Sabtu, 17 Julai 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Genap Setahun Pemergian Rakan Seperjuangan Teoh Beng Hock

Posted: 16 Jul 2010 11:30 PM PDT

Genap setahun selepas kematian Teoh Beng Hock, ahli keluarga mendiang dan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat, kumpulan NGO dan rakyat prihatin hari ini memperingati pembantu politik dari DAP itu dengan memberi penghormatan kepadanya di tempat kejadian.

Mereka hadir ke pejabat lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam bagi tujuan itu sambil membawa jambangan bunga dan peralatan sembahyang.

Beberapa orang anggota Persatuan Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) turut hadir antaranya Razak, Sangetha, Jestin (dari Pejabat Exco YB Dr. Xavier Jayakumar, Mandy ( P.A YB Teresa Kok), Adrian dan Kai Loon (P.A YB Elizabeth Wong) Daniel (YB Ronnie Liu) , Hiew (P.A YB Ean Yong), Richard (P.A YB Sivarasa -MP Subang) Dariff Din ( P.A YB Lau Weng Sang)
 

Kerajaan Sekat Media Lapor 'Barang Naik'

Posted: 16 Jul 2010 10:45 PM PDT

Semua media kawalan kerajaan diingatkan supaya tidak mengaitkan kenaikan 5-1 kepada perkataan seperti "barang naik" dan "penjimatan kerajaan" dalam laporan mereka.

Portal Malaysiakini melaporkan arahan itu dikeluarkan dalam satu taklimat di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang semalam.

Arahan ini dikeluarkan bagi mengelakkan kecaman rakyat terhadap pemotongan subsidi dan lonjakan harga gula dan bahan bakar yang diumumkan kerajaan, kelmarin.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kenaikan harga barangan kali ini dirancang dengan teliti lengkap dengan strategi media yang teratur bagi membendung kemarahan rakyat apabila harga bahan bakar, gula dan gas dinaikkan serentak.

Di taklimat itu, media diberitahu supaya menggunakan takrif kompleks seperti "pelarasan harga" atau "rasionalisasi subsidi" menggantikan "barang naik" dan "penjimatan kerajaan".

Perkataan "jimat" itu perlu dielak supaya rakyat tidak menyoal kemana penjimatan itu akan dibelanjakan, dan media diminta menumpukan kepada aspek mengurangkan perbelanjaan.

Alasan menangani defisit, pembanteran penyeludupan, serta menggalakkan kehidupan sihat melalui pengurangan kadar ambilan gula diberi keutamaan. Media juga diingatkan untuk tidak membuat tinjauan rambang, dan menghubungi badan-badan bukan kerajaan dan persatuan pengguna yang mesra pemerintah.

Bahkan puji-pujian kepada keberanian Presiden Umno Najib Abdul Razak mengurangkan subsidi juga antara cadangan yang diutarakan dalam taklimat kepada pengarang-pengarang media semalam.

Malaysiakini melaporkan walaupun taklimat diberi pada jam 4 petang, mereka diarahkan supaya mematuhi sekatan ini sehingga kerajaan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 8 malam.

Sumber: TVSelangor

Kenaikan 5-1: Anwar saran empat langkah bantu rakyat

Posted: 16 Jul 2010 12:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Jul – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan empat langkah yang perlu diambil kerajaan Umno-BN untuk membantu rakyat bawahan mengharungi lonjakan kos kehidupan ekoran serangan mengejut kenaikan harga barang malam semalam.

Anwar berkata hanya dengan empat langkah ini rakyat dapat diyakinkan bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk barangan keperluan adalah berbaloi.

Bekas Menteri Kewangan ini juga meminta Perdana Menteri Najib Razak membentangkan rancangan perbelanjaan RM750 juta yang dipungut dari kenaikan harga ini.

"Saya menuntut supaya perdana menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat," kata Anwar.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," tegas Anwar lagi.

Empat langkah yang digariskan adalah:
  1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;
  2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;
  3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting;
  4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

"Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan perdana menteri jika benar BN ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

"Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni," tegas Anwar.

Sumber: TVSelangor

Tiada ulasan: