Rabu, 14 Julai 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


PEMILIHAN PIMPINAN PARTI 2010

Posted: 13 Jul 2010 05:35 PM PDT

PEMILIHAN PIMPINAN PARTI 2010:

Parti akan mengadakan pemilihan pimpinan di peringkat Cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada tahun 2010 ini (Pemilihan 2010).

Proses pemilihan kali ini akan berdasarkan perlembagaan KEADILAN yang telah dipinda dan diluluskan di dalam Kongres Nasional Khas 2009 serta oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada 28 April 2010.

Pindaan perlembagaan KEADILAN ini menterjemahkan hasrat Parti untuk menjadi sebuah badan parti politik yang lebih demokratik dan diwakili oleh suara ramai anggota-anggota Parti dalam proses pemilihan pimpinannya.

Seperti mana lazimnya dan menurut kehendak perlembagaan Parti, pemilihan pimpinan Cabang akan diadakan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) tahun 2010. Pemilihan pimpinan MPP pula adalah menerusi suatu sesi undian khas yang akan melibatkan keanggotaan Parti secara langsung.

Tarikh Pemilihan Cabang

Tarikh/ Perkara

7 Julai 2010: Tarikh akhir pengeluaran notis mengadakan MATC dan Pemilihan Oleh Ibu Pejabat kepada Cabang

6 Ogos 2010: Tarikh akhir pengeluaran notis MATC dan Pemilihan oleh Cabang

13 Ogos 2010: Tarikh mula pengeluaran Borang Pencalonan oleh Cabang

27 Ogos 2010: Tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Pencalonan Pemilihan Cabang

3 Sep 2010: Tarikh akhir bagi Calon Sementara dipamer di pejabat Cabang

10 Sep 2010: Tarikh akhir bagi Senarai Calon dipamer di pejabat Cabang

17 Sep 2010: Tarikh mula MATC dan Pemilihan Cabang

--------------------------------------------------------------------------------

Tarikh Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP)

Tarikh/ Perkara

9 Oktober 2010: Tarikh akhir penerimaan pencalonan MPP dari Cabang

16 Oktober 2010: Tarikh akhir bagi Senarai Calon Sementara dikeluarkan

23 Oktober 2010: Tarikh akhir Senarai Calon Muktamad dikeluarkan

30 Oktober 2010: Tarikh mula Pemilihan MPP 2010

20 November 2010: Tarikh akhir Pemilihan MPP 2010

27 November 2010: Tarikh Kongres Nasional Tahunan 2010


* Sumber http://www.keadilanrakyat.org

ANWAR: FITNAH TERBARU UTUSAN BONGKAR RASA DENDAM, BENCI MENDALAM

Posted: 13 Jul 2010 05:28 PM PDT

SHAH ALAM:

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fitnah terbaru Umno-Barisan terhadap dirinya melalui apparatus propaganda mereka, Utusan Malaysia yang dipintal daripada sebuah blog menunjukkan ketandusan idea dan hilang integriti sebagai sebuah organisasi media yang bebas.

Ketika menghantar komen beliau semasa mengerjakan ibadah umrah di Mekah bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Anwar berkata kempen fitnah yang dilancarkan Utusan Malaysia sekian lama terhadapnya hanya semata-mata berasaskan dendam dan kebencian.

"Alhamdulillah saya dan Azizah dapat menunaikan ibadat umrah dengan tenang. Doa kami moga umrah mabrur, sa'i mashkur dan amalan solehah.

"Rupa-rupanya tatkala di Makkah al Mukarramah, serangan fitnah bertali arus ditujukan kepada peribadi saya. Namun apa yang baru? Pencak mereka hanyalah fitnah, jika tidak agen Cina, India pastinya tali barut CIA. Khabar ini langsung tidak mengejutkan. Apatah lagi walau Umno-BN punyai dana puluhan juta, kemiskinan idea begitu terserlah apabila mahu memintal fitnah.

"Hanya dengan mengutip tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan mulai satu kempen dangkal dan berakarkan kebencian.

"Terpampang di muka hadapan fitnah 'Anwar Agen CIA'. Pimpinan Umno pula bersahuti-sahutan menyokong. Tidakkah mereka sedar rakyat Malaysia mual untuk disogok dengan berita sedemikian. Hari ini terungkailah segala pembohongan yang dipintal serta dianyam pimpinan Umno yang diketuai Dato' Sri Najib Razak. CNN telahpun mengeluarkan satu kenyataan bahawa organisasi media tersebut tidak menerima sebarang bentuk bayaran dari saya. Kemunculan saya untuk ruang 'Connect The World' merupakan keputusan penerbit program tersebut," jelas Anwar.

Anwar menegaskan penafian keras yang dibuat CNN mendedahkan perancangan Utusan Malaysia untuk terus merencana fitnah ke atas beliau.

"Penafian CNN bukan sahaja meruntuhkan bongkah penipuan media berhaluan kanan ekstrem seperti New Ledger, namun mendedahkan makar Utusan selaku lidah rasmi Umno yang berusaha memfitnah saya. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Namun bagi kita tidaklah mengejutkan kerana mengetahui peranan Utusan yang selama ini sudahpun luluh integritinya sebagai sebuah organisasi yang bebas," kata Ketua Pembangkang lagi.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

JAWATANKUASA KHAS RASUAH SERAH LAPORAN

Posted: 13 Jul 2010 05:23 PM PDT

KUALA LUMPUR:

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengemukakan laporan mengenai operasi tahun pertama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

"Pada hari ini laporan jawatankuasa mengenai rasuah dikemukakan kepada kedua-dua dewan. Ini merupakan satu sejarah sejak SPRM ditubuhkan pada Januari 2009 dan telah menjalankan tugas selama setahun," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa yang dianggotai beberapa wakil dari Barisan Nasional, PAS, PKR, DAP itu telah bermesyuarat sebanyak enam kali sebelum menghasilkan laporan yang dikemukakan itu.

"Laporan SPRM dikemukakan kepada kami pada 26 April 2010 dan kita telah bermesyuarat sebanyak 6 kali dan hasilnya, laporan diserah kepada Perdana Menteri dan kepada dewan untuk pengetahuan umum," katanya.

Jawatankuasa itu ujarnya, melihat prestasi SPRM boleh ditingkatkan jika semua pihak memberikankerjasama kepada mereka untuk menjalankan tugas.

"Berdasarkan laporan dan penjelasan daripada SPRM, kami mendapati pencapaian SPRM pada 2009 boleh dipertingkatkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan berkenaan boleh disentuh dan dibahaskan oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

PAS diwakili ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam menganggotai jawatankuasa berkenaan, PKR diwakili Senator Zambri Yusuf, manakala Tan Seng Giaw mewakili DAP.

Minggu lepas, Ketua Whip DAP, Lim Kit Siang mencabar jawatankuasa berkenaan membentangkan laporannya.

Menurut Akta SPRM, jawatankuasa khas itu mengemukakan laporan tahunannya kepada perdana menteri yang kemudian akan membentangnya di Dewan Rakyat.


* Sumber http://harakahdaily.net

KONTRAK BELI GERABAK KERETAPI DIDAKWA MANGSAKAN DANA AWAM

Posted: 13 Jul 2010 05:19 PM PDT

KUALA LUMPUR:

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak patut memberikan kontrak pembelian gerabak keretapi elektrik kepada syarikat negara China, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd, malah patut mengharamkan pembabitan syarikat tersebut di negara ini.

Ini berikutan beberapa percanggahan serius di dalam terma-terma pembelian yang diberi oleh Zhuzhou, tetapi anehnya kerajaan Umno-BN juga telah bersetuju dengan terma dan harga pembelian yang jauh lebih tinggi daripada persetujuan asal.

"Berkenaan artikel saya yang disiarkan dalam Harakah baru-baru ini, dan dikomen bekas Menteri Pengangkutan bahawa saya tidak meneliti fakta, saya ingin jelaskan kenapa saya berkata kerjaan Umno-BN patut batalkan belian dan haramkan Zhuzhou.

"Saya ingin tekankan di sini bahawa rakyat tuntut kebenaran, kenapa selepas rundingan terus Zhuzhou menawarkan harga lebih tinggi, kira-kira RM48 juta untuk setiap keretapi elektrik enam gerabak (EMU), berjumlah RM1.8 bilion untuk kesemua 38 unit," kata Dr Dzulkely pada sidang media semalam.

Jelas beliau lagi, pertama ialah pembatalan pembelian kerana keperluan pengangkutan awam bandar mengikut pelan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang jauh lebih tinggi, dan bukannya tidak diberi.

Kedua ialah isu jumlah pesanan dan perincian, di mana jumlah pesanan baru ialah 38 unit dengan enam gerabak seunit, berbanding dengan pesanan asal lapan unit dengan tiga gerabak seunit.

"Jika dibandingkan dengan model lama, yang baru ini hanya ada beberapa kamera litar tertutup (CCTV) tambahan dan skrin iklan tambahan, itu sahaja, kenapa pula harganya melonjak hingga tambahan kira-kira RM10 juta seunit?

"Saya tidak bandingkan epal dengan oren, itu tak masuk akal. Ini saya bandingkan epal dengan epal, tak jauh beza kedua-duanya," tambah Dr Dzulkefly.

Tambah beliau lagi, isu ketiga ialah Kementerian Kewangan telah mendesak dan membenarkan Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan rundingan terus.

"Siapa di MOF yang membuat keputusan ini, kita perlu tahu.

"Ini satu keputusan melibatkan tambahan perbelanjaan wang rakyat kira-kira RM500 juta, yang saya khuatir akan hilang begitu sahaja," tegas beliau.

Beliau memberitahu kontrak pembelian ini tidak termasuk kontrak penyelenggaraan, pembaikan, dan 'overhaul' (MRO), yang mana kerajaan Umno-BN sepatutnya memasukkan MRO sekali dengan kontrak pembelian.

"Kerajaan Umno-BN patut belajar daripada kesilapan lalu di mana disebabkan kerajaan Umno-BN tidak mempunyai apa-apa perjanjian MRO dengan General Electric (GE), maka kesemua kos MRO terpaksa ditanggung oleh kerajaan yang mencecah belanja hampir sama dengan gerabak baru," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) untuk menyiasat kesahihan apa sahaja kenyataan dan sidang media beliau berkaitan dengan isu ini dan mengharapkan siasatan rapi akan dijalankan agar wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

AKHBAR KEADILAN JADI REBUTAN DI PARLIMEN

Posted: 13 Jul 2010 05:17 PM PDT

KUALA LUMPUR:

Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, 'KEADILAN' yang diterbitkan oleh Angkatan Muda bukan sahaja diberikan secara percuma di sekitar Majlid Jamek pagi semalam anggota Dewan Rakyat juga berebut di bangunan Parlimen juga berebut untuk mendapatkan naskah mereka.

Pengedaran akhbar 24 mukasurat itu dilakukan selepas satu sidang media oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk memaklumlan mengenai kemunculan 'KEADILAN'.

Tian menjelaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti itu walaupun permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui Kememnterian Dalam Negeri sambil berkata KEADILAN tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

"Hari ini merupakan edaran akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' bagi menggantikan edisi Suara Keadilan, parti akan terus menerbitkan akhbar parti walaupun terdapat tekanan daripada KDN.

Sebagai pihak yang memperjuangkan hak rakyat dan kebebasan bersuara kita tidak akan tunduk dengan tekanan tersebut.

"Apa yang ingin dimaklumkan bahawa pagi tadi edisi ini telah diedarkan secara percuma kepada warga kota di sekitar Masjid Jamek dan kesempatan penerbitan yang baru ini kita akan edar akhbar ini secara percuma di parlimen.

"Kita tidak akan hentikan penerbitan sehingga mendapat keterangan sebenar terhadap kedudukan permit akhbar terbabit dari KDN. KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas akhbar ini kerana ia adalah hak parti dan parti mempunyai kuasa untuk membuat terbitan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu penerbitan akhbar ini tetap diteruskan dan ini adalah bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu yang berlaku di negara ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada tekanan politik kotor Umno-Barisan Nasional, dasar yang diamalkan oleh Umno-BN adalah amat kejam kerana halangan bersuara dan mendengar.

"Kita akan pastikan akhbar rasmi KEADILAN ini akan terus berada dipasaran dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa jua penyelewengan yang berlaku didalam pentadbiran kerajaan bukannya berita yang telah diputar belit.

"Hari ini kita mahu KDN mengambil sikap yang lebih adil agar kelulusan penerbitan diberikan kepada Suara Keadilan. Kami kesal dengan tindak tanduk KDN yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap akhbar arus perdana dan juga Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan dan perkauman," kata Zuraida.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pula menegaskan terbitan akhbar akan diteruskan dan beliau menyatakan kelewatan terbitan disebabkan oleh karenah KDN yang sentiasa membuat pemantauan kerana takut rakyat terus mendapat maklumat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan.

"Saya juga tegaskan kita terus terbit akhbar terbabit dan kelewatan terbitan ini disebabkan pemantauan yang dilakukan oleh KDN. Sikap sedemikian ini jelas Umno-BN menggunakan KDN untuk memastikan akhbar terbabit tidak diterbit bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang tepat.

"Sepatutnya KDN menggunakan saluran undang-undang yang betul jika ingin menghalang penerbitan bukan menggunakan kuasa politik pemimpin tertentu.

Sekarang jelas wujudnya tekanan politik kerana KEADILAN mahupun Suara Keadilan belum lagi disabitkan salah oleh Mahkamah tetapi KDN telah mengambil sikap yang terburu tanpa menunggu keputusan mahkamah," jelas Sivarasa.

Selepas sidang media tersebut Tian telah menyerahkan senaskah akhbar Keadilan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu berada di lobi parlimen.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan: