Jumaat, 18 Jun 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Bekas timbalan menteri mahu Felda disiasat

Posted: 18 Jun 2010 05:08 AM PDT



Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong (gambar) yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).


Beliau yang hari ini menemani ahli parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan ke SPRM berhubung kemerosotan rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.


Dalam aduannya, Santiago meminta SPRM menyiasat penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah rizab tunai Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 16 Jun berkata, walaupun jumlah rizab berkurangan, nilai aset yang dimiliki oleh Felda tetap meningkat.Ahmad juga berkata, rizab tunai tersebut digunakan untuk program kebajikan peserta rancangan dan juga untuk membina ibu pejabat Felda yang baru.


Sementara itu, Tan yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di kementerian yang bertanggungjawab ke atas Felda berkata, bangunan baru berkenaan bertaraf "lima bintang" dan terletak bersebelahan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura.Felda, katanya, telah membayar pendahuluan sebanyak RM230 juta kepada Naza TTDI, pemaju yang bertanggungjawab membina bangunan baru dengan kos RM662 juta.


Beliau juga mendedahkan bahawa wujudnya satu rancangan pada 2006 untuk menggantikan ibu pejabat Felda sedia ada di atas tapak yang sama di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.Rancangan itu akan hanya membabitkan kos pembinaan RM220 juta kerana tanah itu dimiliki Felda sendiri, kata Tan yang berkhidmat di kementerian tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004.


"Perdana Menteri (pada ketika itu) Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah bersetuju untuk merasmikan majlis pecah tanah itu," katanya lagi.Beliau seterusnya mempertikaikan apa perlunya bangunan baru itu dibina dengan kos RM662 juta, sedangkan ia boleh dibina dengan satu pertiga daripada kos berkenaan.

PAS: P'raya umum dan S'wak mungkin serentak

Posted: 17 Jun 2010 10:33 PM PDT

PAS Kedah tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.Setiausahanya, Mohamad Yusof Husin berkata kemenangan Pakatan dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu bulan lalu membimbangkan BN mengenai Sarawak jatuh ke tangan pembangkang jika diadakan pilihan raya berasingan.

"Sarawak, kalau jatuh ke tangan pembangkang (jika pilihan raya berasingan) akan memberi kesan yang besar di Semenanjung," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Sehubungan itu, beliau meramalkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan Mac atau awal bulan April tahun depan.Mohamad Yusof mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya dan tarikhnya bakal "mengejutkan semua pihak".
Baru-baru ini kajian Merdeka Centre for Opinion Research mendapati 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusof yang juga seorang senator, menganggap Malaysia "sebuah negara pelik" kerana tarikh pilihan raya menjadi "satu rahsia" yang hanya diketahui oleh perdana menteri."Apa salahnya (kalau Najib) umum sekarang (bila tarikhnya)... Kita sebagai parti politik, kita bersedia (menghadapi pilihan raya) pada bila-bila masa. "Jentera kita sudah bersedia walaupun ia diumumkan secara mendadak selepas tiga tahun, dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun katanya, setakat ini PAS Kedah yakin dapat mempertahankan kerajaan negeri tersebut jika pilihan raya umum diadakan tahun hadapan.Katanya, ini kerana rakyat melihat sendiri kelicinan pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menguar-uarkannya melalui ceramah penerangan dan melalui risalah 'Warta Kedah".
Sementara itu, PAS Perak pula tidak terkejut sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, setelah kajian mendapati rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Najib.Setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki bersependapat bahawa Najib bakal mengumumkan serentak pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.
"Beliau bimbang (dengan kekalahan BN di Sibu). Persepsi rakyat akan berubah," katanya sambil menambah bahawa PAS dan Pakatan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum tahun depan.Tambahnya, PAS Perak juga mahu pilihan raya umum dipercepatkan bagi menyelesaikan masalah politik berlaku di negeri itu termasuk mengelak dari ADUN yang melompat.
Manakala ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, pilihan raya umum mungkin tidak diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak."Kalau di peringkat persekutuan, saya tidak menjangka (pilihan raya umum diadakan) begitu awal sehingga masalah dalam parti komponen BN, ternasuk MCA dan MIC diselesaikan. Bagaimanapun PAS Selangor bersedia," katanya.

Tiada ulasan: