Isnin, 1 Disember 2014

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


PEMBENTANGAN BAJET 2015 - UCAPAN YB DR. XAVIER JAYAKUMAR

Posted: 01 Dec 2014 01:28 AM PST

PEMBENTANGAN BAJET 2015
UCAPAN YB DR. XAVIER JAYAKUMAR, N.49 SERI ANDALAS
25 NOVEMBER 2014

Terima kasih Tuan Timbalan Speaker, Seri Andalas ingin mengambil bahagian didalam pembentangan Bajet 2015. Pertama sekali, saya ucapkan tahniah kepada sahabat saya, YB Bukit Antarabangsa yang telah dikurniakan jawatan Dato' Menteri Besar negeri Selangor. Saya yakin dengan pengalaman beliau, kita akan saksikan Selangor lebih maju pada masa akan datang.

Cabaran Tahun 2015 dan Bajet Negeri Selangor

Tuan Speaker, negara kita Malaysia bergantung kepada perbelanjaan yang besar seperti dibentangkan dalam Bajet Parlimen baru-baru ini iaitu sebanyak RM247 bilion. Anggaran yang dibuat hasil dari penjualan petroleum dan gas pada waktu itu bagi minyak mentah adalah USD100 setong. Malangnya sekarang, kita lihat harga setong minyak telah jatuh ke paras USD78 dan dianggarkan akan terus jatuh ke paras USD50 setong. Hasil dapatan dari gas dan minyak adalah 8% GDP dan keseluruhannya adalah antara 28% hingga 30%. Berdasarkan trend penurunan ini serta keadaan ekonomi semasa, apa yang saya ingin sampaikan ialah kita perlu bersiap sedia dengan kesukaran ekonomi yang perlu kita tempuhi pada tahun hadapan. Ini termasuk, GST 6% yang akan dilaksanakan dan ini mengundang masalah besar kepada rakyat. Kita telah diberitahu oleh Dato' Menteri Besar bahawa 30% daripada penduduk Selangor berada di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan RM1,500 kebawah sebulan. Malaysia, seperti yang saya baca mempunyai jurang pendapatan terbesar di Asia. Ini adalah perkara yang serius dan saya fikir kita perlu satu perbelanjaan yang menyentuh perkara-perkara ini. Oleh itu, saya ucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Selangor kerana telah menyediakan bajet yang saya kira telah mengambil kira perkara-perkara yang saya nyatakan.

Perlu Usahasama Pembinaan Rumah Mampu Milik SelangorKu

Tuan Speaker, ada beberapa perkara yang saya nak sentuh. Di negeri Selangor sekarang, hangat diperkatakan tentang harga rumah yang tinggi. Ramai yang bekerja di negeri Selangor walaupun berpendapatan kelas menengah sukar untuk membeli sebuah rumah teres yang kini harga puratanya RM500,000. Ini tidak termasuk sebagai contoh di Bukit Gasing yang harganya lebih mahal. 

Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, kita perlu berusaha mengatasi masalah ini. Peningkatan populasi penduduk negeri Selangor adalah 4.5% setahun dan dalam 10 tahun dari sekarang penduduk di negeri Selangor akan menjadi dua kali ganda. Ini bermakna kita perlu menyediakan lebih banyak rumah untuk memenuhi keperluan rakyat. Oleh itu program rumah SelangorKu perlu diberi keutamaan. Saya yakin dibawah negeri Selangor ada banyak tanah dapat digunakan. Kerajaan negeri secara bersendiri tidak mampu membina 15,000 rumah dan perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat pemaju dan pembinaan swasta.

Salah satu cara yang boleh dibuat adalah dengan tukar kawasan-kawasan yang telah diluluskan oleh PBT masing-masing untuk pembinaan rumah kos rendah kepada pembinaan rumah mampu milik diatas tanah-tanah tersebut. Pemaju-pemaju yang berkenaan juga boleh dipanggil untuk dibawa berbincang untuk diadakan usaha sama membangunkan perumahan SelangorKu di tanah-tanah bawah kuasa kerajaan negeri. Terdahulu saya pernah diberitahu terdapat Pekeliling yang tidak membenarkan usaha sama dilakukan. Saya minta kerajaan negeri dan EXCO meneliti semula Pekeliling ini supaya kita dapat memberi kuasa kepada GLC atau mana-mana badan kerajaan negeri untuk adakan usaha sama dengan pemaju-pemaju supaya dapat kita bina 15,000 rumah SelangorKu dalam tempoh 3 tahun ini.  

Seperkara lagi ialah kerajaan negeri dan juga PBT serta GLC ada banyak tanah-tanah yang disebut sebagai Pocket Land yang terdapat didalam kawasan-kawasan tertentu. Pocket Land ini boleh jadi sebesar 1 ekar, 1 ½ ekar atau 2 ekar didalam sesuatu kawasan dan kadang-kala dibiarkan begitu saja tanpa dibangunkan. Saya fikir kita boleh gunakan Pocket Land ini untuk dibangunkan rumah SelangorKu dan kita kena benarkan PBT masing-masing yang mempunyai tanah-tanah ini untuk cadangkan kepada kerajaan negeri untuk pembinaan melalui usaha sama.

Saya setuju dengan Bukit Gasing bahawa social amenities adalah keperluan yang penting didalam sesebuah kawasan tapi pada pendapat saya pada masa sekarang ini, realitinya adalah keutamaan untuk memenuhi keperluan kekurangan rumah yang dihadapi oleh rakyat yang bekerja dan tinggal dinegeri Selangor. Saya tidak nafikan bahawa Green Land atau Green Area ini penting didalam sesuatu rancangan. Saya bukan kata semua Pocket Land perlu dibangunkan untuk rumah SelangorKu tetapi kita perlu teliti bersama-sama ADUN-ADUN tempatan untuk melihat keperluannya. Kita juga perlu memastikan bahawa harga Rumah Mampu Milik SelangorKu adalah pada tahap yang munasabah. Jika harga siling Rumah Mampu Milik Kerajaan Pusat adalah RM300,000 dan ke atas kita perlu menetapkan harga siling rumah Selangorku tidak sampai RM250,000, mungkin dari RM180,000 hingga RM250,000. Jadi, inilah sedikit sebanyak yang kita boleh buat dengan projek rumah SelangorKu.

Perlunya Pendidikan Awal Menangani Masalah Denggi

Saya nak sentuh isu berkaitan denggi dan kebersihan di Selangor. Terima kasih kepada Dato' Menteri Besar kerana dalam 3 minggu selepas beliau mengambil alih jawatan, telah pun memberi peruntukan yang lebih dalam sebulan ini untuk tujuan pembersihan kawasan. Tetapi peruntukan ini adalah bersifat one off. Denggi dan masalah kebersihan adalah satu masalah besar. Adalah menjadi mimpi jika kita mahu menghapukan denggi. Apa yang kita boleh lakukan adalah mengurangkan bilangan kes ini. Terdapat 2 faktor iaitu pembuangan sampah dan kawalan atau kerjasama diantara penduduk dengan PBT masing-masing. Isu ini sebenarnya berpunca dari satu perkara sahaja iaitu pendidikan. 

Sebagai contoh, untuk dewan ini, negara Sweden telah pun melakukan banyak usaha untuk menangani masalah sampah. Akhirnya mereka telah memperuntukkan satu dana khas bagi tujuan pendidikan kebersihan sahaja. Mereka mendidik anak-anak mereka dari kecil hingga meninggalkan alam persekolahan untuk ditanamkan dalam jiwa mereka tentang kepentingan kebersihan alam sekitar. Kalau kita boleh mewujudkkan satu peruntukan khas pendidikan kebersihan seperti di Sweden, saya pasti kita mampu mempunyai alam sekitar yang bersih dan bebas denggi.

Malangnya, apa yang saya nampak sekarang di sekolah-sekolah kita, walaupun ada pendidikan moral yang perlu mereka lulus didalam peperiksaan SPM dan sebagainya, hanya menjadi seperti satu slogan dan tidak terterap dalam jiwa mereka. Jadi saya minta kerjasama kerajaan negeri untuk beri tumpuan khusus dalam aspek pendidikan samada dibawah portfolio EXCO Pendidikan, EXCO Kesihatan atau EXCO Alam Sekitar untuk mengadakan program-program pendidikan didalam kawasan-kawan DUN Selangor dengan menggunakan tenaga kerja sedia ada dipejabat-pejabat ADUN disetiap kawasan.

Asrama Anak-anak Pekerja Ladang Mampu Kurangkan Masalah Sosial

Menyentuh isu pendidikan, saya nak bangkitkan satu perkara iaitu pembinaan sekolah Tamil yang telah dimulakan di Ijok. Projek ini telah dimulakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 ketika saya menjadi EXCO dan ADUN Ijok Menteri Besar ketika itu.

Saya minta kerjasama kerajaan negeri untuk memantau pembinaan sekolah ini supaya pembinaannya dapat diteruskan pada tahun 2015. Ini kerana semua kelulusan yang diperlukan telah pun dibuat. Tanah telah pun ditetapkan dan bangunan telah didirikan sebahagiannya. Saya berharap sekolah yang dilengkapi asrama ini dapat disiapkan pada tahun 2016 atau 2017. Dengan terbinanya asrama yang menempatkan anak-anak pekerja ladang ini, masalah sosial dapat dikurangkan. Walaupun kaum India di negeri Selangor ini adalah yang terendah iaitu 14% dari jumlah penduduk di Selangor, tetapi di lokap dan juga di penjara seperti penjara Sg. Ranggam, penghuni tertinggi adalah anak-anak muda kaum India. Tidak dinafikan sebahagian besar anak muda ini terlibat dengan gangsterism disebabkan masalah sosio-ekonomi yang tinggi. Mereka berasa tiada sesiapa yang mampu membantu mereka. Mereka tiada pekerjaan, tidak rasa dihormati dan tiada kuasa politik. Maka ada yang menjadi peragut dan terlibat dengan gangsterism sejak dari sekolah rendah lagi. Mesyuarat EXCO yang lepas meluluskan pembinaan asrama ini dengan tujuan memberikan golongan berpendapatan rendah dari kalangan pekerja-pekerja ladang dan dari keluarga miskin untuk ditempatkan disini supaya diberi pendidikan dan disiplin secukupnya dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Dengan cara ini dapat membina mereka menjadi insan yang berguna kepada keluarga dan masyarakat. Ini bukan satu cara yang baru tetapi telah dilakukan 20 hingga 30 tahun lamanya di FELDA dan juga sekolah-sekolah berasrama penuh oleh kerajaan Barisan Nasional. Saya mahu gunakan cara ini dan pengalaman yang ada dalam 30 tahun untuk membantu kaum India keluar dari masalah sosio-ekonomi sebelum menjadi lebih melarat.

Pertingkat Penguatkuasaan Penjualan Arak

Sekinchan dan Sabak ada menyentuh tentang isu arak. Saya ingin menambah sedikit tentang isu ini. Saya tiada masalah dengan penjualan arak sekiranya berlesen dan mematuhi peraturan-peraturan yang dikenakan.

Apa yang ingin saya tekankan adalah penjualan arak murah oleh kedai-kedai tertentu yang melepasi had jam 9 malam yang buka sehingga pukul 3 hingga 4 pagi dibelakang kedai dan ada juga yang berani menjual secara terbuka didepan kedai. Penguatkuasa perlu ambil tindakan yang sewajarnya dan kedai-kedai ini perlu ditutup jika melanggar peraturan-peraturan sedia ada. Keduanya, kita tidak boleh benarkan meminum arak dikawasan-kawasan awam. Saya telah pun membangkitkan isu ini dulu, tetapi sehingga kini tiada perubahan. Penguatkuasa PBT perlu ambil tindakan yang sewajarnya seperti di kawasan padang permainan, ada orang yang datang meminum arak disitu walaupun pada pukul 5 dan 6 petang. Gejala ini perlu dihentikan. Kalau ada undang-undang didalam PBT yang berkenaan, tolong kuatkuasakan. Kalau belum ada, kita perlu gubal dan kuatkuasakan.

Kejayaan YAWAS dan Program MES Perlukan Penglibatan ADUN

Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor diatas pelaksanaan program-program MES, tetapi saya fikir kita perlu teliti semula program-program sedia ada, pelaksanaannya dan penglibatan ADUN-ADUN yang mesti diberi keutamaan oleh UPEN dan kerajaan negeri. ADUN-ADUN adalah wakil rakyat yang dipilih dan mereka bertanggungjawab kepada rakyat. Malangnya, baru-baru ini program YAWAS gagal diseluruh negeri Selangor kerana tidak melibatkan ADUN-ADUN. Saya faham pegawai-pegawai berkenaan mahu menghabiskan program akhir tahun ini juga tetapi perlu memahami isu yang dihadapi. Dengan melibatkan wakil-wakil rakyat yang dipilih, kita dapat capai maklumat dengan lebih berkesan dan sokongan diperingkat rakyat yang dibawah. Dengan ini program dapat dilaksanakan dengan berkesan. Saya minta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya supaya supaya program-program MES dapat dilaksanakan secara berkesan.   

Pertambahan Bilangan Ketua Komuniti Tingkat Penyelesaian Masalah Rakyat

Akhir sekali Tuan Speaker, saya minta kerajaan negeri Selangor meneliti isu Ketua Kampung, Ketua Komuniti dan juga Ketua Kampung Baru. Terima kasih kepada Dato' Menteri Besar atas kenaikan elaun Ketua Kampung kepada RM900 sebulan. Saya minta perkara ini diselaraskan untuk semua Ketua Komuniti dan juga Ketua Kampung Baru. Disamping itu juga, kita perlu menambah bilangan Ketua Komuniti. Sekarang kita ada seramai 44 orang, saya minta ditambahkan lagi seramai lebih 30 orang. Ini adalah perlu bagi terus dekat dengan rakyat dan melaksanakan kerja secara berkesan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, terima kasih kepada kerajaan negeri kerana melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Eknomi Negeri Selangor. Beliau adalah seorang ikon didalam dan diluar negara yang boleh membawa manfaat kepada negeri kita untuk masa depan. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Dato' Menteri Besar dan juga cadangan bajet sebesar RM2.4 bilion untuk tahun 2015. Saya berharap kita semua akan bekerjasama dengan EXCO dan kerajaan negeri untuk bawa kemajuan pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan ini saya menyokong cadangan bajet yang telah dibawa oleh Dato' Menteri Besar kelmarin. Sekian.

YB Dr. Xavier Jayakumar
Ahli Dewan Negeri Selangor - N49 Seri Andalas