Jumaat, 25 Jun 2010

Angkatan Muda Keadilan Melaka

Angkatan Muda Keadilan Melaka


Zunar berkartun sehingga titisan dakwat terakhir - Malaysiakini

Posted: 24 Jun 2010 11:54 PM PDT

Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque yang tiga bukunya -- memuatkan kartun-kartun satira diharamkan kerajaan semalam, menuntut penjelasan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung tindakan itu.

"KDN menuduh bahawa kartun-kartun saya mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam. Ia adalah satu tuduhan yang serius dan harus ditunjangi dengan alasan perundangan yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zunar sehubungan itu, menuntut Kementerian Dalam Negeri memberi takrifan "mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam" yang digunakan sebagai alasan mengharamkan buku-bukunya itu.

"Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan karya yang mana dan pada muka surat yang mana dari 312 kartun tersebut yang dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak sesuai untuk bacaan umum," katanya.

Menurut Zunar dia bertanggungjawab dan sedia mempertahankan karya-karyanya dan sedia menghadapi tindakan undang-undang.

Katanya, dari sudut perniagaan, pengharaman buku berkenaan membawa kerugian besar kepada syarikatnya dan menjangka pengedar-pengedar seluruh negara akan memulangkan naskah yang telah beredar di pasaran.

Beliau menganggarkan akan kerugian sekitar RM50,000 hingga RM80,000.

"Tetapi, keuntungan material bukanlah matlamat utama saya. Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya. Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah dan salah laku kerajaan BN," katanya.

Ujar Zunar, meskipun buku dan majalahnya diharamkan, namun kerajaan tidak boleh mengharamkan mindanya.

"Saya akan terus berkartun sehingga ke titisan dakwat terakhir," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan buku kartun 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun, terbitan syarikat Kinibooks - anak syarikat Malaysiakini telah diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut akta itu, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Malaysiakini

Judi sukan: Rais jadikan Cina kambing hitam - Malaysiakini

Posted: 24 Jun 2010 11:52 PM PDT

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menuduh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menjadikan masyarakat Cina di negara ini sebagai kambing hitam dalam agenda kerajaan meluluskan lesen judi sukan.

Pada sidang media di lobi parlimen, Lim mengulas dakwaan Rais kerajaan mesti meluluskan lesen judi itu kerana hak bukan Islam di negara ini perlu diiktiraf dan dihormati.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya mengulas kenyataan luarbiasa Rais itu.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, dakwaan itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola.

"Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan Cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga ahli parlimen Bagan.

Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf.

"Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina," katanya.

Lim berkata Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian," katanya.

Beliau juga menafikan kenyataan sesetengah pihak bahawa DAP mengharamkan sepenuhnya judi sebaliknya beliau berkata, DAP mahu judi dikurangkan.

"Saya bukan minta judi diharamkan terus tapi dikawal. Pendirian kita, yang sudah diluluskan biarkan tapi jangan tambah. Kalau boleh kita kurangkan," katanya.

Malaysiakini

Tiada ulasan: