Ahad, 20 Jun 2010

Zulkifli Noordin

Zulkifli Noordin


DR. ASRI JOIN UMNO?

Posted: 20 Jun 2010 08:52 AM PDT

Salam 2 all.

Saya agak terkejut membaca lapuran MalaysiaKini hari ini mengenai kemungkinan sahabat saya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin akan menyertai UMNo Jumaat depan bersama dengan beberapa ulama' muda yang lain. Kebetulan minggu lepas Dr. Asri hadir sebagai tetamu di pembukaan Mu'tamar Agong PAS di Kota Bharu.

Saya telah menghubungi Dr. Asri dan berbincang dengan beliau. Beliau menegaskan belum membuat keputusan mengenai soal menyertai mana-mana parti politik buat masa ini. Dan bagi yang berminat dengan kebenaran, sila layari lamanweb beliau www.drmaza.

Saya telah mengulangi pendirian saya kepada sahabat saya Dr. Asri supaya beliau tidak menyertai mana-mana parti politik, samada UMNO ke atau PAS? Saya sarankan kepada beliau supaya terus dengan status ulama' bebas yang tidak terikat dengan politik kepartian, kerana saya telah melihat apa terjadi kepada para ilmuan dan agamawan yang kecundang kepada berhala politik kepartian ini.

Memang seorang ulama' perlu berpolitik, malahan pada saya wajib seorang ulama' itu menjadi seorang political savvy. Tetapi bukan dengan berparti politik. Kita lihat contoh di Iran, pengaruh Ayatollah yang sangat dihormati walaupun tidak berparti. Kita lihat Syeikh Dr. Abdul Rahman Syudais yang pandangannya bebas tetapi tegas, samada diikuti atau tidak itu soal kedua, tetapi beliau berani bercakap berdasarkan hak dan kebenaran Al Quran dan Hadis.

Seorang ulama' bebas dari politik kepartian adalah saperti harimau yang bebas dihutan belantara. Jangankan berdepan dengannya, mendengar ngaumannya sahaja pun ada yang terkencing dalam seluar. Melihat tapak kakinya sahaja melahirkan kegerunan. Tetapi harimau yang sama, diletak didalam kandang zoo, jangankan mengaum, jadi tontonan bebudak tadika je. Itulah kedudukan ulama' yang duduk didalam kandang kepartian, sekadar menjadi tontonan dan bahan hiasan sahaja.

Saya berharap Dr. Asri akan menimbang dengan serius saranan saya. Apapun, hak memilih adalah hak beliau, dan jika beliau memilih untuk menyertai mana-mana parti politik, saya akan menghormati keputusan itu walaupun saya mungkin tidak bersetuju dengannya.

Wallahua'lam & wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
07 Rejab 1431
21 Jun 2010

"BATU" BELAH "BATU" TERLUNGKUP

Posted: 19 Jun 2010 11:29 PM PDT

Salam 2 all.

Isu yang hangat diperkatakan sehari dua ini adakah kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan YB Tian Chua. Apakah "Batu" Belah "Batu" Terlungkup? Ianya bertambah panas apabila YB Karpal Singh tiba-tiba membuat kenyataan menegaskan bahawa YB Tian Chua (PKR-Batu) hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen. Dan kerusinya mesti dikosongkan dan pilihanraya kecil diadakan.

Ini adalah kerana Mahkamah Tinggi baru ini membuat keputusan menukar hukuman denda RM3,000-00 yang dikenakan terhadap Tian Chua kepada RM2,000-00.

Walaupun Hakim menyatakan tujuan hukuman itu dikurangkan supaya tiada pilihanraya kecil, tetapi masalahnya Artikel 48 Perlembagaan menyatakan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan apabila dihukum antara lain denda "tidak kurang RM2,000-00".

Pelbagai tafsiran diberi tentang keputusan ini. Termasuk Prof Dato Shad Faruqi, Dekan Undang-Undang yang menyatakan bahawa Tian Chua tidak hilang kelayakan. Pendapat ini dipersetujui oleh YB Dato' Seri Nazri Aziz. Malahan saya juga bersetuju dengan pendapat itu kerana peruntukan itu menyebut tidak kurang daripada RM2,000-00, bermakna ianya mesti lebih RM2,000-01 keatas. Pada saya Tian Chua tidak hilang kelayakan.

Namun ramai yang agak kehairanan mengapa tiba-tiba dalam keadaan semua menerima keputusan itu dan berpendapat Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen, Karpal Singh mempertikaikannya dan menyatakan Tian Chua hilang kelayakan dan satu pilihanraya kecil mesti diadakan. Apakah agenda tersirat disebalik kenyataan Karpal Singh itu?

Persoalannya mengapa seorang pemimpin Pakatan Rakyat dari DAP mahukan seorang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengosongkan kerusinya.

Jawapannya mudah. DAP adalah aprti dominan didalam Pakatan. Dan DAP tahu Pakatan tidak lama lagi mungkin memerlukan pengganti seorang Ketua Pembangkang yang baru. DAP sebenarnya tahu Anwar akan dihukum penjara atas pertuduhan meliwat Saiful. Dan kali ini hukuman itu akan lama, kerana dahulu Anwar dihukum 6 tahun penjara. Mengikut amalan kehakiman, kali ini jika disabit kesalahan Anwar akan dihukum lebih daripada 6 tahun penjara.

Persoalan besar ialah siapa akan mengganti Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Walaupun mengikut amalan demokrasi kerusi Ketua Pembangkang sepatutnya dipegang oleh Lim Kit Siang kerana DAP punya kerusi paling banyak (28), namun PAS sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan Lim Kit Siang sebagai ketua Pakatan

Sebaliknya DAP pula tidak dapat menerima kepimpinan Pakatan diserah kepada Ustad Hadi.

Alternatif daripada PKR memang tiada. Kalau ada pun orang selepas Anwar ialah YB Azmin Ali. Sebagai Naib Presiden, beliau pemimpin paling kanan dalam PKR yang duduk dalam Parlimen.

Kedua-dua PAS dan DAP saya rasa tidak pernah terfikir pun akan dipimpin oleh Azmin, mungkin kerana usia Azmin yang masih muda walaupun berkaliber!

Maka Pakatan dijangka akan berhadapan dengan masalah kepimpinan di Parlimen bila Anwar dihukum penjara nanti. Mereka mesti mencari seorang pengganti, dan mesti segera.

Dan calon yang boleh diterima oleh DAP sebagai parti dominan didalam Pakatan sekarang ialah Zaid Ibrahim. Selain mempunyai nama bapa yang sama, Zaid dilihat mempunyai karektoristik yang sama dengan Anwar. Liberal dan tidak tebal semangat Islam dan kemelayuannya.

PAS juga boleh menerima Zaid walaupun beliau pernah mempertikai perlaksanaan enakmen hudud. Sebab itu PAS turun dengan penuh semangat takbir membantu dan menyokong Zaid semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Sebab itulah DAP melihat peluang sekali lagi muncul untuk menobatkan Zaid jika kerusi Batu dikosongkan. Sebab itu saya tidak hairan Karpal Singh mengeluarkan pendapat bahawa Tian Chua sudah hilang kelayakan dan kerusi Batu mesti dikosongkan. Ini buntuk memberi laluan kepada Zaid mencuba nasib sekali lagi!

Malahan saya mendapat maklumat jika ada Ahli Parlimen yang disabit kesalahan yang boleh membatalkan kelayakan beliau, maka elok kerusi itu dikosongkan. Apakah YB Gobalakrishnan akan terpaksa mengosongkan kerusinya? Yang pastinya YB Gobala juga telah dihukum dengan hukuman yang boleh membatalkan kelayakan beliau sebagai Ahli Palimen.

Malah tersebar bisik-bisik dikalangan mereka kemungkinan Tan Sri Khalid Ibrahim akan diminta mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak untuk memberi laluan kepada Zaid, dan memberi tumpuan kepada Selangor.

Apa pun Zaid adalah "anak emas" bagi DAP sekarang untuk menggantikan Anwar. Dan kehendak DAP terpaksa dituruti kerana mereka yang dominan sekarang didalam Pakatan.

Lagipun, memang menjadi stail kepimpinan mereka terutama dikalangan Firaun-Firaun Kecil mahukan ada isu terus hidup demi survival politik mereka. Dan lebih banyak pilihanraya kecil diadakan lebih baik bagi mereka.

Sebab itu baru-baru ini saya mencadangkan kepada Parlimen supaya menghapuskan amalan mengadakan pilihanraya kecil, sebaliknya mencari mekanisme untuk seuatu kerusi itu diganti wakilnya tanpa keperluan kepada pilihanraya kecil. Ini kerana pilihanraya kecil adalah sesuatu yang membazir, dan hanya sekadar menjadi medan politiking yang melampau.

Apa yang pasti, samada Tian Chua hilang kelayakan atau tidak, samada kerusi Batu kosong atau tidak, itu adalah hak mutlak Parlimen menentukannya dibawah Artikel 53 Perlembagaan.

Apapun, kita perlu menunggu tempoh rayuan 14 hari itu luput, kerana Tian Chua berhak merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Jika beliau merayu, maka semua isu berkaitan status kerusi Parlimen Batu adalah mainan akademik sahaja kerana sehingga keputusan rayuan dibuat oleh Mahkamah Rayuan (yang pasti akan mengambil masa bertahun), selagi itulah kedudukan Tian Chua kekal sebagai Ahli Parlimen.

Jadi semuanya terletak kepada Tian Chua, kalau dia memfailkan rayuan, isu ini tidaklah timbul samasekali. Kita sekadar menghabiskan air liur sahaja!

Dan mengenali beliau, saya pasti Tian Chua akan berusaha mempertahankan kerusinya walau apa keadaan sekalipun.

Adios amigos.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Ahad
07 Rejab 1431
20 Jun 2010

Tiada ulasan: