Khamis, 17 Jun 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor anjur program dampingi rakyat Sabtu ini

Posted: 17 Jun 2010 07:50 PM PDT

Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di Selangor akan turun padang pada hari Sabtu dan Ahad untuk mendampingi dan bertemu rakyat.

Melalui hari bertemu pelanggan bersepadu itu, jabatan dan agensi terbabit akan membuka kaunter penerangan dan kaunter aduan bertempat di Dewan Seri Siantan dan Tesco Kuala Selangor.

Kaunter tersebut akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada kedua-dua hari berkenaan. Sejumlah 24 jabatan dan agensi di Selangor akan mengambil bahagian.

Menurut kenyataan pejabat setiausaha kerajaan Selangor, ini merupakan kali kedua program tersebut diadakan pada tahun ini.

Antara jabatan dan agensi tersebut ialah pejabat setiausaha kerajaan Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pejabat Pilihanraya Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Tourism Selangor dan lain-lain lagi.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan mendaftar untuk program-program di bawah Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (MUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan Hadiah Pengajian IPT Negeri Selangor.

Sehubungan itu, warga Selangor dan penduduk sekitar dijemput hadir berurusan dalam mendapatkan informasi, perkhidmatan, khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan secara terus dengan jabatan dan agensi kerajaan yang menyertai program berkenaan.

RMK10 : Najib Hukum Rakyat Selangor

Posted: 17 Jun 2010 07:45 PM PDT

Kerajaan Pusat digesa untuk tidak mengabaikan Selangor dalam rencana Rancangan Malaysia Ke-10.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru Kabinet Perdana Menteri Najib Abdul Razak untuk tidak memusuhi rakyat Selangor hanya semata-mata mereka mengundi Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

Malaysia tidak mampu mengharungi kemelesetan ekonomi jika Perdana Menteri Najib Abdul Razak mahu mencacatkan ekonomi Selangor, yang menyumbang sekitar 20 peratus kepada pendapatan negara.

Tan Sri Khalid berkata demikian selepas mendapati Rancangan Malaysia ke-10 memulaukan pembangunan di Selangor, serta menidakkan sumbangan Selangor dengan menamakan Petaling Jaya, Subang, Ampang Jaya dan Shah Alam sebahagian dari Kuala Lumpur.

"Nama Lembah Klang digantikan dengan Greater Kuala Lumpur. Dalam nota kaki laporan RMK-10, Petaling Jaya, Subang, Ampang Jaya dan Shah Alam disebut sebagai sebahagian dari Kuala Lumpur. Ini aneh kerana semua kawasan tersebut terletak dalam negeri Selangor. Apakah kerajaan persekutuan berniat untuk mengabaikan perkataan Selangor dengan alasan tertentu ?," kata Khalid.

Kerajaan Negeri dikatakan telah memohon sejumlah 400 projek kepada Kerajaan Pusat untuk memacu pertumbuhan ekonomi Selangor, namun tiada maklum-balas dari Kabinet sehingga kini.

Projek Pembersihan Sungai Klang, perlaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan, serta pengambil-alihan aset konsesi air juga dipandang sepi oleh RMK-10.

Khalid turut membidas strategi penswastaan RMK10 yang dikatakan menghakis autoriti kerajaan tempatan dan mewujudkan monopoli Putrajaya keatas air, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan longkang di Selangor.

"Pertumbuhan koridor Iskandar, wilayah timur, wilayah utara dan Sabah turut dinyatakan tetapi tidak ada rancangan besar untuk pembangunan kepada Selangor. Ini satu penafian terhadap kepentingan selangor. Hakikatnya, kerajaan Pusat tidak boleh mengabaikan Selangor kerana nilai ekonominya terlalu tinggi," katanya lagi.

Ketika menjawab soalan hadirin, RMK10 disifatkan sebagai strategi membunuh-diri jika Kabinet enggan mengiktiraf sumbangan rakyat Selangor kepada kesinambungan ekonomi negara.

"GDP 5 juta penduduk di Lembah Klang jauh lebih baik berbanding GDP semua rakyat Malaysia. Bahkan, jumlah doktor dan peguam dalam setiap 100 kaki persegi di Petaling Jaya adalah lebih banyak dari mana- mana kawasan di negara ini," katanya.

Sumber: TVSelangor

Tiada ulasan: