Isnin, 21 Jun 2010

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM

PARTI KEADILAN RAKYAT Cabang Bera, Pahang DM


TIMBALAN EXCO NEGERI: PAHANG PATUT IKUT KELANTAN & TERENGGANU

Posted: 21 Jun 2010 12:54 AM PDT

Tindakan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS-Pakatan Rakyat semalam 20 Jun 2010 mengumumkan perlantikan 13 jawatan Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kelantan (Timbalan EXCO Kelantan) bertujuan untuk membantu serta memperhalusi system pentadbiran di negeri tersebut adalah merupakan suatu langkah yang harus di puji dan diikuti di kebanyakan negeri termasuk di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

Didalam hal ini, Negeri Kelantan adalah negeri kedua di Pantai Timur selepas Terengganu yang telah melaksanakan sistem mempunyai Timbalan EXCO negeri. Kerajaan Terengganu sudah melaksanakan perlantikan jawatan Timbalan EXCO sejak dua penggal lalu dan terus diamalkan sehingga kini.

Jawatan Timbalan EXCO ini bukan hanya sekadar berjawatan untuk membantu tugas-tugas EXCO yang semakin terbeban dengan kerja malahan ianya juga dapat mendekatkan lagi pimpinan utama negeri dengan rakyat di negeri tersebut.

Sebagaimana menurut Menteri Besar TG Dato Nik Aziz Nik Mat , tindakan ini juga akan melancarkan dan memudahkan lagi perkara yang bersangkut paut dengan kebajikan rakyat nanti.

Untuk makluman juga, kesemua jawatan Timbalan EXCO ini akan dibayar gaji dan mengangkat sumpah dihadapan Menteri Besar Kelantan serta perlu menandatangani surat lantikan ke jawatan tersebut sebagaimana amalan biasa sesuatu lantikan.

Justeru itu juga, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Bera menggesa agar Kerajaan Negeri Pahang dibawah pimpinan UMNO-Barisan Nasional akan mengambil langkah yang sama untuk meringankan tugas-tugas EXCO yang sedia ada dengan mewujudkan jawatan Timbalan EXCO sebagaimana yang telah dilakukan oleh Negeri Terengganu dan yang terbaru oleh Negeri Kelantan.

KEADILAN Cabang Bera melihat sekiranya faktor kekangan kewangan yang hendak di jadikan asas oleh kerajaan Pahang untuk mengelak di adakan jawatan Timbalan EXCO tersebut sebagai penyebab utamanya, bagaimana pula dengan kemampuan Kelantan untuk mewujudkan jawatan ini walhal selama ini kerajaan BN selalu merendah-rendahkan kemampuan Kelantan yang dikatakan gagal untuk memacu ekonomi dan mencari sumber kewangan yang banyak?

Sudah tiba masanya Kerajaan Pahang pimpinan UMNO-BN mengikuti jejak langkah yang dibuat oleh dua negeri jiran Pantai Timurnya (Kelantan dan Terengganu) agar mewujudkan segera jawatan Timbalan EXCO apatah lagi Pahang adalah merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia sudah tentu amat memerlukannya bagi melicinkan perjalanan kerja EXCO-EXCO terbabit demi kepentingan pentadbiran kerajaan negeri serta kebajikan rakyat di negeri Pahang ini juga.



* Oleh: RIZAN HJ ALI
(Setiausaha KEADILAN Cabang Bera)

TIAN CHUA: SAYA TETAP KE DEWAN RAKYAT SEBAGAI AHLI PARLIMEN BATU

Posted: 21 Jun 2010 12:50 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 JUN 2010:

Pengarah Strategi dan Politik KEADILAN, Tian Chua menyatakan bahawa beliau akan hadir ke Dewan Rakyat hari ini sebagai Ahli Parlimen yang sah bagi mewakili pengundi kawasan Batu selepas teka-teki mengenai spekulasi kedudukannya hangat diperkatakan oleh media dan pemerhati politik.

"Tidak ada kekeliruan, tidak ada masalah dan ini adalah pentas di mana saya berdiri untuk mengesahkan bahawa esok (hari ini), saya akan tetap hadir ke Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen yang sah," kata Tian Chua.

Beliau menyatakan demikian kepada kira-kira seribu orang hadirin dalam sebuah majlis makan malam bagi mengumpul dana gerak kerja parti anjuran KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan tema "Pertahankan Parlimen Batu, Selamatkan Malaysia" di Pusat Konvensyen HGH di Sentul, malam tadi.

Tian menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi hari Khamis lalu, secara jelas mengisytiharkan bahawa kerusi Parlimen Batu tidak akan dikosongkan.

Keputusan hakim Datuk Ghazali Cha menyatakan sebarang keputusan tidak harus membebankan rakyat sehingga perlu diadakan semula pilihan raya kecil yang akan mengakibatkan pembaziran wang negara.

Hukuman asal dijatuhkan ke atas Tian Chua adalah enam bulan penjara dan denda RM3,000, namun hakim mengetepikan keputusan tersebut dengan menurunkan hukuman kepada denda sebanyak RM2,000.

Tafsiran hakim terhadap denda RM2,000 tersebut tidak akan menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Tian Chua sempat mengulas rentetan dan pengalaman kerjanya yang pertama kali menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan tersebut.

Beliau menyatakan kawasan Parlimen Batu sebagai istimewa kerana mempunyai banyak tempat bersejarah terutamanya kawasan-kawasan perumahan dan petempatan awal semenjak pembukaan Kuala Lumpur.

"Antaranya Sentul, yang merupakan kampung keretapi yang signifikan dengan masyarakat India, Jinjang yang merupakan petempatan yang paling awal bagi kampung baru Cina di Kuala Lumpur, Kampung Padang Balang yang sinonim bagi masyarakat Melayu bahkan Ibu Pejabat PAS sendiri di Taman Melewar turut termasuk di dalam Parlimen Batu," katanya.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

MB PAHANG DIDAKWA DALANG PROJEK PERUMAHAN TERGENDALA

Posted: 21 Jun 2010 12:46 AM PDT

KUALA LUMPUR 21 JUN 2010:

Kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali lagi mengabaikan kepentingan rakyat dengan tidak mempedulikan masalah yang dihadapi 150 pembeli rumah pangsa di Karak, Pahang yang sehingga kini tidak dapat menduduki kediaman impian mereka meskipun rumah tersebut siap dibina pada 2006.

Permasalahan yang dihadapi pembeli Pangsapuri Anggerik itu telahpun dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan pelbagai agensi kerajaan serta pihak berwajib tetapi malangnya rintihan mereka tidak pernah dipedulikan dan mendapat perhatian daripada mana-mana pihak.

Perkara ini didedahkan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail pada sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi bersama Timbalan Pengerusi Perhubungan KEADILAN Pahang, Ram Ponusamy bersama beberapa wakil pembeli rumah tersebut.

Azan berkata, masalah berkenaan bercanggah dengan pengumuman yang dibuat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada penggal Parlimen lalu.

"Mereka menjadi mangsa penganiayaan sehingga habis ikhtiar dan usaha dilakukan bagi mencari penyelesaian atas isu pembelian rumah yang satu masa dahulu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan bahawa satu-satunya negeri yang mempunyai dasar mengenai pemilikan rumah adalah negeri Pahang sebagaimana yang dinyatakan kepada saya pada sesi Parlimen yang lepas.

"Seperti mana aduan penduduk, mereka telah membayar sejumlah wang selama tiga tahun dan telah dipaksa membuat pembayaran untuk pemilikan rumah masing-masing tetapi apa yang mereka dapat sekarang, rumah yang telah dibayar itu tidak dapat diduduki malah menjadi mimpi buruk kepada mereka kerana justifikasi rumah tersebut yang tidak selamat.

"Sehubungan itu, mereka juga telah cuba menghubungi aduan rakyat dan sebagainya serta beberapa laporan polis telah dibuat, juga beberapa siri perjumpaan dengan pihak berkuasa sama ada kerajaan negeri, pihak kementerian malah surat aduan telah disampaikan kepada kementerian kewangan dan sebagainya sehingga mereka hilang ikhtiar dan bertindak datang ke Parlimen untuk mengadu berkenaan perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Azan menggesa kerajaan untuk mengambil serius permasalahan ini dengan tindakan sewajarnya.

Tambah, beliau isu berkenaan turut akan dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

"Ini merupakan insiden pertama yang dibawa ke Dewan Rakyat dan ini bukan satu perkara yang baik malah mungkin banyak lagi perkara seumpama ini berlaku. Saya harap secara baik kita (Pakatan Rakyat) akan berjaya menyelesaikan masalah ini," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ram menegaskan KEADILAN Pahang sedang membantu dan berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk terbabit.

"Kita akan buat satu tindakan tegas untuk membawa isu ini ke Parlimen kerana sampai sekarang tiada satu tindakan pun yang dibuat dan lebih teruk lagi, rumah tersebut memang tak boleh diduduki.

"Saya juga tahu Menteri Besar Pahang ada terlibat dengan projek ini sebab bangunan ini didirikan atas tanah kerajaan sebab itulah tidak ada apa-apa tindakan dibuat walaupun aduan telah diajukan kepada Barisan Nasional.

"Dan setakat ini tak ada jawapan dan tidak balas daripada Adnan," katanya.

Dalam pada itu, wakil penduduk terbabit yang hadir dalam sidang media itu, Krishnan Maruthaya menyuarakan rintihannya berkenaan apa yang telah dialami beliau bersama lain-lain pembeli.

"Projek ini dimulakan pada 2002 di mana pembayaran deposit telah dibuat dan pada 2003 selepas selesai buat perjanjian, pihak berkaitan tunjuk pelan perumahan, kemudian pada 2006, kita tengok rumah yang dibina menyerupai sekolah dan hanya tiga tingkat sahaja sedangkan dalam perjanjian bangunan tersebut dinyatakan adalah bangunan empat tingkat.

"Kita telah buat aduan kepada Ahli Parlimen BN, ADUN malah aduan telah sampai ke pejabat Perdana Menteri namun tidak ada tindakan sampai kita jumpa Perdana Menteri di Pekan namun masih sama.

"Rumah tersebut juga tidak dapat CF (sijil layak memduduki) tetapi rumah itu juga tidak selamat untuk kita duduki dan sekarang rumah tersebut telahpun retak.

"Kita pun hairan ada pihak mana yang menjadi dalang di sebalik isu ini. Sampai sekarang masalah ini tak selesai. Sebab itu kita datang sini," jelas beliau lagi.



* Sumber http://Suara-Keadilan.com

KENAPA PERLU BANGUNAN PARLIMEN BARU?

Posted: 19 Jun 2010 04:00 PM PDT

Bangunan Parlimen Malaysia adalah tempat untuk ahli-ahli Dewan Rakyat bersidang, berbahas di samping menggubalkan undang-undang negara kita.

Saya tidak faham kenapa isu dan cadangan untuk memindahkan serta membina Bangunan Parlimen baru berterusan diberi perhatian?

Bermula dengan cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Aziz agar bangunan baru untuk Parlimen dibina di Putrajaya dan didalam masa yang sama pula dibaik pulih untuk dijadikan sebagai galeri sejarah.

Isu ini terus diberi perhatian serius apabila Kementerian Kerjaraya melalui Menterinya Dato Shaziman Mansor turut mengulas akan cadangan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru dan berhasrat untuk di kemukakan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan daripada sekarang tentang beberapa cadangan yang difikirkan sesuai.

Kita tidak faham, kenapa negara kita tidak boleh meniru langkah sebagaimana Negara lain yang begitu menyanjung tinggi Bangunan Parlimennya walaupun telah berusia melebih beratus tahun sebagaimana di United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Jepun dan sebagainya.

Dinegara lain, bangunan Parlimen adalah tempat yang mulia untuk dipertahankan sesuai dengan nilai sejarah dan nostalgianya. Lihatlah di UK atau AS sebagai contohnya, bangunan Parlimen mereka sudah berusia begitu lama dan sentiasa di baik pulih serta di jaga dengan rapi.

Bagi kerajaan negara mereka, tiada yang lebih membanggakan selain daripada terus mengekalkan nilai sejarah ini. Menjadi ahli Dewan di kedua negara tersebut sudah pasti membanggakan mereka yang dipilih. Ini kerana nama mereka turut terpahat sama dikalangan mereka yang pernah suatu ketika dahulu yang turut berada di situ walaupun berlainan zaman tetapi tempatnya adalah sama!

Tetapi tidak di Malaysia kerana lebih mementingkan keselesaan kononnya. Hakikatnya untuk apa bangunan baru Parlimen perlu dibina? Sebagaimana menurut Shaziman lagi kos untuk membaik pulih hanyalah sekitar RM 150 Juta, manakala kos untuk membina yang baru mungkin mencecah melebihi RM 600 Juta?

Ada dua persoalan disini, pertamanya kenapa kos membaik pulih memerlukan RM 150 Juta? Bukankah 10 tahun dahulu, bangunan ini sudah di baik pulih serta di ubah suai? Dimana tanggung jawab pihak yang berwajib untuk menyelenggara bangunan ini secara berterusan pada setiap bulan?

Saya yakin sekiranya penyelenggaraan secara sistematik dan konsisten sebagaimana yang diamalkan kepada mana-mana bangunan, kos untuk membaik pulih keseluruhan bangunan ini pasti tidak akan mencecah sehingga RM 150 Juta!

Keduanya, kos pembinaan baru melebihi RM 600 Juta? Kalau kita sudah mengetahui kos pembinaan barunya sebegitu rupa tinggi, kenapa tidak didiamkan sahaja hasrat ini? Atau pun masih berkeras untuk membina bangunan baru demi kepentingan pihak-pihak tertentu didalam mendapatkan kontrak ini?

Justeru itu, bagi saya elok dibatalkan saja niat tersebut samada untuk memindahkan atau pun membina bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Kita seharusnya mempertahankan bangunan yang sedia ada demi warisan dan nilai sejarah yang penuh dengan nostalgia didalam pembentukan awal negara kita yang merdeka ini dahulu.


* Sumber http://ingeniur.blogspot.com

Tiada ulasan: