuki padang.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan cuba berbincang dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya,

ACP Arjunaidi Mohamed tetapi dihalau secara keras sehingga ke dalam pusat membeli-belah Amcorp Mall.

Arjunaidi memberikan amaran keras mengarahkan orang ramai supaya bersurai.

Pihak polis kemudiannya bertindak menangkap beberapa orang aktivis yang memakai baju merah dan hitam termasuk Syed Ibrahim, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard) serta beberapa anggota Angkatan Muda KEADILAN.

Kesemua yang ditahan kemudiannya telah dibawa ke IPD Petaling Jaya.

Peserta perhimpunan kemudiannya bertindak melarikan diri ke dalam kompleks membeli-belah tersebut dan berkumpul semula sambil melaung-laungkan 'anti-ISA' dan 'Mansuh ISA'.

Anggota FRU dan polis yang berpakaian preman bertindak mengejar peserta hingga ke dalam pusat membeli-belah memaksa pihak pengurusannya menutup premis lebih awal.

Mereka kemudiannya memulakan acara memasang lilin dan membaca sajak di dalam kompleks membeli-belah itu.

Arul bersama koordinator GMI, E Nalini meminta kumpulan tersebut bergerak ke Dewan Sivik tetapi malangnya pihak polis bertindak menahan mereka.

Pihak polis juga bertindak secara melulu apabila cuba menahan peserta perhimpunan yang memakai logo anti-ISA.

Salah seorang peguam pemerhati yang mewakili Majlis Peguam, Siti Kassim berkata pihak polis bertindak kejam dan ganas terhadap peserta perhimpunan.

"Pihak polis seperti hilang akal dan tindakan kejam mereka ini tidak boleh diterima," katanya kepada Suara Keadilan.

Pengarah Suaram, Dr Kua Kia Soong menyifatkan tindakan polis kali ini adalah yang paling kejam dan jijik yang pernah beliau saksikan sebelum ini.

"Mereka sepatutnya menjaga keamanan bukannya bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan yang mahukan kerajaan memansuhkan akta drakonian ini.

"Ini tidak, mereka pula dilihat telah menyusahkan para peniaga yang berniaga di dalam kompleks membeli-belah ini," kata Dr Kua dalam nada kesal.

Ahli MBPJ yang juga Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya berkata pihak polis tidak sepatutnya menghalang kerana perhimpunan itu telah mendapat permit daripada pihak berkuasa tempatan.

"Di dalam Perlembagaan, Artikel 10 memberi hak kepada rakyat Malaysia untuk berhimpun, pihak polis nampaknya gagal menghayati artikel tersebut," katanya kepada wartawan.

Perhimpunan anti-ISA juga diadakan di seluruh negara di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: