Rabu, 7 Julai 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


PAHANG MASIH TIADA BANGUNAN PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI YANG BARU?

Posted: 06 Jul 2010 10:06 PM PDT

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera cukup terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Pahang Farizah Jaafar semalam apabila memberitahu perpustakaan negeri yang sedia ada tidak boleh diiktirafkan sebagai perpustakaan (dalam gambar diatas) kerana kedhaifan yang teramat sangat serta serba serbi ketinggalan zaman! (Sila rujuk petikan Utusan Malaysia 06 Julai 2010 di bawah).

Dakwa beliau lagi, lebih memalukan lagi apabila semua negeri di Malaysia telah mempunyai perpustakaan yang serba canggih dan besar seperti mana negeri jirannya Terengganu, Johor, Selangor dan sebagainya. Perkara ini diakui sendiri oleh mereka yang pernah berkunjung ke negeri-negeri tersebut.

Kita sendiri pun tidak memahami kenapa sehingga kini Pahang tidak mampu untuk membina perpustakaan sehebat negeri lain sedangkan Pahang adalah antara negeri yang dikuasai BN yang 'pandai' menguruskan kewangannya sendiri berbanding di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Justeru itu KEADILAN Cabang Bera mempersoalkan apakah tiada inisiatif untuk kerajaan Pahang membina satu bangunan baru perpustakaan negeri untuk menggantikan yang lama yang begitu tersorok dan amat daif.

Perpustakaan merupakan tempat untuk rakyat mencari ilmu serta menjadikannya tempat untuk membuat rujukan. Oleh itu suasana perpustakaan yang baik serta ceria sudah pasti akan menarik minat orang ramai untuk hadir ke situ.

Macamana untuk menarik sokongan masyarakat agar berminat untuk membaca sebagaimana kempen minat membaca yang dijalankan oleh kerajaan Pusat sebelum ini sekiranya kerajaan Pahang pimpinan UMNO-BN sendiri tiada hasrat untuk menarik minat rakyat negerinya sendiri?


PAHANG MASIH TIADA PERPUSTAKAAN NEGERI
Utusan Malaysia 6 Julai 2010


KUANTAN 5 Julai
- Pahang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang masih belum mempunyai perpustakaan awam negeri yang serba moden.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Pahang, Farizah Jaafar berkata, perpustakaan awam yang terdapat di bandar ini tidak boleh diiktiraf sebagai perpustakaan negeri berikutan keadaan fizikalnya yang ketinggalan zaman.

Menurut beliau, pihaknya difahamkan hampir semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak mempunyai perpustakaan awam negeri masing-masing.

"Malah ada negeri bakal mempunyai dua perpustakaan walaupun perpustakaan sedia ada masih elok dan moden," katanya.
(Perpustakaan Negeri Johor Darul Takzim).
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Pembangunan Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) Dalam Komuniti: Fungsi dan Peranan Perpustakaan di Kompleks Dagangan Mahkota di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.

(Perpustakaan Negeri Terengganu Darul Iman).
Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia PNM), Datuk Raslin Abu Bakar serta Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_08.htm

SUARA KEADILAN: APABILA DEMOKRASI DI HUKUM MATI

Posted: 06 Jul 2010 08:52 PM PDT

Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan.

Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat.

Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.

Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan.Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah .

Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu " power corrupts and absolute power corrupts absolutely" ( "Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak" ) .

Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.

Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.

Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alas an sekalipun.

Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak,menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.

Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.

Akta ini juga memberikan kuasa kepada Pendakwa Raya , jika dia mendakwa mana-mana orang di bawah mana-mana peruntukkan Akta ini , untuk meminta Mahkamah menggantung penerbitan akhbar tersebut dan jika Mahkamah berbuat demikian ianya adalah suatu yang sah di bawah seksyen 8c ( 2 ) Akta tersebut.

Akta ini juga berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) memberi kuasa mutlak kepada Menteri untuk meletakkan apa-apa syarat di atas permit yang diberikan dan kuasa Menteri ini juga tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun. Kita tentu tidak lupa bagaimana akhbar Harakah pernah dikenakan syarat-syarat yang tidak munasabah oleh Menteri meskipun permit dikeluarkan.

Saya masih ingat sewaktu mewakili Harakah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri suatu ketika dahulu. Harakah telah mencabar syarat-syarat yang dirasakan tidak munasabah yang dikenakan ke atas akhbar tersebut.

Saya masih ingat salah satu syarat yang dikenakan kepada Harakah adalah ia hanya boleh menerbitkan berita tentang PAS sahaja . Maknanya kalau Harakah hentam Umno di dalam akhbar teersebut ia dikira melanggar syarat permit. Tidakkah ini syarat gila yang hanya boleh dikenakan oleh Kerajaan gila seperti Kerajaan BN.

Meskipun jangka hayat permit suratkhabar itu adalah untuk tempoh 12 bulan daripada tarikh permit dikeluarkan namun berdasarkan seksyen 12 ( 1 ) Menteri juga diberi kuasa mutlak untuk meletakkan syarat di dalam permit bahawa tempoh usia permit itu dikurangkan dari 12 bulan.
Seksyen 12 ( 2 ) secara jelas menyatakan Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk tidak meluluskan permohonan bagi mendapatkan permit. Dan di bawah seksyen 12 ( 2 ) inilah Menteri telah menggunakan kuasa mutlaknya itu untuk tidak memperbaharui permit akhbar Suara Keadilan. Harus diingatkan Menteri tidak perlu memberi apa-apa alasan mengapa ia enggan memperbarui permit Suara Keadilan.

Di dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) sebarang keputusan pihak awam seperti kuasa Menteri perlu mematuhi prinsip keadilan asasi ( natural justice ) di mana salah satu prinsip itu adalah apa yang dipanggil " audi alteram partem" ( seseorang hendaklah diberi hak untuk didengar ).

Diterjemah di dalam kes akhbar Suara Keadilan sepatutnnya Menteri hendaklah memberi hak tersebut kepada PKR apabila ia memutuskan untuk tidak mahu memberikan permit kepada Suara Keadilan. Adakah tindakan Menteri tersebut boleh dicabar ? Jawabnya tidak kerana seksyen 13B dengan secara jelas memberi kekebalan kepada Menteri apabila diperuntukkan bahawa mana-mana orang yang tidak diberikan permit atau digantung permitnya tidak perlu diberi hak untuk didengar oleh Menteri .

Akhirnya Akta ini juga membenarkan mana-mana orang yang ditangkap kerana disyaki melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini tanpa perlu waran tangkap dari Mahkamah ( lihat seksyen 20 Akta ) . Seterusnya jika pihak penguatkuasa KDN melakukan penggeledahan dan rampasan dan berlaku kerosakan mereka juga kebal dari sebarang tuntutan gantirugi dan mereka tidak boleh disaman di Mahkamah ( lihat seksyen 24 )

Amat menghairankan hanya kerana Suara Keadilan menyerang bertubi-tubi pengurusan Felda – agensi di bawah jagaan dan kawalan Najib- maka ia dihukum dengan hukuman yang amat berat – tidak boleh lagi diterbit dan dicetak akhbar tersebut. Kita tidak faham kenapakah Suara Keadilan perlu di hukum dengan hukuman sebegitu berat. Jika pun berita tentang Felda itu adalah satu fitnah ke atas Felda bukankah Felda dibenarkan oleh undang-undang untuk menyaman akhbar itu dan menuntut gantirugi . Tidakkh akhbar pro Umno juga banyak kali menyiarkan berita fitnah dan bohong dan mengapakah mereka tidak pernah dihukum seperti Suara Keadilan ?

Suatu yang amat ganjil parti apabila politik berdaftar seperti PKR dinafikan haknya yang fundamental iaitu menyebarkan mesejnya kepada rakyat melalui penerbitan akhbar. Jika Perlembagaan Perskutuan di dalam Perkara 10 ( 1 ) memberi kebebasan bersuara yang mana hak itu termasuk kebebasan akhbar Akta zalim ini menjadikan hak dan kebebasan di dalam undang-undang tertinggi tersebut tidak lagi bermakna dan hanya satu ilusi atau mimpi.

Sayugia diingatkan apabila BN menghukum Suara Keadilan menggunakan Akta zalim itu pada hakikatnya BN sedang menjatuhkan hukuman mati ke atas demokrasi. Apabila hak bersuara PKR dinafikan BN pada hakikatnya sedang mencabut oksigen dari tabung atau balang demokrasi. Pembunuh demokrasi wajib dihukum mati oleh hakim yang berkuasa di negara ini- rakyat atau pengundi .

Apa lagi – marilah kita sama-sama menyumpah Akta zalim ini 33 kali dalam sehari !



Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat (http://peguampas.blogspot.com)

* Sumber http://harakahdaily.net

PEMIMPIN UMNO-BN DALANGI AKTIVITI CURI PASIR SEJAK LEBIH 20 TAHUN DI SELANGOR

Posted: 06 Jul 2010 08:18 PM PDT

SHAH ALAM 7 JULAI 2010:

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Suhaimi Shafiei menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah didalangi agenda politik Umno-Barisan Nasional yang semakin panas punggung ekoran usaha tegas kerajaan negeri membanteras aktiviti dan penyelewengan pengeluaran pasir oleh pihak terbabit sejak lebih 20 tahun dahulu.

Ketika di hubungi Suara Keadilan, Suhaimi berkata arahan siasatan SPRM terhadapnya dikeluarkan tidak sampai 48 jam selepas beliau membuat kenyataan media untuk menbongkar salah guna kuasa dan penyelewangan oleh beberapa individu yang memegang jawatan kanan dalam Umno-BN di Selangor berhubung permohonan tanah di sekitar Shah Alam.

"Perang saraf ini bertepatan dengan usaha propaganda awal yang mengatakan saya adalah salah seorang ADUN KEADILAN yang akan meletakkan jawatan dalam Dewan Undangan Selangor. Apa yang berlaku mengesahkan adanya arahan daripada pihak tertentu agar memberi tekanan kepada saya supaya terperangkap dengan permainan politik mereka, yang telah menetapkan sasaran agar dapat membeli tiga lagi ADUN KEADILAN sebelum penghujung tahun ini.

"Saya di panggil SPRM untuk mengambil keterangan saya atas fitnah oleh seseorang yang cuba mengaitkan saya dengan aktiviti mencuri pasir melibatkan sebuah syarikat bernama MNT Construction Enterprise yang saya sendiri tidak tahu mengenainya dan tidak kenal siapa mereka ini (dibelakang syarikat terbabit)," tegas beliau lagi.

Suhaimi menjelaskan telah menjadi prinsip beliau dan semua ADUN Pakatan Rakyat bahawa tiada seorang pun akan terlibat sama sekali dalam aktiviti haram, bahkan beliau menentang kuat aktiviti mencuri pasir yang amat berleluasa semasa pentadbiran kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Tambah beliau gejala ini semakin terkawal di bawah pengendalian dan pengawasan kerajaan negeri Pakatan Selangor, walaupun masih terdapat sedikit kelemahan.

"Cengkaman KEADILAN ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka yang terlibat hingga terpaksa mencari alternatif dengan mendakwa kami pula yang terlibat dalam kegiatan haram ini.

"Penubuhan Kumpulan Semesta Sdn Bhd adalah sebagai pemangkin kepada usaha mengurangkan kecurian pasir oleh mereka yang tamak. Aktiviti mencuri pasir juga amat berleluasa di Johor dan Negeri Sembilan, tetapi kegiatan itu tidak disiasat menyeluruh kerana negeri itu adalah di bawah cengkaman Umno-BN," jelas Suhaimi.

Menurut beliau lagi, aktiviti ini berleluasa di bawah kerajaan Umno-BN tetapi dilindungi oleh pimpinan mereka.

Beliau memberi contoh di Shah Alam bagaimana seorang pemimpin politik Umno-BN telah menyalah gunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk memberi kebenaran kepada lori yang mencuri pasir melalui sebuah kampung kerana menerima sumbangan sebuah syarikat sekitar RM40,000 sebulan.

Suhaimi juga menegaskan percubaan kali ini adalah kesinambungan serangan siri terbaru Umno-BN yang memperalatkan agensi seperti SPRM untuk mencemarkan maruah kerajaan negeri Selangor dan mencalar imej beliau sebagai seorang ADUN Pakatan Rakyat yang memegang teguh prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Ini adalah satu propaganda politik dan jelas mempunyai tujuan 'mala fide' atau berniat jahat untuk mencemar Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kami akan menentang usaha jahat ini dengan mendedahkan lebih banyak pembohongan Umno-BN dan menelanjangkan siapa sebenarnya yang melindungi aktiviti pengeluaran pasir haram di sungai dan tanah kerajaan negeri satu ketika dahulu.

"Kita minta SPRM siasat mereka tanpa memilih bulu dan akhirnya, kebenaran pasti akan terbukti. Serangan ini tidak sama sekali akan melemahkan semangat saya dan rakan rakan untuk terus berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran," tambah beliau.

Beliau serta ADUN Batu Caves Amirudin Shari di panggil SPRM Khamis lalu untuk memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah. Suhaimi dipanggil semula ke SPRM Isnin lepas.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan: