Selasa, 27 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


FDI merudum angkara pentadbiran anak beranak

Posted: 27 Jul 2010 04:02 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai: Penjelasan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Tun Razak mengenai merudum pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini mengingatkan rakyat kepada pentadbiran nepotisme, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Kenyataan jurucakap baru kabinet (Datuk Seri) Najib, iaitu adiknya sendiri, mengingatkan rakyat Malaysia kepada budaya pentadbiran nepotisme yang dipelopori di zaman Tun Dr Mahathir atau pentadbiran 'anak beranak' yang dipraktikkan oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi).

"Mungkinkah Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) ini wajar dipanggil 'pentadbiran adik beradik' pula?" katanya.

Kenyataan dari jurucakap baru kabinet Najib itu juga, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, menunjukkan bahawa anggota-anggota kabinet serta Najib sendiri telah bankrap atau muflis idea bagaimana hendak menjanakan ekonomi Malaysia.

"Mereka adalah ibarat burung unta yang menyembunyikan kepala masing-masing dalam tanah. Tunggu masa sahaja sebelum mereka ditendang keluar oleh rakyat," katanya.

Menurutnya, memandangkan tidak ada komen atau apa-apa kenyataan langsung daripada anggota-anggota kabinet Najib atau beliau sendiri berkenaan kejatuhan pelaburan langsung asing sehingga 81 peratus itu, sekurang-kurangnya kenyataan Nazir itu menunjukkan, maka kerajaan Najib mengakui benarnya kejatuhan itu.

"Jelaslah ia ia bukan rekaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau sebab-sebab yang tidak munasabah lain yang diberi," katanya.

Mahfuz bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Nazir kerana perlantikannya sebagai jurucakap kerajaan abangnya.

Sumber: Harakah Daily

ADUN Sri Muda nafi lindungi Kumpulan Semesta kerana bonus

Posted: 27 Jul 2010 03:59 AM PDT


SHAH ALAM, 27 Jul — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menafikan beliau menerima menerima bonus daripada syarikat perlombongan pasir Selangor Kumpulan Semesta Sdn Bhd sejak ia beroperasi pada 2008.

Kelmarin, Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr Khir Toyo mendakwa Shuhaimi melindungi Kumpulan Semesta dalam perang mulut membabitkan kedua-dua mereka hanya untuk mendapatkan bonus enam bulan.

Sehari sebelum dakwaan itu, wakil rakyat PKR tersebut mendesak Dr Khir agar 'tutup mulut' dan berhenti daripada menyerang kerajaan negeri berhubung isu perlombongan pasir secara haram.

"Saya mempertahankan Kumpulan Semesta sejak ia dimulakan sehingga kini tanpa menerima bonus satu sen pun," kata Shuhaimi kepada The Malaysian Insider.

"Bonus enam bulan?… saya tidak pernah mengambil bonus satu bulan pun, sebab kami hendak mengembalikan khazanah negeri kepada rakyat," kata beliau yang juga ahli lembaga Kumpulan Semesta.

Beliau berkata, Dr Khir ketika kepimpinannya sebagai bekas Menteri Besar Selangor tidak melakukan apa-apa untuk memulihkan tanah-tanah sejak lombong di kawasan-kawasan milik negeri ditutup.

"Khir adalah Menteri Besar selama lapan tahun. Apa yang beliau lakukan untuk memulihkan kawasan tanah yang rosak dan kawasan perlombongan yang ditinggalkan oleh kroninya, yang kini kelihatan sebagai kawasan perang?" kata Shuhaimi.

Shuhaimi juga memperlekehkan bahawa politik Khir sudah tidak lagi relevan dengan menegaskan kerjaya politik doktor gigi itu sudah pun berakhir.

"Modal politik Khir sudah berakhir. Masanya sudah berlalu," kata Shuhaimi dengan merujuk kepada tindakan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar yang turut melancarkan serangan sendiri dalam isu perlombongan pasir.

Tindakan Noh itu dilihat cuba mengetepikan saingan pengaruh dengan Khir.

"Nasihat saya kepada Khir, bersedialah untuk disejukbekukan," kata Shuhaimi lagi.

Pada Sabtu lalu, Shuhaimi meminta Dr Khir supaya 'tutup mulut' dan berhenti daripada menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat kononnya gagal menangani isu perlombongan pasir haram.

Katanya, Dr Khir selaku Menteri Besar sebelum Mac 2008 telah gagal dalam tugas dan tanggungjawabnya mengatasi masalah tersebut tetapi kini mempertikaikan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dr Khir baru-baru ini mendakwa lombong pasir di Kuala Langat haram dan menjejaskan kawasan Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun pakar alam sekitar dilantik anak syarikat kerajaan Kumpulan Semesta Sdn Bhd mempertikaikan dakwaan Ketua Pembangkang itu.

Firma perunding yang dilantik Kumpulan Semesta untuk pelan pengurusan alam sekitar bagi lombong pasir di Olak Lempit, Banting berkata tidak ada bukti menunjukkan kegiatan di kawasan seluas 48 hektar itu menjejaskan Paya Indah Wetlands.

Pengarah Enviro Enhance Sdn Bhd P.K Geetha memberitahu firma itu tidak menemui sebarang impak ke atas kualiti air di Paya Indah Wetlands kerana lombong tersebut terletak di hilir kawasan paya berkenaan.

Beliau berkata proses membersih pasir juga dilakukan menggunakan air dari kolam di dalam kawasan lombong milik Kumpulan Semesta. – MALAYSIAN INSIDER

Sinar Keadilan Kini Di Pasaran

Posted: 27 Jul 2010 03:58 AM PDT


Selepas dua edisi Suara Keadilan berjaya diterbitkan dengan nama baru selepas digantung, kini edisi ketiganya pula berada di pasaran dengan nama Sinar Keadilan.

Ianya diterbitkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan tajuk utama muka hadapannya, 'Projek Mencurigakan...RM12 Ribu Juta Untuk JPM'.

Edisi kali ini mendedahkan tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional memotong subsidi untuk rakyat dengan menaikkan harga barangan asas seperti petrol dan gula, namun pada masa yang sama RM12 Ribu Juta diguna untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Peruntukan ke JPM tersebut menurut artikel itu lagi merupakan bajet yang paling besar berbanding daripada bajet kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri.

Manakala di muka belakang akhbar itu pula memaparkan berita yang mempersoalkan reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membisu berhubung kegagalan projek yang dijalankan sebuah syarikat perikanan, Malaysian International Tuna Port (MITP) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ketika beliau menjadi Menteri Asas Tani.

Di bahagian berita bergambar turut dimuatkan liputan bergambar sekitar majlis memperingati mendiang pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang kematiannya masih lagi "misteri" ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas.

Turut dimuatkan gambar-gambar samseng upahan Umno yang berdemontrasi di depan pintu pagar Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu pasir.

Sebelum ini, terbitan kedua akhbar tidak berkala itu, 'Obor Keadilan' didakwa dirampas di sekitar kawasan Lembah Kelang oleh beberapa pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang seterusnya melarang penjual menjual akhbar berkenaan.

Dalam pada itu, pegawai polis, ASP Rejali ak Angong dari Ibu pejabat Polis Putrajaya meminta Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Pelita Koridor Sdn Bhd, Rohani Abd Rahman menghadirkan diri bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab isu Felda.

2 Julai lalu KDN telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung laporan 'Felda Bankrap' di muka depan akhbar itu bulan lalu.

Pihak KDN sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya PKR berkeras untuk menerbitkan akhbar yang digantung itu.

Sumber: TVSelangor

Zunar, Malaysiakini Saman KDN Kerana Haramkan Buku, Komik

Posted: 27 Jul 2010 03:56 AM PDT


KUALA LUMPUR 27 Julai - Laman portal Malaysiakini dan kartunis Zunar mengecam Kementerian Dalam Negeri berhubung pengharaman buku '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun' yang memaparkan karya-karya yang dihasilkan kartunis itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan bersama semalam, Malaysiakini yang diwakili Premesh Chandran dan Zunar menganggap pengharaman tersebut sebagai tekanan politik bagi menyekat perbezaan pandangan dan idea di kalangan rakyat Malaysia.

Perkara itu tegasnya bertentangan dengan hak yang telah termaktub dalam artikel 10(1) perlembagaan negara.

"Kami telah membuat pendakwaan di mahkamah bahawa pengharaman ini merupakan salahguna kuasa oleh kerajaan untuk menghalang kritikan kepada dasar kerajaan dan perdana menteri. Kami tidak dapat memahami bagaimana buku kartun politik yang memberikan komen adil yang menyentuh satira politik Malaysia dan ahli politiknya boleh mengancam keselamatan awam.

"Tidak ada bukti sebarang gangguan atau dakwaan melakukan gangguan yang dilakukan kami. Tidak ada seorang pun dari kami diberi peluang untuk mendengar sebelum keputusan pengharaman buku ini dilakukan," ujar kenyataan tersebut.

1Funny Malaysia diterbitkan Malaysiakini pada November 2009 dan hampir kesemua kartun yang dihasilkan Zunar dalam buku itu disiarkan dalam laman portal itu bermula dari Oktober 2006 hingga November 2009.

Manakala Perak Darul Kartun, yang dihasilkan beberapa kartunis diterbitkan sendiri Zunar melalui syarikatnya, Sepakat Efektif Sdn Bhd pada November 2009.

Semalam kedua-dua pihak mengemukakan saman terhadap KDN bagi mencabar pengharaman kedua buah buku berkenaan.

Kedua pihak menganggap pengharaman buku kartun itu tidak selari dengan tindakan kerajaan yang cuba mempromosikan hak asasi manusia di seluruh dunia.

"Pengharaman ini tidak sah kerana melanggar hak kebebasan bersuara kami yang dijamin perlembagaan persekutuan dan ultra Vires (di luar skop) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana buku ini bukan memudaratkan orang awam.

"Pengharaman ini menyalahi undang-undang keadilan sebenar dan tidak dilakukan secara adil kerana kami tidak diberitahu sebelum pengharaman dan diberikan sebab pengharaman," tegasnya.

Justeru kedua pihak menuntut mahkamah membatalkan larangan terhadap dua buku tersebut dan meminta deklarasi mahkamah bahawa pengharaman itu batal dan tidak sah.

Kedua pihak juga menuntut KDN membayar ganti rugi berhubung kerugian yang ditanggung akibat pengharaman buku tersebut melalui saman yang difailkan.

Kedua-dua pihak melantik peguam cara Fahri Azzat daripada firma Azzat & Izzat dan kumpulan peguam yang terdiri daripada Edmund Bon Tai Soon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga dan Aston Paiva.

Sumber: Suara Keadilan

Geng Kepala Lembu Didenda RM1,000

Posted: 27 Jul 2010 03:55 AM PDT


SHAH ALAM 27 Julai - Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada semua 12 lelaki yang dituduh terlibat dalam perhimpunan haram sambil membawa kepala lembu pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memutuskan perkara itu selepas kesemua 12 tertuduh mengaku salah.

Mereka ialah Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; Mohd Hilmi Ni, 40; Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd. Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Semua mereka mengaku bersalah setelah pihak pendakwaan meminda tuduhan mengikut Seksyen 143, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih ringan.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis.


Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Mahu Naik Harga Air Selamatkan Syarikat Kroni

Posted: 27 Jul 2010 03:54 AM PDT


SHAH ALAM 27 Julai - Pengarah Penerangan Kerajaan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahron berkata masalah yang bakal didepani rakyat negeri itu bukan krisis kekurangan air, tetapi kenaikan kadar air disebabkan kerajaan Umno-Barisan Nasional enggan menyerahkan pengurusan industri air kepada kerajaan negeri tetapi sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air yang diberikan kepada syarikat milik kroni.

Kata beliau tindakan kerajaan pusat yang sengaja melambatkan penyelesaian penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor menyebabkan usaha kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bekalan air terbaik kepada rakyat terhalang.

Sehubungan itu Dr Badrulamin membidas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air supaya berhenti mengelirukan rakyat dengan menimbulkan kemungkinan krisis air di Selangor menjelang 2014.

"Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air. Hujah Datuk Seri Peter Chin mengulas Menteri Besar Selangor adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada kerajaan Umno-BN," jelas beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, sekiranya kerajaan Umno-BN terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor, pihaknya yakin kadar air akan meningkat disebabkan oleh pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor dengan kos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri mampu melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion sahaja.

Kedua, pihak pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang tidak telus, antaranya gaji tahunan Pengerusi Eksekutif Syabas mencecah RM5.1 juta setahun atau RM425,000 sebulan.Ketiga, kegagalan pihak Puncak Niaga Bhd menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air dan kadar pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi.

Tambah Dr Badrulamin, dasar penswastaan industri air itu juga hanya menguntungkan kroni pimpinan politik Umno-BN.

Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor kata beliau.

"Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.

"Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan berkesan," jelas beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Kementerian Kesihatan Lembab, Rakyat Terpaksa Guna KWSP Tampung Kos Perubatan

Posted: 27 Jul 2010 03:51 AM PDT


KUALA LUMPUR 27 Julai - Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat, Senator Zamri Yusof meminta kerajaan menilai semula dasar kesihatan negara yang dilihat pincang kerana wujudnya kesukaran yang dialami golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Bantuan Perubatan yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata Pusat Khidmat Rakyat yang dikendalikannya menerima banyak aduan dan masalah rakyat yang memohon khidmat bantuan bagi menguruskan pengeluaran caruman daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos kesihatan dan perubatan mereka.

"Berdasarkan kepada jawapan yang dibentangkan, saya lihat permohonan untuk tujuan tersebut bagi enam bulan pertama tahun ini sahaja berjumlah 1,794 dan statistik semenjak tahun 1994 sehingga 2010, keseluruhan permohonan tersebut berjumlah 93,940," katanya pada sidang media selepas sesi soal jawab dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Negara semalam.

Zamri berkata, 71 peratus pengeluaran caruman Akaun 2 KWSP, rata-ratanya dibuat oleh golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Beliau menjelaskan kelompok tersebut adalah mereka yang terawal dan mudah terjejas dalam apa-apa juga situasi terutamanya yang melibatkan masalah kewangan.

"Tidak mudah bagi mendapatkan bantuan daripada Tabung Bantuan Perubatan. Pemohon terpaksa mengisi borang yang akan melalui proses selama 28 hari di peringkat hospital. Kemudian permohonan tersebut akan dihantar pula kepada kementerian dan proses ini akan memakan masa selama 28 hari juga. Jadi, untuk menjimatkan masa golongan ini akan mengambil jalan mudah dengan membuat pengeluaran di KWSP yang hanya mengambil masa 21 hari," jelas Zamri.

Beliau kesal kerana Akaun 2 yang disimpan untuk hari tua oleh pencarum terpaksa digunakan lebih awal kerana kegagalan Kementerian Kesihatan menyediakan satu skim yang memudahkan rakyat untuk mendapatkan bantuan kesihatan.

Akaun 2 KWSP tambah beliau kebiasaannya akan digunakan oleh pencarum untuk membayar deposit pembelian rumah atau membayar baki pinjaman perumahan.

"Jadi kerajaan diminta untuk sediakan dana yang secukupnya untuk keperluan perubatan dan kesihatan rakyat. Sebagai kelompok yang mudah terjejas, iaitu 40 peratus daripada jumlah rakyat, golongan ini hanya mlihat kepada Akaun 2 KWSP sebagai penyelamat mereka ketika dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan rawatan yang memerlukan perbelanjaan tinggi," tegas Zamri lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Umno Bicara Perpaduan Melayu Apabila Kepentingan Politiknya Terancam

Posted: 27 Jul 2010 03:47 AM PDT


Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam.

Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat.

Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik micheavelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat.

Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah 'liwat', membeli wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat dan menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi.

Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan 'psywar' yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. Umno ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu.

Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di 'faraid' sesama sendiri dengan pelbagai cara.

Tabung simpanan Felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO.

Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.

Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN.

Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO.

Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah 'liwat' seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN.

Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan?

Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan.

Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri?

UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja.

Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati.

Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa.

Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai….." (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya.

Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini.

Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam.

Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah.

Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat.

Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka.

Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

Sumber: Suara Keadilan

Peruntukan RM15 Juta Untuk Pertingkat Saluran Maklumat Kepada Rakyat Di Selangor

Posted: 27 Jul 2010 03:45 AM PDT


SHAH ALAM 27 Julai – Bagi melawan propaganda Umno-Barisan Nasional dan laporan media arus perdana yang berat sebelah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor memutuskan untuk memperuntukkan RM15 juta untuk mempertingkat keberkesanan sistem penyampaian maklumatnya kepada rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan maklumat yang tepat disalurkan kepada rakyat agar mampu membuat keputusan yang lebih bijaksana.

"Jika kita mengambil kira jumlah penduduk di negeri Selangor iaitu 5.2 juta orang, jumlah ini bersamaan RM3 untuk setiap seorang," katanya dalam ucapan pembukaan majlis Dialog Bajet 2011 di sini, pagi semalam yang dihadiri kira-kira 300 pegawai kerajaan, wakil syarikat berkaitan kerajaan negeri dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) berserta Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Selangor.

Belanjawan 2011 dengan tema 'Hasil Negeri Untuk Rakyat' akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor pada November depan.

Abdul Khalid berkata, dana tersebut yang merupakan satu peratus daripada jumlah Bajet Selangor 2011 berjumlah RM1.5 bilion akan digunakan untuk menyebarkan maklumat melalui portal web TVSelangor, akhbar Selangor Kini,versi cetak dan juga laman sesawang.

"Kita juga akan menerokai potensi bagi mewujudkan Radio Selangor Kini bagi melebarkan penyebaran maklumat," tambah beliau.

Menurut Abdul Khalid, peruntukan berkenaan juga bertujuan untuk berdepan situasi liputan berita oleh media arus perdana berkaitan dasar dan program kerajaan negeri yang didapati seringkali tidak seimbang dan bias.

"Liputan yang diberikan selalunya tidak seimbang. Apa yang kedengaran selalunya adalah usaha memburukkan kerajaan negeri dan ini dapat difahami sebagai bermotifkan politik kepartian untuk cuba memberi gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat tidak mampu mentadbir.

"Bukan sahaja kedudukan perkara yang diberitakan itu tidak memberikan gambaran menyeluruh, jawapan kerajaan negeri juga tidak mendapat liputan wajar.

"Memang agak merunsingkan apabila sebilangan rakyat tidak mengetahui banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri dan ada juga yang mengatakan bahawa sebilangan bantuan itu misalnya dasar air percuma 20 meter padu diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Lebih dahsyat lagi, semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ada penduduk yang tidak tahu bahawa kerajaan negeri telah berubah pentadbirannya, dan ada yang mengatakan Tan Sri Muhammad Taib masih lagi Menteri Besar," kata beliau.

Justeru, Abdul Khalid berkata beliau telah pun berunding berhubung perkara tersebut dengan perbendaharaan negeri yang bersetuju menyalurkan peruntukan itu berdasarkan kepentingannya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri Selangor harus menginsafi kelemahan berkaitan dan berazam sedaya upaya tidak menjadikan amanah rakyat sebagai satu keistimewaan khas.

"Maka apa yang perlu kita lakukan di dalam dialog ini ialah menentukan apakah jenis kebajikan rakyat yang perlu diberi keutamaan dan bagaimanakah pertumbuhan dapat dijana untuk menampung permintaan yang tidak terhad ini," katanya.

Abdul Khalid sehubungan itu menjelaskan setakat ini, peruntukan operasi kerajaan negeri adalah sekitar RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun dengan belanja mengurus kira-kira separuh daripada jumlah belanja pembangunan.

"Jumlah yang terhad ini perlulah diuruskan dengan penuh berhemah, tujuan yang jelas serta mendapat pulangan yang optimum," jelas beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Auku Jadikan Minda Mahasiswa Jumud, Kekang Daya Kreativiti Pelajar

Posted: 27 Jul 2010 03:44 AM PDT


KUALA LUMPUR 27 Julai - Ahli Dewan Negara, Senator Dr Syed Husin Ali mendesak kerajaan Malaysia mengkaji semula fungsi dan kewajaran meneruskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang didakwa sebagai penyekat kebebasan dan daya kreativiti mahasiswa.

Dr Syed Husin berkata akibat daripada pelaksanaan undang-undang tersebut sejak 1971, ia gagal untuk membentuk jatidiri dan melatih mahasiswa sebagai golongan pemimpin negara pada masa hadapan.

"Keadaan ini berlaku di semua universiti di seluruh negara. Contohnya sekarang ada diadakan semula 'Speaker Corner' (Sudut Pidato) di mana mahasiswa boleh belajar untuk berucap dan berbincang tentang isu-isu penting dalam negara. Tetapi tidak mendapat sambutan kerana ia diwujudkan bukan berdasarkan kepada kebebasan mahasiswa," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen semalam selepas sesi soal jawab lisan dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti Malaya berkata selepas Auku diperkenalkan, banyak persatuan mahasiswa telah diharamkan termasuk persatuan bahasa dan budaya.

"Kawalan oleh Naib Canselor dan bahagian hal ehwal pelajar (HEP) membataskan aktiviti dan program mahasiswa sehingga kegiatan budaya seperti pesta tanglung pun tidak dibenarkan. Seolah-olah aktiviti ini memberikan implikasi keselamatan," tambah beliau.

Dr Syed Husin memberitahu sebelum wujudnya Auku, mahasiswa merupakan kelompok paling hadapan dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.

Selain daripada mempunyai inisiatif untuk merancang aktiviti bersama masyarakat termasuk program masuk ke kampung dan desa, mahasiswa juga turut mempunyai aset seperti rumah persatuan dan menguruskan kewangan mereka secara bebas.

Di era pra-Auku, mahasiswa juga dibenarkan melantik barisan kepimpinan mereka melalui pilihan raya kampus yang bebas.

Semua ini kata Dr Syed Husin telah berubah dan kini aktiviti serta program mahasiswa diselenggarakan oleh pengurusan universiti di bawah cengkaman kuasa Naib Canselor yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Tindakan ini kata beliau lagi gagal untuk memperkasakan mahasiswa.

"Kawalan ini adalah legasi daripada sistem yang lapuk. Sekatan ini wujud semenjak 40 tahun dulu. Jadi, pihak kerajaan kena fikir untuk melonggarkan undang-undang tersebut supaya suasana di dalam kampus akan lebih demokratik. Mereka perlu diberikan peluang. Tidaklah nanti, mahasiswa dikatakan hanya menurut sahaja apa yang diarahkan," jelas beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: