Isnin, 12 Julai 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Tiada Lagi Hak Istimewa Pelajar Melayu

Posted: 12 Jul 2010 06:36 AM PDT

Semua pelajar yang dapat 9A+ dalam SPM layak otomatik dapat biasiswa kerajaan Malaysia pimpinan Umno. Kementerian Pelajaran ada berani ke siarkan dalam akhbar senarai semua pelajar dapat 9A+ dalam SPM 2009 ? Mari kita tengok ramai pelajar Melayu, Cina atau India. Eloklah tarik semua hak istimewa pelajar Melayu ni. Biar Melayu cemerlang dalam Akademi Fantasia, Mentor, Showdown dan apa-apa bentuk hiburan.

*******************************************
PELAJAR 9A+ TAK DAPAT BIASISWA DIMINTA MAKLUM KEPADA JPA
Berita Harian 12 Julai 2010

AMPANG: Pelajar cemerlang yang mendapat 9A+ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, tetapi tidak memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), diminta memaklumkannya kepada JPA untuk ditawarkan biasiswa itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan menunaikan dasar yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak, kelmarin bahawa semua pelajar terbabit ditawarkan biasiswa JPA mengikuti pengajian ijazah pertama di dalam dan luar negara tanpa mengira kaum.

"Kenyataan Perdana Menteri itu pasti menggembirakan semua pihak. Jika ada yang tertinggal walaupun sebahagian besar daripada senarai (penerima biasiswa JPA) sudah diumumkan, prinsip itu kita akan guna selaras keputusan Perdana Menteri," katanya semalam. Sementara itu, di Labuan, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata lebih ramai pelajar cemerlang mendapat 9A+ dalam SPM tahun lalu akan ditawarkan biasiswa JPA berbanding diumumkan sebelum ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan melebihi 1,750 pelajar yang ditawarkan biasiswa JPA bagi mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan 100 pelajar mengikuti Program Ijazah Dalam Negara (PIDN).

Pengumuman Datuk Seri Najib Razak mengenai kesediaan JPA menawarkan biasiswa berkenaan akan menyebabkan pelajar cemerlang yang ditawarkan biasiswa JPA tetapi tidak terpilih di bawah PILN, mengikuti pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan kampus cawangan terpilih bertambah berbanding 1,900 sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun penawaran itu di bawah bidang kuasa JPA, Kementerian Pelajaran menjangka lebih ramai pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan itu akan ditawarkan biasiswa berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Puad mengingatkan ibu bapa pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera yang anak mereka mencapai kecemerlangan berkenaan tidak lagi mempersoalkan keikhlasan kerajaan mengagihkan biasiswa JPA.

"Tidak akan timbul lagi orang Cina atau India atau kaum lain bising kata anak mereka dapat keputusan baik 9A+ tetapi tidak ditawarkan biasiswa JPA," katanya.

Mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mohd Puad berkata, perbincangan meja bulat Kementerian Pelajaran pada 17 Julai ini akan meneliti aspek kononnya jika ia dilaksanakan, bakal menyebabkan syarikat penerbitan buku ulang kaji dan pengusaha tuisyen gulung tikar.

"Pendidikan bukan untuk dijadikan bahan perniagaan. Pendidikan adalah untuk membina minda dan membentuk insan. Janganlah kita jadikan pelajaran sebagai bahan untuk membuat keuntungan. Bagaimanapun, perbincangan meja bulat akan meneliti perkara ini," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajar9A_takdapatbiasiswadimintamaklumkepadaJPA/Article

Umno Jempol minta peruntukan RM 3 Juta dari kerajaan

Posted: 12 Jul 2010 12:27 AM PDT


Tak kan Umno Jempol je boleh minta RM 3 Juta ? Umno Rembau nak juga ? Umno Rembau mesti lebih dari RM 3 juta kerana lagi luas kawasan dan lagi ramai pengundi. Umno Pilah pun nak juta juta. Umno Telok Kemang pun nak juta juta. Umno Tampin pun nak juga. Jangan gaduh berebut juta juta udahle.

Kok tak dapat juta-juta ni , alamatnya banyakle masjid bocor tak dapat repair.

******************************
Mohon peruntukan RM3 juta tangani aduan rakyat

Sinar Harian 12 Julai 2010

JEMPOL - UMNO Bahagian Jempol meminta kerajaan mempertimbangkan kelulusan permohonan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi membiayai pelaksanaan projek-projek kecil di daerah berkenaan.

Ketuanya, Datuk Lilah Yassin berkata, peruntukan itu dikemukakan awal tahun ini agar pelbagai aduan dibangkitkan rakyat dapat diselesaikan.

"Kalau masjid bocor, parit rosak, bukan saya sahaja yang tersandar. Barisan Nasional (BN) pun boleh tersandar.

"Saya bimbang pembangkang mengambil kesempatan atas isu-isu terbabit untuk memburuk-burukkan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jempol di Kompleks Pentadbiran Daerah, Bandar Seri Jempol dekat sini, kelmarin.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7943697.asp

Rezeki menjunam

Posted: 12 Jul 2010 12:19 AM PDT

Berita Harian 12 Julai 2010

Nelayan Orang Asli dakwa hasil tangkapan merosot akibat pencemaran

MASAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang berlaku kepada lebih 50 nelayan pesisir pantai di perkampungan Orang Asli Teluk Jawa, di sini, apabila mata pencarian mereka hasil daripada tangkapan ikan terjejas teruk berikutan masalah pencemaran akibat pembangunan projek di kawasan berhampiran. Mereka mendakwa pencemaran yang berlaku sejak lebih tiga bulan lalu menyebabkan ramai mereka terpaksa pulang ke rumah tanpa sebarang hasil tangkapan sekali gus mengakibatkan pendapatan terhadap isi rumah kini sekadar kais pagi makan pagi terutama bagi keluarga yang mempunyai ramai tanggungan. Tok Batin perkampungan terbabit, Gustik Tik, 48, berkata akibat daripada pencemaran hasil pembangunan yang kian rancak berlangsung di sekitar Sungai Lunchu itu secara tidak langsung menimbulkan tekanan terhadap nelayan yang tidak dapat meraih pendapatan mereka untuk perbelanjaan harian keluarga.

Katanya, beliau sedih melihat masalah ini berlarutan tanpa diambil tindakan sewajarnya oleh pihak yang berkenaan apatah lagi kerja penambakan laut yang dilakukan pihak pemaju di kawasan paya bakau menyebabkan air laut menjadi bertambah keruh dan berkelodak hingga menjejaskan kegiatan mencari hasil laut.

"Masalah ini merunsingkan kami kerana majoriti daripada kami hanya mengharapkan hasil tangkapan laut untuk menjalani kehidupan harian sedangkan jika hasil tangkapan yang dibawa pulang pun belum tentu boleh dimakan kerana ia berbau bahan kimia yang dikhuatiri memudaratkan kesihatan kami.

"Malah, dengan keadaan laut yang kotor berkenaan tidak memungkinkan kami mendapat sumber pendapatan seperti sebelum ini di mana sejak kejadian pencemaran ini berlaku teruk, hasil purata tangkapan laut sukar mencecah RM30 berbanding RM100 sebelum ini," katanya ketika ditemui di sini.
Perkampungan Orang Asli Teluk Jawa yang mula wujud kira-kira hampir 50 tahun lalu berkenaan antara lain mempunyai kira-kira 25 keluarga nelayan tradisional membabitkan kira-kira 100 penduduk di mana hasil pendapatan utama mereka adalah tangkapan laut untuk dijual kepada pasaran setempat.

Nelayan, Dell Jakun, 50, berkata keadaan yang berlaku sejak lebih tiga bulan lalu itu nyata memberi tekanan kepada beliau apabila hasil tangkapan tidak memuaskan selain menimbangkan masalah lain yang boleh berlaku sekiranya meneruskan kegiatan mencari hasil tangkapan laut di kawasan terjejas teruk itu.

Seorang lagi nelayan, Meli Dollah, 50, berkata jika sebelum ini isteri dan anak-anaknya turut membantu menambahkan pendapatan keluarga dengan menangkap ketam dan mengutip siput di kawasan paya bakau itu, kini ia hanya menjadi mimpi ngeri keluarga mereka apabila habitat kehidupan laut berkenaan turut musnah.

Katanya, berikutan masalah pendapatan terjejas teruk berkenaan, beberapa anak gadis daripada keluarga nelayan terpaksa bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang selain menjadi pelayan di restoran berdekatan bagi membantu menyara keluarga mereka yang tidak lagi mendapat pendapatan seperti sebelum ini.

"Kebanyakan daripada kami tidak pernah ke sekolah serta tidak mempunyai kemahiran lain memandangkan sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan kegiatan penangkapan ikan, jadi apabila masalah ini berlaku ia secara langsung menjejaskan sumber pendapatan kami dan saya berharap pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Rezekimenjunam/Article

Daif

Posted: 12 Jul 2010 12:19 AM PDT

Berita Harian 12 Julai 2010

SK Darau hampir runtuh bahayakan keselamatan murid

KOTA KINABALU: Walaupun hanya kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar raya, keadaan Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Menggatal di sini, tidak ubah seperti sekolah pedalaman yang daif dan serba kekurangan. Ia berikutan keadaan bangunan kayu yang menempatkan sebahagian besar bilik darjah sekolah itu usang dengan ada strukturnya reput, sama ada akibat dimamah usia atau dibinasakan banjir. Akibatnya, kira-kira 1,300 muridnya terpaksa belajar dalam bilik darjah yang sempit dan daif, manakala nyawa mereka diancam bahaya kerana bangunan digunakan boleh roboh pada bila-bila masa.

Tinjauan Berita Harian mendapati dua bangunan kayu bertiang menempatkan enam bilik darjah dan tiga bangunan teres separuh konkrit dengan enam bilik darjah yang berusia hampir separuh abad sudah tidak sesuai diduduki.

Struktur binaannya tidak kukuh dengan sebahagian lantai kayu dan anak tangga daripada papan berkeriut dan melengkung apabila dipijak, manakala dinding berlubang kerana papannya reput.

Bumbung pula ada yang diliputi rumput dan bocor manakala sebahagian cermin tingkap tertanggal, menunjukkan keadaannya yang daif dan tidak setaraf dengan kedudukan sebagai sekolah bandar.
Keadaan itu tidak sepadan dengan kedudukannya sebagai sekolah aliran Melayu terawal di bandar raya ini dan antara sekolah pilihan utama ibu bapa di kawasan Menggatal untuk menyekolahkan anak mereka.

Guru Besarnya, Said Khairani, berkata sekolah itu asalnya dinamakan Sekolah Vernakular Kerajaan Darau yang dibina pemerintah British pada 1940 dengan tapak asal di Kampung Likas, Kota Kinabalu.

"Pada 1963, tapak sekolah dipindahkan ke kawasan berhampiran pekan Menggatal dengan kemudahan empat bilik darjah dalam dua bangunan separuh konkrit yang masih digunakan hingga ke hari ini.

"Walaupun kerajaan membina sebuah bangunan baru dua tingkat untuk menambah kemudahan bilik darjah pada 1990-an, bilik darjah di bangunan lama masih digunakan kerana kelas di bangunan baru tidak mencukupi.

"Saya sedar keadaan bangunan lama itu sudah tidak sesuai digunakan kerana usang tetapi kami tiada pilihan. Kalau hanya bilik darjah di bangunan baru digunakan, tidak ramai murid dapat diambil sedangkan ramai ibu bapa mahu menghantar anak ke sekolah ini," katanya.

Ketika ini, sekolah itu hanya mempunyai 16 bilik darjah dengan 32 kelas dari prasekolah hingga Tahun Enam yang dikendalikan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.

Beliau berkata, masalah dihadapi sekolah itu sudah diajukan kepada Kementerian Pelajaran sejak 10 tahun lalu dengan meminta penambahan 12 lagi bilik darjah baru tetapi sehingga kini belum ditunaikan.

"Pihak kementerian berjanji membina bilik darjah baru dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMke-8) tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan lalu dilanjutkan ke Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), namun keadaannya juga sama.

"Ini memaksa kita menyambung permohonan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) tetapi kali ini dengan penambahan 24 bilik darjah baru. Saya berharap permintaan kali ini dapat ditunaikan," katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SK Darau, Abdul Razak Kulah, berkata kerajaan perlu memberi perhatian kepada masalah dihadapi sekolah itu kerana apa yang dialami murid dan gurunya sudah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, masalah banjir kilat yang sering melanda sekolah itu setiap kali hujan lebat juga wajar diambil berat kerana ia menyebabkan banyak harta benda sekolah rosak selain memaksa pengurusan sekolah menutup persekolahan apabila banjir.

"Kedudukan sekolah ini di kawasan rendah menyebabkan ia mudah dinaiki air dan ia berlaku apabila hujan berpanjangan lebih sejam. Disebabkan banjir, sekolah terpaksa ditutup sehingga banjir surut dan lumpur dalam bilik darjah dibersihkan.

"Sehubungan itu, kami meminta apabila kerajaan membina bilik darjah baru untuk sekolah ini, bangunannya dibina bertiang tinggi supaya tidak dilimpahi banjir.

"Bangunan makmal komputer sekolah yang dibina bertiang kira-kira satu meter sebelum ini pernah dinaiki air setinggi tiga meter menyebabkan sebahagian besar peralatan komputernya rosak," katanya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Exco Pelajaran negeri, Datuk Masidi Manjun, turut meninjau keadaan sekolah itu dan meminta Kementerian Pelajaran memberi keutamaan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Daif/Article

Hj Mohd Sabu 14 July 2010 di Seremban

Posted: 11 Jul 2010 09:27 PM PDT

CERAMAH PERDANA
Tarikh : 14 Julai 2010 / Rabu
Masa : 9 malam
Tempat : Dataran Muhibbah, Kg Ismail, Ampangan, Seremban
Penceramah :
Tn Hj Mohamad Sabu , AJK PAS Pusat
Chegubard , Ketua PKR Rembau
Zulkefly Mohamad Hj Omar , PJ PAS N.Sembilan

Semua Dijemput Hadir

Tiada ulasan: