Jumaat, 23 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


‘Kroni poket kosong, UMNO S’gor tertekan’- Tony Pua

Posted: 23 Jul 2010 04:03 AM PDT


SHAH ALAM, 23 Jul – Pemimpin UMNO cuba menggugat Kerajaan Negeri Selangor dengan menimbulkan isu kecurian pasir dan bekalan air di negeri itu kerana kepentingan kroni mereka kini terjejas, kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua.

Usaha untuk menggugat pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor itu dilakukan Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Ketua Perhubungan UMNO negeri Datuk Noh Omar dan Ketua Pembangkang di DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, katanya.

Tony berkata Muhyiddin, Noh dan Mohd Khir dengan jelas berang bagi pihak kroni UMNO dalam percubaan untuk menggugat kerajaan negeri dan membalas dendam kerana dasar Pakatan Rakyat mendahulukan kebajikan rakyat.

"Kesungguhan kerajaan negeri untuk mengurangkan pemberian kontrak dan rasuah, memaksimumkan hasil kerajaan dan memperbaiki kualiti perkhidmatan awam tanpa meningkatkan beban kewangan rakyat, telah menyakitkan poket kroni UMNO di Selangor yang telah biasa dengan cara BN," kata Pua.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menjelaskan, kemarahan itu timbul apabila Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditubuhkan bagi menguruskan pengeluaran permit perlombongan pasir di Selangor.

Melalui kaedah tender terbuka, kaedah rundingan terus tidak lagi dilayan dan hanya pengusaha tulen sahaja yang boleh mendapatkan lesen tersebut.

"Oleh itu, (kaedah) lesen Ali Baba di bawah rejim terdahulu yang meraih keuntungan mudah dengan mendapatkan permit tersebut melalui naungan politik, kemudiannya kerja perlombongan itu disubkontrakkan (untuk keuntungan).

"Kelayakan sesuatu kontraktor yang masih menggunakan kaedah itu dengan mudah boleh dibatalkan, atau kontraktor lain akan menawarkan harga lebih baik, melalui sistem baru yang kompetitif dan telus," tambahnya.

Pua berkata, kejayaan sistem baru itu boleh dilihat melalui kutipan royalti dan keuntungan yang diraih oleh KSSB (sebelum cukai) yang meningan sebanyak 86.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan selepas Pakatan Rakyat mengabil alih pentadbiran Selangor pada 2008.

Jumlah tersebut kemudiannya meningkat sebanyak 213 peratus pada 2009, berbanding kutipan yang hanya berjumlah RM4.39 juta pada 2007 di bawah pentadbiran BN.

Jelasnya, motif yang ditunjukkan pemimpin UMNO itu boleh dilihat dengan jelas memandangkan tiada pemimpin parti itu yang memarahi pentadbiran Datuk Abdul Ghani Othman di negeri Johor yang didakwa mempunyai kes perlombongan dan penyeludupan pasir haram 'paling buruk'.

"Tambahan pula, Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup memberi amaran keras kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung pendiriannya mengekalkan tarif air dan meningkatkan kualiti air," kata Pua lagi

Menurutnya, perseteruan antara Khalid dan Muhyiddin adalah berhubung pertikaiannya dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), sebuah anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd yang dikaitkan dengan UMNO.

"(Rakyat) di negeri asal timbalan perdana menteri itu sendiri, terpaksa menanggung tarif air paling tinggi di negara ini akibat penswastaan air, sementara pada masa sama terpaksa menanggung kekurangan air serius di bandar utama seperti Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu," katanya lagi. – MALAYSIAKINI

Hishammuddin Membisu Jumpa Pakatan Rakyat Isu Permit Akhbar

Posted: 23 Jul 2010 03:52 AM PDT


SHAH ALAM 23 Julai - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein masih lagi membisu meskipun Pakatan Rakyat telah menghantar surat rasmi untuk bertemu beliau minggu lalu berhubung isu permit penerbitan lidah rasmi KEADILAN, PAS dan DAP.

Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Husin Ali ketika dihubungi Suara Keadilan berkata sehingga kini tidak ada jawapan rasmi daripada Menteri mengenai tarikh pertemuan bagi mengadakan perbincangan tersebut.

"Kita dalam mesyuarat bulanan Pakatan yang diadakan di pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen sebelum ini telah bersetuju untuk menemui Hishammuddin bagi berbincang mengenai isu permit Suara Keadilan, The Rocket dan Harakah tetapi belum ada sebarang jawapan.

"Bagi KEADILAN, kita akan tetap akan menerbit akhbar kita secara tidak berkala sehinggalah Menteri memberikan kelulusan permit untuk lidah rasmi, Suara Keadilan.

"KEADILAN akan meneruskan kerja seperti biasa iaitu untuk menyampai dan menyalurkan maklumat kepada ahli parti kerana sudah menjadi tanggungjawab kita untuk melaporkan situasi dan perkembangan politik semasa," ujar beliau.

Menurut Dr Syed Husin, perkara tersebut akan dibangkitkan lagi pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan datang.

Pada 14 Julai lepas, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan ketiga-tiga akhbar rasmi parti dihentikan terbitannya serta merta sehingga mendapat keputusan rasmi daripada KDN.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata Pakatan Rakyat akan menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan oleh KDN dan berharap tindakan segera boleh diambil bagi menyelesaikan kekusutan yang berlaku.

Sementara itu, akhbar rasmi PAS telah pun diberi kelulusan permit penerbitan 17 Julai lalu dengan diberi amaran keras manakala Selasa lepas The Rocket dipanggil KDN bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab mengenai isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

Sumber: Suara Keadilan

Kajian Syabas Tidak Tepat, Selangor Akan Buat Kajian Semula Permintaan Air

Posted: 23 Jul 2010 03:51 AM PDT


Shah Alam 23 Julai - Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor akan menjalankan kajian pengurusan dan permintaan air untuk menentukan jumlah air yang digunakan pengguna di negeri ini pada ketika ini dan masa akan datang.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata data yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mungkin tidak tepat dalam meramalkan keperluan pengguna air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Selangor percaya Kerajaan Persekutuan terlalu bergantung kepada Kajian Sumber Air Nasional (NWRS) yang dilakukan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2000.

Malah, Selangor yakin projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor juga berdasarkan kajian ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Abdul Khalid berkata anggaran NWRS per kapita keperluan air tidak didasarkan pada Design Guidelines for Water Supply Systems yang dihasilkan Persatuan Air Malaysia.

"Sebaliknya, mereka menggunakan "Pendekatan Keperluan Air" yang didasarkan pada unjuran pertumbuhan KDNK nasional yang berubah mengikut pasaran ekonomi global yang tidak stabil sejak krisis ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

"Fakta penting yang perlu diberi perhatian ialah anggaran NWRS untuk Selangor dan Kuala Lumpur antara 500-1,224 liter per kapita sehari pada 2010, berbanding dengan penggunaan air per kapita sehari dilaporkan untuk bandar-bandar utama dunia seperti Singapura 328 liter, Sydney 214 liter, dan New York 420 liter.

"Oleh kerana itulah kita percaya bahawa anggaran permintaan air yang melonjak naik. Jika demikian, keputusan untuk melaksanakan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor itu sendiri boleh dipersoalkan," kata Menteri Besar.

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bahawa jumlah bekalan air yang dihasilkan tidak cukup untuk memenuhi keperluan sepatutnya disertakan dengan unjuran permintaan terhadap air.

"Selangor mengulangi bahawa unjuran permintaan kita menunjukkan terdapat lebihan bekalan air untuk memenuhi keperluan pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kapasiti loji rawatan air sedia ada sepatutnya cukup untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat. Tambahan, kerja-kerja naik taraf loji ini sudah dilakukan dan dijangka selesai tidak lama lagi, jadi tidak perlulah Kerajaan Persekutuan tergesa-gesa melaksanakan projek bernilai berbilion ringgit.

"Satu kajian yang lebih telus dan terperinci tentang keperluan air perlu dilakukan untuk menjelaskan perbezaan angka antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor.

"Tetapi kita dapat beberapa alasan iaitu pertama, pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur menggunakan air yang banyak malah lebih tinggi dari bandar-bandar maju lain di dunia, dua, Syabas memang belum mampu mengurangkan peratusan air tanpa hasil (NRW), atau tiga, angka-angka yang diperoleh ini memang bermasalah," kata Abdul Khalid lagi.

Daripada mempromosikan projek mega yang bakal menggunakan wang pembayar cukai bagi mengekalkan bekalan air, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil pendekatan pengurusan permintaan dengan mengadakan perancangan unjuran.

Selangor menekankan bahawa bekalan air mecukupi sehingga 2019 untuk pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi pada masa yang sama, Selangor juga mahu mempromosikan pemuliharaan air dan menggalakkan penggunaan yang bijaksana, kitar semula air, pengumpulan dan pemeprosesan air hujan, menurunkan kadar NRW dan meneroka sumber air alternatif.

Sumber: Suara Keadilan

Kerajaan Umno-BN Sentiasa Bercakap Benar Atau Palsu?

Posted: 23 Jul 2010 03:47 AM PDT


Oleh Nur'ain Hanisah

Dari satu sudut, rakyat perlu bertanya;

1. Anwar Ibrahim bayar CNN untuk dapat liputan dan temuramah khas bagi member peluang kepadanya memujuk Yahudi jangan terlalu marah kepadanya kerana mendedahkan isu APCO; benar atau palsu?

2. Anwar Ibrahim didedahkan sebagai alat Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat oleh blogger dari New York Elaine Meinel Supkis; benar atau palsu?

3. Parti Keadilan Rakyat taja Raja Petra Kamaruddin untuk bersembunyi di London kerana diburu oleh pihak berkuasa Malaysia sebab menyebar fitnah terhadap kerajaan dan pemimpin Malaysia; benar atau palsu.?

Ternyata kenyataan pertama adalah palsu. CNN telah menafikannya dan menegaskan bahawa ia sebuah badan penyiaran yang berwibawa. Sesungguhnya yang tergamak membuat dakwaan seumpama itu ialah pihak politik dan media yang memang seumur hayat wujud dalam dunia rasuah dan salahguna kuasa.

Sementara bagi persoalan kedua, ia boleh dijawab dengan pertanyaan – siapakah dia Elaine Meinel Supkis? Adakah beliau seorang berpengaruh lantaran ketajaman mata penanya? Atau, adakah ia adalah sekadar nama yang dicuba dijulang oleh akhbar Utusan Malaysia yang sememangnya sentiasa kagum dan kaget dengan nama yang kebaratan kerana ia memang pengkagum barat seperti Apco?

Soalan ketiga adalah lebih menarik kerana ia segera menimbulkan persoalan lain – adakah Parti Keadilan Rakyat mempunyai sumber kewangan begitu besar sehingga mampu "membeli" CNN dan menaja Raja Petra hidup dengan aman dan sejahtera di London? Jika begitu besar yang dimiliki tidakkah lebih baik jika parti itu "membeli" sahaja wakil-wakil rakyat Umno yang memang ramai perlukan wang untuk "mengekalkan cara hidup mereka".

Ramai juga wartawan dan editor akhbar media perdana yang bersedia menerima "sumbangan" KEADILAN seperti yang mereka tunjukkan kesediaan berbaris menerima "duit rakyat" daripada pemimpin-pemimpin Umno selepas berbuka puasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dari sudut lain, rakyat juga perlu bertanya:

1. Malaysia perlukan bangunan parlimen baru bernilai RM800 juta di Putrajaya kerana bangunan parlimen sedia ada kerap bocor dan memerlukan biaya senggara beratus juta; benar atau palsu?

2.
Kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen judi sukan kepada mana-mana pihak di Negara ini. Sebab itu Umno yang perlu membetulkan keadaan dan mengumumkan kerajaan akan menghentikan kegiatan yang dikatakan sudah dilesenkan itu atas pertimbangan agama dan politik; benar atau palsu?

3. Kerajaan Malaysia tidak ada menggunakan kepakaran bekas perisik Israel untuk kempen perhubungan awam demi menaikkan imej kerajaan dalam syarikat Apco Worldwide dengan bayaran lebih RM 77juta; benar atau palsu?

Kenyataan pertama di atas adalah palsu. Ini disahkan sendiri oleh menteri yang mula-mula sekali mengumumkan rancangan itu. Beliau mendakwa mendapat maklumat yang salah daripada kakitangan kerajaan sekaligus memberi gambaran kakitangan awam tidak cekap.

Lantas soalan awal pun melahirkan soalan baru – kakitangan kerajaan tidak cekap; benar atau palsu?

Persoalan kedua ibarat pepatah sudah terang lagi bersuluh. Umum tahu Umno dan bukan komponen lain Barisan Nasional yang mengungguli isu judi sukan. Pemimpin umno yang mencetuskan persoalan. Dan, Majlis Tertinggi Umno yang mengarahkan Kabinet menarik balik keputusan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Umno. Itu berita benar.

Sementara itu, soal Apco adalah berita benar.

Memang kerajaan Malaysia ada menggunakan khidmat pakar-pakar Israel. Jika tidak mengapa ada laporan yang kontrak badan ini disambung? Dan, kerajaan BN tidak pula berfikir penting untuk menafikannya. Sehubungan itu, sudah pasti Jawatankuasa Disiplin Parlimen sudah menjatuhkan hukum terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendedahkan perkara ini di parlimen.

Bermula dengan premis oleh kerana rakyat Malaysia kurang bijaksana, ilmu dan jahil tentang politik dan konspirasi dunia, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menentukan bahan berita yang mereka terima, baca dan tonton.

Maka ditubuhkanlah Jawatankuasa Pengukuhan Komunikasi Kerajaan. Anggotanya adalah tiga Menteri – Hishammuddin Hussein, Nazri Aziz dan Rais Yatim. Tugas mereka ialah menentukan kenyataan kerajaan dalam pelbagai perkara adalah sentiasa benar . maka tidak timbul persoalan di kemudian hari bahawa kerajaan tidak bercakap benar: benar atau palsu?


Sumber: Suara Keadilan

Setelah Berdalih Akhirnya SPRM Terima Afidavit Bala

Posted: 23 Jul 2010 12:17 AM PDT


PUTRAJAYA 23 Julai - Setelah drama yang dimainkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Jaya yang membatalkan sesi mengambil keterangan dari bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam di London awal Julai lalu, akhirnya agensi kontroversi tersebut terpaksa akur dan menerima respons kepada 52 soalan yang dikemukakan kepada Bala berhubung kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Semalam tiga peguam kepada Bala - Americk Sidhu, Manjeet Singh Dhillon dan Amerjit Singh - tiba di SPRM kira-kira pukul 2.45 petang dengan diiringi seorang pengawal peribadi untuk menyerahkan afidavit tersebut yang telah diakui dihadapan notari di London dan di bawa pulang oleh Manjeet malam Isnin lalu.

Americk bersama dua orang rakannya dilihat keluar daripada ibu pejabat SPRM hampir sejam kemudian.

"Kita telah hantar dokumen berkenaan dan mereka telah pun menerimanya. Ia merupakan satu pertemuan yang santai dan mereka kelihatan sangat berminat dan memaklumkan kepada kami bahawa mereka akan memberikan komitmen untuk menyelesaikan kes tersebut dengan secepat mungkin," kata Americk yang ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM.

Dokumen tersebut merupakan jawapan dalam bentuk afidavit kepada soalan yang dikemukakan kepada Bala yang dihantar melalui perkhidmatan kurier, selepas SPRM membatalkan rancangannya untuk ke London bagi menyiasat secara langsung penyiasat persendirian yang dijadual pada 5 hingga 7 Julai lalu.

Americk berkata semua saksi berkaitan kes tersebut telah disoal siasat, dan Bala merupakan saksi yang terakhir.

Beliau menjelaskan afidavit ini tidak ada kaitan dengan perjalanan kes siasatan komisyen pembelian kapal selam Scorpene di Perancis, tetapi pada masa yang sama mampu membantu SPRM dalam penyiasatan kes berkenaan.

"Kita ambil masa tiga hari untuk jawab soalan itu. Ia telah dijawab dan kita bahkan memberikan sedikit maklumat tambahan, berkenaan bayaran kepada Balasubramaniam," tambah Americk tanpa memberi butiran.

Ketika ditanya sama ada beliau akan dipanggil semula oleh SPRM bagi membantu perjalanan siasatan, Americk berkata kemungkinan susulan dari jawapan yang diberikan, Bala akan dihubungi melaluinya untuk memberikan butiran lanjut.

"Sebelum ini pun, SPRM ada menyimpan dokumen dan maklumat dari keterangan Bala, jadi ia terpulang kepada SPRM untuk tindakan lanjut. Kita tunggu dan lihat," kata Americk.

Ditanya samada Bala akan kembali ke Malaysia, Americk tidak menolak kemungkinan tersebut, namun anak guam beliau akan hanya kembali sekiranya keselamatan diri dan keluarganya terjamin.


Sumber: Suara Keadilan

Noh Omar, Khir Toyo Bersaing Untuk Mendapat Perhatian Najib

Posted: 23 Jul 2010 12:16 AM PDT


SHAH ALAM 23 Julai - Isu pasir di Selangor merupakan ciptaan Umno yang telah digunakan untuk mengukur pengaruh dan populariti pimpinan Umno di negeri itu, yang menyaksikan pertembungan antara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Menurut Ahli Dewan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, wujud perang pengaruh antara kedua kem pemimpin tersebut yang kini sedang berlumba-lumba menonjolkan pengaruh bagi membuktikan kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak siapa yang lebih layak menerajui Umno-Barisan Nasional Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

"Sidang akhbar berasingan oleh kedua-dua mereka, hasil ciptaan isu yang sama membuktikan wujud perang pengaruh di antara keduanya. Mereka cuba menyembunyikan pergaduhan tersebut sejak saya mendedahkan pertembungan itu pada 20 Februari 2010 lepas," kata Shuhaimi dalam satu kenyataan media semalam.

Menurutnya lagi, bukti pertembungan itu dapat disaksikan apabila Noh bertindak menyewa helikopter untuk mencari bukti isu pasir di Selangor dalam usaha mengkambing hitamkan Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama memalitkan lumpur ke muka Dr Khir.

Manakala Dr Khir pula cuba menggunakan pendekatan tertentu bagi memadamkan pengaruh Noh yang dipercayai semakin berkembang di negeri itu.

"Cara mereka bertindak membuktikan pasir di Selangor hanyalah batu loncatan mencari pengaruh dan tidak lebih dari itu. Mereka sedang mencuba menjadi juara pada larian di atas isu pasir yang dimulakan mereka dan di kalangan mereka sahaja,"ujarnya.

Shuhaimi, yang juga pembantu Exco Sumber Alam Selangor berkata kejadian curi pasir berlaku lebih teruk pada zaman Dr Khir menjadi Menteri Besar terutamanya di Batang Berjuntai dan Kuala Langat.

Beliau turut mendakwa mempunyai gambar yang diambil dari udara semasa meninjau kawasan tersebut pada awal April 2008 bersama Exco Selangor, Yaakob Sapari.

"Ironinya, kenapa kawasan ini yang di tinjau Noh Omar? Tujuannya adalah untuk memalukan Khir Toyo kerana Khir Toyo menunjukkan kawasan Dengkil yang mana YB Marsum Paing adalah penyokong kuat Noh Omar.

"Batang Berjuntai di kawasan YB Amirudin Setro, yang merupakan orang kanan Khir Toyo sekarang," jelas beliau merungkai kemelut antara dua pemimpin Umno itu," kata beliau.

Bagaimanapun Shuhaimi berkata wujud golongan 'play safe' dalam Umno Selangor seperti ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus Kuang dan penyokongnya yang hanya mengikut siapa yang memiliki pengaruh paling besar.

"Mereka hanya ikut kepada siapa yang bagi mereka makan. Setakat ini mereka lebih rapat dengan Noh Omar kerana beliau Menteri sedangkan Khir Toyo hanya ADUN biasa yang sudah lemah cengkamannya," jelas Shuhaimi lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Ketandusan Idea Ceduk Semua Dasar Pakatan Rakyat

Posted: 23 Jul 2010 12:15 AM PDT


SHAH ALAM 23 Julai - Langkah kerajaan negeri Perak di bawah Umno-Barisan Nasional menganugerahkan lebih 1,000 hektar tanah kepada sembilan sekolah indipenden Cina membuktikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akhirnya terpaksa mengakui dasar yang dibuat semasa Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu adalah yang terbaik untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata idea yang dicedok daripada pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan kepada rakyat Perak dasar serta program yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sebelum ini sebenarnya mendahului di segi idea dan perlaksanaan untuk memberikan kebajikan kepada rakyat.

"Nampaknya Zambry mengikut jejak langkah Nizar dengan membuat pengumuman pemberian bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian di negeri ini dalam isu pemberian tanah bagi menampung perbelanjaan sekolah terbabit.

"Dulu mereka menganggap apa yang hendak dilakukan cuma retorik politik tetapi sekarang ini mereka mengakui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat itu betul," kata Idris ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau juga melihat kerajaan Umno-BN meniru apa sahaja dasar yang dilakukan oleh negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat kerana ketandusan idea.

Beliau mengambil contoh dasar yang diperkenalkan kerajaan negeri Kelantan yang memberi cuti bersalin 90 hari serta beberapa dasar yang lain yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Kerajaan Umno-BN memperkenalkan dasar-dasar yang dibuat oleh Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan mereka ketandusan idea dan terkebelakang dalam isu menguruskan kebajikan untuk rakyat," ujar beliau lagi.

Berhubung isu tanah yang diberikan kepada masyarakat Cina yang sebelum ini dipolitikkan oleh pemimpin Umno-BN yang dianggap tidak sah, hari ini pula Zambry mengumumkan hal yang sama tanpa dipertikaikan oleh pemimpin Umno yang sama, kata Idris.

Selasa lalu Zambry mengumumkan 1,012 hektar tanah akan diberikan bagi menampung perbelanjaan sembilan sekolah Cina bebas di negeri itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Exco Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: