Khamis, 22 Julai 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Tiada Krisis Air, Selangor Tolak Kadar Air Naik!

Posted: 22 Jul 2010 01:30 AM PDT

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air harus berhenti daripada mengelirukan orang awam dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor. Masalah kini di Selangor bukan kekurangan air tetapi tindakan Kerajaan Pusat yang segaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor.

Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan pusat Barisan Nasional menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.

Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air. Hujah Menteri Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor semalam adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat.

Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, kami yakin kadar air akan meningkat disebabkan:

1.    Pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.

2.    Pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan Pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan.

3.    Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air.

4.    Pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

5.    Penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik.

Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor.

Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan.

Kami menyeru agar Kerajaan Pusat mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik. Kami juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor.



Dr Badrul Amin Baharom
Pengarah Penerangan
Kerajaan Negeri Selangor

Selangor Tidak Berdepan Risiko Krisis Air

Posted: 22 Jul 2010 12:55 AM PDT

SHAH ALAM 22 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam berkata Syarikat Bekalan Air Berhad (Syabas) tidak layak langsung menjalankan apa-apa penyelidikan berkenaan bekalan air di Selangor berhubung dakwaan negeri itu akan mengalami krisis air menjelang sekali lagi pada 2014 sambil menegaskan Selangor tidak akan berdepan dengan krisis tersebut.

Ini berikutan kenyataan Syabas yang menyatakan pendirian kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor berbeza dengan penyelidikan yang dibuat oleh Syabas dan akan menghadapi krisis air jika tidak mengambil langkah untuk mengelaknya melalui projek bekalan air dari Pahang melalui paip dan terowong yang melibatkan kos yang amat tinggi sebanyak RM40 bilion.

"Kita telahpun mengeluarkan beberapa kenyataan berkenaan isu ini dan ingin menjelaskan kerajaan Selangor tidak menghadapi apa-apa krisis air. Malah, kita dapati pengguna kini sudah mula berjimat agar dapat menggunakan air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh kerajaan sepenuhnya supaya mereka tidak perlu berbelanja banyak," tegas Abdul Khalid kepada media selepas Mesyuarat Exco semalam.

Jelas beliau, Syabas telah menggunakan draf daripada Penyelidikan Sumber Air Negara (NWRS) yang dikeluarkan pada tahun 2000 dan laporan itu sudah tidak boleh diguna pakai kerana kuantiti air yang diguna sebagai perbandingan amat banyak dan lokasi perbandingan juga jauh berbeza.

Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional patutnya menyiasat dan memulihkan banyak tapak pemprosesan air yang dikelolakan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd kerana banyak tapak pemprosesan air kerap rosak dan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja penyelengaraan.

"Daripada 100 gelen air yang diproses, hanya 65 gelen sahaja yang dapat digunakan dan selebihnya hilang kerana kebocoran dan lain-lain sebab. Jika peralatan dan sistem pemprosesan itu cekap, kita dapat mengurangkan kebocoran ini dan mengurangkan peratus kebocoran sekurang-kurangnya kepada 15 peratus seperti di Pulau Pinang.

"Laporan NWRS telah menggunakan perbandingan yang tidak munasabah. Sebagai contoh, Selangor/Kuala Lumpur menggunakan daripada 500 ke 1224 liter per kapita, sedangkan perbandingan iaitu Sydney yang jauh lebih padat penduduknya hanya menggunakan 328 liter per kapita. Negara jiran kita, Singapura pula berada pada 214 liter per kapita," tegas beiau.

Elizabeth menjelaskan, masyarakat tempatan menggunakan air untuk pelbagai aktiviti lain seperti mencuci kereta, menyiram tanaman, dan sebagainya manakala jumlah yang diminum sedikit sahaja.

"Masyarakat perlu diddidik kembali untuk menggunakan air secara bijak agar air yang telah diproses dapat digunakan sepenuhnya," katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor juga kini sedang melihat kepada penggunaan air sistem pengumpulan air hujan (rainwater collection system) sebagai sumber alternatif air bukan untuk diminum, dan sekaligus mengurangkan penggunaan air telah diproses kepada kegunaan individu sahaja seperti memasak, minum dan sebagainya.


Sumber: Suara Keadilan

Selproa Sertai Sesi Latihan 'Asean Human Right Mechanisms'

Posted: 21 Jul 2010 07:00 PM PDT

Beberapa anggota Selproa telah menyertai sesi latihan 'Mekanisme Hak Asasi Manusia Negara-negara Asean' selama 3 hari bermula 19-22 Julai 2010 yang lalu.

Sesi latihan diadakan di Hotel Pearls International, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

Antara yang hadir ialah Sdr Razak (pejabat Exco YB Dr. Xavier Jayakumar), Sdr Lim Swee Kuan ( P.A Exco YB Ean Yong), Sdr Peter Chong ( P.A kepada YB MP Subang), Sdr Loh Boon Keat (P.A YB P.J Selatan), Sdra Chan Foo Chuen (P.A MP Selayang), Sdra Chin Yit Hon ( P.A MP Batu) dan Sdr Teng Kok Liang (P.A MP Bukit Bendera). Turut serta adalah wakil-wakil NGO dan aktivis-aktivis hak Asasi dan organisasi kemasyarakatan.  

Salah satu topik yang dibentangkan ialah usaha untuk mempromosikan hak asasi manusia di peringkat wilayah serantau di kalangan 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) memandangkan Asean mempunyai populasi lebih dari 582 juta penduduk. Lantaran itu sebuah suruhanjaya antara kerajaan telah diwujudkan yang dikenali sebagai 'Asean Intergovermental Commission On Human Rights' atau singkatan 'AICHR' untuk mempertahankan hak asasi dan fundamental kebebasan bagi warga Asean.
 

Peserta juga didedahkan dengan berbagai mekanisme bagi mengenengahkan  isu-isu pencabulan hak asasi manusia setempat untuk diambil tindakan di peringkat Asean berdasarkan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Bangsa-bangsa Bersatu (UN Charter)  

Sesi dianjurkan oleh Forum-Asia dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram)    




Tiada ulasan: