Jumaat, 16 Julai 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Berjanji di masjid , 16 tahun kerajaan belum tunai

Posted: 16 Jul 2010 02:22 AM PDT

Lebih 50 mangsa kebakaran di Kuala Perlis menuntut kerajaan negeri mengotakan janji untuk menyediakan perumahan tetap kepada mereka, yang kini sudah hampir 16 tahun. Dulu kami dijanjikan kediaman kekal. Mereka berjanji dalam masjid. Namun begitu, apa yang kami perolehi sekarang ialah masih menetap di sini

********************
Tagih janji 16 tahun

Berita Harian 16 Julai 2010

KANGAR: Lebih 50 mangsa kebakaran besar Kampung Seberang Tok Pi, di Kuala Perlis, di sini, menuntut kerajaan negeri mengotakan janji untuk menyediakan perumahan tetap kepada mereka, yang kini sudah hampir 16 tahun menunggu bagaikan `buah yang tak gugur.

Desakan itu dibuat selepas majoriti penduduk bosan dengan helah pihak berwajib, sehingga memaksa mereka terdampar selama 16 tahun di lokasi penempatan semula di Flet Kuala Perlis, di sini. Paling teruk, sudahlah ditempatkan di flet yang tidak memiliki sijil layak menduduk (CF), kini penduduk diarah pula berpindah sementara ke Flet Seri Sena di Kampung Bakau, di sini, sedangkan perjanjian asal kerajaan bersetuju menyediakan kediaman kepada mangsa di Padang Cina, Kuala Perlis. Justeru, semua lebih 50 mangsa kebakaran berkenaan, kelmarin berkumpul di tapak pasar malam di Kuala Perlis, di sini, untuk mengumpulkan tandatangan sekali gus membuktikan mereka serius menuntut janji yang disuarakan kerajaan 16 tahun lalu.

Wakil penduduk, Mohd Nor Zainon, 27, berkata berdasarkan perjanjian asal kerajaan negeri akan memindahkan semua mangsa ke penempatan semula di Padang Cina, yang mana rumah teres dua tingkat di Lot 125, 126, 139 dan sebahagian di Lot 124 di mukim Kuala Perlis akan disediakan kepada mangsa.

Untuk itu, katanya, semua mangsa akan ditempatkan secara sementara di Flet Kuala Perlis selama lima tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas tempoh itu berakhir rumah yang dijanjikan tetap tidak kelihatan dan kini ia sudah mencecah hampir 16 tahun.
"Kami sekarang sudah masuk generasi kedua mangsa kebakaran Kampung Seberang Tok Pi dan selama 16 tahun kami hidup dalam keadaan berisiko di kediaman sempit yang tidak memiliki CF yang, seolah-olah menunggu masa untuk roboh.

"Kami sudah hidup 16 tahun di flet dua bilik yang semakin lama semakin uzur. Kini mangsa kebakaran Kampung Seberang Tok Pi sudah masuk ke generasi ketiga dan kami tidak mahu anak-anak kami hidup dalam keadaan terdesak seperti kami, sedangkan kami sepatutnya sudah memiliki rumah yang lebih sempurna," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, Mohd Nor bersama 50 yang lain turut menandatangani memorandum khas yang akan disertakan bersama perjanjian terdahulu antara mangsa dan kerajaan negeri untuk dimajukan kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, seramai 53 keluarga dilapor menjadi mangsa dalam kebakaran besar pada petang 1994 lalu membabitkan dua kampung iaitu Kampung Seberang Tok Pi dan Kampung Puju, di sini.

Selain itu, 117 lagi keluarga dilapor turut terjejas dalam satu lagi kebakaran besar di kampung Puju pada 2003 lalu, sebelum kerajaan negeri memutuskan untuk menyediakan penempatan kepada semua mangsa.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kampung Seberang Tok Pi, Mohd Ishak Lazin, berkata kerajaan negeri kini mahu semua penduduk dipindahkan sementara ke Flet Seri Sena untuk membolehkan Flet Kuala Perlis dibaik pulih.

"Kami tidak tahu berapa lama kami perlu tinggal di Flet Seri Sena kerana sebelum ini pun kami hanya dijanjikan tinggal sementara di Flet Kuala Perlis, sebaliknya kami semua terus terdampar di sana sehingga kini.

"Kami mahu kerajaan negeri telus dalam pelaksanaan terutama dalam menunaikan janji yang ditabur dan kami semua mahukan kediaman yang dijanjikan, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Utara_Tagihjanji16tahun/Article


53 mangsa kebakaran tuntut janji

Utusan Malaysia 16 Julai 2010

KANGAR 15 Julai - Semua 53 keluarga mangsa kebakaran yang ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis di sini, meminta kerajaan menyediakan kediaman kekal buat mereka seperti yang dijanjikan 16 tahun lalu.

Mangsa-mangsa bencana itu mahu kerajaan mengotakan janji selari dengan slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan'.

Rata-rata mangsa terlibat dalam suasana tidak selesa kerana sejak selepas kebakaran 7 Februari 1994, kehidupan keluarga terlibat ternyata tidak selesa, terutama apabila kediaman sementara sekarang sempit dan rosak teruk.

Mereka yang terlibat mendakwa, pihaknya terpaksa mengadakan sidang akhbar sambil membawa para wartawan menyaksikan sendiri status kediaman sekarang, setelah masalah yang dikemukakan kepada beberapa pihak selama ini tidak mendapat perhatian.

Salah seorang daripadanya, Badelishah Md. Jusoh, 50, berkata, mereka sepakat untuk mengadakan sidang akhbar kerana rungutan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri seperti diabaikan.

"Kami sudah meminta pertolongan daripada semua pihak yang sepatutnya. Ini termasuklah wakil-wakil rakyat dahulu dan sekarang. Namun demikian, nasib kami tetap tidak berubah.

"Jadi, kami sepakat memanggil para pemberita. Mahu diceritakan masalah yang sudah lama. Anda (wartawan) boleh tengok sendiri rumah-rumah kami yang rosak teruk," ujarnya di sini baru-baru ini.

Keluarga Badelishah adalah salah sebuah daripada 53 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi pada pada 7 Februari 1994.

Masalah yang sama turut disuarakan oleh Mohd. Noor Zainon, 27, yang kecewa kerana selepas kebakaran, mangsa dijanjikan ditempatkan di flat di Kampung Padang Cina di sini, tetapi flat tersebut sekarang sudah didiami oleh penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Selepas kebakaran tersebut, kata beliau, keluarga mangsa diberi RM120 sebulan untuk menyewa di kediaman pilihan sebelum ditempatkan di Rumah Pangsa Kuala Perlis.

"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri kedudukan kediaman kami. Flat ini sudah terlalu uzur. Terlalu banyak tempat yang retak. Sekarang, difahamkan kami mesti berpindah ke Pangsa Puri Seri Sena di Kampung Bakau di pinggir bandar Kangar.

"Saya difahamkan kami kena menetap di sana tiga tahun sementara menunggu flat ini siap dibaik pulih. Kami nelayan, kena duduk di bandar dan terpaksa berulang ke sini. Harap kerajaan dapat menyediakan tempat yang sesuai di sini," ujarnya.

Keluhan Mohd. Noor itu turut diakui oleh seorang lagi mangsa kebakaran 1994 iaitu Aishah Mat Hassan, 57.

"Sebahagian daripada mangsa kebakaran itu adalah ibu tunggal yang bekerja di Kuala Perlis. Jika terpaksa tinggal di Pangsa Puri Sena di bandar Kangar, ia membebankan golongan tersebut kerana telah bekerja di sini.

"Saya berharap sangat supaya kerajaan lebih prihatin terhadap masalah rakyat. Kalau kami dibiarkan terus begini, ia tidak menepati apa yang dijanjikan dahulu," ujarnya.

Endon Hamzah, 51, juga kecewa dengan pelbagai janji wakil-wakil kerajaan sekarang dan sebelum ini yang disifatkannya hanya bertindak untuk 'menyenangkan' mangsa kebakaran buat sementara waktu sahaja.

"Dulu kami dijanjikan kediaman kekal. Mereka berjanji dalam masjid. Namun begitu, apa yang kami perolehi sekarang ialah masih menetap di sini," ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm

Nyamuk serang sekolah, PBT tiada tindakan

Posted: 16 Jul 2010 02:21 AM PDT


Sekolah yang mempunyai pelajar serta kakitangan melebihi 500 orang itu mendakwa terpaksa menangani masalah berkenaan bersendirian kerana ia tidak mendapat perhatian mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT). Masalah itu diburukkan lagi dengan bau busuk akibat sistem perparitan yang tersumbat di luar kawasan sekolah berkenaan.

***************************
Diserang nyamuk setiap hari
Utusan Malaysia 16 Julai 2010

JOHOR BAHRU 15 Julai – Para pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2 di sini semakin buntu dengan masalah nyamuk yang semakin bertambah di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Sekolah yang mempunyai pelajar serta kakitangan melebihi 500 orang itu mendakwa terpaksa menangani masalah berkenaan bersendirian kerana ia tidak mendapat perhatian mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mereka berkata, masalah pembiakan nyamuk berkenaan disebabkan projek pembinaan jalan raya yang dilaksanakan di kawasan berdekatan sekolah sehingga menyebabkan mereka terpaksa menderita sehingga kini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Yip Siew Ling berkata, masalah berkenaan bukan sesuatu yang baru dan telah berlarutan tanpa mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, masalah berkenaan disyaki berpunca daripada kawasan projek pembangunan yang dilaksanakan pada waktu ini dan bukan dari kawasan sekitar sekolah berkenaan.

"Kita dapati sistem perparitan yang terdapat di kawasan luar sekolah tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan ia tersumbat dan menjadi punca pembiakan nyamuk.

"Jika dilihat, sekolah ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan masalah nyamuk ini hanya berlaku selepas projek pembangunan tersebut dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan luar sekolah berkenaan mendapati, sistem perparitan yang terdapat di kawasan berkenaan tidak berfungsi dengan baik dan terdapat beberapa kawasan takungan air yang menjadi tumpuan pembiakan nyamuk.

Siew Ling berkata, masalah pembiakan nyamuk membuatkan para pelajar serta kakitangan di sini sentiasa berada dalam keadaan tidak selesa.

Beliau berkata, masalah tersebut akan menjadi lebih serius menjelang tengah hari kerana bilangan nyamuk semakin bertambah. Masalah itu diburukkan lagi dengan bau busuk akibat sistem perparitan yang tersumbat di luar kawasan sekolah berkenaan.

"Para pelajar terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membeli ubat nyamuk elektrik untuk menghalau nyamuk tetapi tidak berhasil.

"Sehingga kini masih belum ada sebarang laporan mengenai pelajar yang menghidap demam denggi tetapi ada antara mereka menghidap penyakit kulit kerana kegatalan akibat digigit nyamuk," katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Hamidah Mahmud berkata, pihak pengurusan sekolah pernah menghubungi Bahagian Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk membantu menangani masalah itu tetapi tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkenan hingga kini.

Beliau berkata, MBJB pernah datang sekali ke kawasan sekolah berkenaan untuk membuat semburan asap April lalu dan kemudian tidak lagi datang untuk tindakan susulan.

"Saya berharap perkara ini dapat ditangani segera kerana para pelajar di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa hampir setiap hari ekoran masalah ini," katanya.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya akan menghantar surat aduan kepada MBJB dan salinan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi membantu mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius kerana nyawa para pelajar dan guru sentiasa berada dalam keadaan bahaya.

"Kita tidak mahu perkara ini berlanjutan sehingga menyebabkan ada antara pelajar dan kakitangan sekolah ini menghidap demam denggi kerana ia boleh membawa maut," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm

Pelajar tidak selesa belajar
Utusan Malaysia 16 Julai 2010

JOHOR BAHRU 15 Julai - Pelajar serta ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas (SMK) Jaya 2 di sini melahirkan rasa tidak selesa dengan kehadiran nyamuk yang semakin banyak sejak kebelakangan ini.

Keadaan itu menjadi lebih rumit apabila bilangan nyamuk semakin bertambah setiap hari terutamanya pada waktu tengah hari sehingga mengganggu konsentrasi pembelajaran mereka.

Seorang pelajar, Puteri Faraida Mohd. Said, 14, berkata, masalah itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan pelajar mengalami gangguan ketika sedang belajar di dalam kelas.

Katanya, menjelang petang bilangan nyamuk akan menjadi lebih banyak dan membuatkan pelajar dan guru tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

"Bila waktu petang memang tidak boleh nak belajar kerana nyamuk terlalu banyak tetapi apa lagi yang boleh dibuat selain terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut C. Ashween, 15, perkara itu telah berlarutan sejak sekian lama dan hingga kini ia tetap menghantui pelajar, guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan dan terkini para pelajar terpaksa membeli racun nyamuk elektrik dengan menggunakan peruntukan sendiri sebagai langkah untuk mengatasi masalah itu.

"Kami satu kelas mengumpul duit bersama-sama untuk membeli racun nyamuk bagi menghalau nyamuk yang ada tetapi tetap tidak berkurangan. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Seorang ibu, Hasanah Ripin, 52, berkata, anaknya sering mengadu mengenai masalah nyamuk di sekolah dan mengakui sukar memberikan tumpuan di dalam kelas.

Katanya, pihak sekolah sebelum ini ada menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani masalah tersebut tetapi hingga kini masih tidak menampakkan sebarang hasil yang positif.

"Kalau perkara ini berterusan ia mungkin akan memberi masalah kepada ibu bapa kerana ia membahayakan nyawa anak-anak mereka," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_02.htm

Loya bau busuk sampah

Posted: 16 Jul 2010 02:02 AM PDT


Sinar Harian 16 Julai 2010

PULAI , Jasin – Selepas tanah rizab milik Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Kerajaan Negeri dijadikan sebagai port pembuangan sampah oleh pengusaha kilang tidak bertanggungjawab, kini satu lagi lokasi sampah haram dikesan sekitar Kampung Pulai, di sini.

:Kedudukan longgokan sampah di tempat tidak sepatutnya hanya beberapa meter dari pintu belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai sememangnya mengundangkan resah dalam kalangan penduduk.

Lebih malang lagi, longgokan sampah dibuang orang persendirian di Jalan Masjid menyebabkan murid dan guru dari sekolah itu tidak selesa untuk makan berikutan kedudukan longgokan sampah begitu hampir dengan kantin.

Bapa murid, Lokman Md Yusuf, 47, berkata, longgokan sampah sarap mula disedari sejak lebih setahun lalu dan pada masa sama, terdapat pusat pembuangan sampah diletakkan berhampiran Medan Selera Pulai.

Menurutnya, disebabkan kedudukan tong berkenaan yang terlalu hampir dengan medan selera, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengambil keputusan menutup kawasan pembuangan terbabit awal Jun lalu.

"Tetapi orang ramai masih membuang sampah di sini.

"Disebabkan lokasi berkenaan tidak pernah menjadi pusat pembuangan sampah secara 'rasmi', maka tiada tong sampah diletakkan di sini," katanya.

Malah menurutnya, syarikat pengendalian sampah juga tidak mengambil sampah di lokasi terbabit.

Sehubungan itu, Lokmat berharap, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mahupun pihak berkaitan memandang serius masalah berkenaan.

"Pemantauan harus dilakukan bagi memastikan tiada sampah dibuang di kawasan berkenaan," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7959412.asp

Pengusaha rugi ternakan ikan mati

Posted: 16 Jul 2010 02:00 AM PDT



Sinar Harian 16 Julai 2010

SUNGAI JERNEH , Tampin – Pengusaha kolam, M Rosli Adam, 56, dari Kampung Sungai Jerneh terpaksa berputih mata sejak beberapa bulan lalu apabila ternakan ikannya mati secara berperingkat-peringkat susulan pencemaran kerja Tanaman Semula Kelompok (TSK) berdekatan kolamnya.

Rosli berkata, dia pada mulanya cuba berbincang dengan pihak bertanggungjawab sehingga membangkitkannya beberapa kali dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pada sesi mendengar.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu dan hanya Pengerusi JKKK sahaja yang turun padang melihat sendiri kerugiannya.

"Saya sudah berusaha berbincang. Malah, sejak bermulanya kerja-kerja pembersihan kawasan berdekatan bagi projek TSK Jun tahun lalu, saya sudah membawa usul kepada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian awal iaitu membina satu saliran (parit) bagi memastikan ia tidak terus mengalir masuk ke kolam saya.

"Namun, sehingga ke hari ini, tiada saliran dibuat dan hasilnya hampir setiap hari terutama apabila hujan terlalu lebat, kolam saya seolah-olah dicemari minyak," katanya.

Rosli berkata, dia amat berharap tindakan segera bagi mengatasi masalah itu dapat diambil supaya memastikan dia dapat meneruskan aktiviti dan kegiatan menternak pelbagai jenis ikan untuk tujuan komersil.

Dia juga ingin menuntut ganti rugi kerana pencemaran itu menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM20,000.

"Oleh itu, saya harap sangat pihak bertanggungjawab dapat melihat sendiri kesan pencemaran ini dan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan ia tidak berpanjangan," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7958912.asp

Kenaikan harga Gula, Minyak baik untuk rakyat

Posted: 16 Jul 2010 01:22 AM PDT

Penyokong dan ahli Pakatan Rakyat, tak usahlah nak marah-marah dengan kenaikan minyak dan gula bermula 16 Julai 2010. Ada kebaikan dan ada hikmah. Sila baca komen A Kadir Jasin ini : Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.

Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan.

Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.

Apa pun, marilah kita terus berbahas. Sekalipun para pembesar politik dan pemerintah tidak mempedulikan atau tidak mengambil endah "chatting" kita. Sebagai rakyat jelata, pengguna, pembayar cukai dan pengundi, kita sebenarnya mempunyai kuasa dan tanggungjawab yang sangat besar, mutlak dan mutakhir.

Artikel sepenuhnya di http://kadirjasin.blogspot.com/2010/07/dinamisme-politik-kepenggunaan-dan.html

Tiada ulasan: