Isnin, 5 Julai 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


PKR AKAN TERUS TERBITKAN SK

Posted: 05 Jul 2010 12:43 AM PDT

KUALA LUMPUR, 05 JULAI 2010:

PKR akan terus menerbitkan Suara Keadilan (SK) sehinggalah Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat kata putus status akhbar itu dengan jelas.

Pengarah Strategiknya, Tian Chua menyifatkan kenyataan terbaru dikeluarkan KDN bahawa permit penerbitan akhbar itu tidak digantung dan cuma tamat tempoh adalah satu lagi mempamerkan sikap 'flip flop' kerajaan.

"Mengenai kedudukan permit Suara Keadilan kita sebenarnya keliru, selepas KDN isytiharkan pengantungan permit tersebut, menteri pula menjelaskan permit itu belum digantung tetapi permit telah tamat tempoh, jadi ini yang telah mengelirukan kita dan juga Suara Keadilan," katanya ketika ditemui diparlimen hari ini.

"Kita tetap akan terbitkan Suara Keadilan sehingga mendapat jawapan jelas dari kerajaan," jelas Tian lagi.

Dalam pada itu PKR hari ini juga melalui Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali telah menghantar usul kepada Yang DiPertuan Dewan Rakyat bagi mencadangkan isu penggantungan permit SK dibahaskan di Dewan Rakyat.

Keputusan sama ada usul tersebut diterima atau ditolak bagaimanapun hanya akan diketahui esok.

Bagi beliau, dengan menggunakan Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2), Dewan Rakyat wajar membahaskan isu berkaitan insiden permit Suara Keadilan (SK), milik PKR yang digantung Kementerian Dalam Negeri (KDN), Khamis lalu tanpa alasan munasabah.

"Isu ini ekoran KDN sekat kebebasan media serta menyekat kebebasan parti-parti politik di negara ini," tegas beliau di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindakan KDN itu sekaligus menghalang rakyat dari mengakses laporan berita alternatif berhubung kepentingan negara.

Tambahnya lagi, pendedahan 'Felda Bankrap' yang dibuat SK pada keluaran bertarikh 22-29 Jun lalu sepatutnya dilihat sebagai tanggungjawab parti-parti pembangkang dalam memelihara kepentingan negara.

"Ini tanggungjawab Pakatan Rakyat serta PKR sendiri untuk memperbetul kerajaan serta memperkenal dasar-dasar yang baru untuk kepentingan negara," ujarnya.

Bercakap pada sidang media yang sama, Naib Presiden PKR Sivarasa K. Rasiah mempersoal kaedah kerajaan menggantung permit lidah parti itu.

"Merujuk pada surat KDN 2 Julai kepada kami, alasannya lebih karut (kerana) mereka tuduh kita (SK) langgar syarat-syarat yang ditetapkan oleh kementerian," ujar beliau sambil merujuk suatu surat jawapan balas KDN kepada SK.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, syarat-syarat yang diperjelaskan oleh KDN pada SK nyata tidak masuk akal.

"Mana boleh pada suatu akhbar yang menjadi lidah rasmi parti, tapi tak boleh sentuh isu-isu semasa seperti yang KDN syaratkan.

"Akhbar kita (SK) turut dituduh mencemarkan kredibiliti kerajaan, Felda seperti (dalam surat) 2 Julai lalu, bayangkan sebuah parti pembangkang tidak boleh mengkritik kerajaan," tegas beliau.

Inisiatif kerajaan membunuh kebebasan media, menurut beliau sekaligus menafikan peranan pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen di tanah air.

"Tugas pembangkang bukannya memuji-muji kerajaan, buat apa jadi pembangkang dalam sistem demokrasi ini, baik jadi kerajaan Umnosaja," tegasnya.

Tuntas dari itu, beliau mendakwa, pergantungan SK itu lebih bermotif politik untuk menghalang masyarakat Melayu dari mengetahui kepincangan sebenar urus tadbir Felda kebelakangan ini.



* Sumber http://harakahdaily.net

23 DALAM SETIAP 100 RAKYAT SABAH MISKIN DIBAWAH UMNO-BN

Posted: 05 Jul 2010 12:36 AM PDT

PETALING JAYA 05 JULAI 2010:

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Dr Hiew King Cheu membidas kerajaan Umno-Barisan Nasional atas kegagalan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat sabah semasa pilihan raya dan juga mengotakan perjanjian yang dibuat semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

Berucap pada forum 'Kemelaratan Rakyat Sabah di Lembah Klang'di Dewan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya semalam, Dr Hiew berkata rakyat Sabah terutamanya kaum belia terpaksa berhijrah keluar dari Sabah untuk mencari pekerjaan ke Semenanjung, Singapura dan negara lain kerana faktor kemiskinan yang amat tinggi dan kemasukan warga asing yang menawarkan tenaga kerja murah.

"Sabah satu masa dahulu amat kaya dan rakyat tidak pernah risau berkenaan kerja dan sebagainya tetapi kini sejak kerajaan Umno-BN mentadbir, Sabah telah menjadi negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan 23.4 peratus. Itu maksudnya dalam setiap 100 warga Sabah, 23 daripadanya berada di bawah garis kemiskinan.

"Dalam satu lawatan baru-baru ini ke perkampungan di Tambunan, Keningau, Ranau, Kudat, dan Pitas, kebanyakan masyarakat tidak mempunyai tempat tinggal yang sempurna. Hanya sebuah pondok setiap keluarga dengan aktiviti utama ialah menanam padi, sayuran untuk kegunaan sendiri dan menangkap ikan-ikan kecil di sungai," kata beliau.

Tambah Dr Hiew lagi, sebagai warga Sabah dan rakyat Malaysia yang prihatin, tindakan dalam bentuk apa sekalipun perlu diambil bagi membantu masyarakat Sabah dan meningkatkan sosio-ekonomi Sabah.

"Kita sudah beri peluang kepada BN tetapi dia tidak membuat apa-apa, Pakatan Rakyat membantu sedaya secara ikhlas. Pakatan Rakyat mahu membantu, kita patut berikan sokongan kita demi Sabah. Kita perlukan satu perubahan, kita perlu selamatkan Sabah dan seterusnya Malaysia," tegas beliau lagi kepada lebih 300 hadirin pada forum itu.


* Sumber http://Suara-Keadilan.com

Tiada ulasan: