Isnin, 9 Ogos 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Longkang tercemar

Posted: 08 Aug 2010 05:20 PM PDT

Berita Harian 9 Ogos 2010

Penduduk tahan busuk, sesak nafas akibat sisa buangan kilang berhampiran

ALOR GAJAH: Kira-kira 20 keluarga di Kampung Solok Air Mentangor, Sungai Petai, dekat sini, kesal dengan tindakan pengurusan kilang berhampiran kediaman mereka yang membuang sisa buangan sesuka hati menyebabkan longkang tercemar dan penduduk diancam bau busuk. Mereka mendakwa, kebanyakan kilang di situ membuang sisa dipercayai daripada bahan plastik dengan sewenang-wenangnya ke dalam sungai dengan menyalurkan bahan buangan itu terus ke dalam longkang tanpa memikirkan kesannya. Seorang penduduk, Abdul Malik Omar, 40, berkata mereka tidak tahan menghidu bau yang busuk seperti najis terutama apabila angin bertiup.

Beliau berkata, penduduk bukan saja tidak selera makan tetapi malu kepada rakan dan keluarga yang datang menziarah kerana bau busuk dari sisa buangan kilang berkenaan yang mengalir ke longkang berhampiran rumah mereka.

Katanya, akibat pembuangan sisa kilang disalurkan ke longkang konkrit terbabit terutama ketika hujan, airnya yang jernih sebelum ini berubah menjadi hitam dan berminyak.

"Akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini, hidupan air tawar di dalam longkang berkenaan turut terancam, malah mengalami kepupusan.
"Saya sebelum ini pernah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk memaklumkan mengenai masalah berkenaan, tetapi sehingga kini ia masih belum dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, kelmarin.

Tinjauan Berita Harian di kawasan itu mendapati, terdapat kesan sisa buangan seperti tompokan minyak dan pepejal berwarna kuning dipercayai bahan kimia melekat di longkang konkrit kecil terbabit sebelum dipercayai mengalir ke Sungai Durian Tunggal.

Semua bahan yang disalirkan ke dalam longkang itu juga dipercayai menyebabkan airnya bertukar kepada warna hitam.

Sisa buangan berkenaan dikesan dari longkang konkrit kawasan perindustrian yang menempatkan pelbagai kilang, termasuk kilang plastik, kejuruteraan dan makanan.

Difahamkan, masalah yang sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu itu turut menyebabkan penduduk di situ mengalami masalah kesihatan seperti sesak nafas.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 55, berkata pencemaran itu perlu didedahkan kerana isu pencemaran berkenaan menyebabkan kehidupan penduduk tidak sempurna.

"Kami percaya pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa buangan ini ketika hujan lebat dengan harapan bahan itu cepat mengalir jauh dari tempat mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pihak berkuasa terutama JAS perlu mengambil tindakan segera mengesan mereka yang membuang sisa buangan ini sebelum kegiatan itu berleluasa," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_Longkangtercemar/Article

Johor: Jambatan hampir roboh

Posted: 08 Aug 2010 05:20 PM PDT

Berita Harian 9 Ogos 2010

Lompang di tepi laluan konkrit berbahaya kepada pengguna kenderaan

BATU PAHAT: Kira-kira 40 penduduk di Kampung Bukit Banang, Sungai Ayam di sini diselubungi kebimbangan apabila setiap hari terpaksa melalui jambatan yang sudah roboh tebingnya untuk keluar dari kampung berkenaan berikutan arus sungai kuat yang menghakis tebing jambatan berkenaan. Lebih membimbangkan penduduk kira-kira 20 rumah di situ keluasan jambatan berkenaan yang sempit membahayakan penduduk yang menggunakan kenderaan seperti kereta atau van berikutan keretakan jambatan konkrit berkenaan semakin melebar ke tengah jambatan. Tinjauan Edisi Johor ke jambatan berkenaan baru-baru ini mendapati wujud lompang atau lubang di bahagian tepi jambatan konkrit itu yang boleh membahayakan pengguna kenderaan besar berikutan jika tidak berhati-hati tayar kenderaan mereka mungkin boleh terjerlus ke lubang berkenaan.

Penduduk kampung berkenaan, Mohd Hassan Hamzah, berkata keadaan jambatan berkenaan yang berbahaya itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu dan tambah memburukkan keadaan adalah apabila banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini membuatkan struktur tanah di situ tidak stabil.

"Jambatan berkenaan dibina di kawasan curam dan sungai berada empat meter di bawahnya. Banjir baru-baru menyebabkan sebahagian binaannya ditenggelami air menjadikan tebing runtuh.

"Saya berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah dapat mengambil tindakan segera kerana penduduk berasakan ia tidak lagi selamat digunakan berikutan kesan keretakan yang semakin melebar ke tengah jambatan," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Abdul Kamal Hassan, 46, berkata jambatan berkenaan adalah satu-satunya laluan utama kepada penduduk kampung keluar dari kawasan berkenaan untuk menjalankan urusan mereka termasuk bekerja serta menghantar anak ke sekolah.

"Saya keberatan membenarkan anak menaiki motosikal ke sekolah kerana jika tidak berhati-hati, mereka boleh terhumban ke dalam lubang di tepi bahagian jambatan ini apabila berselisih dengan kenderaan lain apatah lagi jalan di sini amat sempit.

"Jika berselisih dengan kenderaan lain terutama kereta, kenderaan lain perlu berhenti dulu dan bergilir-gilir menggunakan jambatan ini tetapi budak-budak biasanya tidak peduli dan ia menjadi ancaman tambahan terhadap pengguna lain di jambatan ini apatah lagi dengan keadaan lompang itu," katanya.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Jambatanhampirroboh/Article

Johor: Bina pintu air tangani banjir kilat

Posted: 08 Aug 2010 05:19 PM PDT

Berita Harian 9 Ogos 2010

Cadangan penduduk Kampung Plentong Baru

PLENTONG: Bimbang terhadap ancaman banjir kilat yang sering melanda rumah kediaman penduduk Kampung Plentong Baru dekat sini, lebih 400 penduduk kampung terbabit mencadangkan supaya dibina pintu air di muara Sungai Plentong bagi membolehkan usaha mengawal pergerakan air jika berlaku hujan lebat atau ketika air pasang penuh. Usaha berkenaan dilihat sebagai langkah berkesan bagi mengelak berlakunya banjir yang kemungkinan berulang di perkampungan berkenaan setiap kali hujan lebat yang menyebabkan jumlah air Sungai Plentong meningkat dengan cepat. Langkah berkenaan juga diharapkan dapat mengelak berlakunya bencana banjir sehingga merosakkan puluhan rumah penduduk di kampung berkenaan sehingga menggugat keselamatan mereka setiap kali apabila berlaku banjir kilat.

Ketika ini, tidak kurang 20 rumah penduduk yang terletak di tepi Sungai Plentong sering dilanda banjir kerana jarak rumah yang terlalu hampir dengan tebing sungai dan pembinaan pintu air dilihat sebagai kaedah paling sesuai untuk mengurang ancaman berkenaan.

Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang boleh meramalkan kedatangan banjir kilat yang kemungkinan boleh berulang lagi jika musim hujan lebat berterusan dan usaha perlu dilakukan bagi mengelak bencana berkenaan menimpa penduduk kampung.
"Kami berpendapat, pembinaan pintu air di muara Sungai Plentong boleh membantu mengawal aliran air jika berlaku hujan lebat yang kebetulan serentak dengan air pasang. Oleh itu, kami berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memikirkan cadangan penduduk.

"Sebelum berlaku suatu kejadian tidak diingini, adalah lebih elok jika kita mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal. Sebelum ini pun, beberapa sungai utama termasuk Sungai Segget juga dipasang pintu air bagi mengawal aliran air sungai," katanya.

Beliau berkata, jika berlaku hujan lebat atau air pasang besar, pintu air akan memudahkan usaha mengawal aliran air Sungai Plentong serta membolehkan penduduk kampung bersiap sedia membuat persiapan jika berlaku bencana banjir.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan disampaikan secara rasmi ke JPS daerah bagi mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat kakitangan terbabit berhubung hal berkenaan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Binapintuairtanganibanjirkilat/Article

Tiada ulasan: