Khamis, 15 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Harga petrol, diesel, gula dan gas naik

Posted: 15 Jul 2010 04:21 AM PDT


Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel naik 5 sen.

Manakala harga gula pula naik 25 sen, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan semua harga tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikut adalah harga baru:

- Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.

- Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.

- Diesel - RM1.75 seliter.

- Gula - RM1.70 sekilogram

- Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)

* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)

* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)


Sumber: Malaysiakini

Elaun ADUN BN dipotong RM1,500

Posted: 15 Jul 2010 03:54 AM PDT


DUN Selangor meluluskan usul memotong elaun khas ADUN BN Datuk Mohd Satim Diman (Seri Serdang) setelah didapati bersalah menghina dewan. Keputusan itu dibuat ekoran kegagalannya hadir dalam sesi pendengaran jawatankuasa hak dan kebebasan walaupun telah diperintahkan berbuat demikian. Keputusan itu dicapai setelah speaker membuat pengundian suara sebentar terhadap cadangan jawatankuasa itu sebentar tadi sebelem dewan ditangguhnya pada jam 4.30 petang. Usul menerima penyata jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Selangor bagi mengesyorkan hukuman kepada Mohd Satim itu dibentangkan oleh ADUN Bukit Tunku Lau Weng San. Ia merupakan usul terakhir sepanjang empat hari DUN Selangor bersidang pada sesi ini. Menurut speaker Teng Chang Kim, tindakan itu dianggap sebagai menghina dewan menurut Perkara 76 Peraturan Tetap DUN Selangor. Bagaimanapun, bagi pertuduhan melanggar hak dan kebebasan dewan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010 pada November tahun lalu, Mohd Satim didapati tidak bersalah. Dalam sidang media selepas itu, Teng menjelaskan sesi pendengaran berhubung kes itu dijalankan walaupun tanpa kehadiran Mohd Satim. Bagaimanapun, tambahnya, Khalid diwakili peguamnya Malik Imtiaz. Teng berkata, hasil keterangan dalam sesi tersebut, jawankuasa mendapati apa yang didakwa Mohd Satim dalam dewan tidak salah walaupun tidak menggambarkan isu sebenar secara menyeluruh. "Tetapi kerana enggan hadir sesi pendengaran, beliau dihukum denda RM1,500 yang dipotong daripada elaun khasnya," kata Teng.

Sumber: Malaysiakini

ADUN Umno Tolak Usul Lantikan Sebagai Pengerusi PAC

Posted: 15 Jul 2010 03:49 AM PDT


SHAH ALAM, 15 Julai — Adun BN dari Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias menolak usul yang membolehkan beliau dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atas alasan pelantikan itu bermotifkan politik.

Usul itu dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi membolehkan pelantikan itu dibuat secara rasmi.

Kerajaan negeri Selangor diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Kini jawatan pengerusi PAC di Parlimen dan DUN diketuai oleh wakil kelab penyokong kerajaan manakala pembangkang pula berkhidmat sebagai anggotanya.

Sumber: TVSelangor

Penyokong Umno Berdemontrasi Depan Bangunan SUK

Posted: 15 Jul 2010 03:47 AM PDT


Lebih 200 penyokong Umno cuba merempuh barisan anggota polis di depan bangunan Setiausaha Kerjaan Negeri (SUK) di Shah Alam dalam demonstrasi membantah cara Menteri Besar, Khalid Ibrahim mentadbir pengeluaran pasir di negeri itu.

Mereka meluru ke arah penyokong Pakatan yang berkumpul di dalam kawasan bangunan pentadbiran itu.

Polis bagaimanapun berjaya menenangkan keadaan dan memberikan masa 15 minit untuk masing-masing bersurai.

Penyokong mengejek satu sama lain.

"Umno rompak. Tangkap Toyo," jerit penyokong kerajaan yang diketuai pegawai penerangan kerajaan Selangor, Badrul Amin Baharom.

Sumber: TVSelangor

Permit penerbitan Harakah diperbaharui

Posted: 15 Jul 2010 03:46 AM PDT

PUTRAJAYA, 15 Julai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berpuashati dengan penjelasan terhadap surat tunjuk sebab memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dengan diberikan 'amaran keras' supaya hanya dijual di markas dan pejabat urusan PAS sahaja.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

1. Kementerian Dalam Negeri ingin memaklumkan bahawa pihak penerbitan HARAKAH telah memberikan perhatian yang serius terhadap Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian ini dan telah menunjukkan kerjasama yang baik kepada Kementerian.

2. Pengerusi Jemaah Pengarah HARAKAH, Dato' Mustafa bin Ali dan Pengarah Urusan HARAKAH, Dato' Kamarudin bin Jaffar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri pada 12 JULAI 2010 (ISNIN) untuk memberikan penjelasan.

3. Pihak penerbitan HARAKAH juga telah menjawab Surat Tunjuk Sebab Kementerian pada 13 JULAI 2010 (SELASA) dengan mengemukakan penjelasan serta beberapa akujanji seperti berikut:-

i. Akan mematuhi semua syarat-syarat permit penerbitan, garis panduan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984;

ii. Akan mencetak perkataan "UNTUK AHLI SAHAJA" di muka hadapan setiap keluaran dan naskhah penerbitan HARAKAH sebagai peringatan kepada pembeli; dan

iii. Akan menghantar lapan (8) naskhah setiap keluaran penerbitan HARAKAH ke Kementerian sebaik sahaja ianya dicetak.

4. Dengan mengambil kira kerjasama, penjelasan serta janji pihak penerbitan HARAKAH untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Kementerian Dalam Negeri dengan ini berpuashati dan memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan HARAKAH dengan diberikan AMARAN KERAS supaya hanya dijual di markas dan pejabat urusan PAS sahaja.

5. Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan HARAKAH untuk memastikan pemantuhan.

Sumber: Harakah Daily

Selepas setahun digantung, Khir membisu di dewan

Posted: 15 Jul 2010 03:42 AM PDT


SHAH ALAM, 15 Julai: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo hari ini berada di dalam dewan dalam keadaan seperti wakil rakyat baharu setelah setahun tidak berbuat demikian.

Bekas menteri besar yang terkenal dengan anugerah penyapu itu kelihatan tiba sebaik selepas doa pembukaan dewan selesai dibacakan.

Kehadiran beliau disambut oleh beberapa orang sahaja wakil pembangkang, Datuk Subahan Kamal (Taman Templer) juga tidak menyambut Khir.

Dikatakan juga Umno Selangor sekarang ini sedang menghadapi krisis dalaman sehingga Setiausaha Umno Selangor, Datuk Satim Diman tidak hadir mesyuarat parti itu baru-baru ini.

Sepanjang sesi awal pagi tadi, Khir hanya berdiam diri tanpa sebarang perkataan keluar dari mulutnya meskipun ada ruang untuk beliau bangun ketika soal jawab pada ketika itu yang isu alam sekitar termasuk di Wetlands Indah dibangkitkan dan dijawab dengan jelas oleh Exco, Elizabeth Wong.

Menyedari keadaan ini, Adun PAS Lembah Jaya, Haji Khosim Abdul Aziz berkata, kelihatan pemimpin Umno itu hanya berani di luar dewan sahaja, itu ini dan sebagainya tetapi bila berada di dalam dewan, diam mencuka pula dia.

"Sewajarnya jika beliau mempunyai hujah kuat, sila kemukakan segala bantahan dan semuanya di dalam dewan biar berlaku perbahasan dua belah pihak meskipun dalam masa sekejap.

"Ini sekejap pun tidak berani, apatah lagi untuk berbahas secara academia dan fakta di dalam dewan yang mulia ini," tegas Khosim sekaligus menyatakan sudah terang lagi bersuluh, Khir hanya berani di luar dewan dan di hadapan media.

Adun Meru, Dr Abd Rani Osman pula tidak bersetuju jika ada yang menyarankan agar Khir balik sahaja ke rumah dari diam di dewan, "kasihan dia meskipun lama di dalam Umno tetapi ramai yang tidak suka padanya.

"Adalah lebih baik kita hantar sahaja Khir ini ke Israel untuk membantu rakyat Palestin," cadang beliau secara berseloroh.

Pada 19 Mei 2009, mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) negeri mencadangkan Dr Mohamad Khir digantung daripada menghadiri sidang Dun dan elaun sebagai Adun selama setahun selepas didapati bersalah menghina Dewan kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Keteluasan (Selcat) pada Mac 2010.

Selcat ditubuhkan dengan bidang kuasa Dun bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung pengunaan wang penajaan mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Selaadaangor (BALKIS).

JKHK turut mencadangkan empat Adun iaitu Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (BN-Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) dan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) digantung daripada menghadiri sidang Dun dan kemudahan elaun mereka digantung selama enam bulan bagi kesalahan menghina Dewan.

Pertengahan Julai 2009, setelah menimbang semua pandangan Khir dijatuhkan hukuman selama setahun oleh Speaker Teng Chang Kim dan berakhir hari ini.

Sementara itu, sekitar 200 penyokong BN terdiri daripada Pemuda Umno, Perkasa dan GPMS membuat demo di hadapan pintu masuk kawasan Bangunan SUK di mana sidang dewan berlangsung bersebelahan dengannnya.

Mereka merempuh benteng pihak keselamatan dan keadaan tenang bila Ketua Pemuda Umno Selangor, Suhaimi Ghazali, Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Pengerusi Perkasa Selangor, Abdullah Mansor dapat menyerahkan memo kepada Setiausaha Eksekutif Menteri Besar, Azman Abidin sekitar 11.30 pagi.

Dalam pada itu, penyokong Pakatan Rakyat pula berhimpun di hadapan kumpulan demo yang mewakili Skuad Komunikasi Selangor yang diketuai Pengarah Penerangan Kerajaan Selangor, Ustaz Badrul Amin Baharon.

Sumber: Harakah Daily

Enjin jet: Dipaksa mengaku, didera dalam tahanan

Posted: 15 Jul 2010 03:38 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N Tharmendran yang menerima pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM Januri lalu hari ini tampil mendedahkan penderaan yang dilakukan terhadapnya sepanjang berada dalam tahanan.

Tharmendran, 42, yang hadir bersama peguamnya, N Surendran di Parlimen hari ini mendakwa dia telah mengalami penderaan fizikal yang teruk dan dipaksa untuk mengaku bersalah dalam kes kecurian enjin tersebut.

Tharmendran memberitahu, seorang ketua pegawai penyiasat berpangkat mejar telah diarahkan untuk menyelesaikan kes itu dan dibenarkan menggunakan apa cara sekalipun bagi memaksa dia mengaku bersalah.

"Sepanjang tempoh tahanan saya bermula 2 Julai 2009, selama 60 hari saya ditahan, mereka tidak memberitahu keluarga di mana saya ditahan. Saya dipaksa mengaku bahawa saya bersalah mencuri enjin tersebut.

"Sepanjang tempoh siasatan, ketua pegawai penyiasat dipanggil penglima tentera udara untuk menyelesaikan kes ini dengan secepat mungkin dan boleh menggunakan apa cara sahaja asalkan dapat selesaikan kes ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ceritanya juga, dia didera oleh pegawai berkenaan dan tidak tidur selama tiga minggu di dalam bilik yang kecil dan secara berterusan dipaksa mengaku bersalah.

Dia dipakaikan topi keledar dan kepalanya dipukul menggunakan kayu kriket dan kayu golf sehingga topi keledar yang dipakai mengalami keretakan.

Sepanjang dalam tahanan itu juga, beliau turut mendengar tahanan lain didera dengan teruk sehingga tangisan dan jeritan mereka dapat didengarinya.

"Semasa saya disoal siasat, terdapat tiga hingga empat orang yang disoal siasat. Mereka turut didera dan saya dapat mendengar tangisan mereka merayu agar tidak dipukul. Namun saya tidak pasti sama ada mereka mahu tampil membuat pendedahan seperti yang saya lakukan ini," katanya.

Tharmendran turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap TUDM yang langsung tidak mengambil tahu mengenai apa yang berlaku terhadapnya sepanjang tempoh tahanan namun selepas dia dibebaskan, dia dipanggil untuk bertugas kembali.

Tempoh perkhidmatan Tharmendran sepatutnya berakhir pada 28 Mei tahun ini.

"Selama enam bulan saya ditahan di penjara Sungai Buloh, mereka tidak pernah tanya apa berlaku pada saya.

"Tapi bila saya keluar dengan peguam saya, baru mereka datang suruh saya bertugas. Saya rasa ini sangat tidak adil," katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam menghantar usul penderaan dalam tahanan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat namun ianya ditolak speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas alasan ianya dalam siasatan polis dan tidak perlu disegerakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam sidang media yang sama mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes kecurian enjin jet yang menjejaskan imej pertahanan negara.

"Kita mahukan satu siasatan menyeluruh, jawatankuasa atau Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji apa sebenar yang berlaku dalam kes kecurian ini. Rakyat nak tahu bagaimana enjin yang penting itu boleh hilang. Kita sedia maklum bahawa ada peraturan sebelum semua barang melibatkan ketenteraaan dikeluarkan. Inikan pula enjin jet.

"Kami ahli Parlimen mahu menunjukkan bahawa kehilangan dua enjin merupakan satu maruah yang besar yang menjadi satu bahan ketawa seluruh dunia hari ini. Kes ini berlaku pada 2007 dan mencerminkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kerana beliau adalah menteri pertahanan ketika itu. Kami mendapat berita bahawa bukan dua enjin ini sahaja yang lesap, banyak lagi alat-alat lain yang mahal harganya hilang dalam simpanan," katanya.

Tegasnya, Tharmendran telah dikambinghitamkan oleh pihak tertentu bagi menyelesaikan kes itu daripada terus didedahkan kepada umum.

"Kita lihat sarjan Tharmendran ini seolah-olah dijadikan kambing hitam untuk menyelesaikan perkara ini," tegasnya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula berkata, keselamatan Tharmendran masih belum terjamin kerana TUDM masih mendakwa dia sebagai kakitangan mereka.

"Kes ini sangat memalukan negara sebab kita usulkan perkara ini. Keselamatan sarjan Tharmendran belum terjamin kerana pihak tentera masih mendakwa bahawa dia seorang dalam perkhidmatan jadi bila-bila masa boleh gunakan paksaan untuk tangkap dia.

"Kes ini seolah-olah ada konspirasi untuk tidak mahu siasat dan dedahkan realiti sebenar sebab sudah menjadi tumpuan masyarakat," katanya.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Minggu lepas, Tharmendran dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Jaminan terhadap Tharmendran sebanyak RM50,000 bagi kesalahan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F-5E milik TUDM dijelaskan oleh bapanya, N. Nagarajan selaku penjamin.

Sumber: Harakah Daily

Felda: Anak akan jumpa Razaleigh, PAC

Posted: 15 Jul 2010 03:38 AM PDT

PUTRAJAYA, 15 Julai: Selepas membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan Felda, Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah untuk penubuhan kaukus di Parlimen.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, pihaknya mahu berjumpa dengan Razaleigh kerana veteran Umno itu adalah antara orang yang terlibat dengan penubuhan Felda.

"Dia (Tengku Razaleigh) masih hidup, dia juga Ahli Parlimen dan kawasan yang dia wakili juga di Gua Musang adalah kawasan Felda.

"Jadi kita akan berjumpa dengan Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh, dan memohon beliau mempengerusikan kaukus di peringkat parlimen berhubung Felda," katanya.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memohon jawatankuasa itu menyiasat laporan dakwaan penyelewengan Felda tersebut.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat laporan di pejabat SPRM di sini, pagi ini.

Hadir bersama beliau beberapa wakil peneroka Felda dari Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah serta ahli jawatankuasa Anak termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Laporan SPRM tersebut dibuat berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa kemerosotan rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009 ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.

Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

"Saya tidak boleh ceritakan secara terperinci, tetapi saya nak maklumkan ia berkaitan kenyataan Datuk Ahmad Maslan di Parlimen," katanya.

Menurutnya, antara dokumen tambahan yang diserahkan adalah berhubung dakwaan pecah amanah, salahguna kuasa dan penyelewengan, antaranya di Felda Sungai Buaya dan Gedangsa di Hulu Selangor dan Felda Lurah Bilut di Pahang.

Beliau juga bersedia menampilkan saksi terhadap setiap dakwaan yang dibuat.

Mengulas isu debat yang ditolak, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, beliau kini bersetuju untuk berdialog seperti dikehendaki Ahmad dengan syarat ianya diadakan secara terbuka.

"Dia mintak secara tertutup, kalau tertutup saya tidak berhasrat bertemu beliau. Kalau terbuka, saya akan bawa warga Felda seluruh negara untuk bertanya terus kepada Datuk Ahmad Maslan," jelasnya.

Sumber: Harakah Daily

Umno Perak bagai retak menanti belah

Posted: 15 Jul 2010 03:35 AM PDT


IPOH, 15 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengikuti laporan media berkaitan mesyuarat agung Umno bahagian di negeri ini terutama yang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, situsi itu jelas menunjukkan perpecahan dan diakui sendiri oleh Zambry di dalam ucapan-ucapannya.

"Perkara ini ditambah dengan sumbangan berita-berita daripada media baru iaitu daripada blogger-blogger pro Umno yang menggambarkan permasalahan tersebut.

"Jelas mereka cukup marah dengan gerak kerja dan usaha untuk menjatuhkan Zambry yang dilihat keseorangan tanpa satu pasukan yang kuat," ujarnya.

Tambahnya, ada juga yang mengatakan bahawa kerajaan negeri yang dipimpin Zambry sekarang ini sebagai 'kerajaan ihsan'.

Ini, menurutnya, terbukti perkara tersebut berlaku berdasarkan beberapa ucapan Zambry yang berdepan dengan 'manusia tikus' iaitu ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya.

"Kemelut ini menghampirkan suasana perpecahan yang menanti belah dalam Umno Perak," ujarnya.

Bagi DPPN Pk, ujarnya Umno negeri ini sudah mula bercakaran sesama sendiri akibat tindakan tidak berpuas hati sesama mereka.

Ini, katanya diibaratkan Umno dan Umno sedang bergaduh untuk mendapatkan kuasa sedangkan rakyat menjadi mangsa sasaran Umno bagi melepaskan geram dan membalas dendam apabila bergaduh.

"Di manakan slogan perjuangan mereka 'Melayu Cemerlang' bahkan nakhoda mereka kian tenggelam. Slogan hanya tinggal slogan, segala-galanya retorika belaka," katanya.

Sumber: Harakah Daily

Pertemuan Pengarang Suara Keadilan Dengan Pihak Polis Dibatalkan

Posted: 15 Jul 2010 03:29 AM PDT


KUALA LUMPUR 15 Julai - Pertemuan antara Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dengan ASP Rejali ak Angong di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya yang dijadualkan hari ini dibatalkan serta ditunda pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Dzulkarnain ketika dihubungi mengesahkan bahawa pertemuan itu telah ditunda dan peguamnya Latheefa Koya akan menghubungi ASP Rejali bagi mendapatkan tarikh baru untuk memberi keterangan berhubungan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri Isnin lalu terhadap Suara Keadilan.

"Pertemuan hari ini telah dibatalkan dan Latheefa akan menghubungi ASP Rejali bagi membincangkan tarikh baru bagi memberi keterangan. Seperti dikatakan sebelum ini pihak Suara Keadilan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melancarkan siasatan mereka berhubung laporan KDN itu.

"Saya dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah," jelasnya.

Sebelum itu semalam ASP Rejali dari IPD Putrajaya meminta pengarang Suara Keadilan hadir ke IPD Putrajaya untuk memberi keterangan pada pukul 2.00 petang ini.

Laporan polis tersebut dibuat oleh KDN pada pukul 8 malam hari Isnin di IPD Putrajaya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang mendakwa Suara Keadilan meneruskan penerbitannya walaupun permit penerbitan telah tamat sah laku pada 30 Jun lalu.

Edisi "Keadilan" yang diedarkan percuma kepada umum dilihat masih memainkan isu Felda walaupun Suara Keadilan kini berdepan tuntutan ganti rugi sebanyak RM200 juta ekoran penyiaran artikel "Felda Bankrap" yang dianggap fitnah.

Sumber: Suara Keadilan

Khalid Bakal Dedah Nama Pemimpin Umno-BN Dapat Lesen Lombong Pasir

Posted: 15 Jul 2010 03:25 AM PDT


SHAH ALAM 15 Julai - Kerajaan negeri Selangor akan mengumumkan senarai individu yang diberikan lesen melombong pasir oleh kerajaan Umno-BN sebelum ini sebagai langkah menegakkan prinsip ketelusan dalam pentadbirannya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Abdul Khalid juga berkata beliau akan menyertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Polis DiRaja Malaysia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Beliau juga berharap pemimpin Umno-Barisan Nasional tidak membangkitkan isu kecurian pasir untuk tujuan politik.

"Saya berharap agar dokumen yang diberikan memadai untuk Timbalan Perdana Menteri memberi arahan kepada pihak berkuasa bertindak secara professional.

"Ini dilakukan bagi membolehkan individu tersebut dinilai sama ada mereka layak menerima lesen berkenaan meskipun langkah tersebut diketahui tidak akan disenangi beberapa pihak," kata Menteri Besar pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Semalam kerajaan negeri surat kepada Muhyiddin bagi menjelaskan isu curi pasir di Selangor serta menjemput beliau dan agensi persekutuan untuk memerangi gejala ini.

Salinan surat juga dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan dalam surat tersebut kejadian curi pasir berlaku secara berleluasa sebelum 2008 ketika Selangor diperintah Barisan Nasional.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: