Selasa, 13 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Lebih 1,000 cawangan Umno Kelantan haram?

Posted: 13 Jul 2010 01:24 AM PDT

KOTA BHARU, 13 Julai: Khamis, 15 Julai adalah tarikh akhir yang diberikan kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno untuk menyelesaikan pertikaian mengenai kedudukan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah mengikut akta Pertubuhan 1960.

Kemelut yang melanda Umno bahagian Tanah Merah yang gagal diselesai dengan baik sejak lebih setahun lalu menjadi punca sehingga terdedahkan kedudukan cawangan Umno di Kelantan yang didakwa tidak sah. Implikasi dari situasi itu menyebabkan Umno boleh diisytihar sebagai pertubuhan haram.

Demikian dedah akhbar politik Siasah dalam keluaran terbarunya yang kini berada di pasaran.

Satu sumber memberitahu Siasah, kegagalan penyelesaian Umno Bahagian Tanah Merah itu yang memberi implikasi kepada Umno Kelantan dengan membawa perkara itu ke mahkamah terpaksa diambil sekiranya pucuk pimpinan peringkat pusat berdegil untuk menyelesaikannya.

Mengenai kenapa tarikh 15 Julai dijadikan dateline kerana pada tarikh itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaassin dijangka merasmikan persidangan Umno Bahagian Tanah Merah.

"Sekiranya Muhyiddin hadir merasmikan mesyuarat bahagian itu satu laporan polis akan dibuat ke atas Muhyiddin atas alasan merasmikan persidangan Umno yang haram," kata sumber berkenaan dalam pertemuan eksklusif dengan Siasah baru-baru ini.

Umno bahagian Tanah Merah dianggap dalam keadaan haram bila mana kedudukan ketuanya kini, Datuk Ikhmal Hisyam Abdul Aziz dikatakan tidak sah.

Kedudukan Ikhmal sebagai ketua tidak sah bila mana cawangan yang mencalonkan beliau dalam pemilihan lalu juga tidak sah kerana ianya telah dibubarkan.

Sebagai rekod Umno Bahagian Tanah Merah telah diheret ke mahkamah ekoran kemelut berkenaan. Bekas Setiausaha bahagian, Amran Abdul Rahman telah memohon injuksi di mahkamah tinggi Kota Bharu menghalang Umno bahagian itu menggunakan aset dan dua akaun bank Umno bahagian berkenaan ekoran kesamaran kedudukan Ikhmal itu.

Gara-gara tindakan itu keahlian Amran digugurkan atas alasan membawa perkara itu ke mahkamah dimana ianya bertentangan dengan Perlembagaan Umno yang menghalang ahlinya membawa apa-apa kes ke mahkamah.

Bagaimana pun pemerhati melihat pengguguran Amran itu sebagai untuk menyelamatkan individu tertentu di mana tindakan itu sesuatu yang tidak adil dan melanggar semangat perjuangan parti.

Sekiranya laporan polis ke atas Muhyiddin diteruskan 15 Julai nanti dan masalah cawangan Umno itu dibawah ke mahkamah besar kemungkinan Umno beberapa bahagian di Kelantan boleh diistyharkan tidak sah kerana mesyuarat perwakilan bahagian sebelum ini membabitkan cawangan-cawangan yang tidak sah.

Dalam perkembangan lain satu carian dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di negeri itu tidak sah.

"Daripada 2,181 cawangan Umno di seluruh Kelantan hanya 1,800 saja yang mempunyai fail dengan ROS manakala dari jumlah itu hanya 70 cawangan saja yang sah," tegas sumber itu.

Sumber: Harakah Daily

Dr Pornthip Kembali Bantu Kerajaan Selangor

Posted: 13 Jul 2010 01:21 AM PDT


Patologis terkemuka, Dr Pornthip Rojanasunand, dilaporkan akan kembali membantu kerajaan Selangor membongkar kematian Teoh Beng Hock.

Malaysiakini melaporkan Kementerian Keadilan Thailand memberi lampu hijau kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan mengizinkan Pornthip memberi keterangan berhubung penemuannya di inkues kematian Beng Hock.

Pornthip yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor bagi membantu siasatan kematian Beng Hock dilaporkan mengundur diri dari inkues kerana tekanan politik. Ekoran tekanan pelbagai pihak, Kerajaan Malaysia kemudiannya memberi jaminan keatas keselamatan Pornthip sekiranya beliau menghadiri inkues itu.

Dari laporan bedah siasat, Pornthip mengumumkan ada 80 peratus kemungkinan Beng Hock dibunuh.

Inkues dijangka bersambung esok.

Sumber: TVSelangor

'Rasuah' Kapal Selam: Bala Mesyuarat Kali Kedua

Posted: 13 Jul 2010 01:20 AM PDT


Penyiasat persendirian P Balasubramaniam dijadualkan berjumpa untuk kali kedua dengan penyiasat Perancis, hari ini yang cuba membongkar maklumat berhubung dakwaan rasuah dalam penjualan dua kapal selam kepada Malaysia.

Ini berikutan mesyuarat tiga jam semalam dengan peguam Perancis, Joseph Breham yang mengetuai pasukan penyiasat Perancis.

"Balasubramaniam akan bermesyuarat dengan peguam Perancis pada jam 4 petang waktu Malaysia," kata peguam penyiasat persendirian itu, Americk Singh Sidhu.

"Yang menarik, dua nama rakyat Malaysia juga timbul pada mesyuarat semalam."

Americk, bagaimanapun enggan mendedahkan nama mereka yang disebut itu.

Balasubramaniam kini di Paris bagi membantu Perancis untuk menyiasat kemungkinan gejala rasuah dalam penjualan dua kapal selam Scorpene oleh firma pertahanan tentera laut, DCNS. Habuan komisyen seumpama itu adalah salah mengikut undang-undang Perancis.

Penyiasat persendirian itu yang kini melarikan diri dan tinggal di India, tiba di London minggu lalu untuk disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, SPRM mengubah pendirian mereka, empat hari sebelum tarikh pertemuan dan memilih menghantar senarai soalan melalui kourier kepada Balasubramaniam di London.

Suruhanjaya itu dipertanggungjawab menyiasat dakawaan penyiasat persendirian itu bahawa adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak - Nazim dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan memainkan peranan memaksa Balasubramaniam menarik balik pengakuan bersumpah pertamanya yang dianggap begitu kontroversial.

Americk berkata jawapan dalam bentuk afidavit Balasubramaniam kepada SPRM akan dihantar ke pejabat suruhanjaya itu pada 19 Julai.

"Balasubramaniam menandatagani afidavit itu Jumaat lalu di London," katanya.

"Peguam Manjeet Singh Dhillon akan menghantar afidavit itu kepada SPRM pada hari tersebut."

-malaysiakini

Dakwaan Anwar-CIA Jenaka Mingguan Umno-BN

Posted: 13 Jul 2010 01:17 AM PDT


KUALA LUMPUR 13 Julai - Laporan akhbar Utusan Malaysia milik Umno yang mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'alat' kepada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) adalah amat liar dan karut semata-mata kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.

Dengan hanya memetik penulisan seorang blogger New York yang diragui bernama Elaine Meinel Supkis yang diangkat Utusan sebagai 'penulis blog terkemuka', akhbat tersebut terus menelan apa yang terkandung dalam tulisan blogger ntersebut .

"Bagi saya itu tuduhan yang amat liar dan karut serta tidak mempunyai asas yang kukuh. Kita melihat Umno-Barisan Nasional sekarang berada dalam kegelisahan sebab itulah tuduhan yang dilakukan oleh mereka kebelakangan ini bersifat kelam kabut.

"Kalau sebelum ini banyak tuduhan yang telah mereka lemparkan kepada Anwar seperti minta maaf dengan Yahudi dan dua hari lepas laporan Anwar bayar 'Cable News Network' (CNN) untuk satu temuramah. Sekarang mereka keluarkan satu lagi isu yang tidak berasas, bagi saya ini adalah jenaka 'joke of the week' terhadap Umno-BN.

"Berkenaan dengan tuduhan berkaitan CNN, pada pendapat saya CNN akan menjawab tuduhan tersebut kerana itu mencemarkan imej CNN. Tuduhan yang dibuat oleh Umno-BN mengambarkan seolah-olah CNN mengamalkan rasuah di dalam perkhidmatan mereka," jelas Sivarasa kepada Suara Keadilan.

Tambah beliau setiap tuduhan yang dikeluarkan oleh Umno-BN adalah kerana mereka tidak dapat menjawab setiap persoalan yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat sama ada di luar mahupun di dalam Dewan.

"Meraka tidak ada jawapan yang tepat untuk menjawab persoalan yang diutarakan.

"Bagi kita sebagai parti yang dipilih oleh rakyat, kita akan terus turun bertemu dengan rakyat untuk memberi penjelasan yang sebenar apa jua kepincangan di dalam kerajaan. Kita tahu rakyat tertanya-tanya setiap kali tuduhan dikeluarkan, itu akan diperjelaskan setiap kali kita bersama rakyat.

"Umno boleh memperbesar-besarkan isu ini tetapi kita tidak akan ambil berat terhadap kenyataan tersebut. Peranan kita adalah menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat bukan memutar belit kenyataan, rakyat dapat menilai mana yang tepat mahupun tidak tepat," tegas beliau lagi.

Mengulas tentang tuntutan Umno Selangor yang mendesak Anwar digugurkan sebagai penasihat ekonomi Negeri Selangor, Ahli Parlimen Subang berkata sikap yang ditunjukkan oleh Umno Selangor itu sebagai sifat kebudak-budakkan.

"Umno Selangor menunjukan sikap kebudak-budakkan dan tidak cerdik apabila mendesak Anwar digugurkan sebagai penasihat ekonomi negeri, tuduhan yang dikeluarkan itu tidak mempunyai asas langsung dan sebab apa kita nak ikut cakap mereka.

"Negeri Selangor dan rakyat memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai pengalaman yang luas agar ekonomi negeri ini terus berada pada keadaan yang baik serta rakyat terbela. Kita yakin dengan kepimpinan Anwar, kepakaran yang dimilikinya melebihi pemimpin Umno," jawab Sivarasa.

Sumber: Suara Keadilan

Akhbar KEADILAN Jadi Rebutan Di Parlimen

Posted: 13 Jul 2010 01:16 AM PDT


KUALA LUMPUR 13 Julai - Akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, 'KEADILAN' yang diterbitkan oleh Angkatan Muda bukan sahaja diberikan secara percuma di sekitar Majlid Jamek pagi semalam anggota Dewan Rakyat juga berebut di bangunan Parlimen juga berebut untuk mendapatkan naskah mereka.

Pengedaran akhbar 24 mukasurat itu dilakukan selepas satu sidang media oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk memaklumlan mengenai kemunculan 'KEADILAN'.

Tian menjelaskan KEADILAN akan terus menerbitkan akhbar parti itu walaupun permit penerbitan Suara Keadilan telah tamat tempoh dan tidak diperbaharui Kememnterian Dalam Negeri sambil berkata KEADILAN tidak akan tunduk kepada tekanan KDN.

"Hari ini merupakan edaran akhbar rasmi KEADILAN iaitu 'KEADILAN' bagi menggantikan edisi Suara Keadilan, parti akan terus menerbitkan akhbar parti walaupun terdapat tekanan daripada KDN.

Sebagai pihak yang memperjuangkan hak rakyat dan kebebasan bersuara kita tidak akan tunduk dengan tekanan tersebut.

"Apa yang ingin dimaklumkan bahawa pagi tadi edisi ini telah diedarkan secara percuma kepada warga kota di sekitar Masjid Jamek dan kesempatan penerbitan yang baru ini kita akan edar akhbar ini secara percuma di parlimen.

"Kita tidak akan hentikan penerbitan sehingga mendapat keterangan sebenar terhadap kedudukan permit akhbar terbabit dari KDN. KDN tidak boleh mengambil apa-apa tindakan ke atas akhbar ini kerana ia adalah hak parti dan parti mempunyai kuasa untuk membuat terbitan," tegas Tian.

Sementara itu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu penerbitan akhbar ini tetap diteruskan dan ini adalah bagi memastikan setiap rakyat mendapat maklumat yang jelas mengenai isu yang berlaku di negara ini.

"Kita tidak akan tunduk kepada tekanan politik kotor Umno-Barisan Nasional, dasar yang diamalkan oleh Umno-BN adalah amat kejam kerana halangan bersuara dan mendengar.

"Kita akan pastikan akhbar rasmi KEADILAN ini akan terus berada dipasaran dan setiap rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai apa jua penyelewengan yang berlaku didalam pentadbiran kerajaan bukannya berita yang telah diputar belit.

"Hari ini kita mahu KDN mengambil sikap yang lebih adil agar kelulusan penerbitan diberikan kepada Suara Keadilan. Kami kesal dengan tindak tanduk KDN yang tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap akhbar arus perdana dan juga Suara Perkasa yang secara jelas mempunyai unsur hasutan dan perkauman," kata Zuraida.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah pula menegaskan terbitan akhbar akan diteruskan dan beliau menyatakan kelewatan terbitan disebabkan oleh karenah KDN yang sentiasa membuat pemantauan kerana takut rakyat terus mendapat maklumat yang jelas terhadap pentadbiran kerajaan.

"Saya juga tegaskan kita terus terbit akhbar terbabit dan kelewatan terbitan ini disebabkan pemantauan yang dilakukan oleh KDN. Sikap sedemikian ini jelas Umno-BN menggunakan KDN untuk memastikan akhbar terbabit tidak diterbit bagi mengelak rakyat mendapat maklumat yang tepat.

"Sepatutnya KDN menggunakan saluran undang-undang yang betul jika ingin menghalang penerbitan bukan menggunakan kuasa politik pemimpin tertentu.

Sekarang jelas wujudnya tekanan politik kerana KEADILAN mahupun Suara Keadilan belum lagi disabitkan salah oleh Mahkamah tetapi KDN telah mengambil sikap yang terburu tanpa menunggu keputusan mahkamah," jelas Sivarasa.

Selepas sidang media tersebut Tian telah menyerahkan senaskah akhbar Keadilan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ketika itu berada di lobi parlimen.

Sumber: Suara Keadilan

Pengerusi PAC Selangor Dari BN Bukti Pakatan Rakyat Amal Budaya Politik Adil, Telus

Posted: 13 Jul 2010 01:14 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Lantikan anggota pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negeri membuktikan Pakatan Rakyat tidak mengamalkan bidaya politik kedurjanaan dan mampu bekerjasama dengam semua pihak hatta Barisan Nasional sekali pun demi kebaikan dan kesejahteraan negeri dan rakyat Selangor.

Malah Pakatan Rakyat Selangor menunjukan contoh dan jalan kepada Umno-Barisan Nasional bagaimana sesebuah kerajaan itu harus bersikap adil, telus dan terbuka serta tidak kejam dan berlaku zalim kepada pembangkang

Semalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor melakar sejarah apabila biat pertama kali dalam sejarah politik negeri itu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Burung daripada BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias menerajui jawatankuasa penting itu.

Pelantikan Mohd Shamsudin dibuat setelah ADUN Kajang, Lee Kim Sin mengosongkan jawatan yang disandang beliau sejak 2008.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Teng Chang Khim berkata pemilihan Mohd Shamsudin merupakan pilihan yang tepat kerana beliau memenuhi kriteria pelantikan termasuk pengalaman dalam bidang berkaitan.

"Ini sekali lagi menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat adalah satu kerajaan yang terbuka kerana sudi melantik ahli pembangkang sebagai pengerusi jawatankuasa PAC.

"Ini tidak pernah berlaku dan sekiranya kerajaan nak tutup isu pasir dan berbagai isu yang di bawa BN, maka tidak perlu kita melantik pembangkang sebagai pengerusi PAC.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sudi mencatat sejarah di negara ini dan juga sejarah untuk badan perundangan di Malaysia malah di Parlimen sendiri pun belum sampai ke tahap itu," kata Chang Khim

Beliau juga berkata pelantikan tersebut mendapat persetujuan semua pihak termasuk pihak pembangkang.

"Kita bukan lantik orang luar tetapi kita lantik daripada kalangan ahli jawatankuasa PAC yang sedia ada, cuma pengerusi yang sedia ada YB Lee Kim Sin mengosongkan kerusi untuk diberikan dan diserahkan kepada Datuk Shamsudin yang memang sudah dilantik sebagai ahli PAC.

"Saya juga percaya latarbelakang beliau yang merupakan ADUN untuk penggal kedua dan juga bekas pegawai daerah serta pengalaman dalam bidang audit, itulah kriteria yang diambil kira dan beliau calon yang memang layak dan mempunyai pengalaman dan kelayakan yang lebih baik," kata beliau.

Bercakap pada Suara Keadilan di lobi Dewan Annex Kim Sin yang lebih dikenali sebagai Cikgu Lee berkata pengosongan itu dibuat setelah mengambil kira sistem yang digunakapakai di parlimen Komanwel yang mana pelaksanaan sistem itu dibuat secara adil dan telus tanpa mengira parti yang memerintah.

"PAC Selangor telahpun menyiasat laporan audit kerajaan terdahulu (BN) dan sekarang kita akan memulakan siasatan ke atas kerajaan Pakatan Rakyat, iaitu kerajaan yang mentadbir negeri sekarang.

"Jadi adalah lebih baik penyiasatan itu diketuai oleh ahli daripada pembangkang sendiri bagi memastikan sistem yang digunakan adalah telus dan adil kepada semua pihak juga menggunakan dasar sama rata," kata Kim Sin.

Sumber: Suara Keadilan

Laporan Media Mengenai Isu Perlombongan Haram Di Kuala Langat Salah Fakta

Posted: 13 Jul 2010 01:13 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta yang diberikan kepada media adalah salah.

Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengatakan syarikat itu pasti gambar tersebut diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat dan bukannya di Bukit Canggang seperti dilaporkan media.

"Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan daripada jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB. Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands,"jelas Abdul Khalid dalam kenyataan beliau hari ini.

Menurutnya, syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar.

Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG, kata Abdul Khalid lagi.

"Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

"Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

"Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya RM10 juta tan pasir bernilai RM220 juta seperti yang dilaporkan akhbar," jelas Menteri Besar.

Kata Abdul Khalid, adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir.

"Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian. Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.

Sumber: Suara Keadilan

Rais Dikecam Gagal Selidik Fakta Sebelum Dakwa Anwar Agen Amerika

Posted: 13 Jul 2010 01:11 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Bekas Duta Amerika ke Malaysia, John R Malott mendesak Menteri Penerangan, Komunikasa dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya memohon maaf kepada Ketua Pembangkang, rakyat Malaysia dan pemerintah Amerika Syarikat kerana membuat tuduhan mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai agen agensi perisikan CIA.

Malott yang menjadi Duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selama tiga tahun darim 1995 hingga 1998 berkata Anwar bukan dan tidak pernah menjadi agen Amerika.

"Saya tegaskan sekali lagi apa yang saya katakan kepada Menteri Luar ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi pada 1998, " Jika anda mendakwa Anwar adalah agen Amerika, anda juga membuat rumusan, secara salah, bahawa Amerika juga masuk campur dalam hal ehwal politik dalaman Malaysia, dan ini adalah tidak benar.

"Saya pernah menyentuh mengenai perkara ini 10 tahun dahulu ketika saya menulis satu artikel untuk Malaysiakini ('Anwar was never an American spy', Sept 2, 2000) di mana saya menafikan secara khusus bahawa Anwar buka dan tidak pernah menjadi agen kepada Amerika.

"Seperti yang saa tulis dalam artikel tersebut saya memberitahu Abdullah bahawa Anwar bukan agen Amerika. Sekiranya kerajaan Malaysia menangkap Anwar dan mendakwa beliau agen Amerika, kita akan mengeluarkan kenyataan serta merta untuk menafikan sekeras-kerasnya dan akan mencabar kerajaan Malaysia untuk menyediakan bukti.

"Saya juga secara jelas memberitahu Abdullah bahawa kerajaan Malaysia akan dimalukan kerana mereka tidak mampu memberikan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut kerana dakwaan ini hanya khayalan yang tidak wujud sama sekali," kata belas duta itu dalam satu kenyataan beiau hari ini.

Beliau membidas Rais sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai penerangan dan informasi kerana gagal memeriksa fajta yang maklumat yang betul ketika membuat tuduhan yang melulu tersebut.

"Sudah tentunya rakyat mengharapkan beliau melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik. Dalam keadaan ini Rais sepatutnya memastikan berita yang beliau terima adalah benar tetapi sebaliknya berlaku.

"Rais gagal menyelidik latarbelakang blogger yang tulisan mengenai Anwar dipetik oleh Utusan Malaysia. Malah tidak siapa pernah mendengar blog ini apatah lagi mengatakan ianya 'terkenal'. Saya yakin Rais juga tidak membaca blog tersebut sebelum beliau membuka mulut. Sebaliknya beliau terus percaya dengan laporan Utusan itu," jelas beliau.

Malott menambah sekiranya Rais mengambil masa 15 saat untuk melayari google beliau akan ketahui bahawa blogger yang dilabelkan sebagai 'pakar' oleh Utusan sebenarnya berkata beliau pernah disambar petir sebanyak 10 kali ketika berada di dalam rumah beliau dan menuduh Ratu Elizabeth terlibat dalam sindiket wang haram.

"Blogger ini juga berkata beliau tinggal di atas gunung di New York bersama kuda, kucing, anjing dan ayamnya. Bagaiman orang seperti ini tahu mengenai Malaysia dan siapa sebenarnya agen CIA?

"Sebelum Rais menyebarkan berita palsu daripada orang seperti ini, elok beliau periksa fakta dan elakkan dirinya daripapda mendapat malu. Mengapa Rais tidak buat kerjanya dengan betul dan bersungguh-sungguh?

"Ini bukan sahaja mengenai Rais dan Utusan malah saya amat terkejut kerana masih ada golongan di Malaysia yang terus menerus menyebarkan isu karut ini mengatakan Anwar agen Amerika demi kepentingan agenda politik mereka," tegas beliau lagi.

Malott menyoal sekiranya beliau berbohong mengenai Anwar 10 tahun dahulu mengapa Dr Mahathir yang menguasai Cawangan Khas (Special Branch) selama 22 tahun tidak menafikannya.

"Mengapa tidak seorang pun tampil untuk membuktikan Anwar agen Amerika tujuh tahun selepas persaraan Dr Mahathir? Mengapa mereka tidak mampu membuktikan sehingga hari ini? Mengapa mengambil coretan dblogger yang membebel yang bukan-bukan yang tinggal di atas gunung di New York? Kenapa Anwar tidak ditangkap atas tuduhan pengintipan?

"Kerajaan Malaysia mungkin mempunyai perbezaan pendapat dengan Anwar tetapi jika ia membuat dakwaan palsu terhadap Amerika Syarikat khususnya menuduh kita mencapuri urusan dalaman Malaysia, kita akan mendedahkan segala dakwaan palsu itu.

"Malah selepas 12 tahun saya bertemu Abdullah, Malaysia gagal memberikan walaupun sekelumit bukti bahawa Anwar adalah agen Amerika," kata Malott lagi.

Beliau berkata Rais juga wajib memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana dakwaan beliau tersebut dilihat cuba merosakkan usaha beliau untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat

"Mengapa anda (Rais) melemahka usaha Perdana Menteri anda dan mengatakan Amerika Syarikat masuk campur dalam urusan dalaman Malaysia dan menyokong pembangkang?

"Sekiranya Amerika gembira dengan usaha Najib di mana pula letaknya logik kita menyokong Anwar dan pembangkang?" tanya Malott kepada Rais.

Sumber: Suara Keadilan

Najib Yang Sudah Hilang Tuah Kini Teramat Bimbang

Posted: 13 Jul 2010 01:10 AM PDT


Baru-baru ini saya mendengar khabar angin bahawa Datuk Seri Najib Razak, seorang individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak dapat tidur lena. Adalah amat tidak adil terhadap dirinya jika kita menganggap Najib mampu tidur lena seperti bayi. Ini kerana pertamanya, beliau bukannya seorang bayi.

Kedua, saya diberitahu Najib kini berasa amat bimbang. Saya pun akan berasa begitu jika berada dalam keadaan seperti beliau. Agak memeranjatkan jika Najib mampu tidur langsung.

Najib seorang yang amat resah ketika ini. Apa tidaknya dengan segala tuduhan dan dakwaan terhadapnya, umpamanya menjadi kaitan kepada kes pembunuhan yang berlegar disekitar beliau.

Saya pun akan merasa begitu juga. Saya berasa kasihan terhadap beliau kerana walaupun memegang tampuk kekuasaan, ada sahaja warga Malaysia samada di dalam atau luar negara yang tidak menghargai jasa baik serta budinya dan tidak mahu meninggalkan beliau dalam aman.

Kenapa mereka amat nekad untuk menelanjangkan peribadi sebenar Najib dan mendedahkan segala apa yang mereka percayai sebagai kejahatan Najib?

Raja Petra Kamarudin, blogger tersohor Malaysia kini bergabung tenaga dengan orang kuat KEADILAN dan peguam terkemuka, Datuk Zaid Ibrahim untuk menumbangkan pengaruh dan kedudukan Najib. Tidak cukup dengan itu sejumlah warga Malaysia yang berhemah juga turut mendesak Najib untuk mendapatkan jawapan kepada soalan mereka.

Sebagai warga Malaysia yang taat, mereka berhak untuk mengharapkan, walaupun sedikit, kebenaran dari Perdana Menteri mereka.

Setakat ini mereka telah dikecewakan kerana walaupun dengan kewujudan bukti kukuh, ditambah pula dengan akuan bersumpah Bala, Najib dan Rosmah terus menerus membisu seribu bahasa dan menonjolkan adegan mereka teraniaya.

Zaid menuduh Najib takutkan RPK dan Bala kerana apa yang mereka tidak tahu tentang pembunuhan Altantuya sebenarnya tidak langsung bernilai. Maka adakah sesuatu yang mengejutkan sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menyoal Bala di London? Ya, kita melihat sedikit drama yang dimainkan oleh SPRM untuk mengaburi mata masyarakat dunia yang memerhati.

Dengan menggunakan beberapa alasan yang tidak dapat diterima akal, SPRM mempastikan kebenaran tidak akan terbongkar. Bagaimana SPRM boleh mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat jika inilah alasan terbaik mampu mereka rekacipta? Dan untuk PDRM, tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita katakan

Seolah-olah siapa yang menyimpul perumpamaan Inggeris yang berbunyi, 'sesiapapun boleh terlepas selepas membunuh' nampaknya memikirkan mengenai Malaysia memasa menciptanya. Tindakan Khairy Jamaluddin mendakwa pihak polis lembab mengambil tindakan terhadap RPK cukup untuk memnggutakan lagi teori konspirasi saya. Adalah jelas bahawa Khairy dan Najib sememangnya menunjukkan sikap permusuhan yang nyat terhadap RPK.

Ditambah pula dengan apa yang Bala tahu mengenai pembunuhan Altantuya sudah cukup untuk menamatkan riwayat politik Najib sementara Khairy pula seorang yang dalam keadaan tergesa-gesa dalam mengejar cita-cita politiknya. Saya harap dia tahu apa yang beliau sedang lakukan, demi kebaikan dirinya sendiri.

Jadi sekarang apakah pilihan yang ada pada Najib? Walau pun pilihan yang bakal dibuat pahit dan sukar ditelan, Najib tidak punyai jalan lain kecuali menyerahkan nasib kepada penelitian dan siasatan rapi pihak berkuasa bagi membersihkan namanya. Bersandarkan kepada keyakinan bahawa kebenaran akan akhirnya terbongkar, mungkin beliau ada sedikit peluang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Kalaulah caranya begitu, beliau bukan sahaja akan disayangi dan dihormati oleh warga Malaysia tetapi dalam proses itu akan menguatkan lagi tuntutan moral dan etika untuk memimpin negara. Adakah Najib memiliki kekuatan dan integriti karakter sebegitu untuk mempertahankan namanya dan maruah beliau dalam mahkamah?

Saya harap atas nama kebaikan sejagat Perdana Menteri kita memiliki kekuatan moral untuk membiarkan mahkamah membuat keputusan mengenai nasibnya.

Sumber: Suara Keadilan

Tindakan Bodoh KDN Tubuh Jawatankuasa Pantau Berita Palsu

Posted: 13 Jul 2010 01:09 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan jawatankuasa pemantauan berita palsu atas alasan untuk menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan membawa kebaikan kepada negara malah sebaliknya akan mencemarkan nama Malaysia dalam arus kebebasan media antarabangsa.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail memberitahu Suara Keadilan tindakan KDN itu menunjukkan kebodohan di dalam pentadbiran negara ini dalam kerangka amalan sistem demokrasi.

"Kita melihat negara luar seperti Afrika mahupun negara komunis walaupun pemerintahan mereka teruk tetapi mereka mengamalkan kebebasan media.

"Apa yang berlaku di negara ini sebaliknya, kita bercakap tentang dasar demokrasi tetapi sikap sebenar pentadbiran negara ini lebih teruk dari apa yang berlaku di negara luar. Tindakan KDN hendak menubuhkan jawatankuasa memantau berita palsu itu adalah sikap yang bodoh serta menjatuhkan imej negara ini, kenapa mereka tidak membuat perbandingan dengan negara luar terhadap amalan kebebasan media.

"Tidak ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang menubuhkan jawatankuasa sedemikian tetapi sikap angkuh pemimpin Umno-Barisan Nasional menjadikan Malaysia sebuah negara kuku besi yang menyekat rakyat bersuara serta menghalang daripada mendengar apa juga maklumat yang betul.

"Kerajaan sepatutnya memantau media arus perdana milik mereka yang jelas kita tahu melakukan pembohongan mahupun fitnah setiap terbitan akhbar terbabit. Kita melihat apa yang Utusan Malaysia siarkan kenapa tiada tindakan, bila media alternatif mengeluarkan kenyataan yang benar dalam mencari penyelesaian terus diambil tindakan.

"Kerajaan sebenarnya tidak bersikap adil dalam pentadbiran mereka, sikap amalan berat sebelah serta penubuhan jawatankuasa tersebut mencerminkan lagi bahawa negara ini berada dalam era zaman pemerintahan yang kejam serta zalim," tegas Azan.

Azan juga berkata slogan 'Selamatkan Malaysia' yang menjadi laungan Pakatan Rakyat amat bertepatan dan sesuai kerana rakyat perlu menyelamatkan negara ini daripada pemerintahan

Umno-BN yang mengamalkan budaya kejam, zalim dan menindas.

"Slogan yang kita laungkan itu amat bertepatan sekali, kita perlu selamatkan Malaysia daripada golongan yang zalim lagi kejam. Rakyat perlu membuat keputusan dari sekarang bukan hanya menjadi pemantau. Sebelum ini kita ingin menyelamatkan Malaysia daripada teruk merundum dalam ekonomi dunia tetapi sekarang kita perlu selamat negara ini daripada kerajaan yang zalim.

"Saya melihat amalan media arus perdana lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan media alternatif, lemparan fitnah mereka secara terbuka dengan menyelewengkan fakta serta bersikap mengampu tetapi kita kesal kerana kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sentiasa membela mereka.

"Sikap pembohongan media arus perdana itulah \menyebabkan media tersebut tidak lagi menjadi rujukan kepada pembaca dan kenyataan ini diakui oleh barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mereka mengatakan internet dan media alternatif menjadi rujukan utama kepada pembaca di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

"Saya yakin atas dasar inilah tekanan diberikan ke atas media alternatif, kerajaan takut dengan penerimaan rakyat terhadap laporan media alternatif. Selain itu tindakan menggantung permit penerbitan akhbar rasmi parti Pakatan Rakyat merupakan langkah kerajaan cuba memperbodohkan rakyat serta memutar belitkan fakta agar rakyat tidak terpedaya dengan dakwaan itu," kata beliau lagi.

Tambah beliau jika kerajaan sekarang berada dalam ketakutan mereka perlu mengadakan pilihan raya sekarang.

Ini kerana beliau pasti ada sedikit sokongan yang akan di perolehi oleh umno-BN tetapi jika kerajaan takut dan berdegil untuk tidak melakukan pilihan raya rakyat akan menolak sepenuhnya pentadbiran mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu jawatankuasa pemantau itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berfungsi sebagai adalah urusetia.

Beliau mengganggap penubuhan jawatankuasa itu bertujuan untuk mengelak rakyat terus tertipu dengan berita palsu.

Sumber: Suara Keadilan

Pemikiran Perkasa dan MCA Macam Kanak-kanak Tadika

Posted: 13 Jul 2010 01:08 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chow menyeru Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai supaya meletak jawatan dalam parti selepas mencadangkan penubuhan Perkasa versi Cina bagi menangani serangan perkauman Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Pang Chow berkata adalah tidak masuk akal cadangan Naib Presiden MCA itu kerana apabila Perkasa membuat berbagai permintaan, MCA melawan balik dengan menubuhkan pertubuhan yang serupa.

"Saya rasa pemikiran mereka sama taraf dengan pemikiran kanak-kanak yang belajar di Taman Asuhan Kanak-Kanak.

"MCA tidak akan berjaya mewujudkan suasana yang harmoni jika ia mahu berlawan dengan Perkasa tajaan pengerusinya, Datuk Ibrahim Ali.

"MCA sepatutnya berlawan dengan Umno dan bukannya Perkasa kerana parti itu lebih banyak melakukan 'dosa' di negara ini," kata Pang Chow kepada Suara Keadilan.

Apabila ditanya mengenai pendapatnya berhubung konsep 1Malaysia yang dianjurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata itu hanya retorik politik semata-mata kerana apa yang berlaku sekarang adalah jenayah, rasuah dan fitnah yang berleluasa.

"Ini cuma mainan politik Umno dan Najib telah memutar belitkan konsep 1Malaysia yang nampaknya tidak seperti yang diumumkan.

"Saya menyeru rakyat Malaysia supaya memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana selagi Pakatan Rakyat tidak dihantar ke Putrajaya, kita tidak akan dapat melihat pembaharuan di dalam Kerajaan Pusat," tegasnya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan itu membuat cadangan yang membayangkan agar kumpulan Perkasa versi Cina itu diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor yang seringkali dilihat lantang membuat tuntutan mengenai kepentingan masyarakat Cina.

Katanya, tanggungjawab itu tidak sesuai dipikul oleh MCA kerana ia parti politik dan NGO dibolehkan bertindak dalam cara yang berlainan.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi MCA Selangor mengakui memikul tugas berat bagi mendapatkan sokongan masyarakat Cina yang ternyata mengundi Pakatan Rakyat pada PRU 2008.

Pada PRU, MCA Selangor dimalukan apabila hanya berjaya memenangi satu daripada tujuh kerusi parlimen yang ditandingi manakala bagi kerusi negeri, ia hanya mampu menang dua daripada 14 yang ditandingi.

Sumber: Suara Keadilan

Musa Gaji Tinggi Tapi Gagal Tangani Masalah Jenayah Semakin Serius

Posted: 13 Jul 2010 01:06 AM PDT


SHAH ALAM 13 Julai - Pendapatan bulanan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang dianggarkan mencecah lebih RM25 ribu sebulan tidak layak beliau terima memandangkan kadar jenayah masih ditahap yang merisaukan dan usaha pembasmian jenayah dilihat gagal di bawah pengawasan beliau.

Walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa kadar jenayah telah turun sebanyak lima belas peratus, tetapi rakyat menganggap ia sebagai kenyataan untuk mententeramkan hati bukan satu realiti yang nyata.

Rakyat dinegara ini masih lagi merasakan kehidupan mereka sentiasa berhadapan dengan ancaman jenayah walaupun mereka berada di dalam kediaman sendiri.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ketika dihubungi memberitahu sebenarnya sudah lama Pakatan Rakyat mendesak Musa meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara kerana terlalu banyak kes jenayah di negara ini beliau gagal selesaikan.

"Dari dulu lagi kita mendesak Musa melepaskan jawatannya apatah lagi dengan isu jenayah yang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Selain itu kejadian di tembak sesuka hati oleh pihak polis merupakan satu kegagalan besar di dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM), seperti dalam kes kematian remaja Aminurasyid yang disebabkan tindakan polis menembak secara melulu.

"Kita tahu tanggungjawab Ketua Polis Negara sangat besar tetapi beliau gagal untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dalam memastikan isu jenayah negara ini berada pada tahap yang betul-betul memuaskan.

"Berkenaan dengan isu pendapatan bulanan anggota polis, kerajaan tidak sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada pendapatan Ketua Polis Negara sahaja tetapi ia perlu peka kepada anggota biasa juga kerana pendapatan yang kurang akan mengundang gejala rasuah anggota polis. Yang bekerja kuat adalah mereka berada di bawah bukannya yang duduk di atas seperti Musa," jelas Nurul Izzah.

Pendapat yang sama turut di utarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard yang mengatakan pemberian gaji yang tinggi kepada Ketua Polis Negara itu adalah untuk mengelakkan berlakunya jenayah rasuah dan sepadan dengan tanggungjawab untuk membasmi jenayah tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

"Musa gagal memastikan jenayah negara ini berada pada tahap yang betul-betul memuaskan, hinggakan rakyat sekarang sentiasa berasa keselamatan mereka tidak terjamin. Mengenai laporan polis yang dilakukan terhadap pemimpin atasan Umno mahupun kerajaan, kita patut tahu sebab sebenar kenapa Musa gagal untuk mengambil tindakan terhadap laporan tersebut.

"Pemilihan Ketua Polis Negara ini dipersetujui Perdana Menteri dan diperkenankan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong, apabila situasi ini berlaku maka secara asasnya jika lantikan dilakukan oleh Perdana Menteri bagaimana Ketua Polis itu hendak mengambil tindakan ke atas ketuanya jika ada laporan di buat terhadap ketuanya.

"Untuk mengelakkan sikap melindungi individu tertentu berlaku, saya ingin menegaskan pemilihan Ketua Polis Negara ini perlu dilakukan oleh kuasa rakyat dan pencalonan hendaklah melalui parlimen. Apabila sistem sebegini digunakan maka Ketua Polis Negara menjadi hak milik rakyat dan kepada sesiapa laporan itu dibuat maka ia boleh bertindak terus tanpa memikirkan pangkat mahupun kedudukan seseorang," tegas CheGuBard.

Tambah beliau walaupun Datuk Seri Najib Razak mengatakan negara ini mengamalkan sistem pentadbiran yang baik tetapi dasar yang diamalkan oleh Kementerian Dalam Negeri sebenarnya menunjukkan sistem negara belum lagi matang.

CheGuBard juga melabelkan pentadbiran PDRM di bawah Musa sebagai yang paling teruk jika dibandingkan dengan Ketua Polis Negara sebelum ini.

Mengikut satu laporan media gaji bulanan Ketua Polis Negara di bawah gred Gaji SSM VUYY3 adalah RM13,849.67, elaun rumah RM2,500, elaun keraian RM5,100 serta imbuhan tetap jawatan RM3,000.

Selain itu juga terdapat elaun pemandu, elaun pembantu rumah, tukang kebun dan lain-lain elaun berkaitan.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: