Rabu, 16 Januari 2013

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN

PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN


Sokongan pada Bawani, kritikan untuk Sharifah

Posted: 15 Jan 2013 11:45 PM PST



Pelajar undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga penyelaras JERIT, KS Bawani terus menerima pujian selepas insiden 'perang mulut' dengan pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang sebaliknya menjadi sasaran cemuhan pelbagai pihak.

NONE
Sebuah video 24 minit Sharifah 'menegur' Bawani semasa 
sebuah forum di UUM bulan lepas, hangat di Youtube minggu lalu, dan mencetuskan pelbagai jenaka di internet serta gambar dan video yang mempersendakan pengerusi SW1M itu.


Walaupun Bawani adalah dari NGO yang berkaitan dengan PSM, namun sokongan turut diterima dari parti BN manakala Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menjawab dalam tweet menjauhkan parti pemerintah itu dari Sharifah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga tampil mempertahankan Bawani, mengatakan bahawa Sharifah tidak sepatutnya bercakap begitu kepada pelajar tersebut.

NONE
Sesetengah warga siber mencadangkan supaya baju-T dihasilkan dengan memaparkan kata-kata Sharifah -  "listen, listen, listen..." - yang diulanginya sebanyak 11 kali terhadap Bawani.

Manakala Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya yang didominasi kumpulan pro-Aspirasi turut mengecam tindakan Sharifah itu, dengan berkata Sharifah berbicara perihal "menghormati", namun dia mungkin terlupa perihal "menghina". .

"Saya percaya, seandainya Saudari Sharifah mahu membuka mata mahasiswa, saudari perlu juga belajar untuk membuka mata saudari menghormati kami," tegas Yang Dipertuanya, Izham Ismail. 

"Saya juga percaya, seandainya haiwan seperti kucing, jerung, lembu dan lain-lain pun boleh bercakap, nescaya mereka akan menyuruh Saudari Sharifah berhenti bertindak sebegitu rupa.," katanya merujuk kepada hujah Sharifah bahawa orang ramai tidak sepatutnya mengadu banyak sangat kerana haiwan pun mempunyai masalah.

Izham juga semua pihak perlu belajar daripada insiden tersebut.

NONE
"Usah menuding jari ke arah Sharifah semata-mata, mungkin 
kita juga ada kekurangan yang menuntut kita bermuhasabah diri.

"Musuh sebenar kita bukanlah Sharifah Zohra, tetapi adalah rasa hormat dan rasional yang kian hilang dalam diri kita," tambahnya.

Menurut Izham, beliau saya mewakili kepimpinan MPPUM untuk menyatakan pendirian mereka menentang segala bentuk tindakan yang merendahkan martabat mahasiswa.

"Saya menjemput Saudari Sharifah Zohra untuk mengadakan sesi dialog di Universiti Malaya untuk kita bersama-sama membincangkan soal halatuju negara. Moga kedua-dua pihak mendapat manfaat daripadanya," tambahnya. 

UUM kata tiada kena mengena dengan forum SW1M

Posted: 15 Jan 2013 11:43 PM PST


Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini menjelaskan bahawa ia hanya menyediakan dewan untuk forum kontroversi melibatkan teguran pengerusi NGO Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin kepada pelajar jurusan undang-undang KS Bawani.

Naib canselor UUM Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak dalam kenyataan kepada beberapa akhbar berbahasa Cina semalam berkata, universiti itu tiada kena mengena dengan forum berkenaan selain menyediakan tempat.

"Untuk mengaitkan UUM dengan forum ini amat tidak adil kepada pihak berkuasa universiti," katanya kepada akhbar China Press.

Laporan Oriental Daily News pula menyebut, Mustafa kecewa apabila ramai yang menuding jari kepada UUM selepas menonton konfrontasi di antara Bawani dan Sharifah.

Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan Sharifah tidak mewakili pendirian UUM dan turut memuji keberanian Bawani dalam menyatakan pandangan.

"Sebenaranya, sikap kedua-dua mereka amat keras. Bawani bertegas untuk bertanya soalan selepas sesi soal jawab tamat dan berlanjutan. Ini mungkin menyebabkan Sharifah berang.

"Universiti sentiasa memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyatakan buah fikiran," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini menghubungi seorang pengurus program SW1M yang dikenali dengan nama Azhar untuk mendapatkan reaksi pagi ini.

Azhar yang enggan mengulas lanjut berkata NGO berkenaan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Bekas pegawai JPN dakwa SPR arah beri IC

Posted: 15 Jan 2013 11:42 PM PST


Seorang bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini mengemukakan bukti berhubung dakwaan kerjasama pihak berkuasa untuk mengubah demografi pemilih Sabah pada tahun 1990-an.



Mohd Nasir Sugip ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai masalah imigrasi Sabah hari ini mendakwa jabatannya pernah menerima arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri untuk memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk membolehkan golongan itu mengundi.

Mohd Nasir yang pernah ditahan bawah ISA sebelum ini mendakwa operasi yang digelar "Ops Durian Buruk" itu dijalankan antara tahun 1992 hingga 1995.

Dakwanya, pengarah SPR Sabah pada masa itu, Wan Ahmad Wan Yusof menyerahkan senarai 16,000 nama untuk diklasifikasikan sebagai pengundi "Bumiputera Islam".

"Bos saya, pengarah JPN Sabah Ramli Kamarudin kemudiannya secara lisan memberitahu saya untuk menjalankan projek ini," katanya.

Mohd Nasir turut mengaitkan tiga lagi individu yang hadir ketika arahan itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, nama individu berkenaan tidak dapat diperolehi memandangkan pegawai RCI – wakil daripada pejabat peguam negara – enggan memberi kerjasama.

Katanya, beliau mengikut arahan tersebut dan mengambil pegawai yang tidak dinamakan di peringkat negeri untuk operasi berkenaan.

Mohd Nasir mendakwa, operasi berkenaan melibatkan tindakan memberi kad pengenalan kepada pendatang asing dan mengeluarkan nombor kad pengenalan berdasarkan tarikh lahir, foto dan nama yang diberikan SPR.

Tiada ulasan: