Khamis, 1 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Bala: Deepak, Rosmah 'taja' lawatan saya ke London

Posted: 01 Jul 2010 12:46 AM PDT

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam berkata wang yang digunakan bagi membiayai lawatannya ke London bagi perjumpaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang telah dibatalkan disalurkan oleh tokoh perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam Balasubramaniam, Americk Singh Sidhu, berkata beliau telah diarahkan oleh anak guamnya bagi menjawap kenyataan yang dibuat oleh ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada sidan media di lobi parlimen semalam.

Zahrain semalam menuntut SPRM supaya menyiasat individu yang menaja penerbangan Balasubramaniam dan penginapannya di London.

M
enurut Americk, Balasubramaniam menyokong sepenuhnya cadangan Zahrain.

"Wang yang akan digunakan oleh beliau bagi lawatan ke London dan penginapan hotel di sana datang dari dana yang beliau terima daripada Deepak yang diberikan oleh Rosmah, yang merupakan penaja sebenar," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Americk (kanan) berkata SPRM wajar menyiasat kedua-dua mereka.

Bala menghilangkan dirinya selepas menarik balik akuan bersumpah (SD) yang dibuatnya pada Julai 2008.

Ketika itu, belia mendakwa pembabitan adik Perdana Menteri, datuk Seri Najib Razak dan Deepak terbabit dengan penarikan akuan bersumpahnya itu.

Pada a
kuan pertamanya, Balasubramaniam mendakwa Najib yang memperkenalkan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu kepada rakan akrabnya yang juga penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Balasubramaniam dijadualkan tiba di London hari ini dari destinasi yang dirahsiakan dan sepatutnya diwawancara oleh SPRM pada Isnin depan bagi melancarkan siasatan ke atas peranan Nazim dan Deepak.

Bagaimanapun timbalan pesuruhjaya SPRM, Mohd Sukri Abdull, menukar keputusan itu dan mengumumkan semalam bahawa lawatan mereka telah dibatalkan. Sebaliknya, SPRM akan membekalkan salinan soalan kepada peguam Balasubramaniam untuk dijawap sebagai afidavit.

Americk sejak itu membidas SPRM berhubung pendiriannya yang sering berubah dan tidak serius menjalankan wawancara.

Sumber: Malaysiakini

Husam: Umno keringkan wang Felda

Posted: 01 Jul 2010 12:45 AM PDT

Exco kanan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin pemuda Umno diberikan projek bukan bidang Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.

"Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

"Firma arkitek diterajui seorang ketua pemuda UMNO Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

"Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....," tulis Husam di dalam blognya kelmarin.

Husam mengulas mengenai bagaimana rizab tunai Felda yang dibelanjakan susulan pendedahan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berhubung status kewangan Felda yang merosot sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun pertengahan bulan lalu di parlimen.

Husam berkata terdapat projek yang bukan bidang tugas Felda dibiayai oleh agensi tersebut "atas sifat pemurahnya" seperti kolej komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), menaik taraf bekalan air di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

"Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya.

"Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun," katanya.

Husam turut mendakwa firma arkitek tersebut bertangggungjawab membangunkan empat kawasan Felda yang "dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan" yang dikenali sebagai Feldajaya.

Beliau juga mendakwa pembangunan bagi keempat-empat Feldajaya itu - Mempaga, Trolak, Serting dan Cini - setakat ini menelan kosnya sebanyak RM 152 juta.

"Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina.

"Sama ada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

"Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah. RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini," katanya.

Husam turut menjelaskan bahawa beliau sebelum ini telah mendedahkan pelaburan Felda sebanyak RM 800 juta di Amerika Syarikat dan Kanada.

"Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan! Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

"Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Hosni ulangi dakwaan ditipu 'sertai' Umno

Posted: 01 Jul 2010 12:41 AM PDT

Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 mendakwa beliau ditipu apabila disebut sebagai salah seorang daripada 40 ulama muda yang menyertai Umno Jumaat lalu.

Beliau memberitahu Malaysiakini, keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada seorang rakan mereka kononnya perdana menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi,
pada saya apa salahnya berjumpa dengan perdana menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Integrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan dibawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan dibawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya, berdasarkan kepada pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni. Menurutnya mereka kemudian disambut oleh bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan disuruh berbaris bagi menyambut ketibaan perdana menteri.

Kata Hosni, selepas pengumuman dan diperkenalkan dengan ulama yang menyertai Umno, baru beliau menyedari tujuan majlis diadakan.

"Sekiranya saya tahu hal ini, saya tidak akan hadirinya. Saya ditipu untuk datang," katanya.

Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albayt, Jordan adalah antara mereka yang hadir pada majlis penyerahan borang menyertai Umno kepada presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menolak dakwaan yang dia ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

"Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa," jelasnya.

Dalam pada itu, Harakahdaily memetik Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi, tetapi sebaliknya yang berlaku ialah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang 'ori'.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

"Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara," ujarnya.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Hosni.

Sumber: Malaysiakini

Isu APCO panaskan kembali Dewan Rakyat

Posted: 01 Jul 2010 12:38 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Isu merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kaitan Malaysia dengan firma Israel, APCO Worldwide di bawah peraturan mesyuarat 36 (12), menghangatkan perbahasan Dewan Rakyat hari ini.

Perang mulut bermula apabila Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok yang mahu Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dirujuk ke JK Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan dewan.

Ianya berhubung kos pembinaan astaka Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Shanghai yang diberitahu menteri kepada dewan semalam hanya RM20 juta, namun dalam jawapan bertulis kepada kepada Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan 15 Jun lalu, menteri sama memberitahu kos pembinaan dan operasi astaka tersebut RM35 juta.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun berpendapat menteri tidak berniat mengelirukan dewan dan mungkin tersilap, menjawab sambil lewa, atau salah maklumat yang diberikan pegawainya seperti belaku kepada Datuk Seri Nazri Aziz berhubung isu pemindahan parlimen.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali (kanan) yang bangun selepas itu kemudian mempertikai kenapa Anwar dihadapkan ke JK khas tersebut sedangkan padanya kes kedua-duanya adalah sama.

Anwar juga, katanya tidak berniat mengelirukan dewan, apatah lagi tampil dengan fakta dan bukti-bukti yang cukup.

Pandikar kemudian menjelaskan wujud perbezaan tipis berhubung kedua-dua kes tersebut dan Anwar telahpun diberi peluang membuat penjelasan namun masih mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

Usul merujuk Anwar yang dibawa kerajaan juga, katanya telah dipersetujui oleh majoriti ahli dewan.

Beliau juga memberitahu menerima surat dari APCO yang menafikan dakwaan terlibat dengan One Israel.

"Saya bukan hakim yang boleh membuat keputusan apabila mendengar hujah. Dalam hal Permatang Pauh, yang membuat keputusan ialah majlis, setelah berbahas panjang," katanya.

Anwar juga kemudian bangkit mempersoal kenapa penjelasan dan bukti-bukti yang dikemukakannya tidak terpakai, sedangkan satu surat dari APCO cukup untuk mengheretnya ke JK Hak dan Kebebasan tersebut.

Pendedahannya juga, katanya tidak dijawab oleh Perdana Menteri sama benar atau menafikannya.

"Aneh, seolah-olah APCO itu mempunyai kekuatan luar biasa, sehingga tidak boleh disentuh langsung oleh ahli Yang Berhormat," katanya.

Hampir sejam perdebatan berlangsung, Speaker bagaimanapun tegas dengan pendiriannya dan turut menafikan berlaku double standard dalam kes tersebut.

Sumber: Harakah Daily

Teresa cadang Ng Yen Yen dirujuk ke JK Hak & Kebebasan

Posted: 01 Jul 2010 12:34 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Menteri Pelancongan Dr. Ng Yen Yen bakal dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung kos pembinaan Astaka Pavilion Malaysia di Ekspo Sedunia Shanghai, Mei lalu.

Usul ini akan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Dr. Ng (DAP) ekoran kenyataannya semalam yang berkata, sebanyak RM20 juta digunakan untuk menampung kos keseluruhan pameran tersebut.

Sedangkan, katanya lagi, Dr. Ng pada jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Batu Gajar Fong Po Kuan pada 15 Jun berkata, kos keseluruhan pameran mega itu adalah RM35 juta.

"Di mana yang betul, dalam tempoh dua minggu, kita mendapati seorang Menteri mengeluarkan angka perbezaan sebegini," tegas beliau tengah hari tadi di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa kecewa dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana mengetepikan usul yang dibuatnya semalam.

Katanya, menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12), sepatutnya beliau diberikan hak untuk merujuk Dr. Ng pada jawatankuasa berwajib.

"Saya bercakap ada asas dan fakta, saya tidak berniat menghina Dewan Rakyat yang mulia apabila merujuk Menteri itu pada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen," beliau bertegas.

Turut bercakap pada sidang media yang sama, Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Kuching/DAP) dan Wong Ho Leng (Ahli Parlimen Sibu/DAP) .

Sumber: Harakah Daily

Zahid : Tak Perlu SPRM Siasat Pembelian Scorpene

Posted: 01 Jul 2010 12:33 AM PDT


Isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ini kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Pembelian dibuat mengikut apa yang ditetapkan prosedur, semua langkah diikuti sebaik-baiknya," katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ekspedisi 1Malaysia ke Kota London di Bangi hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia.

Semalam, Dewan Rakyat menolak usul supaya pembelian kapal selam negara itu dibahaskan.

Speaker Pandikar Amin Mulia dalam jawapan bertulis kepada William Leong (PKR-Selayang) berkata beliau telah dimaklumkan bahawa SPRM sedang menyiasat perkara itu.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.7 bilion untuk membeli kapal selam buatan Perancis itu.

Daripada jumlah keseluruhan, RM574.8 juta pergi kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda , seorang teman karib Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib merupakan menteri pertahanan sewaktu urusniaga tersebut.

Kerajaan juga sebelum ini telah menafikan komisyen dibayar dalam urusan pembelian kapal selam tersebut, dengan menegaskan bahawa jumlah itu - yang merupakan 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal selam berkenaan yang berjumlah RM4.85 bilion - adalah untuk perkhidmatan sokongan dan penyelarasan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembayaran tersebut juga kini sedang disiasat pihak berkuasa Perancis kerana "komisyen" seumpama itu adalah salah di bawah undang-undang Perancis.-Malaysiakini

Pengerusi Jawatankuasa Tuntut Royalti Minyak, Razalaeigh Setuju

Posted: 01 Jul 2010 12:29 AM PDT


KUALA LUMPUR 1 Julai: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan mempengerusikan sebuah jawatankuasa bagi menuntut hak royalti minyak dan menilai semula hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri yang akan ditubuhkan pada minggu hadapan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memberitahu, Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh semalam dan beliau telah menyatakan persetujuan berhubung perkara itu.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaliegh, dan beliau bersetuju untuk mengetuai Kaukus ini, tetapi ia tidak hanya tertumpu kepada isu royalti sahaja, bahkan akan menyentuh hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

"Beliau akan memanggil Ahli Parlimen dari semua parti termasuk dari negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang semalam.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS memaklumkan demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh bagi membincangkan penubuhan Kaukus tersebut di sebuah tempat di Kuala Lumpur, sebelum itu.

Antara yang bersamanya dalam pertemuan tersebut adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abd Halim Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Ketika ditanya mengenai ahli parlimen yang akan menyertai Kaukus Parlimen tersebut, Salahuddin menjelaskan bahawa mereka akan membuat pengumuman mengenainya dan akan mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat tersebut di Parlimen, minggu hadapan.

"Kita sedang bincangkan tajuknya. Mungkin kita akan guna 'Petroleum dan Semangat Federalisme'," katanya.

Beliau berpandangan, penyertaan Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas akan memberikan fokus yang lebih kepada isu-isu melibatkan kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Ini berikutan apa yang dianggap beliau sebagai kepudaran dan kelonggaran terhadap prinsip-prinsip dan semangat 'federalisme' sehingga menyebabkan seolah-olah kuasa kerajaan negeri semakin terhakis.

Ketika ditanya mengenai kempen Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang dimulakan di Kelantan bagi menuntut hak royalti minyak bagi negeri tersebut, beliau memaklumkan bahawa kempen NGO tersebut turut merangkumi negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata bahawa kempen akan disemarakkan lagi, bagi memberi penerangan kepada rakyat Malaysia berkenaan isu tersebut.

"Kita akan adakan mobilisasi dan 'roadshow' di seluruh negara. Kempen ini akan diadakan secara berterusan," katanya.

Sumber: TVSelangor

Jerit, GPKK Tuntut Akta Gaji Minima, Mansuh Pindaan Tiga Akta Pekerja

Posted: 01 Jul 2010 12:24 AM PDT


KUALA LUMPUR 1 Julai - Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Gabungan Pekerja Kilang Dan Kesatuan (GPKK) bersama kumpulan pekerja industri, hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia bagi menuntut penggubalan Akta Gaji Minima \dan memansuhkan pindaan tiga akta berkaitan pekerja.

"Tiada lagi kajian, tiada lagi alasan. Pada tahun 2006, kita pernah hantar 50,000 ribu keping poskad yang disokong oleh rakyat Malaysia bagi menuntut pelaksanaan Akta Gaji Minima. Sekarang adalah masanya untuk kerajaan memansuhkan akta tersebut," kata penyelaras Jerit, K Simon kepada Suara Keadilan.

Kira-kira 50 orang yang terdiri daripada golongan pekerja datang dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkumpul secara aman di perkarangan bangunan kementerian tersebut semenjak jam 9.00 pagi tadi.

Namun, hanya 25 orang delegasi pekerja yang dibenarkan untuk memasuki pejabat dan bertemu dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Perhimpunan tersebut turut dipantau oleh beberapa orang anggota polis yang berada di lokasi, tetapi tiada sebarang tangkapan atau serbuan dilakukan.

Para pekerja turut melaungkan slogan, 'Hidup Pekerja', 'Hidup Perjuangan', dan 'Hidup Rakyat'.

Berkata kepada media, Simon menjelaskan Jerit dimaklumkan oleh Menteri berkenaan bahawa Kementerian Sumber Manusia telah membuka blog bagi mendapatkan maklum balas dari rakyat Malaysia berkenaan Akta Gaji Minima.

"Soalnya, berapa ramai pekerja di Malaysia yang ada komputer dan (akses) internet?. Menteri terkejut dan marah apabila diberitahu hanya 77 orang sahaja yang memberikan respon terhadap tinjauan tersebut," kata Simon.

Beliau mendedahkan sebelum ini, Jerit telah membuat tinjauan ke atas 1,000 orang pekerja dari lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Statistik dapatan tersebut menunjukkan kira-kira 66 peratus pekerja berpendapatan hanya daripada RM350 ke RM650.

Ini menunjukkan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang mendapat gaji di bawah garis Akta Gaji Minima yang mereka perjuangkan, bahkan ada sebahagiannya yang masih menerima gaji di bawah paras garis kemiskinan.

Simon menjelaskan, selain Akta Gaji Minima, Jerit menuntut untuk dimansuhkan pindaan Akta Pekerja, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Industri 2010.

Menurutnya, pindaan akta tersebut yang dimulakan pada tahun 2007 dan diluluskan pada penghujung tahun yang sama akan dipinda sekali lagi pada tahun ini.

Antara implikasi kepada pekerja akibat daripada pindaan akta tersebut termasuk pekerja tidak boleh membawa majikan ke mahkamah selain tuntutan bagi mendapatkan pampasan bagi kes-kes tertentu hanya berjumlah maksimum bagi dua tahun sahaja.

"Ini tak adil. Sudahlah Akta Gaji Minima tak dilaksanakan, sekarang mereka ingin pinda pula undang-undang berkaitan pekerja, kesatuan sekerja dan perhubungan industri. Kita langsung tak boleh terima alasan ini, kerana setiap kali pindaan dibuat, ia pasti akan berpihak kepada majikan dan pelabur, jelasnya.

Sumber: Suara Keadilan

SPRM Hanya Alat Untuk Kekalkan Golongan Penguasa Umno-BN

Posted: 01 Jul 2010 12:20 AM PDT


SHAH ALAM 1 Julai - Keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membatalkan rancangan untuk mengambil keterangan P Balasubramaniam di London atas alasan kenyataan saksi yang dirakam di luar negeri tidak diterima sebagai bahan bukti adalah penuh dengan percanggahan, andaian tidak berasas dan alasan tidak munasabah guna untuk mengelak mewawancara beliau.

Americk Sidhu, peguam kepada penyiasat persendirian itu berkata tatkala SPRM bersungguh-sungguh untuk mengambil keterangan Bala, keputusan mengejutkan ini tidak boleh diterima akal.

"Merekodkan keterangan daripada saksi boleh dilakukan dimana-mana sahaja di dunia ini kerana kenyataan itu akan menjadi sebahagian daripada siasatan SPRM bagi kemungkinan membuat pendakwaan dan ianya bukan bagi tujuan bukti untuk digunakan dalam mahkamah kelak.

"Kalau alasan SPRM diterima maka kenyataan yang direkodkan daripada Saiful berhubung kes liwat II yang didakwa ke atas Anwar Ibrahim sudah tentu telah dikemukakan oleh pihak pendakwaraya sebagai sebahagian bahan kes dan bukannya disembunyi seperti yang berlaku sekarang.

"Kenyataan yang diambil tidak akan dikemukakan di mahkamah kecuali untuk menidakkan penyataan lisan saksi jika ia bercanggah dengan apa yang telah direkodkan. Proses in dipanggil 'impeachment' dan sebab itu keterangan harus diambil dahulu.

Americk menyatakan alasan yang diberikan SPRM seolah-olah mengandaikan bahawa Bala tidak akan memberi keterangan di mahkamah.

"Mengapa SPRM membuat andaian demikian? Bala sejak awal sudah bersedia untuk memberi keterangan terhadap individu yang telah menyebabkan kesengsaraan kepada Bala dan keluarganya sejak dua tahun lalu

"Bukankah Bala yang tampil untuk menceritakan perkara yang sebenar? Pernahkah beliau mengabaikan peranannya sebagai warganegara yang bertanggungjawab untuk membantu pihak berkuasa dalam apa jua kapasiti tanpa menjejaskan keselamatannya? Apa yang dipinta Bala ialah supaya pihak berkuasa memastikan keselamatannya sekiranya beliau perlu memberi keterangan. Tidak lebih tidak kurang.

"Bala dengan mudah mampu tinggal dalam buangan dengan RM5 juta dalam poketnya dan tidaklah hidupnya sengsara sebegini. Sebaliknya beliau tampil untuk mendedahkan salahlaku yang dilakukan oleh sekumpulan individu yang bermoral rendah hinggalah kepada penjawat tertinggi dalam kerajaan serta anggota keluarga mereka," tegas Americk dalam emel yang dihantar kepada Suara Keadilan semalam.

Tambah peguam itu jika pihak SPRM inginkan salinan akuan bersumpah Bala ia dengan mudah boleh diperolehi daripada laman siber yang banyak memuatkan dokumen berkenaan dalam bentuk akuan bersumpah pertama bertarikh Julai 2008 dan tiga bahagian soal jawab beliau yang dikeluarkan pada November 2009.

Kesemua dokumen ini kata Americk sudah terdedah sekian lama dan membutirkan segala isu berkaitan konspirasi kematian Altantuya Shaariibuu.

"Kalau inilah yang diperlukan SPRM, kenapa memberi alasan bahawa siasatan tidak boleh diteruskan tanpa kerjasama Bala?

"Kenapa Nazri memberitahu Parlimen bahawa SPRM tertekan dalam siasatan mereka kerana Bala tidak boleh dikesan?

"Bala sentiasa sedia hadir dan SPRM mengetahui hakikat ini. Kita ada bukti dokumen yang memaklumkan demikian seawal Disember tahun lalu. Mengapa tiba-tiba ia jadi kaku pada saat-saat akhir.

Americk menegaskan adalah memeranjatkan sebuah badan awam seperti SPRM yang dijangka akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menyiasat secara serius dakwaan terhadap Perdana Menteri, isterinya dan adik beliau kini dilihat melepaskan peluang keemasan ini atas alasan dangkal. SPRM mengetahui betapa teliti persediaan telah dibuat untuk menganjurkan sesi mengambil keterangan Bala dan sekarang dengan mudah menarik diri yang selama ini semua telah tertipu dengan persepsi serius dan bersungguh-sungguh yang dipamerkan sebelum ini.

"Apa yang berlaku telah memusnahkan apa sedikit kredibiliti yang masih ada pada SPRM dan seterusnya mengesahkan sangkaan oleh anggota masyarakat negara ini yang mempunyai kaliber dan pemikiran yang tinggi bahawa SPRM adalah hanya sebuah badan yang wujud untuk melindungi kepentingan golongan yang memegang kuasa dan sebarang bantahan rakyat hendaklah diambil tindakan yang keras dan tidak berperikemanusiaan. Ini bagi menekan segala pembongkaran terhadap kebejatan rejim yang memerintah supaya kuasa terus berada ditangan mereka," tambah beliau.

Americk berkata beliau serta peguam lain akan tetap berada di Holiday Villas, Bayswater di London pada 5 Julai pukul 10.00 pagi menunggu ketibaan tiga pegawai penyiasat SPRM seperti mana yang telah diatur dan dijanjikan.

"Nasihat daripada pejabat Peguam Negara kepada SPRM adalah tanpa asas undang-undang. Ini dibuat secara tergesa-gesa dengan tujuan mengelak situasi yang amat memalukan bagi golongan berkuasa yang berjaya menyeleweng dan menyalah guna aparatus kerajaan bagi memenuhi agenda haram mereka.

"Kalaulah masih ada sangkaan bahawa SPRM akan meneruskan rancangan untuk mewawancara Bala anggapan ini terhapus keran sehingga kini SPRM tidak ambil pusing untuk membuat tempahan bilik mesyuarat di Holiday Villas.

"Hakikatnya SPRM tidak pernah mempunyai niat untuk mengambil keterangan Bala dan sejak beberapa minggu lalu kelam kabut untuk mencari alasan untuk tidak berbuat demikian. Masalahnya alasan yang diberi adalah bodoh dan tidak diterima akal dan rakyat semua mengetahuinya," kata Americk.

Sumber: Suara Keadilan

Suara Keadilan Pertahan Artikel

Posted: 01 Jul 2010 12:18 AM PDT


SHAH ALAM 1 Julai - Lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan menegaskan pendirian berhubung laporan muka depan bertajuk 'Felda Bankrap' pada penerbitannya minggu lalu sekaligus mempertahankan prinsip untuk terus memperjuangkan nasib peneroka Felda di seluruh negara yang semakin terancam di bawah rejim Umno-Barisan Nasional.

Pengarangnya, Dzulkarnain Taib mengulas demikian setelah menerima memorandum daripada wakil sekumpulan lebih 200 orang dipercayai peneroka Felda yang berhimpun di hadapan pejabat Suara Keadilan di Seksyen 13 di sini tengahari semalam.

Pada sidang media beliau menjelaskan penerbitan laporan itu tidak sesekali berniat untuk menyinggung mana-mana peneroka felda malah berharap nasib mereka yang ditindas mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Kami di Suara Keadilan berpegang teguh kepada prinsip kebenaran bagi membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam Felda dan bukan dengan niat untuk menyinggung peneroka Felda. Malah kami mahu memperjuangan hak dan nasib mereka," katanya.

Menurutnya lagi, Suara Keadilan tidak akan menarik balik laporan berkenaan kerana apa yang dilaporkan merupakan kenyataan pemimpin KEADILAN berhubung dakwaan salah urus tadbir dalam Felda serta kenyataan Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam parlimen mengenai kemerosotan rizab tunai agensi itu sejak 2004 hingga 2009.

"Sebagaimana yang kita maklum, Felda mahu mengambil tindakan saman terhadap Suara Keadilan, jadi biarlah mahkamah yang menentukan keputusannya," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menerima baik perhimpunan pihak terbabit tetapi tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil kumpulan terbabit.

"Ini merupakan sesi rentetan yang ditaja oleh Umno-BN. Felda sepatutnya menjawab isu ini dengan jawapan yang lebih berwibawa bukannya menganjurkan bantahan sebegini.

"Malahan pihak kami telahpun menjawab surat tunjuk sebab sepertimana yang diarahkan oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Terdahulu, Dzulkarnain yang ditemani Shamsul Iskandar menerima memorandum daripada kumpulan berkenaan, diiringi kata-kata kesat dari sebahagian ahli kumpulan itu.

Bagaimanapun Dzulkarnain kelihatan tenang biarpun para penunjuk perasaan itu kelihatan emosi mencerca dan menuduh beliau sebagai tidak bertanggungjawab dan pengkhianat.

Selepas menyerahkan memorandum, polis meminta kumpulan tersebut bersurai.

Kelihatan juga peserta demonstrasi itu disediakan makanan dan minuman percuma yang dibekalkan daripada sebuah van berhampiran.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Hanya Pentingkan Keuntungan, Pandang Enteng Soal Halal Haram

Posted: 01 Jul 2010 12:17 AM PDT


KUALA LUMPUR 1 Julai - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang mencadangkan agar diwujudkan badan khas bagi membuat pemantauan semua sijil halal yang dikeluarkan kerajaan dan proses pemantauan ini perlu dilakukan secara berkala.

Beliau menyelar sikap Umno-Barisan Nasional yang hanya mementingkan faktor keuntungan dan memandang enteng soal kedudukan sijil halal selepas dikeluarkan sebagai satu trend yang amat membimbangkan umat Islam di negara ini.

Pada sesi penggulungan perbahasan kementerian mengenai pembentangan Rancangan Malaysia Ke 10 semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan kerajaan sehingga sekarang tidak dapat memastikan kedudukan kesemua sijil halal yang telah dikeluarkan kepada peniaga dan juga pembekal di negara ini berhubung status halal produk mereka.

Dr Mashitah juga berkata sehingga kinilebih kurang 4,000 sijil halal telah dikeluarkan kepada peniaga dan juga pembekal termasuk dalam bidang perkhidmatan.

"Kita melihat kegagalan kerajaan memgambil tindakan susulan terhadap sijil halal yang telah dikeluarkan adalah amat membimbangkan kerana kita tidak tahu kedudukan halal produk yang telah diberikan lesen itu terjamin.

"Isu ini sepatutnya menjadi tunjang utama kepada kerajaan kerana sebagai sebuah negara Islam kita perlu pastikan pengguna yang beragama Islam berasa yakin dengan apa yang mereka makan atau gunakan.

"Selain itu juga kita melihat kegagalan kerajaan membuat pemantauan susulan setelah sijil itu dikeluarkan menunjukkan kerajaan hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil isu tersebut sebagai langkah yang wajib mengikut syariat Islam," tegas Azan dalam Dewan Rakyat.

Tambah beliau badan khas seperti pengauditan halal adalah amat perlu kerana dengan cara sahajalah setiap sijil yang dikeluarkan akan terjamin statusnya.

Selain itu pengauditan juga hendaklah dilakukan secara berkala contohnya selepas enam bulan atau setahun sijil dikeluarkan.

"Kita mahu kerajaan selesaikan masalah ini kerana apa yang berlaku di luar sana sudah jelas kegagalan kerajaan membuat pemantauan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan menggunakan logo halal itu untuk mengaburi mata umat Islam dan kejadian seperti ini selalu berlaku di kedai-kedai makan.

"Sijil halal yang dikeluarkan perlu ada audit bukan hanya cukup dengan kelulusan dan logo sahaja, tetapi bagi Pakatan Rakyat tindakan kerajaan yang tidak memandang berat tentang isu tersbut bukannya suatu yang menghairankan kerana tentang lesen judi yang jelas haram dari segi hukum Islam mereka boleh mengganggap halal bila lesen dikeluarkan," katanya lagi.

Jelas Azan, tanpa kesungguhan kerajaan dalam soal ini umat Islam di negara ini akan berada dalam keraguan dan terus diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jika kerajaan tidak mahu melaksanakan pengauditan halal, Pakatan Rakyat sedia memikul tanggungjawab tersebut tetapi dengan syarat kerajaan akan memberikan segala sokongan dan kelulusan jika di minta nanti.

"Perkara ini bukan suatu yang baru dalam negara ini dan sudah tiba masa kerajaan bertindak bukan hanya berdiam diri tanpa fikir tanggungjawab yang besar terhadap seluruh umat Islam," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: