Khamis, 29 Julai 2010

Aminuddin Harun

Aminuddin Harun


MB nafi janji beri tanah kepada sekolah Tamil

Posted: 28 Jul 2010 10:02 AM PDT

Mana satu betul nie?. Tak kan sehingga nak salahkan pihak tetentu. Nak salahkan kakitangan Kementerian Pelajaran atau masa beri persetujuan tak semak keluasan tanah. Hanya yang berjanji dan mendengar janji sahaja yang tahu... Allah maha mengetahui..


     
Jul 28, 10 5:35pm
Menteri Besar, Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa kesal kerana ada pihak cuba mengelirukan rakyat berhubung isu pembesaran Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Salak di Lukut.

Isu itu timbul daripada kesilapan surat daripada kakitangan kementerian pelajaran kepada pihak sekolah yang menyatakan kerajaan negeri sudah berjanji untuk memberikan tanah seluas enam ekar (2.4 hektar).

"Kita tidak pernah berjanji mahu beri enam ekar tanah. Tanah di sekitar sekolah itu pun tiga ekar sahaja, dari kesilapan surat ini ia merebak menjadi isu untuk mencemuh kerajaan kononnya kita ini mungkir janji," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Mohamad berkata, ekoran daripada kesilapan surat itu, kementerian pelajaran sudahpun menghantar surat susulan untuk memperbetulkan fakta dan isu itu sepatutnya selesai.

Katanya, sekolah itu sedang dibesarkan oleh kerajaan termasuk membina sebuah bangunan tambahan dengan harga RM3.4 juta, malahan ia dijadikan sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan.

"Kita menepati janji yang dibuat kepada penduduk di kawasan itu tetapi ada pihak cuba mengapi-apikan kebencian terhadap kerajaan negeri hanya disebabkan kesilapan maklumat dalam surat tersebut," katanya.

- Bernama

Nik Aziz puji ketegasan Anwar, mahu kukuh Pakatan hadapi PRU-13

Posted: 28 Jul 2010 09:22 AM PDT

July 28, 2010
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang memiliki ketegasan dalam mempertahankan prinsip perjuangannya – sokongan yang membayangkan beliau sekali lagi menolak idea kerjasama dengan Umno.
"Tahniah, itulah kenyataan yang dapat saya ucapkan kepada (Ketua Umum Pakatan Rakyat) Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah saya membaca kandungan temu ramahnya dalam Sinar Harian," kata Nik Aziz (gambar) yang juga Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mursyidul Am PAS itu memberitahu, ketegasan yang sama pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa berhadapan dengan pelbagai fitnah pihak pembesar Quraisy.
"Kerana di atas ketegasan mempertahankan kebenaran perjuanganlah, maka Nabi sanggup berhijrah meninggalkan Kota Mekah menuju ke Madinah. Oleh sebab itu, Nabi tidak pernah bertolak ansur dengan pelbagai tawaran pihak pembesar Quraisy agar meninggalkan perjuangan.
"Maka, Anwar seorang yang mendukung prinsip ketegasan di atas kebenaran yang diperjuangkan selama ini," kata beliau lagi.
Dalam temu bual dengan Sinar Harian hari ini Anwar antara lain menekankan dua perkara iaitu situasi serangan politik yang dialaminya sekarang sebagai satu proses "menimba pengalaman" dan "tidak mempunyai pilihan dan tahu risikonya".
Selain itu, Anwar juga berkata beliau yakin kerjasama Umno-PAS tidak akan menjadi realiti meskipun tanpa ketiadaan Nik Aziz.
Umno beranggapan bahawa Nik Aziz menjadi halangan besar bagi kerjasama politik dan perpaduan antara Umno-PAS, idea yang dicetuskan berulang kali sejak selepas 8 Mac 2008.
"PAS tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Umno berdasarkan pengalaman lalu dan tanpa bersandarkan prinsip.
"Pemimpin PAS juga menolak kerjasama ini," kata Anwar, juga Penasihat PKR, yang menjadi faktor penting membawa ketiga-tiga parti itu di bawah PR menambah, perpaduan itu adalah satu tuntutan dan kalau betul mana-mana pihak mahukan perpaduan ia mesti dimulakan dengan "premis yang betul".
Nik Aziz menambah, sesungguhnya beliau mengucapkan tahniah dengan sepenuh hati kepada Anwar atas nilai ketegasan beliau.
Dari segi Islam, ketegasan itu merupakan sifat istiqomah yang selayaknya ada pada setiap pemimpin yang memperjuangkan kebenaran, keadilan dan hak yang hakiki, kata pemimpin itu yang sudah memasuki dekad kedua menerajui kerajaan negeri Kelantan.
"Anwar Ibrahim memiliki sifat istiqomah itu. Kerana istiqomah bukanlah suatu nilai kedegilan, tetapi suatu kebenaran yang dituntut oleh agama," katanya lagi.
Nik Aziz menambah, diharapkan berbekalkan prinsip mempertahankan kebenaran secara istiqomah sudah pasti akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Semoga kita semua mengambil pengajaran daripada peristiwa Israk-mikraj yang baru disambut," katanya.
Dalam peristiwa tersebut, Nabi Muhammad telah menceritakan kebenaran berdasarkan apa yang dialami baginda, kata Nik Aziz.
Namun, katanya, masih ada pihak Quraisy tidak menerima kebenaran yang diceritakan oleh Nabi sendiri.
"Sebaliknya pula, pelbagai tuduhan buruk dilemparkan terhadap Nabi," kata beliau sambil menambah, "percayalah, apa halangan dan ujian yang mendatang pastinya akan mengukuhkan lagi sifat istiqomah dalam mempertahankan kebenaran."
"Kerana setiap pemimpin Islam hendaklah istiqomah di atas jalan agamanya yang mewajibkan umatnya mempertahan lima perkara wajib iaitu akidahnya, nyawanya, keturunannya, maruahnya dan hartanya.
"Sesungguhnya, Anwar seorang yang memiliki sifat istiqomah dalam mempertahankan maruahnya demi kebenaran," kata Nik Aziz lagi.

Tiada ulasan: