Isnin, 16 Ogos 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Tadah hujan setiap hari

Posted: 16 Aug 2010 12:09 AM PDT

Sinar Harian 16 Ogos 2010

LUBOK CHINA - Kesempitan hidup menyebabkan seorang wanita di sini terpaksa tinggal berseorangan di sebuah rumah tanpa kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Semuanya akibat bekalan elektrik yang dipotong kerana tertunggak sejak beberapa bulan disebabkan masalah kewangan.

Manakala, bekalan air pula terputus sejak beberapa tahun lalu, apabila Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dikatakan mengambil meter paip rumahnya untuk dibaiki, namun tidak dipasang sehingga kini.

Ramlah Kitik, 51, yang masih bujang, tinggal di rumah itu sejak kecil sebelum ibu dan ayahnya berpisah, sehinggalah ibunya meninggal dunia.

Menurutnya, bekalan eletriknya dipotong kerana dia tidak mampu membayarnya akibat tiada pekerjaan.

"Paip air itu pula, tak tahu di mana silapnya ketika berlaku kebocoron. Jadi saya panggil pihak SAMB untuk periksa. Tetapi SAMB datang ke rumah, terus ambil meter paip dan tidak dipasang sehingga hari ini," katanya.

Akibat masalah itu, katanya, dia terpaksa bergelap dan menadah air hujan setiap hari bagi melakukan kerja harian.

Malah, katanya, wang simpanan yang ada sejak tiga tahun lalu semakin merosot dan hanya makan setakat termampu sehingga ikan rebus dan air asam seolah-olah sudah menjadi makanan rutinnya.

"Kehidupan saya berubah selepas kematian ibu beberapa tahun lalu. Sehinggalah saya jatuh sakit dan terpaksa berhenti kerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang," katanya.

Bagaimanapun, dia masih menyatakan hasrat untuk bekerja semula bagi meneruskan kehidupan mengharap bantuan sesiapa.

"Saya jadi begini sebab saya sakit. Sejak dari itu, saya tiada pekerjaan dan terpaksa menjadi penghuni rumah ini dan hanya bergantung pada duit simpanan yang ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Difahamkan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) berkenaan tidak pernah datang menjenguknya, apatah lagi memberi bantuan.

Malah, ada pihak yang melemparkan tuduhan kononnya dia kurang siuman.

"JKKK pun tak pernah menjenguk saya di sini macamana dia nak tahu. Dia kata saya tak siuman tapi mana ada saya gila.

"Cuma kadang-kadang jiran yang prihatin dengan keadaan saya datang membantu," katanya.

Bagaimanapun, dia tetap pasrah dengan nasib yang menimpanya dan berharap akan ada sinaran baru untuknya tidak lama lagi.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8066525.asp

Tiada ulasan: